Shaf kanak-kanak
PANDUAN SAF KANAK-KANAK BERDASARKAN KEPADA HADIS-HADIS
Muhammad Hanief Awang Yahaya,
Adakah kedudukan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa, atau mereka tidak perlu diletakkan di saf yang berasingan. Menjawab persoalan ini marilah kita merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah s.a.w.
Hadis yang pertama, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 822)
عن أنس بن مالك:
أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين.
“Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”
Hadis kedua juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 823):
عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال:
أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يومئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، فنزلت وأرسلت الأتان ترتع، ودخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي أحد.
Daripada Ibn Abbas katanya: “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya ,melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya.
Kedua-dua hadis ini, Imam al-Bukhari memasukkan di bawah tajuk:
باب: وضوء الصبيان، ومتى يجب عليهم الغسل والطهور، وحضورهم الجماعة والعيدين والجنائز، وصفوفهم.
Bab: Wuduk kanak-kanak, bilakah mereka wajib mandi dan bersuci, kehadiran mereka untuk sembahyang berjemaah, sembahyang hari raya dan jenazah dan bagaimana saf-saf mereka.
Daripada riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh al-Bukhari dalam bab ini tidak didapati ada saf yang khusus untuk kanak-kanak. Ini bererti Imam al-Bukhari berpendapat kanak-kanak tidak perlu diasingkan daripada saf orang dewasa.
Rasulullah s.a.w. membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan kebersihan ( atau kenajisan ) kanak-kanak itu sembahyang Anas menjadi tidak sah tentu baginda akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.
Begitu juga dalam hadis yang kedua, sahabat-sahabat tidak menegah Ibn Abbas menyertai saf itu dengan alasan beliau masih kecil. Ini menunjukkan bahawa menjadi amalan masyarakat pada ketika itu kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.
Hadis yang pertama itu juga diriwayatkan al-Tirmizi (nombor 234) dan beliau memberikan ulasannya:
قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَنَسٍ صَحيحٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهلِ العِلمِ، قَالُوا: إِذَا كَانَ مَعَ الإِمَامِ رَجُلٌ وَامْرَأَةٌ، قَامَ الرَّجُلُ عَن يَمينِ الإِمَامِ وَالمَرْأَةُ خَلْفَهُمَا، وَقَدْ احْتَجَّ بَعْضُ النَّاسِ بِهَذَا الحَدِيثِ في إِجَازَةِ الصَّلاَةِ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ، وَقَالُوا: إِنَّ الصَّبيِّ لَمْ تَكُن لَهُ صَلاَةٌ، وَكَانَ أَنَسٌ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحْدَهُ، وَلَيْسَ الأَمرُ عَلَى مَا ذَهْبُوا إِلَيهِ لأَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَهُ مَعَ اليَتيمِ خَلْفَهُ، فَلَوْلاَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِليَتِيمِ صَلاَة، لَمَا أَقَامَ اليَتِيمَ مَعَهُ وَلاَ أَقَامَهُ عَن يَمِينِهِ.
“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadis Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadis ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w. menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang baginda. Andai kata baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas).”
Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang lain. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.
Dalam mensyarahkan hadis ini, Abdul Rahman al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)
Walaubagaimanapun, dalam keadan ramai makmun atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 432):
عن أبي مسعود. قال:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح منا كبنا في الصلاة ويقول “استووا ولا تختلفوا. فتختلف قلوبكم. ليلني منكم أولو الأحلام والنهى. ثم الذين يلونهم. ثم الذين يلونهم” قال أبو مسعود: فأنتم اليوم أشد اختلافا.
“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka.”
Sudah tiba masanya masyarakat untuk berubah dan kembali kepada petunjuk hadis terutama sekali pihak pengurusan masjid. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, gangguan yang berlaku di masjid pada ketika sembahyang Jumaat. Kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana khutbah Jumaat hingar-bingar. Apa yang menyedihkan lagi dan membimbangkan ialah dalam suasana yang tidak terkawal itu ada yang tidak bersembahyang langsung.
Kesimpulannya, dengan meletakkan kanak-kanak di dalam saf iaitu bapa berada bersama-bersama dengannya anaknya, maka anak berada di bawah jagaannya dan keadaan akan terkawal. Selain itu, secara tidak langsung akan mendidik anak-anak cara-cara hidup bermasyarakat kerana dapat berinteraksi dengan semua lapisan umur.
darulkautsar
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
4 days ago