Wednesday, December 30, 2009

Sedetik Kegembiraan

Bergambar di KLIA sebelum bertolak.


Assalamualaikum wbt, alhamdulillah ke atas nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas diri ini, alhamdulillah di atas kesedaran dan rasa bersalah apabila melakukan sebarang maksiat kerana itu menandakan hati ini masih lagi hidup. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Di dalam flight.

Hehe... Sebenarnya kali ni ana terimbas kembali akan waktu hendak meninggalkan bumi Malaysia bagi menyambung pelajaran ke Jordan di University of Jordan. Sebelum itu ana ada menghantar borang kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan berjaya mendapat tawaran untuk sambung ke sana, akan tetapi ana tidak ke sana kerana hati masih teguh berkata bahawa ana pasti akan mendapat tawaran untuk ke sini insya-Allah. Ada juga tawaran yang dihantar daripada kolej-kolej lain dan semuanya ana ketepikan dengan hanya berpegang kepada harapan yang belum pasti.

Keputusan SPM ana tidak sehebat sahabat-sahabat ana yang lain dan tidak teruk, alhamdulillah atas segalanya. Sewaktu ingin memohon ke sini, ana bertanya kepada ummi dan ayah, meminta persetujuan dan pandangan mereka, walaupun berat untuk bersetuju tetapi mereka sentiasa memberikan semangat. Ummi menyuruh ana bertanya kepada mana-mana graduan universiti-universiti di Jordan akan yang manakah terbaik buat diri ana. Tanpa melengahkan masa, ana menghantar mesej melalui e-mel bertanya kepada Ustaz Hasrizal (saifulislam) dan mendapat jawapan daripadanya. Di sini ana sediakan jawapan balas daripada Ustaz Hasrizal sekadar untuk berkongsi bersama :


"Assalamualaikum.Tahniah ustaz ucapkan atas keputusan peperiksaan yang memberangsangkan.

Ustaz adalah graduan universiti mu'tah. tetapi jika akhi ada keupayaan untuk memilih di antara universiti mu'tah dan university of jordan di amman, maka eloklah dipilih university of jordan di amman.sebabnya banyak, tetapi ustaz ringkaskan bahawa sumber2 ilmu sangat banyak, pelbagai dan hebat di university of jordan, dan bandar amman itu sendiri. malah jumlah pelajar malaysia yang sedikit di amman akan menambahkan lagi peluang anta menguasai bahasa arab dan skill berdikari.

Cuma, masalahnya di university of jordan ni, yurannya mahal. itu sahaja. kalau di uni mu'tah, kosnya masih sama macam dulu
selamat menyambung pengajian...

salam ukhuwwah dari ustaz, wassalamualaikum wbt"


Setelah mendapat jawapan tersebut, ana mengisi borang permohonan dengan meletak University of Jordan pada pilihan pertama, manakala Universiti Yarmouk dan Mu'tah pada kedudukan kedua dan ketiga. Beberapa bulan selepas permohonan di hantar ana mendapat jawapannya yakni beberapa minggu sebelum dihantar untuk menjalani BTN di Ulu Kenas, Perak.

Bersama ustaz pengiring kami dari YIK.

Sebelum itu, pada bulan Januari 2008 sehingga bulan Mei 2008, ana mengisi masa tersebut dengan menyambung pelajaran di Maahad Muhammadi Lilbanin berhajat untuk mengambil STAM. Akan tetapi hajat tersebut tidak kesampaian apabila ana mendapat maklum balas terhadap permohonan untuk ke Jordan.

Airport Bahrain.

Ana dijadualkan bertolak pada pagi 10 September 2008 bersamaan 10 Ramadhan 1429, pada malam sebelum bertolak Ustaz Najib Abdullah Al-Qari datang melawat ke rumah ana lebih kurang pukul 11 malam. Datang memberi kata-kata nasihat dan peringatan dalam mengecapi ilmu di bumi Urdun, barakallahu fiih. Malamnya itu ana tidur dengan nyenyak walapun ummi menyuruh agar meneliti suasana rumah agar nanti tidak terasa begitu rindu. Hehe..

Transit di Bahrain.

Akhirnya tibalah pagi tersebut, ku bersiap memakai kot yang ummi belikan, kami bertolak ke airport selepas bersahur. Ana tidak bersahur kerana tiada selera cuma bangun minum air kosong dan bersiap. Ana bersalaman dengan ummi ayah, memeluk mereka dengan kegembiraan. Gembira bukan kerana sudah tidak dimarahi oleh mereka tetapi gembira kerana dapat menjelajah ke bumi Jordan mencari ilmu, mahupun begitu ana turut diselimuti rasa sedih apabila melihat ummi menangis walaupun perasaan sedih itu akhirnya tenggelam dengan kegembiraan tadi. Perasaan sedih itu dihilangkan saat ana berfikir bahawa jika hayat ini masih berpanjangan nescaya kita akan bertemu lagi. Di samping itu, ana juga gembira kerana nanti ku akan pulang membawa kegembiraan untuk mereka.

Antara perkara yang menaikkan semangatku saat ana putus semangat ialah kata-kata ummi iaitu ana berkeupayaan untuk menjadi seorang pendakwah. Kata-kata itulah yang ana pegang sehingga kini selain Al-Quran dan As-Sunnah yang tiada taranya. Kata-kata semangat oleh seorang ibu, semoga ianya menjadi kenyataan. Kata-kata itulah yang ku bawa ke bumi Jordan ini, berbekalkan semangat serta harapan yang belum pasti.

Di Bahrain bersama sahabat-sahabat.

Ku melangkah ke pintu masuk penerbangan melemparkan senyuman kegembiraan...


Wassalam...

2 comments:

Anonymous said...

:) semoga adik sentiasa di bawah rahmatNya..tahniah adik, mempelajari dalam bidang yang "hampir"denganNya..insyaallah.

NaUPM

mommy said...

semoga berjaya di bumi jordan

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters