Makna Fiqh dari segi bahasa : Kefahaman
Makna Fiqh dari seg istilah tertakluk kepada :
1. Pengetahuan tentang hukum-hukum yang disyariatkan yang berkaitan dengan perbuatan-perbuatan mukallaf serta kata-kata mereka, yang diperolehi daripada dalil-dalil tafsiliyyah (nas-nas Al-Quran, sunnah, dan pecahannya serta ijma' dan ijtihad.)
2. Hukum-hukum yang disyariatkan itu sendiri.
Kelebihan Fiqh Islam :
1. Berhubung kait dengan aqidah Islam.
2. Fiqh Islam meliputi semua apa yang dihajati oleh manusia.
3. Fiqh Islam mengambil kira akan kemudahan serta mengetepikan kesusahan.
Sumber Fiqh Islam :
A. Al-Quran Al-Karim
B. Sunnah Nabi Muhammad shallallahu wasallam yang mulia.
C. Ijma' (Kesepakatan setiap ulama' yang mujtahid daripada ummat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam pada masa-masa tertentu terhadap hukum syar'i.)
D. Qiyas (Mengaitkan sesuatu perkara yang tiada padanya hukum syar'i dengan perkara lain yang mempunyai hukum syar'i kerana kesamaan sebab antara keduanya.)
Pengenalan Tentang Sebahagian Istilah-istilah Fiqh :
1. Fardhu (الفرض) : Ia adalah apa yang dituntut oleh syara' melakukannya dengan tuntutan yang mesti (wajib), diberikan ke atas orang yang melakukannya pahala dan kepada yang meninggalkannya dosa.
2. Wajib (الواجب) : (Mengikut mazhab Imam Syafi'i, takrif wajib sama seperti takrif fardhu, tidak ada perbezaan antara kedua-duanya kecuali di dalam bab Haji.)
- Maksud Wajib dalam bab Haji (Mengikut mazhab Imam Syafi'i) :
Sesuatu yang tidak menghalang daripada sahnya haji, iaitu jika tidak melakukannya tidak membawa kepada gugur dan batalnya haji.
- Maksud Fardhu dalam bab Haji (Mengikur mazhab Imam Syafi'i) :
Sesuatu yang menghalang daripada sahnya haji, iaitu jika tidak melakukannya membawa kepada gugur dan batanlnya Haji.
3. Fardhu 'Ain (الفرض العيني) : Apa yang dituntut melakukannya ke atas setiap orang daripada mukallaf (orang yang sudah boleh memikul tanggungjawab) dengan erti kata tuntutan yang mesti (wajib)
Mesti dilakukan oleh setiap mukallaf dan tdak mencukupi dengan hanya sebagian sahaja yang mendirikannya.
Contoh : Solat Fardhu, Puasa Ramadhan dan lain-lain.
4. Fardhu Kifayah (الفرض الكفاءي) : Apa yang dituntut melakukannya ke atas hanya sebahagian kaum muslimin, dan bukan ke atas setiap orang daripada mereka.
Yakni jika sebahagian kaum muslimin telah melakukannya maka ia telah mencukupi, dan gugurlah dosa ke atas orang yang tidak melakukannya. Adapun jika tiada orang melaksanakannya maka berdosalah keseluruhan mereka.
Contoh : Memandikan jenazah, menyolatkannya, mengebumikannya dan lain-lain.
5. Rukun (ركن) : Apa yang wajib ke atas kita untuk melakukannya dan ia adalah termasuk sebahagian daripada isi perbuatan.
Contoh perbuatan : Solat, maka termasuk dalam isi solat ialah membaca Surah Al-Fatihah, ruku', sujud dan lain-lain.
6. Syarat (شرط) : Apa yang wajib ke atas kita melakukannya, akan tetapi ia bukan termasuk daripada isi perbuatan tersebut bahkan ia adalah permulaan (muqaddimah) kepada perbuatan tersebut.
Contoh permulaan perbuatan : Wudhuk untuk solat, menghadap qiblat untuk solat dan lain-lain.
7. Mandub (Sunat / مندوب) : Apa yang dituntut oleh syara' melakukannya tetapi bukan dengan tuntutan yang mesti (wajib), ke atas mereka yang melakukannya pahala dan tiada dosa ke atas mereka yang meninggalkannya.
Contoh : Solat Dhuha, Qiyamullail dan lain-lain.
8. Mubah (Harus / مباح) : Apa yang jika dilakukan ataupun tidak sama sahaja, kerana syara' tidak menyuruj kita meninggalkannya dan juga tidak menyuruh kita melakukannya.
9. Haram (حرام) : Apa yang dituntut oleh syara' meninggalkannya dengan tuntutan mesti (wajib), dikenakan ke atas mereka yang meninggalkannya kerana Allah pahala dan ke atas mereka yang melakukannya dosa.
Contoh : Membunuh, berzina dan lain-lain.
10. Makruh (مكروه) :
- Makruh yang mendekati Haram : Apa yang dituntut oleh syara' meninggalkannya dengan tuntutan yang mesti tetapi bukan sepertimana kemestian ke atas perkara yang Haram. Ke atas mereka yang meninggalkannya kerana Allah pahala dan ke atas mereka yang melakukannya dosa (juga tidak sepertimana dosa ke atas orang yang melakukan perkara Haram.)
Contoh : Solat sunat biasa ketika terbenamnya matahari.
- Makruh tanzihi : Apa yang dituntut oleh syara' meninggalkannya dengan tuntutan yang tidak wajib, ke atas mereka yang meninggalkannya kerana Allah pahala dan tiada dosa ke atas mereka yang melakukannya.
Contoh : Berpuasa pada hari 'Arafah bagi orang yang menunaikan haji.
11. Ada' (Pelaksanaan / الأداء) : Ia adalah mendirikan ibadah di dalam waktunya yang terhad menurut syara'
Contoh : Berpuasa Ramadha di bulan Ramadhan, solat zohor di dalam waktunya yang terhad mengikut syara' dan lain-lain.
12. Qadha' (قضاء) : Ia adalah melakukan ibadah yang diwajibkan di luar waktu yang ditetapkan oleh syara'.
Ia adalah wajib sama ada terlepasnya ibadah tersebut kerana suatu keuzuran ataupun tanpa sebaran keuzuran. Adapun perbezaan antara keduanya ialah, jika meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran maka ke atas pelakunya itu dosa, dan jika meninggalkannya kerana suatu keuzuran maka tiada dosa ke atasnya.
Contoh : Menunaikan solat zohor di luar waktunya kerana terlupa (lupa itu salah satu keuzuran).
13. I'adah (Pengulangan / الإعادة) : Ia adalah melakukan ibadah di dalam waktunya buat kedua kalinya untuk menambah fadhilat.
Contoh : Seseorang yang mendirikan solat zohor secara bersendirian, kemudian setelah selesai ia menunaikannya datang jemaah mendirikan solat zohor secara berjemaah. Maka disunatkan ke atasnyan mengulagi solatnya itu tadi bersama mereka untuk mendapat pahala berjemaah. Solat zohornya yang pertama itu dikira wajib manakala solat zohornya buat kali yang kedua itu dikira sunat.
* Fiqhul Munjib.
Saturday, December 19, 2009
12/19/2009 06:14:00 AM
FiQh IsLamI
Author:
Unknown
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wanabdbaith. Powered by Blogger.
0 comments:
Post a Comment