Wednesday, June 22, 2011

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا 2

Bismillahirrahmanirrahim...



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sekalian pengunjung yang dirahmati Allah, mohon maaf di atas ketergantungan post sebelum ini. Rupanya ada yang menunggu post seterusnya, semoga sentiasa diberkati dan dilimpahkan nikmat kurnia di sisi-Nya.

Ok... sambung pengalaman menunaikan umrah kali ini...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam kerana memberikan kepadaku nikmat untuk merasai keadaan berpuasa di sana. Sungguh berpuasa di sana amat menguji kekuatan fizikal dan memperkukuhkan kekuatan mental.

Semasa berbuka, terasa satu kenikmatan yang lain, seolah bulan Ramadhan sudah pun tiba, manusia menunggu waktu maghrib dengan riangnya, mengisinya dengan memperbanyakkan ibadah, kemudian bersama menghidangkan buah tamar, fresh cream, tohinah dan teh yang pedas (tak tahu namanya) yang dibawa dari rumah mereka dan yang disedekahkan oleh seseorang. Baru kuketahui rupanya buah tamar juga sedap dimakan dengan fresh cream dan tohinah (sekali tengok tohinah macam madu pun ada).

Keberadaanku di sana lebih banyak ku luangkan berdekatan Babul Umrah, suka ke sana meskipun sedikit jauh daripada pintu-pintu lain yang semestinya lebih dekat dengan hotel sehinggakan apabila hendak bertolak ke Madinah, semua sahabat dan doktor bertanya kepadaku, aku tidak nampakpun kamu di Masjidil Haram sepanjang kita di sini, di mana kamu duduk? Ku hanya mampu tersenyum sambil berkata aku ada di Babul Umrah. Entahlah, hati sudah terikat di sana, sanggup meredah panasnya mentari dan lautan manusia untuk ke sana.

Panas terik pada tahun ini tidaklah sepanas tahun-tahun lepas yang mana bahangnya terasa sampai ke tengah malam, di sana burung-burung merpati banyak berkeliaran mencari rezeki yang Allah telah tetapkan untuk mereka. Riang gembira dalam kenikmatan yang dianugerahkan. Sewaktu di sana juga kelihatan beratus-ratus bangsa melayu yang datang menunaikan umrah, mengunjungi rumah Allah ini. Dalam hati terbahagi dua, antara gembira dapat melihat mereka dan antara sedih dengan sikap mereka.

Sedih? Iya, sedih apabila merasakan mereka ini sombong, tidak bertegur siapa meskipun duduk bersebelahan, seolah mereka berkata, 'Kau kau, aku aku.' Sudah lama ku perhatikan keadaan ini, sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah lagi kusudah dapat merasai bahangnya, senyuman yang kita lontarkan dibalas dengan raut wajah yang hambar. Berbezakah kita di sini? Masih mahu menyombongkan diri lagikah kita di sini? Ummah Islam bukannya ulung pada datang menziarahi kaabah! Ummat Islam ulung pada akhlaknya dan 'aqidahnya. Nescaya kerana apa engkau masih mahu menyombongkan diri?



Namun yang demikian, aku cukup menghargai mereka yang membalas senyuman dengan senyuman meskipun tidak bertegur siapa, sesungguhnya mereka telah memberikan sedekah yang berbekas di hati ini. Apatahlagi jika mereka bertanyakan khabar, tidak akan kulupakan mereka dan semoga mereka mendapat ganjaran di sisi Allah.

Salah satu perkara yang suka kusebutkan ialah tentang perlakuan orang Iran yang bertandang ke sini, bukanlah bermaksud untuk mencela atau memuji, sekadar perkongsian bersama. Tahukah kalian apakah yang mereka lakukan setelah memasuki Masjidil Haram dan melihat kaabah? Mereka akan bersujud dan menangis (atau mungkin juga buat-buat menangis supaya menangis?), agaknya mereka mahu mempamerkan kerinduan dan kesyukuran mereka kepada Allah serta kerana diberi peluang untuk menziarahi rumah Allah ini. Tidak inginku bercakap panjang  mengenainya keranaku tidak mengetahui hal sebenar mereka.

Cuma, satu kisah yang diceritakan kepada oleh saudara Hasif Syazan ketika di Masjid Nabawi, pergaduhan antara sunni dan syi'i (sebenarnya tidak sesuai untuk dinisbahkan demikian kepada mereka). Ceritanya bermula apabila seorang yang mendakwa dirinya sunni telah mempertikaikan beberapa perkara tentang syi'ah di hadapan seorang syi'i sedangkan ilmunya hanya seciput dan dalam kurangnya adab. Lalu terjadilah pertelingkahan mulut yang mana telah meriuhkan masjid.

Apa yang kucuba bangkitkan di sini ialah berkenaan sikap juga, ingin ku berkata kepada orang yang menggelarkan dirinya sebagai sunni itu bahawa dia telah terkeluar daripada apa yang dia perkatakan. Di mana sikap seorang sunni dan muslim? Adakah dengan sikapmu itu kamu mahu menunjukkan bahawa sunni itu orang yang suka mencari gaduh? Juga amat malu bagimu yang menggelarkan diri sebagai sunni apabila tidak mampu menjawab 10 nama sahabat ketika ditanya akannya. Wahai saudara, iya dakwah itu berlaku di mana-mana, tetapi jangan lupa akan ilmu dan adab. Lupakah akan ayat Al-Quran yang kalian baca, yakni ayat 19 daripada Surah Muhammad yang berbunyi :


Cuba perhatikan, Allah SWT mengarahkan kita untuk 'tahu' bahawa Tiada Tuhan selain Allah. Tahu ini datang dengan kita mempunyai ilmu, jika tiada ilmu apakah pendirianmu? Bagaimanakah engkau mahu memperkukuhkan dakwaanmu jika tiada ilmu? Bagaimana engkau mahu mengatakan bahawa alam ini adalah kepunyaan Allah sedangkan engkau jahil akan alam ini, tidak pernah berfikir akan kejadian alam, tidak pernah memerhatikan penciptaan matahari, bulan, bintang dan lain-lain?



Juga ayat 125 daripada Surah An-Nahl, firman Allah :


Fikir-fikirkan...

Ingin ku akhiri post pada kali ini dengan dua buah ayat yang menyentuh hatiku sewaktu membacanya di Masjidil Haram, ayat tersebut ialah ayat ke 39 - 40 daripada Surah An-Nur :


Firman Allah (yang bermaksud) : (39) Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya. (40) Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang bertindih-tindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.


Insya-Allah post akan datang akan menceritakan detik diri diuji, Allahul musta'an... Semoga bermanfaat, wassalam.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters