Tuesday, February 7, 2012

Solat

قد أفلح المؤمنون
الذين هم في صلاتهم خاشعون
والذين هم عن اللغو معرضون
والذين هم للزكاة فاعلون
والذين هم لفروجهم حافظون
إلا على أزواجهم أو ما ملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين
فمن ابتغى وراء ذلك فأولئك هم العادون
والذين هم لأماناتهم وعهدهم راعون
والذين هم على صلواتهم يحافظون
أولئك هم الوارثون
الذين يرثون الفردوس هم فيها خالدون

Surah Al-Mukminun : 1 - 11




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah serta selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam...

Ramai manusia bercakap mengenai motivasi, tidak kurang juga mereka yang berbicara berkenaan solat. Namun jika diperhatikan dan diteliti kita akan menemui bahawa motivasi dan solat mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Waktu solat itu sendiri sudah cukup memberi kesan yang positif kepada diri, tidak percaya? Kita diminta untuk senyum di pagi hari kerana ia menggambarkan sikap kita pada hari tersebut, lihatlah akan solat subuh kita. Mereka yang bangun dengan ikhlas mencari redha Ilahi pasti bangun dalam keadaan riang gembira kerana tahu mereka bangun berjumpa Allah SWT. Bangun untuk meminta kepada-Nya yang Maha Pemurah dan Pengasih. Seorang yang mengetahui bahawa di sana akan ada orang yang mampu memberinya apa yang dia perlukan tentulah dia akan mendatanginya dengan keadaan tersenyum riang.

Begitulah hal yang sepatutnya bagi seorang muslim, merasa gembira apabila berjumpa dengan Tuhannya sekaligus menambah fikiran positifnya pada hari itu.

Seorang saudara se-Islamku pernah berpesan : Jika engkau mulakan dengan fikiran yang positif nescaya perkara-perkara positif yang lain pasti akan menghampirimu. Namun jika engkau mulakan dengan hal yang negatif maka masalah-masalah akan datang mencarimu.

Be positive!

Dalam ayat di atas, jelas tertulis bahawa solat itu antara punca kejayaan seorang muslim dan disebut 2 point penting dalam mencapai kejayaan :

1 - Khusyuk (Fokus) الذين هم في صلاتهم خاشعون
2 - Disiplin (Menjaga) والذين هم على صلواتهم يحافظون


Jadi untuk berjaya, bukan sahaja dengan berdoa tanpa usaha bahkan perlu diselitkan usaha untuk fokus dan berdisiplin. Masakan mereka yang bekerja dengan sambil lewa boleh mencapai gerak kerja yang memuaskan? Begitu juga terhadap orang yang tidak berdisiplin.

إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
 Sesungguhnya Allah menyukai salah seorang daripadamu yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan dia melakukannya dengan tekun.
(Hadith Dhaif : Riwayat Thabrani, Abu Ya'la, Al-Baihaqi)

Andai tidak mampu, paksalah dirimu! Kerana dalam paksaan itu kadang mengeluarkan buah suka dan senang.

------------------------------------------------------

Kelas pertama buat semester ini, semester terakhir sebelum pulang berkhidmat di Malaysia. Tampuk pemerintahan berbaki 2 bulan lebih, diikuti 3 bulan lebih sebelum tamat semester dan 5 subjek yang terakhir :
- Takhrij Al-Ahadith wa Dirasatil Asanid
- Aqidah Nubuwwat was Sam'iyyat
- Fiqhul Qanun Madani Urduni
- Madkhal ila Ilmil Ijtima'
- Fiqhul Kitab was Sunnah

Pesan Dr. Ziyad 'Abbadi dalam kelas Takhrij Al-Ahadith wa Dirasatil Asanid :
"Janganlah kalian menjadi ulama' elektrik yang mana apabila putus elektriknya maka hilanglah ilmu.

Kita pada hari ini ummat yang tidak membaca, jika mereka membaca mereka tidak memahami, jika mereka memahami mereka tidak mempraktikkan! Pernahkah kalian melihat seorang bangsa Jordan yang pergi ke tepi pantai dan ditangannya sebuah kitab? Tidak pernah bukan? Inilah masyarakat kita pada hari ini!"

------------------------------------------------------------

Menulis sebelum melelapkan mata, semoga esok menjadi lebih baik daripada hari ini. Allahumansur ikhwanana fi suria wa la tansur 'alaihim... Doakan sahabat-sahabat kita di Syria...

Allahumma ya muqallibal qulub thabbit qulubana 'ala diinika wa 'ala to'atik.

Wassalam...



P/S : Jagalah solatmu nescaya engkau berjaya!

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters