Monday, December 21, 2009

Hadith Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam


Kedudukan Hadith Nabawi Yang Mulia

Adakah kamu mendapati di dalam Al-Quran Al-Karim bilangan solat-solat yang difardhukan? Juga berapakah bilangan rakaat setiap solat?

Sesungguhnya kamu tidak akan menjumpainya di dalam Al-Quran Al-Karim, akan tetapi kamu dapati ianya dijelaskan melalui hadith nabi, ia adalah sumber kedua Islam dalam setiap penjuru kehidupan.

Adapun dalil yang menunjukkan akan kedudukan hadith nabawi ialah sebagaimana berikut :

1. Sesungguhnya ia adalah wahyu daripada Allah Ta'ala, dalilnya ialah
(وما ينطق عن الهوى إن هو إلا وحي يوحى) [Surah An-Najm : 3-4], kalimah هو di sini kembali kepada ينطق yang bermaksud : 'Tidaklah apa yang dituturkannya shallallahu 'alaihi wasallam itu kecuali wahyu daripada Allah Ta'ala', ayat ini didatangkan di dalam bentuk الحصر , maka semua apa yang diucapkan olehnya shallallahu 'alaihi wasallam Quran mahupun hadith adalah daripada Allah Ta'ala, akan tetapi Al-Quran Al-Karim diwahyukan dengan lafaz dan makna, manakala hadith diwahyukan dengan makna sahaja.

2. Hubungan hadith dengan Al-Quran Al-Karim :

- Mengukuhkan
- Menjelaskan
- Mengkhususkan
- Mengikat
- Menambah


A. Hadith Nabawi itu mengukuhkan/menguatkan, Al-Quran Al-Karim menggesa manusia solat di dalam ayat-ayatnya, datang pula hadith mengukuhkan lagi hal tersebut dengan turut menggesa manusia bersolat.

B. Hadith Nabawi menjelaskan, iaitu menjelaskan apa yang termaktub di dalam Al-Quran.

Contoh : Al-Quran menyuruh manusia untuk solat tanpa di terangkan caranya, maka datanglah hadith menjelaskan cara solat.

C. Hadith Nabawi mengkhususkan, sesungguhnya kebanyakan ayat-ayat Al-Quran datang dengan kaedah umum, maka datang hadith mengkhususkan, yakni mengecualikan daripada kaedah tersebut.

Contoh : Allah SWT berfirman : (حرمت عليكم الميتة والدم) bermaksud "Diharamkan ke atas kamu bangkai dan darah." [Surah Al-Maidah : 3], maka datang hadith mengecualikan bangkai ikan dan belalang daripada hal tersebut.

D. Hadith Nabawi mengikat dengan Al-Quran Al-Karim, iaitu hadith menyebut hukum syar'i syarat yang tidak disebut oleh Al-Quran Al-Karim, firman Allah Ta'ala :
(والسارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله والله عزيز حكيم) [Surah Al-Maidah : 38], di dalam ayat tersebut tidak dinyatakan apakah syarat sehingga mewajibkan tangan seseorang itu dipotong, maka dijelaskan hal tersebut oleh hadith seperti dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam : 'Dipotong tangan seseorang itu apabila dia mencuri 1/4 dinar atau ke atas.' atau sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

E. Hadith Nabawi mendatangkan hukum baru yang tidak terdapat di dalam Al-Quran sekalipun.

Contoh : Hukuman rejam ke atas penzina sudah berkahwin.


Adakah mencukupi Al-Quran tanpa Hadith?

Bertanya sebahagian manusia 'Bukankah mencukupi dengan Al-Quran sahaja? Bukankah di dalamnya terkandung segala-galanya? Sebagaimana firman Allah Ta'ala :
(ما فرطنا في الكتاب من شيء) [Surah Al-An'am : 37]'. Jawabnya :

* Jikalau kitab yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah Lauh Mahfuz maka tidak sangsi baginya kerana kalam di sini adalah daripada Al-Quran dan bukan daripadanya. Adapun jika yang dimaksudkannya ialah Al-Quran maka jawabnya :

* Sesungguhnya Al-Quran Al-Karim dialah yang menyuruh kita untuk mengikut hadith, firman Ta'ala : (وما ءاتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا واتقوا الله إن الله شديد العقاب) [Surah Al-Hasyr : 7], telah diarahkan kita supaya mengikut Rasul shallallahu 'alaihi wasallam serta diingatkan akan azab yang besar di akhir ayat tersebut bagi sesiapa yang tidak mengikutnya, maka sesiapa yang menolak hadith sesungguhnya dia turut menolak Al-Quran.

* Jika kita tidak menerima dan mengambil daripada hadith nescaya tidaklah kita dapat menunaikan solat, kerana Al-Quran tidak menjelaskan dengan jelas berapakah solat yang difardhukan sehari-hari, tidak diterangkan berapakah bilangan rakaat dalam setiap solat, tidak menjelaskan panjang lebar tentang syarat-syarat solat, rukun-rukunnya, serta perkara yang membatalkannya. Maka bagaimanakah hendak kita menunaikan solat tanpa berpandukan kepada hadith? Jika inilah halnya dengan solat dan ia adalah tiang agama, maka apa pula yang kau fikir tentang aqidah dan syariat-syariat Islam?

Begitulah jelas kepada kita sesungguhnya orang yang menyeru bahawa Al-Quran itu sudah mencukupi adalah orang yang jahil tentang kedudukan sunnah, atau mereka orang yang tidak menyukai Al-Quran kerana mereka benci Islam Quran dan Sunnah. Sesungguhnya 3/4 daripada Islam terdapat di dalam Hadith Nabawi, mereka yang meninggalkan hadith menginginkan kehancuran Islam.


* Rujukan : Al-Minhaj Al-Hadith fi Ulum Al-Hadith, Ustaz Dr. Syaraf Qudhoh, m/s 9-11, Academic for Publishing & Distribution, 2004.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters