Tuesday, February 22, 2011

كيف عرفت الملائكة إفساد الخليفة وسفكه للدماء؟

Assalamualaikum wbt,


Apa khabar ustaz ustazah, tuan puan, abang kakak adik di luar sana. Semoga sentiasa sihat sejahtera, sihat budi pekerti, sihat ibadat, sihat hati dan jiwa. Jiwa yang gersang itu sungguh meloyakan dan menyeksakan.

Sudah sekian lama berhajat untuk menukar template blog ni, alhamdulillah hari ini tercapai juga. Tak cantik? Maaf, sebab tuan punya blog ini masih belum mahir dalam menggunakan Adobe Photoshop tambahan kebelakangan ini berhadapan dengan masalah. Ini pun dibuat selepas subuh tadi dan siap dekat jam 9 pagi. Huhu...

Hehe... Asif, keluar tajuk sekejap ye. Ok, kembali kepada tajuk.


Bagaimanakah malaikat mengetahui kerosakan yang akan dilakukan oleh 'Khalifah' serta menumpahkan darah?

Ketika Allah SWt mengkhabarkan kepada malaikat bahawa Dia akan menjadikan khalifah di atas muka bumi ini, malaikat berkata :


أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
"Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah?"


Para Ikhbariyyun dan Mufassirun telah memikirkan hal ini dengan begitu dalam untuk merungkaikannya serta mencari jawapan kepada soalan ini. Sebahagian daripada mereka ada yang merujuk kepada Israiliyyat dan dongengan-dongengan, lalu mengeluarkan anggapan batil. Dan tidaklah kami di sini berkehendak kepada israiliyyat tersebut kerana kami tidak melihat disebut sesuatu daripadanya akan tafsir kisah Al-Quran serta menyelesaikan masalah berkaitannya.


Sebahagian yang lain pula memberikan jawapan mengikut pandangan akal yang tiada dalil, bahkan hanyalah anggapan mereka semata. Yakni para malaikat bertanya kepada Allah SWT : 'Apa yang akan terjadi dengan khalifah itu?' Maka dijawab : Sesungguhnya dia akan melakukan kerosakan di atas muka bumi dan menumpahkan darah! Oleh kerana itu malaikat berkata : 'Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah?'

Pendapat di atas boleh diterima oleh akal, diterima jika terdapat padanya dalil daripada ayat Al-Quran yang jelas atau hadith yang shahih. Akan tetapi tiada padanya dalil, jadi kami tidak menggunakan hujah tersebut.






Maka untuk jawapan bagi soalan ini, kami katakan : Malaikat menjangkakan hal sedemikian dengan firasat dan jauhnya penglihatan mereka serta dalamnya penelitian mereka!


Mereka melihat peringkat-peringkat penciptaan Adam yang mana daripada tanah dan tanah liat, mereka meneliti tabiat unsur tanah bumi ini, khalifah ini yang dicipta daripada tanah akan terkesan dengannya, akan berpaut dengan bumi dan tanah, oleh yang demikian mereka akan melakukan kerosakan di bumi dan menumpahkan darah!


Mereka meneliti hal ini dengan firasat cahaya iman mereka, kerana itu mereka bertanya dengan jangkaan akan berlaku sedemikian. Iaitu : Engkau mencipta khalifah ini daripada tanah, dan dia akan mendapat kesan darinya, akan melakukan kerosakan di bumi dan menumpahkan darah.


Dan firasat mereka itu benar, disebabkan yang demikian Allah tidak mengatakan mereka salah dalam soalan mereka itu, bahkan Allah membenarkannya serta berkata kepada mereka :


إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

Yakni : Aku mengetahui bahawa khalifah ini akan melakukan kerosakan di atas muka bumi, akan menumpahkan darah, akan tetapi hanyalah dia seorang yang mampu menjadi khalifah di bumi walaupun demikian!!

Siapakah yang dimaksudkan dengan kata malaikat :


أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ

Adakah dia Adam? Adakah Adam yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah?

Maksudnya ialah (manusia) khalifah secara umum, dan bukanlah manusia yang khusus akan dirinya, oleh itu bukanlah Adam yang dimaksudkan kerana dia akan menjadi nabi, dan tidaklah nabi itu melakukan kerosakan di bumi dan tidak juga menumpahkan darah! (Manusia) Khalifah dengan erti jenisnya itulah yang akan merosak dan menumpahkan darah, dan ini meliputi manusia yang ramai dengan pelbagai individu. Berapa banyak jelasnya kerosakan atas bumi yang dilakukan oleh manusia! Berapa banyak pertumpahan darah daripada mereka!

Tidak perlu untuk kita pergi dengan lebih jauh, anak Adam 'alaihissalam adalah orang pertama yang melakukan kerosakan di bumi, menumpahkan darah dengan membunuh menzalimi saudaranya, melakukan jenayah bunuh pertama yang berlaku atas muka bumi, Allah SWT telah menceritakan kisah dua orang anak Adam itu di dalam ayat Surah Al-Maidah [27-31], oleh itu benarlah firasat malaikat dan betullah jangkaan mereka!






وإن إفسادَ بعضِ الناس في الأرض وسفكهم للدماء من لوازم استخلافهم في الأرض








Rujukan :
Mawaqif Al-Anbiya' fil Quran - Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, Cetakan Kedua 2010, Darul Qalam.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters