Sunday, February 5, 2012

Hafizahullah 2



Gagalnya rancangan membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

Lelaki itu masuk ke Masjid Nabawi namun tidak menemukan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalamnya, apabila ditanyakan dikatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ke perkampungan Bani Abdul Asy’al menziarah mereka.

Tanpa berlengah, dia berangkat ke sana sambil membimbit khanjar di dalam bajunya menuju ke perkampungan Bani Abdul Asy’al. Setelah sampai, dia menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkarangan masjid berbicara dengan penduduk di situ.

Tunggangannya pun diikat sebelum menghala kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam… Pada masa yang sama, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sudah pun dapat melihat kelibat lelaki itu dari jauh dan ketika itulah Allah SWT menurunkan wahyu mengkhabarkan perihal lelaki tersebut, pekerjaannya yang tercela serta apa yang berlaku antaranya dan Abu Sufyan.

Setelah diturunkan wahyu, dengan serta-merta Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum akan halnya lelaki itu sebelum dia sampai kepada mereka :  ‘Lelaki ini mahu mengkhianati kita, dan Allah-lah pendinding antara dia dan apa yang dia ingini.’

Para sahabat dengan tangkas menangkap maksud Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berawas dengannya, dan orang yang paling hadapan dalam kalangan mereka ialah Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu.

Sampailah lelaki itu kepada mereka yang duduk di sekeliling Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengajukan soalan kepada mereka : ‘Siapakah di antara kamu anak kepada Abdul Muttalib (Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga digelar anak Abdul Muttalib)?’

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab : ‘Akulah anak Abdul Muttalib!’

Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam yang pada ketika itu sedang duduk bersama para sahabat radhiallahu ‘anhum menerima kedatangannya, berpaling menghadapnya seolah-olah lelaki itu mahu berbicara sesuatu yang rahsia sedangkan niatnya adalah untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan memudahkannya mengeluarkan khanjar miliknya itu dengan cepat serta segera membunuh baginda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Akan tetapi perlakuannya itu diperhatikan oleh sahabat-sahabat radhiallahu ‘anhum yang telah diperingatkan untuk berawas dengannya, dan inilah kecuaian lelaki itu serta kelalainnya! Para sahabat mengetahui niatnya yang buruk, dan dengan itu makin bertambahlah rasa pengawasan mereka.

Oleh yang demikian, dia tidaklah hendak memuliakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dan sebelum dia menyeluk mengambil khanjarnya, Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu menarik bajunya dengan tarikan yang kuat seraya berkata : Jauhkan dirimu daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Lelaki itu menarik kembali bajunya, namun gerakan Usaid itu pantas maka dia ikuti dengan gerakan lain iaitu menariknya dari dalam selendang (izar) lelaki tersebut sehingga terberai ikatan selendang itu dan menampakkan senjata yang tersembunyi yang disediakan untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jelas kelihatan senjata yang dibangga dan disombongkannya sebelum dia mencapai tujuannya.

Tatkala itu, bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sekali lagi kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum : Lelaki ini pengkhianat!

Para sahabat menangkapnya, mengambil senjatanya, dengan itu Allah menjaga Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam, melindunginya daripada musuh-musuhnya, mereka melakukan perancangan dan Allah juga mempunyai perancangan, sesungguhnya Allah-lah sebaik-baik perancang.

Jatuhlah senjata tersebut dari tangannya dan dia tahu bahawa rancangannya untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah gagal dan dikalahkan, dan inilah dia sekarang ditangkap oleh kaum muslimin!

Dia pun segera berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam : Darahku, darahku, wahai Muhammad!

Yakni : Aku rayu kepadamu supaya tidak menumpahkan darahku walaupun aku berhak untuk dibunuh tetapi aku mengharapkan keampunanmu!!

Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu memegang ketat baju lelaki tersebut dengan kuat serta menyiasat dengan siasatan yang teliti supaya perasaan takut dan panik menyelubungi dirinya lalu mengetahui apakah rencana lelaki itu.


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memaafkan arab badwi dan membentangkan kepadanya Islam

Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada si badwi : Bercakap benar denganku : Siapakah kamu? Apa yang menyebabkanmu datang ke sini? ... Jika engkau berkata benar maka kamu akan mendapat faedah! Namun andai kamu menipuku maka binasalah dirimu, sesungguhnya Allah telah mengkhabarkan kepadaku apakah rencanamu!

Rasul ‘alaihissolatu wassalam sememangnya mengetahui apakah yang berlaku antaranya dan Abu Sufyan sedangkan ia adalah perjumpaan rahsia di rumah Abu Sufyan di Mekah, perjumpaan yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia! Siapakah yang memberitahu Muhammad sedangkan dia di Madinah? Dia-lah Allah (yang mengkhabarkan peristiwa tersebut)! Dan ini membuktikan bahawa Muhammad itu ialah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Berkata arab badwi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam : Jika aku ceritakan adakah aku terjamin (keselamatan)?

Rasulullahu shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab : Katakanlah dan kamu selamat!
Dia terus menceritakan dengan terperinci, semenjak pertemuannya dengan Abu Sufyan di rumah beliau, bersepakat atas perbincangan teliti itu sehingga kedatangannya ke Madinah!

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian mengarahkan Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu untuk mengikatnya.

Adapun pada keesokan harinya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil lelaki badwi itu dan berkata : Telah aku maafkan dirimu, maka pergilah ke mana yang kau mahu!

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih menunjukkan akhlak kenabiannya yang tinggi apabila berdepan dengan badwi yang datang hendak membunuh baginda, bahkan baginda memaafkan beliau.

Sebelum si badwi meninggalkan majlis bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda sempat membentangkan kepadanya Islam, berkata kepadanya : Apa pandanganmu terhadap sesuatu yang lebih baik daripadanya?

Berkata si badwi : Apakah ia?

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam : Kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah Rasul Allah!

Si badwi itu segera mengatakan keIslamannya di hadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dia pun berterus terang terhadap satu perkara yang ajaib, dia berkata : Wahai Rasulullah : Aku adalah lelaki yang berani tidak gentar, tidak aku takuti lelaki  walau bagaimana keadaan mereka sekalipun kecuali engkau wahai Rasulullah, aku tidak tahu apa yang berlaku ke atas diriku apabila aku melihatmu! Demi Allah, tidak aku melihatmu kecuali hilang akalku (tumpuanku), diriku menjadi lemah, dipenuhi perasaan takut dan kagum! Allah telah pun mengkhabarkan kepadamu apa yang aku bertekad untuk lakukan yang tiada seorang pun mengetahuinya kecuali aku dan Abu Sufyan, lalu aku mengetahui bahawa dirimu dijaga (oleh Allah) dijauhi (dari keburukan), dan sesungguhnya Allah memelihara dirimu serta melindungimu! Ini bererti engkau berada atas kebenaran dan puak-puak Abu Sufyan itu puak Syaitan berada atas kebatilan!

Kata-katanya sebagai seorang badwi muslim itu telah membuatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tersenyum mendengarnya.

Dengan itu gagallah perancangan Abu Sufyan pembesar Mekah untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Allah membalas tipu daya tersebut umpama dia menyembelih dirinya… Apabila Abu Sufyan mengetahui hal itu bertambah-tambahlah kekecewaannya dan penyesalannya, memaksa dia untuk berfikir akan cara yang lain bagi menghadapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Friday, December 23, 2011

Hafizahullah 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Sempat juga bersua dan meluangkan sedikit masa untuk blog ini, sekadar menyebarkan usaha kecil untuk menterjemah satu tajuk daripada sebuah buku. Khas untuk projek terjemahan yang dianjurkan oleh Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA) tapi rasanya tidak salah untuk berkongsi di samping memperbaiki kesilapan yang ada dan memantapkan lagi terjemahan pada masa akan datang.

Anda dialu-alukan untuk komen =)

----------------------------------------------------





Perancangan Abu Sufyan menentang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam :



Pertembungan antara kaum muslimin dan quraisy semakin hari semakin meningkat bermula selepas peperangan Ahzab pada tahun kelima hingga ke perdamaian Hudaibiyah pada penghujung tahun keenam, dan tahun itu menjadi saksi terhadap banyaknya pertembungan antara muslimin dan musyrikin yang menyebabkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membentuk beberapa kumpulan jihad serta melancarkan peperangan-peperangan kecil bagi menentang orang-orang kafir!



Pada permulaan tahun keenam, Abdullah bin Unais radhiallahu ‘anhu telah Berjaya menenangkan kaum muslimin dengan pembunuhan pemuka orang kafir, Sufyan bin Khalid Al-Huzali berdekatan Kota Mekah, kerana sesungguhnya dia pernah menyediakan seangkatan tentera yang besar untuk memerangi Madinah, oleh sebab itu terpecahlah tenteranya! Al-Huzali itu tidak lain tidak bukan adalah sekutu pembesar Mekah, Abu Sufyan… Maka tiada lagi bagi Abu Sufyan sekutu kuatnya.



Pada tahun yang sama, Muhammad bin Muslimah serta saudaranya (redha Allah ke atas mereka) turut berjaya menenangkan muslimin dari serang hendap Tsumamah bin Utsal Al-Hanafiy, Ketua penduduk Yamamah selaku sekutu kedua terkuat Abu Sufyan yang telah menyediakan barisan tentera yang lain untuk memerangi Madinah sehingga berpecah-pecah tenteranya… Peristiwa tersebut berakhir dengan pengislaman Tsumamah bin Utsal (redha Allah ke atasnya)  lalu dilancarkan perang ekonomi terhadap kaum Quraisy, menghalang sumber gandum mereka! Hilanglah Abu Sufyan sekutunya yang kedua!



Abu Sufyan adalah orang yang rugi di hadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sudah jatuh ditimpa tangga, selepas pusingan didatangkan pusingan yang lain. Kerana di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu adanya Allah, memberikan taufiq, pertolongan dan bantuan!





Abu Sufyan mengutuskan seseorang membunuh Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam :



Abu Sufyan tidak lagi mempunyai sebarang pilihan di hadapannya kecuali melakukan pilihan terakhir tersebut, iaitu membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam! Dengan perancangan itu dia menawarkan tawaran kepada sesiapa yang mampu membunuh baginda.



Dia memulakan langkah terhadap perancangannya itu dengan membawakannya kepada penasihat-penasihat yang berdekatan tanpa sesiapa di sisi mereka, kemudian Abu Sufyan berkata kepada mereka : Tidakkah kamu mendapati seorang lelaki yang kita percayai untuk melakukan operasi pembunuhan Muhammad ini! Dia telah memasuki pasar-pasar, keluar dan masuk darinya sedangkan membunuhnya itu lebih senang dan dipermudahkan bagi kita! Kita mampu membalas dendam terhadapnya dan mampu berehat daripadanya!.

Mereka lalu berkata : Kami akan berbuat demikian, kami carikan seorang lelaki yang mahir, bijak dan berpengalaman dalam hal ini.



Mereka pun mencari lelaki pembunuh upahan yang mahir dan didatangkan untuk menghadap Abu Sufyan!.



Lelaki itu masuk ke rumah Abu Sufyan berjumpa dengannya sambil menjaga keselamatan dirinya daripada dikenali dan dilihat oleh manusia, di rumah itulah diadakan perjumpaan sulit yang tertutup… membuat perancangan untuk membunuh baginda Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam.



Si lelaki itu berkata : ‘Aku sanggup untuk membunuh Muhammad dan aku mampu untuk melakukannya serta aku mempunyai pengetahuan yang cukup akan jalannya, caranya juga telah kucipta sebuah rancangan yang teliti untuk itu… Di sisi ku juga terdapat sebilah Khanjar (sebilah pisau melengkok) yang tajam, khusus untuk membunuh di samping ianya dapat kusembunyikan di dalam bajuku tanpa sesiapa mengetahui dan merasai kewujudannya. Jika engkau bertekad atas perkara tersebut, maka selayaknya engkau serahkan tugasan tersebut kepadaku. Sesungguhnya akulah orangnya!’



Abu Sufyan menjawab : ‘Kaulah sahabat kami, dengan ini kuserahkan tugasan ini kepadamu!’



Lalu persetujuan termeterai antara mereka berdua, Abu Sufyan turut menyerahkan kepada lelaki itu seekor unta, sedikit bekalan dan duit sebagai pampas an. Sebelum lelaki itu keluar, Abu Sufyan sempat berpesan :

‘Kau mesti berhati-hati lebih daripada biasa, rahsiakan perkara ini daripada manusia, jangan sekali-kali menceritakannya walau terhadap orang yang paling dekat denganmu, kerana jika mereka mengetahu berita ini pasti ia akan tersebar sehingga ke pengetahuan Muhammad serta sahabatnya.’



Lelaki tersebut membalas : ‘Tiada siapa yang akan mengetahuinya kecuali kau dan aku!’ Dan berlalu keluar dari rumah Abu Sufyan dengan mempersiapkan khanjarnya untuk berangkat menuju ke Madinah bersama unta yang disediakan oleh Abu Sufyan.



Perjalanan lelaki itu mengambil masa 5 hari berturut-turut dari Mekah ke Madinah dan pada subuh hari keenam sampailah dia ke sana. Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang menginginkan Islam dan ingin belajar tentangnya.



Bersambung...




______________________
Rujukan :
1) Kitab صور من جهاد الصحابة, karangan Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, m/s 139-141, cetakan ke-3, 2009, Darul Qalam.

Thursday, December 15, 2011

Surah An-Nisa'

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,




Alhamdulillah, Tuhan Sekalian Alam... Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Membelek Kitabullah... Meneruskan bacaan Al-Quran bagi menenangkan hati dan fikiran. Allah itu Maha Penyayang, kadang ditunjukkan kasih sayang-Nya dengan cara yang pelbagai tetapi manusia tidak sedar.

Masih melakukan maksiat berulang kali, Allah hantar peringatan menyuruh kembali, namun manusia tetap alpa. Apabila tiada lagi cara mengelak dari musibah, mula teringat kepada Dia Yang Esa.

Surah An-Nisa', surah yang mendalam maksudnya bagi seorang pelaku maksiat. Dinamakan surah dengan surah wanita, yer Surah Wanita. Kerana besarnya pengaruh wanita dalam kehidupan, jika tidak masakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan perihal fitnah bagi si lelaki itu adalah wanita.

Terlalu banyak merajuk, terlalu mencintai, dan terlalu..... Tidak perlu untuk di tulis di sini kerana kita semua mengerti.

Ambillah masa untuk merenung ayat di dalamnya wahai para ahli maksiat, menangislah!

Dimulakan dengan ayat supaya manusia itu bertaqwa... Bertaqwalah kepada Allah!... Dia yang menciptakan kamu dengan pasanganmu... Masih ingkar?


إنما التوبة على الله للذين يعملون السوء بجهالة ثم يتوبون من قريب فأولئك يتوب الله عليهم وكان الله عليما حكيما

وليست التوبة للذين يعملون السيئات حتى إذا حضر أحدهم الموت قال إني تبت الآن ولا الذين يموتون وهم كفار أولئك أعتدنا لهم عذابا أليما


والله يريد أن يتوب عليكم ويريد الذين يتبعون الشهوات أن تميلوا ميلا عظيما

يريد الله أن يخفف عنكم وخلق الإنسان ضعيفا


Surah An-Nisa' : Ayat 17, 18 serta 27 dan 28

Ku petik 4 ayat di atas dari 2 tempat yang berbeza dalam Surah An-Nisa' sebagai peringatan kepada diri dan mereka di luar sana. Engkau bukan manusia sempurna tetapi jalan membelenggu dirimu dengan ketidaksempurnaan!

Pintu taubat sentiasa terbuka, engkaukah yang akan mengetuknya? Atau engkaukah yang membelakanginya?

Menangis...


Wan Abdul Baith Izzuddin bin Wan Mustapa,
Bayt Solah (lama), Sweileh,
6.06 malam
14 Disember 2011

Saturday, December 3, 2011

Terus Melangkah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,




Alhamdulillah...

Memaksa diri untuk menulis setelah sekian lama meninggalkan blog ini memerlukan sebuah azam, tidak semudah ia dilontarkan dari lisan manusia.

Melangkah maju

Awal Muharram mendatangi kita sebagai tetamu juga pada tahun ini, sebuah bulan yang sering dikaitkan dengan hijrah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Di corong-corong masjid, dalam kuliah-kuliah serta slogan-slogan yang tertampal pasti akan dikaitkan dengan keagungan, kehebatan dan kemegahannya. Meskipun begitu, kedatangan bulan ini sama sekali tidak membawa apa-apa erti kepada golongan manusia pemalas!

Jika dirimu salah seorang daripada manusia pemalas, maka sebaiknya engkau fikir kembali apa, kenapa dan kemana engkau selepas ini. Mahu berjumpa dengan Rabbul 'Izzah dengan kepemalasanmu? Nah... Neraka itu terbentang luas. (Na'uzubillah)

Berubah

Mulakan perubahan pada dirimu dengan melazimi solat jemaah. Tanpanya hidupmu kucar kacir dengan masalah yang bertimbun, tiada ketenangan... Kenapa tidaknya apabila Allah telah menjanjikan ganjaran 27 darjat sebagai balasannya. Mengatur dirimu menjadi seorang muslim yang komited dengan waktu. Berubahlah dari lubuk hatimu dalam mencari redha Ilahi...

Akhir kalam...

اللهم إنى أعوذ بك من الهم والحزن.. وأعوذ بك من العجز والكسل وأعوذ بك الجبن والبخل وأعوذ بك غلبة الدين وقهر الرجال

Monday, September 5, 2011

Cita-cita vs. Angan-angan

Bismillahirrahmanirrahim






Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,




الحمد لله رب العالمين, حمدا شاكرين والعاقبة للمتقين, ولا عدوان إلا على الظالمين. والصلاة والسلام على من لا نبي بعده, وعلى آله وأصحابه أجمعين


Seringkali kita ditanya ketika kecil, mahu jadi apakah apabila membesar nanti? Iya, ia soalan yang tidak boleh lari pada zaman kanak-kanak. Ada yang menjawab mahu menjadi cikgu, doktor, pilot dan tidak kurang juga yang berkata mahu menjadi penyanyi, rockers serta sebagainya.


Namun, amat sedikit sekali yang menekankan akan kepentingan utama cita-cita ini. Islam tidak pernah menghalang seseorang untuk bercita-cita bahkan sebaliknya ia amat digalakkan. Tetapi, apakah bezanya cita-cita dan angan-angan? Jom kita perhatikan beberapa perkara! 






Cita-cita vs. Angan-angan


Firman Allah SWT :
ذَرْهُمْ يَأْكُلُواْ وَيَتَمَتَّعُواْ وَيُلْهِهِمُ الأَمَلُ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
"Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka)" - Surah Al-Hijr : 3


Firman Allah SWT juga :
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
"Setiap yang bernyawa (pasti) akan merasai kematian. Dan sesungguhnya pada hari qiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." - Surah Aali Imran : 185


Cita-cita menurut kamus dewan edisi keempat bermaksud :  harapan, hasrat, keinginan (yang kuat)


Manakala angan-angan pula bermaksud : ingatan, fikiran,  gambaran atau bayangan dalam fikiran, cita-cita dan niat.






Jadi, apabila kita memperhatikan dua perkara ini, dapat kita lihat bahawa cita-cita sebenarnya adalah sebahagian daripada angan-angan dan angan-angan itu lebih umum dan luas daripada cita-cita. 


Panjangnya angan-angan merupakan tanda cintanya seseorang kepada dunia serta lalainya daripada mengingati akhirat. 

Apa bezanya angan-angan dengan cita-cita? Cita-cita ialah suatu yang kita impikan dan kita berusaha keras untuk mencapainya. Berbeza dengan angan-angan, yang mana ia merupakan impian yang tidak berpenhujung dan tidak ada usaha untuk melaksanakannya.

Lihat sahaja kisah Mat Jenin, berangan sepanjang masa dan ketika sehingga akhirnya mati tanpa ke mana. Maka, cukuplah kita kisah tersebut sebagai peringatan, diciptanya manusia bukan untuk berangan kerana penciptaan kita bermatlamat.

Matlamatnya ialah untuk beribadat kepada Allah SWT, tidak ada masa untuk sentiasa berangan, oleh itu Islam mengajar kita untuk bercita-cita. Di sebalik cita-cita itu terselit satu usaha yang mesti digarap, di sana juga adanya kepentingan bercita-cita. Manusia yang tanpa cita-cita tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang besar.



Angan-angan, Cita-cita dan Kematian

Orang yang berangan tidak akan pernah puas sehingga maut menjemputnya, akan tetapi manusia yang bercita-cita akan berpuas hati ketika maut mendatangi kerana dia telah berusaha. Memahami konsep Qadha' dan Qadar Allah SWT, ia bukan suatu yang mudah dan senang namun ia menjadi suatu ketenangan apabila kita mengenangkan kalimatullah yang berbunyi :

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ
Maksudnya : "Apabila kamu telah berazam (melakukannya) maka bertawakkallah kepada Allah." Surah Aali Imran : 159

Akhir kalam, kenangkan usahamu dengan firman Allah yang berbunyi :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

 
Moga kita menjadi ummat yang bercita-cita menegakkan Islam dan bukan Mat Jenin! Wassalam.

Saturday, August 13, 2011

Salam Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Tuhan Sekalian Alam yang mempertemukan aku dan Ramadhan pada kali ini. Sungguh hamba ini punyai sekian banyak dosa, sekian banyak masalah, sekian banyak aduan... Kepada-Mu tempat segala pergantungan dan pertolongan yang hakiki. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, selawat yang memberikan cahaya, menghilangkan kegelapan... Semoga kami dianugerahkan oleh Allah SWT akan syafaat baginda yang sentiasa diidam-idamkan sekalian ummat manusia.

Ramadhan tahun ini jatuh pada musim soifi, musim yang mana dikenali dengan kepanasannya, meskipun demikian ia bukan penyebab kepada keluhan kita kerana di sana pasti ada negara yang jauh lebih panas daripada bumi Jordan ini, tidak lupa juga kepanasan di akhirat sana. Matahari yang hanya sejengkal dari temperung kepala, lautan peluh manusia yang membanjiri, serta hisab yang menjadi penentu syurga dan neraka, maka apalah dunia ini? Tidak lebih daripada sebelah sayap seekor nyamuk sahaja.

Lama tidak mencoretkan kata dan perasaan, rindu untuk menulis tetapi seringkali terfikir akan tugas yang semakin bertambah. Wahai diri, bilakah mahu berubah ke arah yang lebih baik? Mengatur masa dan mendisiplinkan diri dengan sebaiknya? Seringkali kau dengari bahawa tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa, maka apakah sebab masih berlengah? Nah... paksakan dirimu demi hari yang cemerlang.

Dipilih memikul amanah sebagai Presiden, bukan suatu tugas yang mudah. Mungkin dahulu, tidak terlalu terasa bahananya kerana masih di bawah, namun sekarang bukan lagi fatrah merasa, tetapi fatrah melaksana. Pemimpin-pemimpin yang hebat, sudah tentu mereka terlebih dahulu hebat dalam pengurusan diri, masakan pemimpin yang hebat daripada orang yang tunggang langgang dirinya. Manfaatkanlah masa sebaik-baiknya, kurangkan tidur, banyakkan berfikir untuk ummat dan bekerja, ikhlaskan niat, jauhi maksiat, tingkatkan amalan.

Entah bila dan bagaimana, kalau sebelum ini, mood belajar itu kunantikan tapi sekarang mood belajar itu harus kucipta dan datangkan (baru menyedari kesusahannya dan kepentingannya)... sedarlah diri engkau tidak punya masa untuk berlengah. Exam nihaie sudah dekat menghampiri, seminggu lagi sebelum ia menerjah tiba, carilah masa, carilah peluang, carilah nilai pada satu saat yang berlalu agar mampu dimanfaatkan.

Oh Ramadhan, jangan kau tinggalkan daku sebelum sempatku mendapat pengampunan dari Allah Tuhan Yang Esa.


Ramadhan Kareem.... Allahu akram

Wednesday, July 6, 2011

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا 3

Bismillahirrahmanirrahim...



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar sahabat kekasih Allah yang dirahmati sekalian, moga sentiasa mendapat keberkatan pada bulan yang mulia ini.

Hari terakhir di Mekah, ku mengkhatamkan Al-Quran selepas Subuh, mengakhirinya dengan solat sunat Dhuha kemudian memanjatkan doa kepada Allah SWT, meminta pertolongan kepada-Nya. Menangisi dosa dan kesilapan diri, mengadu akan kelemahan serta kekurangan.

Keluar daripada Masjidil Haram lebih kurang jam 8 pagi, terdetik di hati untuk membeli sebuah Al-Quran kecil menggantikan Al-Quran yang digunakan sebelum ini kerana kudapati padanya ada sedikit kecelaruan dari segi pencetakan.

Akhirnya menjumpai sebuah mushaf dengan harga SAR25, ku lalu membelinya, tatkala masih bergembira kerana mendapat mushaf baru kudiketemukan dengan seorang pak cik sewaktu hendak keluar daripada pusat membeli-belah tersebut.

Pakaiannya seperti pakaian orang ramai (lebih kepada pakaian Pakistan), datang memberi salam kepadaku kemudian meminta sebuah Al-Quran daripadaku. Mungkin kerana dia melihat di tanganku terdapat 2 buah Al-Quran lalu dimintanya salah satu daripadaku. Teragak-agak untuk memberikan salah satu Al-Quran kepadanya, alangkah tidak eloknya untuk memberikan sebuah Al-Quran yang lama serta mengandungi kekeliruan cetakan tersebut, namun berat juga di hati untuk memberikan Al-Quran yang baru sahaja dibeli. Ku berkata tidak dan berlalu pergi meninggalkan pak cik itu di belakang.




Dalam perjalanan pulang ke hotel (separuh jalan), bertalu-talu ku memikirkan akan perbuatanku tadi, betulkah apa yang kulakukan? Mengapa hati masih lagi sombong untuk mengikut contoh teladan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Beliau shallallahu 'alaihi wasallam mampu memberikan hadiah yang baru sahaja diterimanya kepada orang yang meminta tanpa menzahirkan sedikitpun keraguan. Terfikir juga di dalam fikiran, adakah orang yang meminta Al-Quran di kawasan Masjidil Haram ini? Seolah suatu yang agak ganjil seseorang meminta Al-Quran di sini, adakah ini ujian pertama Allah terhadap doaku sebentar tadi?

Oleh yang demikian, diri diliputi rasa bersalah ku tekad untuk kembali kepada pak cik itu, berniat untuk mensedekahkan Al-Quran yang baru sahaja kubeli kepadanya, ku mencarinya di tempat pertemuanku dengannya. Ahh... dia tiada, ke mana dia pergi? Bisik hati kecil. Ku masuk ke dalam pusat membeli belah tempat ku membeli Al-Quran, terkial-kial mencari pak cik itu, ke manakah kamu wahai pak cik? Maafkan aku ya Allah atas sikapku yang angkuh, kini ku sedar bahawa ianya ujian dari-Mu. Adakah dia si manusia, malaikat atau syaitan yang Kau utuskan kepadaku untuk menguji diri ini?

Ya Allah... setelah puas menggeledah bangunan tersebut, kelibatnya tidak juga kutemui, dalam hati tidak putus-putus memohon keampunan daripada Allah SWT, namun kupulang dengan hampa, tidak dapat menemui pak cik tersebut buat kali keduanya. Sungguh peluang itu kadang hanya datang sekali sahaja... Ku pulang ke hotel dengan seribu satu rasa bersalah di hati, tidak tahu di mana lagi hendak mencarinya dalam ribuan manusia yang sarat di sini. Hati kecilku berharap biarpun perbuatanku tidak sampai kepada maksudnya pohon agar ia diterima oleh Allah SWT.

Itulah hari terakhir kami di Mekah pada umrah kali ini, kami bertolak ke Madinah sejurus selepas solat Jumaat, dalam perjalanan ke Madinati Rasulillah shallallahu 'alaihi wasallam, ku melihat keadaan sekeliling, cuba untuk mengambil ibrah daripada hijrah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perjalanan yang mengambil masa 5 jam itu dipenuhi bukit-bukau, batu-batu kehitaman, padang pasir serta ribut pasir. Sungguh ia adalah perjalanan yang menguji kesabaran andai kita memahami keadaan sebenarnya perjalanan hijrah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam itu.

Kami sampai di bumi Madinah mendekati jam 9 malam, kemudian berpusing-pusing mencari hotel, sesampainya di hotel bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi, ingin menunaikan solat Isyak jama' ta'khir dan menyampaikan salam rindu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar dan Umar radhiallahu 'anhuma. Kusampaikan salam semua yang mengirimkan salam kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semoga Allah memberikan kepada kami syafaat daripada nabi-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam di akhirat kelak.

Tidak ingin untuk mengulas panjang akan permusafiran kami di Madinah kerana ianya dalam jangka masa yang amat singkat. Oleh yang itu, ku akhiri dahulu kalamku pada post kali ini, semoga apa sahaja yang tercatat di dalam blog ini mampu di ambil istifadahnya terhadap kita semua. Taqabbalallahu minna wa minkum 'ibadah solihah. Wassalam...

 Selamat menyambut Ramadhan...
Allahumma ballighna Ramadhan
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters