Saturday, August 13, 2011

Salam Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Tuhan Sekalian Alam yang mempertemukan aku dan Ramadhan pada kali ini. Sungguh hamba ini punyai sekian banyak dosa, sekian banyak masalah, sekian banyak aduan... Kepada-Mu tempat segala pergantungan dan pertolongan yang hakiki. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, selawat yang memberikan cahaya, menghilangkan kegelapan... Semoga kami dianugerahkan oleh Allah SWT akan syafaat baginda yang sentiasa diidam-idamkan sekalian ummat manusia.

Ramadhan tahun ini jatuh pada musim soifi, musim yang mana dikenali dengan kepanasannya, meskipun demikian ia bukan penyebab kepada keluhan kita kerana di sana pasti ada negara yang jauh lebih panas daripada bumi Jordan ini, tidak lupa juga kepanasan di akhirat sana. Matahari yang hanya sejengkal dari temperung kepala, lautan peluh manusia yang membanjiri, serta hisab yang menjadi penentu syurga dan neraka, maka apalah dunia ini? Tidak lebih daripada sebelah sayap seekor nyamuk sahaja.

Lama tidak mencoretkan kata dan perasaan, rindu untuk menulis tetapi seringkali terfikir akan tugas yang semakin bertambah. Wahai diri, bilakah mahu berubah ke arah yang lebih baik? Mengatur masa dan mendisiplinkan diri dengan sebaiknya? Seringkali kau dengari bahawa tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa, maka apakah sebab masih berlengah? Nah... paksakan dirimu demi hari yang cemerlang.

Dipilih memikul amanah sebagai Presiden, bukan suatu tugas yang mudah. Mungkin dahulu, tidak terlalu terasa bahananya kerana masih di bawah, namun sekarang bukan lagi fatrah merasa, tetapi fatrah melaksana. Pemimpin-pemimpin yang hebat, sudah tentu mereka terlebih dahulu hebat dalam pengurusan diri, masakan pemimpin yang hebat daripada orang yang tunggang langgang dirinya. Manfaatkanlah masa sebaik-baiknya, kurangkan tidur, banyakkan berfikir untuk ummat dan bekerja, ikhlaskan niat, jauhi maksiat, tingkatkan amalan.

Entah bila dan bagaimana, kalau sebelum ini, mood belajar itu kunantikan tapi sekarang mood belajar itu harus kucipta dan datangkan (baru menyedari kesusahannya dan kepentingannya)... sedarlah diri engkau tidak punya masa untuk berlengah. Exam nihaie sudah dekat menghampiri, seminggu lagi sebelum ia menerjah tiba, carilah masa, carilah peluang, carilah nilai pada satu saat yang berlalu agar mampu dimanfaatkan.

Oh Ramadhan, jangan kau tinggalkan daku sebelum sempatku mendapat pengampunan dari Allah Tuhan Yang Esa.


Ramadhan Kareem.... Allahu akram
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters