Sunday, March 10, 2013

Kritikan Dalam Persatuan



Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, juga salam rindu kepada isteri tercinta, keluarga, guru-guru dan sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.


KRITIK KERANA CINTA / BENCI
Kritikan boleh menjadi tanda kita cinta kepada sesuatu, kita mengkritik kerana kita mahukan ia menjadi lebih baik dan lebih dicintai. Namun, kritikan juga boleh menjadi tanda benci kita terhadap sesuatu, menunjukkan betapa kita tidak menyukainya, hasad dengki dan sebagainya.

Samada kritikan itu adalah kritikan cinta ataupun benci dapat kita lihat daripada bibit kata seseorang. Bagaimana mungkin orang yang mengatakan bahawa dia mencintai sesuatu yang dikritiknya tanpa dia tidak sedikitpun membela perlakuan baik yang dilakukan oleh orang yang dicintainya? Dalam konteks bepersatuan, orang yang memimpin persatuan adalah manusia dan ada salah silapnya yang tidak dapat dinafikan. Kita dalam memberi kritikan atau teguran perlu terlebih dahulu berfikir sebagaimana berfikirnya seorang pemimpin barulah kita dapat melihat sisi pandang yang lain. Jangan menyempitkan ruang fikiran kita dengan satu idea dan dari satu sudut!

Sungguh hairan dengan orang yang tidak terlibat dengan meeting-meeting persatuan, jarang sekali menjadi ajk program (terutama ajk program, ajk teknikal, pengarah dan amt) tiba-tiba bangkit menyatakan pendapat seolah pendapatnya sahajalah yang betul dan benar. Bimbang andai kita hanya tahu mengkritik tanpa memberikan penyelesaian bahkan lebih kepada menurut hawa nafsu serakah yang tidak bertepi.

KRITIKAN DALAM ISLAM
Kritikan yang kita ingini adalah kritikan yang membina, kritikan yang memperbaiki kelemahan di samping tidak bersikap menjatuhkan. Kritikan dalam Islam adalah kritikan berbentuk islah (memperbaiki) dan bukan ifsad (merosakkan). Inilah sifat kritikan dari seorang muslim, kritikan ifsad bukan sahaja menjatuhkan tetapi menimbulkan pelbagai lagi masalah seperti :

1. Membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga kritikan sebagai cinta kita diterjemah oleh orang lain sebagai benci.
2. Pemulauan terhadap kata-kata dan renggangnya ukhuwwah yang telah kita bina selama ini.
3. Membibitkan permusuhan dan hasad dengki yang berlarutan.
4. Memecahbelahkan kesatuan dan seterusnya menghancurkan sesebuah persatuan.
5. Kita akan kekal dengan sikap sebagai pengkritik mufsid.

BATU API
Kadang-kadang orang yang menjadi batu api ini lebih berdosa daripada pengkritik mufsid, bagaimana tidaknya apabila dia menjadi orang yang mengapikan api perbalahan sesama muslim, mengajak kepada perselisihan dan bukan perpaduan, menyelongkar kesalahan yang tidak disengajakan dan sengaja mencari titik perpecahan.

Hai si batu api, ingatlah akan azab Allah yang menanti, jangan terus berasa senang lenang setelah menaburkan api permusuhan. Nun jauh di sana, neraka sedang menunggu, malaikat sedang mencatit, Allah sedang melihat dan syaitan sedang ketawa berdekah-dekah. Insaf dan bertaubatlah, Allah itu Maha Adil!

...........................

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters