Monday, December 21, 2009

Harapan, Realiti dan Kehidupan

Assalamualaikum wbt, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat dan setiap pengajaran yang dianugerahkan-Nya kepada manusia.



Semalam, kami (Bayt A'azab), Ustaz Shahrul, Ustaz Mus'ab, dan Shabil keluar menjamu selera di Mat'am Riffi meraikan kepulangan Adik Syed Iqbal bagi menyambung pembelajarannya di SMA Pulau Tawar. Beliau adalah anak kepada salah seorang ustaz yang amat kami segani di sini. Terasa satu pemergian dalam diri ini, sunyi dan bimbang. Namun semuanya hanya dapatku rungkaikan dengan harapanku kepadamu, menjadi manusia yang berguna, berdoa agar tidak hilang arahmu dalam menharungi masa remaja. Jangan kau lupakan saat kita di sini, mengambil ibrah dan mau'izah di bumi ini.

Syed Iqbal, pelapis generasi mendatang.

Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah semalam, ku teringat akan kehidupanku di MTAQ. Masih lagi segar dalam fikiran bagaimana diri ini suka memencilkan diri dengan berseorangan. Namun begitu masih ada sahabat-sahabat yang mendampingiku, menegur akan kesalahanku, membuka ruang lingkup fikiranku. Pada ketika itu ku sangat membencikan sahabat-sahabat yang kurang akhlaknya, benci akan sikap mereka yang menyalahi disiplin. Ku cuba menghindarkan diri daripada mereka dan mereka juga tidak senang akan sikapku.

Masa berlalu merentasi segala realiti, kini ku sudah menjejakkan diri dalam alam mahasiswa. Hilang segala kebencian terhadap semua sahabat, terasa amat mudah untuk menerima pandangan-pandangan yang dahulu ku amat 'anti' dengannya. Rindu terhadap sekalian sahabat membuak-buak dek kerana saat-saat akhir perpisahan kami itu diakhiri dengan senyuman serta kemesraan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Indahnya persahabatan jika didirikan atas erti ukhwah sebenar.

Kenangan bersama.

Junior-junior mula memenuhi kekosongan kami, kami berpecah ke sana sini. Menuju arah masing-masing dalam mengejar redha Ilahi. Sedar mahupun tidak, fasal awal tahun kedua di sini sudahpun menghampiri hujungnya. Setahun lebih sudah kuhabiskan masaku di sini, mencari pengalaman dan membuka kotak fikiran.

Bergambar bersama sebelum pulang ke rumah.

Tidak dilupakan juga kepada Ustaz Mahyeddin yang sedikit sebanyak memberi teguran kepada kami di sini. Beliau telah ditakdirkan najah di dalam imtihan syamil dan sekarang sudah berpangkat M.A, pada hari Jumaat baru-baru ini bersamaan 18 Disember beliau pulang ke tanah air menyambung bakti di USIM mengajar akan erti kehidupan. Semoga Allah memberkati beliau.

Sebenarnya pada tahun ini banyak peristiwa-peristiwa bermakna telah berlaku, terhimpun di dalamnya kesedihan dan kegembiraan, semoga ia diabadikan dalam kenangan. Antara pemergian yang tidak disangka-sangka ialah pulang Almarhum Ustaz Arman ke rahmatullah. Beliau adalah Atase Pendidikan di MSD, banyak mengajar dan menolong kami dalam berpersatuan. Tiada yang dapat membalas kebaikannya kecuali Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ku doakan beliau ditempat dalam kalangan orang-orang soleh serta para Rasul dan Anbiya'.

Ya Allah berikanlahku kekuatan dan iltizam dalam mengharungi kehidupan di dunia-Mu ini, jangan Kau biarkan aku tersungkur dan jatuh ke lembah hitam maksiat, kejahilan dan azab. Sebaliknya Kau pimpinlah aku untuk berdiri dan kukuh di atas jalan kebenaran, ilmu dan nikmat-Mu agar aku mampu menyumbang kekuatanku dalam menegakkan kalam dan Deen ini.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters