Wednesday, August 27, 2008

KETETAPAN IMSAK SEBELUM SUBUH Satu Penilaian Semula

oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH

Lot 1498,Taman Seri Demit,Jln.Sultanah Zainab 2,

Kubang Kerian,16150 Kota Bharu, Kelantan.

Tel:017-9380203

012-9548461


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Puji-pujian bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. serta para sahabatnya.


Entah bermula dari tahun berapa, umat Islam di negara kita telah mengenali erti imsak sebelum masuknya waktu subuh selama lebih kurang 10 minit. Tetapi ketetapan imsak dengan erti seperti ini tidak pula diketahui di negara-negara Islam yang lain sama ada di Timur Tengah atau lainnya. Tidak ada sesiapapun di antara kita yang cuba bertanya tentang asal usul imsak ini, apatah lagi untuk mempersoalkannya. Inilah satu sikap tidak baik yang ada pada masyarakat kita iaitu menurut saja apa yang diperkenalkan tanpa usul periksa.


Yang menghairankan ialah institusi-institusi agama rasmi dan bukan rasmi di negara kita juga seolah-olah mengesahkannya, justeru ia disebarkan melalui media massa, risalah-risalah, poster-poster, iklan-iklan dan sebagainya dengan begitu meluas sekali. Semuanya menyatakan “waktu berbuka puasa dan imsak atau imsakiah”.


Imsak dalam istilah bermaksud, menahan diri daripada makan, minum, jimak dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa. Inilah juga imsak yang difahami oleh masyarakat umum daripada waktu imsak yang disiarkan itu.


Tetapi ada juga setengah-setengah kalangan yang terus makan walaupun selepas waktu imsak itu. Tentu pihak lain memandangnya dengan pandangan yang serong dan mungkin tidak sah puasanya dan orang yang melakukan perbuatan itu sendiripun berada dalam keadaan serba salah.


Dari itu, pihak kami berasa bertanggungjawab membincangkan isu ini secara ilmiah berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah di samping kitab-kitab ulamak yang muktabar dengan harapan umat Islam amnya dan institusi-institusi agama yang rasmi dan bukan rasmi di negara ini akan menilai semula ketetapan imsak sebagaimana yang diamalkan selama ini.


Pertama, Al-Quran dengan jelas menyatakan firman Allah yang bermaksud:


“Makan dan minumlah kamu sehingga nyata benang putih (fajar sadiq-permulaan waktu subuh) daripada benang hitam (penghujung waktu malam) iaitu fajar.” (Al-Baqarah:187)


Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada sebarang imsak sebelum masuknya waktu subuh malah tuhan menganjurkan supaya kita makan dan minum “hingga” atau “sampai” masuk waktu subuh. Perintah disini mengikut ulamak usul bukan memberi makna wajib walaubagaimanapun paling kurang ia memberi makna harus.


Kedua, hadis sahih jelas menunjukkannya di mana Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Para ulamak sepakat mengatakan bahawa Bilal melaungkan azan sebelum masuknya waktu subuh dengan tujuan mengejutkan orang yang tidur supaya bangun bersahur dan Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan apabila masuknya waktu subuh.


Di sini tidak disebutkan tentang imsak atau menahan diri daripada makan minum dan sebagainya sebelum masuknya waktu subuh malah ia menganjurkan supaya makan sampai akhir waktu iaitu masuknya waktu subuh.


Ketiga, dalam hadis sohih yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang mafhumnya, “Umat ini akan sentiasa baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur”. (Riwayat Imam Ahmad)


Hadis ini juga menerangkan kedua-dua ayat Al-Quran dan Hadis yang tersebut di atas yang bermaksud: Makan dan minum dan sebagainya hingga masuk waktu subuh. Selagi umat ini melakukan demikian mereka berada dalam kebaikan, sebaliknya bila mereka meninggalkan amalan-amalan seperti ini mereka tidak lagi berada dalam kebaikan.


Keempat, kita telah meneliti sekurang-kurangnya 30 buah kitab muktabar dalam Mazhab Syafie antaranya Al-Umm, Majmuk Syarah Muhazzab, Al-Iqna’, Al-Mahalli, Hasyiah Al-Bajuri, As-Syarqawi, Bahrul-Mazi, Kasyful Litham dan lain-lain lagi selain daripada kitab-kitab muktabar dalam mazhab-mazhab yang lain tetapi tidak juga kita temui adanya ketetapan imsak sebelum masuknya waktu subuh sebagaimana yang diamalkan oleh kita.


Hairan! Kalau begitu dari manakah puncanya ketetapan imsak ini, dan siapakah orang yg mula-mula memperkenalkannya? Mungkin orang yang menyokong ketetapan imsak ini berhujjah dengan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bermaksud,


“Kami bersahur bersama Nabi s.a.w. kemudian kami bangun pergi sembahyang, perawi bertanya;” Berapakah jarak diantara bersahur kamu dengan sembahyang? Zaid menjawab; lebih kurang lima puluh ayat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Ini bermakna (kata mereka) bersahur itu sudah selesai sebelum masuk waktu subuh selama lebih kurang 50 ayat (jika dianggarkan tempohnya lebih kurang 10 minit). Inilah punca imsak,” kata mereka.


Tetapi pemahaman yang seperti ini tidak benar kerana;


1. Tidak ada seorangpun perawi hadis yang menghuraikan pengertian begitu.


2. Hadis ini ada kemungkinan memberi erti yang lain selain daripada kemungkinan tadi. Ia mungkin memberi erti “tempoh diantara selesai bersahur dengan sembahyang subuh itu adalah lebih kurang 50 ayat. Ini bermakna setelah selesai bersahur azan dilaungkan selepas itu sesiapa yang hendak mengambil wudhu’ bolehlah mengambil wudhu’ kemudian barulah sembahyang subuh. Tempoh diantara azan, wudhu’, sembahyang sunat subuh dan sembahyang subuh itu sendiri adalah lebih kurang 50 ayat.


3. Ia juga mungkin bermaksud, “tempoh daripada kami mula bersahur hinggalah masuk waktu subuh hanyalah sekadar bacaan 50 ayat.”


4. Ulamak-ulamak hadis malah berdalil dengan hadis ini tentang kelewatan waktu bersahur itu dan peri ringkasnya makan sahur yang diambil oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya sehingga masa bersahur dengan masuk waktu subuh itu ialah kadar 50 ayat bukan sebaliknya menunjukkan berhenti makan sahur dan sebagainya sebelum subuh seperti yang berlaku dalam amalan imsak.


5. Ayat Al-Quran itu tidak sama panjangnya, ada yang panjang dan ada yang pendek. “50 ayat” yang dimaksudkan itu ayat yang panjangkah atau yang pendek atau yang sederhana?


Banyak sekali kemungkinan yang boleh difahami daripada hadis tadi. Mengikut kaedah usul feqah, bila sudah ada kemungkinan tidak boleh lagi dijadikan dalil. Kaedah usul menghendaki agar kita mengembalikan nas yang mubham (samar) kepada yang mubayyan (terang). Yang mujmal (ringkas) mesti dikembalikan kepada yang mufassal (terperinci). Kenapa pula kita tidak mengembalikan hadis yang mempunyai banyak kemungkinan itu kepada Al-Quran dan Hadis yang terang seperti yang disebutkan tadi?


Orang yang mendokong ketetapan imsak juga mungkin mengambil sikap ihtiath (bercermat) dalam soal ini kerana takut terlanjur atau terlajak, ada baiknya diberhentikan sebelum garis yang ditentukan (sebelum masuk waktu subuh). Tetapi kenapa pula 10 minit sebelum subuh, tidak 5 minit atau 15 minit?



Kalau dalam soal bersahur kita patut berihtiath, tidakkah patut juga kita berihtiath semasa kita berbuka puasa? Kenapa kita tidak melewatkan 10 minit selepas masuknya waktu maghrib?


Tidakkah dengan mengamalkan imsak yang seperti ini, kita telah terhalang daripada mendapat pahala dan keutamaan lewat bersahur yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.


Jelaslah apa yg kita amalkan ini tidak mempunyai landasan yang kukuh sama ada daripada Al-Quran atau As-Sunnah dan juga perdapat ulamak-ulamak mujtahidin. Kalaupun ada hanyalah pendapat yang syaz. Pendapat yang syaz ini mengikut ulamak tidak boleh dipakai untuk amalan umum, apatah lagi untuk dibuat landasan dalam fatwa.



Oleh itu marilah kita memperbaiki segala amalan kita sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah supaya kita mendapat keberkatan dan kejayaan yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w. apabila kita berpegang kepada kedua-duanya.

Pihak kami juga berharap agar institusi-institusi agama tanahair sama ada rasmi atau tidak rasmi membuat penelitian dan kajian semula terhadap isu ini, kemudian memberi penjelasan kepada umum supaya mereka tidak lagi meraba-raba dalam soal agama.

Hidup dengan Al-Quran dan As-Sunnah"

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters