Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat yang tidak ternilai. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam, Nabi penutup sekalian nabi, rasul sekalian alam.
Tadi semasa sedang berehat bersama rakan-rakan serumah sambil menonton berita di CNN, seorang sahabat membangkitkan isu berkenaan Facebook dan Isu Karikatur Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Datang kembali memori lama ke dalam benak fikiranku, memori yang mengalirkan air mata kesedihan.
Tahun 2006, ana merupakan salah seorang ajk Badan Dakwah dan Kepimpinan di MTAQ, ajk yang terlibat di dalam mengeluarkan risalah-risalah tarbiyah bagi papan kenyataan BDK. Kebetulan pada tahun itu jugalah berlakunya isu karikatur dari Denmark akan nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Kami yang berada di dalam BDK merasa terpanggil untuk menyebarkan hal tersebut dengan meletakkannya di papan kenyataan, meletakkan karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak terniat pun di dalam hati kami untuk menyakiti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi itulah apa yang zahir daripadanya. Dengan kita turut sama menyebarkan karikatur tersebut sebenarnya kita telah menghina Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Petang itu, petang yang tidak dapat dilupakan peristiwanya, Syeikh Muhaimin naik ke masjid untuk menunaikan solat asar, dek kerana ramainya pelajar yang berkerumun melihat artikel baru yang dikeluarkan oleh BDK telah menarik perhatian syeikh untuk mengambil tahu apa yang berlaku. Tatkala sahaja melihat artikel tersebut, merah padam mukanya, jelas pada raut wajahnya kemarahan yang teramat. Terus ditanya siapakah pemegang kunci papan kenyataan dan kemudian mencabut artikel-artikel tersebut.
Syeikh ke hadapan, ke tempat Imam mengimami solat, memberikan tazkirah kepada kami. Dengan nada marah bercampur sedih itu kata-katanya amat menusuk kalbu, di manakah cinta kamu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Apakah faedahnya disebarkan karikatur tersebut? Bukankah itu seolah kamu turut sama menghina Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Tidak terasa sakitkah hati kamu melihat gambar-gambar menghina Rasulullah shalllallahu 'alaihi wasallam ditayangkan di khalayak ramai? Ke mana? Ke mana menghilangnya cinta kamu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?
Berderailah jatuh air mata setiap yang terlibat, terasa diri amat bersalah dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Malu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Panjanglah mau'izah yang diberikan oleh syeikh kepada kami, kami mendirikan solat asar dalam keadaan air mata membasahi pipi, sujud kepada Ilahi meminta keampunan dan meminta maaf kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Moga taubat kami diterima...
Jadi, harapanku kepada sahabat-sahabat di luar sana, usahlah menyebarkan apa-apa karikatur yang menghina Islam, Allah dan Rasul sekalipun melalui emel, blog dan apa media sekalipun. Berhati-hatilah dalam melakukan apa-apa perkara, jangan sampai ianya melukakan Islam, Allah dan Rasul.
Wassalamu 'alaikum wbt...