Monday, September 28, 2009

Hari Pertama Fasal Keempat Tahun Kedua



Semalam telah bermula sesi pembelajaran baru ana di sini, alhamdulillah semua kelas berjalan dengan sempurna kecuali untuk madah nahu.

Pada fasal ini, ana turut mendaftarkan 6 madah sama seperti fasal kedua. Antara madah yang telah didaftarkan ialah :

1. Nahu 1
2. Dirasat Islamiyyah (BI)
3. Fiqhut Toharah was Solaah was Siyaam
4. Fiqhul Aiman wan Nuzur wal Hazhar wal Ibahah
5. Tilawah wal Hifz 2
6. Tafsir

Untuk madah Tafsir, ana sebenarnya telah mendaftarkannya dengan Dr. Rayyan, akan tetapi disebabkan beberapa musykilah, Dr. Rayyan telah diganti dengan Dr. Ahmad Naufal. Sungguh amat gembira hatiku dibuatnya kerana Dr. Ahmad Naufal adalah orang yang jarang-jarang sekali mengajar pelajar degree. Syukur ke hadrat Allah kerana menggantikan dengan yang lebih baik.

Pada jam 11.00 pagi waktu Jordan, kelas nahu 1 pula dimulakan, doktor nahu ini adalah seorang yang tidak dapat melihat (barakallahu fiih) tetapi masih boleh dapat mengajar, baik raut wajahnya. Kami dimaklumkan oleh beliau bahawa kelas akan bermula pada hari Selasa nanti agar semua pelajar dapat menghadirkan diri dengan jumlah yang lebih ramai. Ini kerana pada hari pertama setiap fasal, jumlah kehadiran amat kurang memuaskan kerana masing-masing masih terpinga mencari kelas ditambah pula dengan pelajar-pelajar baru sesi tersebut.

Manakala madah ketiga iaitu Fiqhul Aiman wan Nuzur wal Hazhar wal Ibahah pula berlangsung pada jam 12.00 tengah hari, diajar oleh salah seorang doktor yang mengajar di Jamiah Yarmouk. Alhamdulillah, dapat juga belajar dengan doktor dari Jamiah Yarmouk. Ana pun tak pasti kenapa dia boleh berada di Jamiah Urduniah, beliau ada mengkhabarkan kepada kami tapi ana tidak dapat memahami beberapa kata-kata beliau oleh kerana kekurangan vocab. Huhu...

Kelas ana semalam berakhir jam 1.00 tengah hari, petang semalam badan terasa tidak berapa sihat dan seterusnya kepeningan dan sakit kepala. Syukran kepada mereka yang mendoakan kesembuhanku, sekarang alhamdulillah dah semakin pulih. Barakallahu fiikum. Doakanku untuk mendapat pencapaian yang lebih memberansangkan pada fasal ini. :D

Saturday, September 26, 2009

Perjalanan Sebuah Kehidupan

University of Jordan dan Masjid Abd. Rahman b. 'Auf


Alhamdulillah, sudah sebulan lebih bercuti dan berhari raya, esok tiba masanya untuk meneruskan kembali episod sebuah perjuangan ini.

Dalam masa sebulan lebih ini juga aku telah mempelajari banyak perkara daripada sahabat-sahabatku dan ustaz-ustaz di sini, mempelajari bagaimana untuk lebih memahami dan mengambil ibrah.

Manusia itu tidak lepas daripada perasaan megahnya, bangga akan pencapaiannya yang serba boleh, ingin menjadi hebat lebih daripada orang sekeliling. Begitulah juga diriku, tidak lepas daripada semua itu, tapi tiap kali aku didatangi perasaan sedemikian, datang satu bisikan berkata bahawa kau salah. Kau sememangnya tidak layak memikul amanah tersebut. Astaghfirullah, apa yang telah aku sombongkan?

Ramadhan telah pun berlalu pergi, kumerasai kesedihan dan juga kegembiraan. Jika dapat kugambarkan yang manakah lebih mempengaruhi hati saat berlalunya Ramadhan tentulah jelas kelihatan bahawa kegembiraan mengatasi kesedihan. Namun, aku disergah pada malam raya pertama oleh tazkirah ringkas seorang ustaz di sini kepada kami semua. Kesedihan meninggalkan Ramadhan mengatasi kegembiraan Syawal itulah yang menandakan bahawa tarbiyah Ramadhan telah kita berjaya harungi.

Esok adalah satu lagi hari yang aku mesti tempuhi, rupa paras sahabat-sahabatku di jami'ah makin terbayang-bayang di dalam fikiran ini. Tidak sabar rasanya untuk berjumpa dengan mereka, tidak sabar rasanya untuk menambah input berguna, tidak sabar rasanya untuk mengisi masa yang lapang ini, juga tidak sabar rasanya untuk melakukan 'improvement' diri bagi fasal akan datang.

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan, dan kecekalan dalam mengharungi dunia-Mu ini serta melaksanakan amanah yang Engkau anugerahkan. Berikanlah aku kebijaksanaan, kecergasan, dan hidangilah rohku dengan makanan rohani. Ampunilah dosa-dosaku, dosa ibu bapaku, guru-guruku, adik-beradikku, para sahabatku dan semua kaum Muslimin dan Muslimat. Tempatkanlah kami di Syurga-Mu yang tertinggi. Amiin ya Rabb.

Tuesday, September 22, 2009

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya buat keluargaku di Kota Bharu, Kelantan, juga buat semua sahabat-sahabatku tidak kira yang jauh mahupun dekat, serta kepada sekalian guru dan ustaz yang sudi memberi tunjuk ajar kepada diriku. Maafkan segala salah dan silap sepanjang bersama. Tidak lupa juga diucapkan Selamat Hari Raya kepada ahli-ahli PPMA, semoga kita semua sentiasa dirahmati ALLAH.


Monday, September 21, 2009

Iklan Syaitan



























AWAS! Waspada dengan SYAITAN!

Lindungilah aku Ya Allah!

Sunday, September 20, 2009

Thursday, September 17, 2009

كل عام وأنتم بألف خير

Sila klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas.

هذا هو الطريق




INILAH JALANNYA



Maksudnya: “Demi langit yang mempunyai gugusan bintang. Dan hari yang dijanjikan: Dan yang menyaksikan dan yang disaksikan. Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit. Yang berapi [dinyalakan dengan] kayu bakar. Ketika mereka duduk di sekitarnya. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan hanya kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan [fitnah] kepada orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahanam dan bagi mereka azab neraka yang membakar. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang salih bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar. Sesungguhnya azab Tuhanmu

benar-benar keras. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan makhluk dari permulaan dan menghidupkannya kembali. Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Yang mempunyai singgahsana, lagi Maha Mulia. Maha Kuasa berbuat apa yang dikehendaki-Nya.” (al Buruuj: 1-16)



Sesungguhnya kisah penggali parit (Ashabul Ukhdud) sebagaimana yang digambarkan di dalam surah Al-Buruj ini sangat penting untuk direnungi dan diperhati oleh orang beriman yang menghayati dakwah ke jalan Allah di segenap tempat dan generasi. Cara Al-Quran mengemukakan kisah ini dengan gaya bahasa yang mengandungi muqaddimah, latar belakang, huraian dan ulasan serta pengesahan dan arahan-arahan. Ini memberi pengertian bahawa Al-Quran membuat garis panduan mengenai bentuk dan corak dakwah ke jalan Allah, mengenai peranan umat manusia dalam melaksanakan dakwah itu, dan risiko yang mungkin melanda jalannya dakwah itu - yang

sememangnya mempunyai ruang lingkup yang amat luas; lebih luas daripada muka bumi dan lebih luas daripada jangkauan kehidupan di dunia. Al-Quran juga memberikan garis panduan untuk orang beriman di samping memberikan bahan persediaan bagi mempertaruhkan jiwa raga mengikut takdir Allah yang azali dan mengikut hikmah kebijaksanaan Allah di alam ghaib.



Kisah ini adalah sebenarnya merupakan kisah kemurnian iman satu golongan manusia, yang rela menerima ujian dari pihak musuh mereka yang durjana dan garang. Musuh yang sanggup memijak-mijak kebebasan "manusia untuk menganut iktikad kebenaran dan untuk terus hidup menghayati iman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji." Mereka rela mati syahid mempertahankan iman mereka, walaupun mereka terpaksa menjadi bahan ketawa bagi orang-orang durjana itu, sambil bersorak-sorai menyaksikan pesta pembakaran manusia secara hidup-hidup.



Iman yang hidup menyala di dalam hati golongan ini telah berjaya mengalahkan ujian itu dan memenangkan pilihan akidah ke atas pilihan ingin hidup terus di dunia yang fana ini. Hati mereka tidak berubah dengan ugutan musuh-musuh dan tidak berganjak menghadapi seksaan yang membawa maut, tidak rela menukar prinsip hidup dengan kemusnahan akidah; lebih rela mati dibakar api dari hidup bercerminkan bangkai...



Hati mereka telah berjaya membebaskan dirinya daripada belenggu rasa cita hidup, hati yang tidak boleh dipermainkan oleh pujukan syaitan. Hati yang rela menerima kedatangan maut, yang dahsyat kelihatannya. Hati yang lepas bebas dari sebarang belenggu "dunia" dan segala jenis godaannya, dan telah memilih kemenangan akidah atas segala-galanya.



Berhadapan dengan hati orang-orang beriman yang berbudi tinggi dan mulia itu, di sana adalah hati-hati yang pejal membatu, yang ganas dan tidak mengenal budi, mereka mengelilingi parit yang dipenuhi nyala api, menyaksikan betapa mereka mengazab dan menyeksa orang-orang beriman, menyaksikan pesta pembakaran manusia hidup-hidup. Setiap kali seorang pemuda atau teruna, setiap kali bagi orang dewasa, setiap kali kanak-kanak atau orang tua dari golongan beriman yang baik dan mulia dicampakkan ke dalam nyala api, setiap kali pulalah sorak berderai, ketawa yang menggila dan hilai yang penuh dendam dan benci. Peristiwa kejam dan menyayat hati yang dilakukan oleh manusia durjana itu, pembunuhan beramai-ramai yang menyeramkan bulu roma, melebihi kekejaman binatang buas; sebab binatang buas membunuh mangsanya untuk dimakan, bukan sekadar untuk ditonton dan dihilai tawakan di dalam pesta. Peristiwa ini adalah suatu

peristiwa yang membuktikan betapa tingginya nilai roh orang-orang beriman; juga menggambarkan betapa tenangnya roh yang suci itu naik ke syurga mengadap Tuhannya.



Mengikut perhitungan duniawi, nampaklah bahawa kedurjanaan telah dapat mengalahkan keimanan. Nampak juga bahawa keimanan yang begitu tinggi nilainya, yang terpahat begitu kukuh dan terukir begitu indah di dalam hati manusia pilihan itu, seakan-akan tiada nilainya dan tiada hitungan markahnya di dalam pertarungan antara keimanan dan kedurjanaan.



Kebetulan pula ayat-ayat mengenai peristiwa ini tidak menyebut bagaimanakah nasib orang-orang penggali parit itu di atas dunia ini sesudah mereka melakukan perbuatan yang kejam ini. Apakah tindak-balas Allah ke atas mereka. Adakah Allah mengambil tindak balas seperti balasan ke atas kaum-kaum Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Syu'aib dan juga Nabi Luth, ataupun Tuhan membalas mereka seperti balasan yang menimpa Firaun dan kaumnya.



Memanglah dalam pandangan mata kasar, peristiwa pembunuhan beramai-ramai dengan cara membakar hidup-hidup semua orang beriman itu sangat menyedihkan dan memilukan. Adakah benar bahawa persoalan ini berlalu begitu sahaja dan kisah golongan beriman yang dibunuh hidup-hidup di dalam api yang membakar ini hilang begitu sahaja ditelan zaman? Adakah cukup dengan sekadar menyebutkan bahawa mereka berhasil mencapai puncak iman sahaja? Hilang membawa kenangan dahsyat mati terkapai menjadi mangsa api yang ganas dalam parit yang digali oleh orang-orang durjana itu; sedangkan golongan itu dibiarkan tanpa sebarang balasan di dunia ini juga.



Memanglah mengikut perhitungan kasar duniawi, peristiwa ini menggariskan suatu rasa hampa dan kecewa terhadap peristiwa yang malang ini. Tetapi Al-Quran mengajarkan sesuatu yang lain, untuk difahami oleh orang-orang beriman. Al-Quran membongkar suatu hakikat yang lain; iaitu hakikat nilai yang menjadi neraca pertimbangan dan hakikat perjuangan yang pasti ditempuh oleh orang-orang beriman.



Kehidupan dunia yang dibumbui oleh berbagai-bagai jenis keadaan dan suasana: berupa kelazatan, keseronokan, kesakitan, kebahagiaan beroleh suatu, kekecewaan kehilangan sesuatu, bukanlah merupakan nilai yang paling mahal di dalam neraca pertimbangan. Kehidupan dunia lahiriah ini bukanlah merupakan faktor yang boleh menentukan nilai menang atau kalah, untung atau rugi. Kemenangan hakiki bukanlah selama-lamanya bererti kemenangan lahiriah, yang boleh dipandang oleh mata kasar; sebab kemenangan yang nampak disaksikan oleh mata kasar dan panca indera lahir itu adalah hanya salah satu bentuk kemenangan sahaja, sedangkan kemenangan itu memang banyak sekali bentuknya.



Sesungguhnya nilai yang paling berharga di dalam neraca Allah SWT ialah nilai akidah; sesuatu yang paling laris di pasaran Allah ialah iman. Kemenangan yang paling bernilai di sisi Allah ialah kemenangan roh atas kebendaan, kemenangan akidah menghadapi sakit dan sengsara, kemenangan iman menempuh badai fitnah. Di dalam kisah pembunuhan beramai-ramai di dalam unggun api, yang kita perbincangkan ini, nyata sekali kemenangan orang-orang beriman itu mengalahkan perasaan takut dan sakit; kemenangan mengatasi godaan-godaan duniawi, kemenangan menghadapi fitnah, kemenangan kehormatan umat manusia di sepanjang zaman. Inilah kemenangan sejati!



Semua manusia pasti mati, walaupun sebab dan punca kematian itu bermacam-macam bentuk dan rupanya; namun seluruh manusia tidak akan mendapat kemenangan seperti ini, tidak akan dapat mendaki setinggi ini, tidak mendapat kebebasan sehebat ini, dan tidak akan dapat sampai ke matlamat secepat ini. Ini adalah sebenarnya suatu pilihan khas Allah untuk suatu golongan hamba-Nya yang Dia kasihi. Allah memberi rahmat kepada mereka untuk dapat sama merasakan kematian seperti juga makhluk lain merasakan kematian itu, tetapi di samping itu mereka beroleh kehormatan khas di alam malakut, dan kehormatan di dalam neraca Ilahi dan neraca kemanusiaan.



Memang orang-orang beriman tadi boleh menyelamatkan nyawa mereka untuk sementara waktu dengan membayar harga yang berbentuk kehancuran iman. Kalau mereka rela membayar harga kematian itu dengan kehancuran akidah maka alangkah ruginya mereka dan alangkah ruginya kemanusiaan. Bagaimana ruginya mereka seandainya menerima mereka rela surut ke belakang, yang bererti mereka sanggup membunuh kebebasan, sanggup membunuh erti dan nilai, bererti mereka rela hidup tanpa akidah, tanpa kebebasan, rela menyerahkan akidah dan jiwa untuk ditakluki orang, setelah badan kasar diperhambakan orang sesuka hati mereka.



Pengertian ini adalah pengertian yang mulia dan.besar sekali. Mereka beruntung di tempat yang amat jauh dari jangkauan kasar dunia ini. Mereka beruntung waktu badan kasar mereka dijilat api, maka terbakar habislah jasad kasar mereka dan beroleh kemenanganlah nilai yang tidak dapat dimakan api, iaitu pengertian rohani yang suci.






drpd : Dr. Sayyid Quthb - Petunjuk Sepanjang Jalan

Tuesday, September 15, 2009

Akhir Ramadhan Menjenguk Tiba...




Alhamdulillah... setelah 2 minggu berlalu tanpa internet, akhirnya hari ni ia beroperasi seperti biasa. Aku berfikir kembali, hikmahnya amat banyak tetapi aku tidak menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya. Masya-Allah.

Hari ini, aku mendapat nasihat yang berguna buat diriku dalam berpersatuan, nasihat seorang abang kandung kepada adik kandung. Semoga aku tidak melupakan nasihat tersebut.

Bulan Ramadhan telah sampai ke kemuncaknya, aku berfikir, di manakah diriku? Sejauh mana amalku? Sekuat mana imanku? Astaghfirullah. Peluang keemasan dah hampir tiba ke penghujungnya, namun kesannya entah ke mana.

Ya Allah, teguhkan iman dan pendirianku, jauhkan aku daripada perkara maksiat, lapangkan hati ini, turunkanlah sakinah dan rahmat-Mu kepada diri ini. Semoga aku tidak tergolong dalam golongan mereka yang rugi. Amiin Ya Rabb.
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters