Saturday, December 19, 2009

FiQh IsLamI



Makna Fiqh dari segi bahasa : Kefahaman


Makna Fiqh dari seg istilah tertakluk kepada :

1. Pengetahuan tentang hukum-hukum yang disyariatkan yang berkaitan dengan perbuatan-perbuatan mukallaf serta kata-kata mereka, yang diperolehi daripada dalil-dalil tafsiliyyah (nas-nas Al-Quran, sunnah, dan pecahannya serta ijma' dan ijtihad.)

2. Hukum-hukum yang disyariatkan itu sendiri.




Kelebihan Fiqh Islam :

1. Berhubung kait dengan aqidah Islam.

2. Fiqh Islam meliputi semua apa yang dihajati oleh manusia.

3. Fiqh Islam mengambil kira akan kemudahan serta mengetepikan kesusahan.



Sumber Fiqh Islam :

A. Al-Quran Al-Karim

B. Sunnah Nabi Muhammad shallallahu wasallam yang mulia.

C. Ijma' (Kesepakatan setiap ulama' yang mujtahid daripada ummat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam pada masa-masa tertentu terhadap hukum syar'i.)

D. Qiyas (Mengaitkan sesuatu perkara yang tiada padanya hukum syar'i dengan perkara lain yang mempunyai hukum syar'i kerana kesamaan sebab antara keduanya.)



Pengenalan Tentang Sebahagian Istilah-istilah Fiqh :


1. Fardhu (الفرض) : Ia adalah apa yang dituntut oleh syara' melakukannya dengan tuntutan yang mesti (wajib), diberikan ke atas orang yang melakukannya pahala dan kepada yang meninggalkannya dosa.


2. Wajib (الواجب) : (Mengikut mazhab Imam Syafi'i, takrif wajib sama seperti takrif fardhu, tidak ada perbezaan antara kedua-duanya kecuali di dalam bab Haji.)

- Maksud Wajib dalam bab Haji (Mengikut mazhab Imam Syafi'i) :
Sesuatu yang tidak menghalang daripada sahnya haji, iaitu jika tidak melakukannya tidak membawa kepada gugur dan batalnya haji.

- Maksud Fardhu dalam bab Haji (Mengikur mazhab Imam Syafi'i) :
Sesuatu yang menghalang daripada sahnya haji, iaitu jika tidak melakukannya membawa kepada gugur dan batanlnya Haji.


3. Fardhu 'Ain (الفرض العيني) : Apa yang dituntut melakukannya ke atas setiap orang daripada mukallaf (orang yang sudah boleh memikul tanggungjawab) dengan erti kata tuntutan yang mesti (wajib)

Mesti dilakukan oleh setiap mukallaf dan tdak mencukupi dengan hanya sebagian sahaja yang mendirikannya.

Contoh : Solat Fardhu, Puasa Ramadhan dan lain-lain.


4. Fardhu Kifayah (الفرض الكفاءي) : Apa yang dituntut melakukannya ke atas hanya sebahagian kaum muslimin, dan bukan ke atas setiap orang daripada mereka.

Yakni jika sebahagian kaum muslimin telah melakukannya maka ia telah mencukupi, dan gugurlah dosa ke atas orang yang tidak melakukannya. Adapun jika tiada orang melaksanakannya maka berdosalah keseluruhan mereka.

Contoh : Memandikan jenazah, menyolatkannya, mengebumikannya dan lain-lain.


5. Rukun (ركن) : Apa yang wajib ke atas kita untuk melakukannya dan ia adalah termasuk sebahagian daripada isi perbuatan.

Contoh perbuatan : Solat, maka termasuk dalam isi solat ialah membaca Surah Al-Fatihah, ruku', sujud dan lain-lain.


6. Syarat (شرط) : Apa yang wajib ke atas kita melakukannya, akan tetapi ia bukan termasuk daripada isi perbuatan tersebut bahkan ia adalah permulaan (muqaddimah) kepada perbuatan tersebut.

Contoh permulaan perbuatan : Wudhuk untuk solat, menghadap qiblat untuk solat dan lain-lain.


7. Mandub (Sunat / مندوب) : Apa yang dituntut oleh syara' melakukannya tetapi bukan dengan tuntutan yang mesti (wajib), ke atas mereka yang melakukannya pahala dan tiada dosa ke atas mereka yang meninggalkannya.

Contoh : Solat Dhuha, Qiyamullail dan lain-lain.


8. Mubah (Harus / مباح) : Apa yang jika dilakukan ataupun tidak sama sahaja, kerana syara' tidak menyuruj kita meninggalkannya dan juga tidak menyuruh kita melakukannya.


9. Haram (حرام) : Apa yang dituntut oleh syara' meninggalkannya dengan tuntutan mesti (wajib), dikenakan ke atas mereka yang meninggalkannya kerana Allah pahala dan ke atas mereka yang melakukannya dosa.

Contoh : Membunuh, berzina dan lain-lain.


10. Makruh (مكروه) :

- Makruh yang mendekati Haram : Apa yang dituntut oleh syara' meninggalkannya dengan tuntutan yang mesti tetapi bukan sepertimana kemestian ke atas perkara yang Haram. Ke atas mereka yang meninggalkannya kerana Allah pahala dan ke atas mereka yang melakukannya dosa (juga tidak sepertimana dosa ke atas orang yang melakukan perkara Haram.)

Contoh : Solat sunat biasa ketika terbenamnya matahari.

- Makruh tanzihi : Apa yang dituntut oleh syara' meninggalkannya dengan tuntutan yang tidak wajib, ke atas mereka yang meninggalkannya kerana Allah pahala dan tiada dosa ke atas mereka yang melakukannya.

Contoh : Berpuasa pada hari 'Arafah bagi orang yang menunaikan haji.


11. Ada' (Pelaksanaan / الأداء) : Ia adalah mendirikan ibadah di dalam waktunya yang terhad menurut syara'

Contoh : Berpuasa Ramadha di bulan Ramadhan, solat zohor di dalam waktunya yang terhad mengikut syara' dan lain-lain.


12. Qadha' (قضاء) : Ia adalah melakukan ibadah yang diwajibkan di luar waktu yang ditetapkan oleh syara'.

Ia adalah wajib sama ada terlepasnya ibadah tersebut kerana suatu keuzuran ataupun tanpa sebaran keuzuran. Adapun perbezaan antara keduanya ialah, jika meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran maka ke atas pelakunya itu dosa, dan jika meninggalkannya kerana suatu keuzuran maka tiada dosa ke atasnya.

Contoh : Menunaikan solat zohor di luar waktunya kerana terlupa (lupa itu salah satu keuzuran).


13. I'adah (Pengulangan / الإعادة) : Ia adalah melakukan ibadah di dalam waktunya buat kedua kalinya untuk menambah fadhilat.

Contoh : Seseorang yang mendirikan solat zohor secara bersendirian, kemudian setelah selesai ia menunaikannya datang jemaah mendirikan solat zohor secara berjemaah. Maka disunatkan ke atasnyan mengulagi solatnya itu tadi bersama mereka untuk mendapat pahala berjemaah. Solat zohornya yang pertama itu dikira wajib manakala solat zohornya buat kali yang kedua itu dikira sunat.


* Fiqhul Munjib.

Tuesday, December 1, 2009

Secebis Kenangan

Hari ini, 30 November 2009, pihak Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan (KMKJ) telah menganjurkan satu program sempena Hari Raya Aidil Adha. Semua anak-anak Kelantan berkumpul walaupun ada segelintir yang tidak dapat hadir. Apapun diucapkan tahniah kepada pihak ajk yang bertungkus-lumus untuk menjayakan program.

Sebenarnya ana masih lagi dilema sama ada nak pergi ataupun tidak ke program ini oleh kerana Encik Arman turut menjemput kami ahli Persatuan Penuntut Malaysia Amman Jordan (PPMA) untuk beraya di rumahnya. Keinginan untuk ke rumah Encik Arman juga turut meluap-luap kerana ana masih lagi belum pernah menjejakkan kaki di sana.

Keputusan dibuat saat-saat akhir (pagi tadi... hehe), jikalau tidak difikirkan salah faham yang timbul antara ahli kmkj di Amman dengan ajk kmkj tentu diri ini akan ke rumah Encik Arman. Maka, pada jam 9.00 pagi Jordan, ana bersiap-siap untuk bertolak ke mafraq (ke majlis raya KMKJ).

Dek kasihan kepada ajk KMKJ, sampailah ana di tempat program pada jam 10.30pagi. Kelihatan sahabatku di MTAQ, Abdul Halim dan beberapa orang ahli KMKJ berada di depan pintu. Ana bersalaman dengannya, bertanya khabar serta bergurau senda. Kebetulan saat tibanya ana di tempat program adalah pada ucapan perasmian oleh Tuan Haji Sulaiman, Pengarah MSD.

Apabila masuk je ke dalam dewan semua mata tertumpu kepada ana, Ustaz Sulaiman memperkenalkan ana kepada sekalian ahli KMKJ secara tiba-tiba (tu la... datang lewat lagi... hehe).

Perkara yang paling menggembirakan diriku ialah dapat berjumpa dengan sekalian pelajar MTAQ yang kini sedang menuntut di Jordan. Sungguhku rindu untuk bertemu dengan mereka, rindu dengan ukhuwah yang terbina, walaupun dahulu kami adalah musuh no satu semasa di MTAQ (hehe.. sebahagian je, bukan semua). Kami bermaafan dan melemparkan senyuman sesama sendiri, teringat kepada kesilapan yang telah dilakukan mohon agar ia dimaafkan.

Barakallahu fiikum, uhibbukum fillah... :D

Sunday, November 29, 2009

Benci dan Sakit Hati

Benci dan sakit hati melihat blog-blog pelampau agama, salafi dengan salafinya, sufi dengan sufinya, wahabi dengan wahabinya, golongan pondok dan lain-lain.

Ana dulu adalah tergolong dalam kalangan mereka yang ekstrim salafi, tetapi kesedaran mula menepuk hati. Bukankah Islam itu senang dan menyenangkan. Kenapa harus kafir-mengkafir? Kenapa harus mencari aib orang lain? Kenapa harus memecah-belahkan ummat?

Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua, terfikir juga di dalam hati, adakah begini pandangan orang terhadapku semasa diri ini dalam kejahilan? Ana pohon agar perkara tersebut dijauhkan daripada diriku.

Entah kenapa, tiap kali membuka blog pelampau agama ni, terasa satu kesedihan dan satu kebencian terhadap mereka, walaubagaimanapun hati ini masih meronta agar mereka mendapat hidayah supaya tidak jumud.

Terlintas di fikiranku akan tulisan Ustaz Hasrizal di dalam blognya, adakah kita hendak membakar sesuatu buku hanya kerana ada perkara yang kita tidak setuju dengannya? Tidak, buku bukanlah untuk dibakar meskipun penuh dengan seribu satu dusta jikalau di dalam ada cahaya dan hikmah. Begitulah juga sepatutnya pandangan kita kepada manusia dan pendapat mereka. Jangan menghukum dengan hukuman mutlak kerana ianya hanya milik Allah semata.

Huhu...

Ya Allah, hati ini meronta meminta petunjuk dan hidayah dari-Mu...

Thursday, November 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada ummi, ayah, adik-beradikku, nenek, sahabat-sahabat, ustaz-ustaz, dan semua yang mengenali diri ini serta tak lupa kepada pembaca blog ini.

Maaf di atas segala salah dan silap, doakan ana di sini. Barakallahu fiikum.

Thursday, November 19, 2009

Dalamnya itu Lebih Pahit daripada Luaran

Assalamualaikum wbt,

Manusia ni memang banyak silapnya, ada kesilapan yang kita sedar dan ada yang kita tak sedar. Kita hidup bersahabat, lagilah banyak kesilapan yang kita tidak sedari. Kesilapan yang ditegur oleh sahabat kita walaupun sebenarnya amat pahit sebenarnya ubat yang menyembuhkan walaupun bukan dengan sekelip mata.

Pada hari ini ana ada menegur salah seorang sahabat ana dek kerana kesilapannya, sebagai balasannya Allah turut mendetikkan hati sahabat tersebut untuk menegur ana atas kesilapan yang ana lakukan. Sahabat, maaf di atas segala salah dan silap yang ku tidak sedari ataupun yang ku tidak sengaja lakukannya. Jauh sekali niat di hati untuk melukakan hati sesiapa bahkan dirikulah yang paling layak ditegur.

Oleh kerana itu, maaflah diri ini, nasihatilah diri ini sebagaimana engkau nasihati orang yang kau sayangi. Insya-Allah, ana akan cuba memperbaiki diri sendiri dengan bantuan sahabat-sahabat semua. Lastly, maaf di atas kekasaran bahasa yang ku gunakan semasa ber-chating, sms dan seumpamanya kerana ana masih lagi lemah dalam menggunakan bahasa yang sesuai. Akanku ubah secara perlahan-lahan, insya-Allah. Doakanku.

Barakallahu fiikum...


1736pm, 19 Dis 2009
Wan Abdul Baith Izzuddin

Wednesday, November 18, 2009

Khairal Bariyyah

Assalamualaikum wbt,

Selawat Pictures, Images and Photos

Post kali ini hanya untuk share sebuah nasyid yang menggamit qalbu, cubalah hayati dan teliti isi kandungannya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.


Tuesday, November 17, 2009

Jadilah Kamu di Dunia Umpama... (2)


Ia umpama seorang pelajar yang berusaha apabila gurunya berkata : 'Nanti akan diadakan satu peperiksaan secara mengejut', maka pelajar yang gigih berusaha akan datang ke kelasnya dalam keadaan dia telah siap sedia untuk menghadapi peperiksaan, adapun pelajar yang malas akan berkata : 'Moga-moga peperiksaan bukan pada minggu ini.' Oleh kerana itu dia tidak bersedia, maka jika datang kepadanya peperiksaan dia menyesal dan gagal dalam peperiksaannya.

Inilah makna kata-kata Ibnu Umar :

إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح, وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء,
وخذ من صحتك لمرضك, ومن حياتك لموتك

Benar; kesihatan itu tidak akan berterusan, begitu juga dengan kehidupan, oleh itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda : 'Ambillah 5 sebelum 5 : Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum faqir, masa lapangmu sebelum sibuk, dan masa hidupmu sebelum mati.' [shahih, dikeluarkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak] (atau sebagaimana sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam).

5. Sesungguhnya orang yang bermusafir melalui dalam perjalanannya tempat persinggahan yang mana ia perlu berhenti untuk mengisi bekalannya, jika tidak dia akan ketandusan di jalanan, sebegitulah sepatutnya Muslim, mesti mengisi bekalannya di tempat-tempat persinggahan ilmu dan majlis-majlis orang soleh.


Sebagaimana dia akan menempuh kesusahan dan kepayahan di jalan yang ia lalui, itulah ibarat bagi suatu permusafiran kerana ia sebahagian daripada azab, begitu orang-orang yang beriman mengharungi kesusahan dan kepayahan dalam perjalanannya menuju Allah, tidak akan berjaya kecuali dengan bersabar ke atas ketaatan, bersabar di atas maksiat, dan bersabar atas segala musibah. Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu meriwayatkan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda : 'Terlindungnya neraka dengan syahwat, terlindungnya syurga dengan perkara-perkara yang tidak disukai.' [Shahih Bukhari]


Demikianlah sentiasa matlamat yang tinggi dan kemuncak jalannya payah berduri, adapun jalan senang yang menyenangkan maka sesungguhnya ia bukan-bukan dan tidak memuliakan.
Tiada yang paling tinggi nilai dan paling mahal harganya kecuali syurga, maka kesusahan semasa mengharungi jalan tersebut berpatutan dengan tingginya matlamat itu; sesungguhnya ganjaran di sisi Allah itu sangat mahal, sesungguhnya ganjaran di sisi Allah itu ialah SYURGA.



Diedit dan dipetik dari :

Al-Hadyun Nabawi fir Raqaaiq, Ustaz Doktor Syaraf Qudhoh, terbitan Darul Furqan, Jamiah Urduniyyah-Kuliyyah Syariah.

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters