Monday, December 14, 2015

3 years 3 months 21 days


Bismillah...

Alhamdulillah...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga baginda, sahabat-sahabatnya dan seluruh orang beriman yang mengikut jejak para solihin dan muttaqin.

Hari ni sudah 3 tahun 3 bulan dan 22 hari perkahwinan saya dengan isteri tercinta termeterai. Dikurniakan seorang anak pada 2 Januari 2014 yang mana akan menjengah umur 2 tahun pada 2 Januari 2016 akan datang.

5 Tahun Fasa Pertama Perkahwinan


Ada orang menyebut bahasa fasa pertama bagi setiap perkahwinan adalah 5 tahun, masa ini dikira sebagai sesi perkenalan dengan pasangan kita. Kalau sebelum bercinta kita akan melihat semua yang 'indah-indah' belaka, maka pada fasa ini kita akan mula nampak keburukan pasangan kita. Begitulah syaitan mempermainkan kita, sebelum kahwin kita akan diperdayakan untuk mencintai pasangan yang bukan mahram kita dan mengajak kita bermaksiat dengannya, namun selepas berkahwin kita akan diperdaya untuk membenci pasangan kita dengan segala perkara negatif.

Sabar, Tolak Ansur, Bermaafan & Dekati Allah
Itulah cara untuk mengembalikan cinta yang telah kita pupuk hasil dari perkahwinan dengan pasangan kita selain doa dan mendekatkan diri kepada Allah.

Kita akan lihat kehidupan kita semakin porak poranda apabila kita jauh daripada Allah. Diri kita merasa tidak terurus, hati terasa sesak dan kelam manakala masalah bak tsunami yang tidak surut. Ditambah pula dengan isteri yang tiba-tiba merajuk, anak yang tiba-tiba meragam dan sebagainya. Pada saat itu, cuba koreksi diri kita, apakah hubungan kita dengan Allah semakin dekat atau semakin jauh dan kemudian barulah perbaiki hubungan sesama manusia.

Kerja


Tahun hadapan menyaksikan bahawa genaplah setahun kubekerja. Bermula sebulan di bulan Januari di Sekolah Kiblah, Jenderam Hulu kemudian berpindah ke Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz (MUST), Sungai Merab Dalam sehinggalah sekarang.

Kita akan merasa penat dalam bekerja apabila kita bekerja semata untuk mendapatkan gaji, tetapi sebaliknya kita akan rasa gembira dalam bekerja jika kita bekerja kerana Allah, kerana diri, kerana ummah.

Beruntunglah pekerja yang mendapat majikan yang bukan sahaja mementingkan kualiti kerja tetapi kualiti ibadah kita dengan Allah. Kita sendirilah yang menilai diri kita, setakat manakah kita telah mempertingkatkan mutu diri samada di tempat kerja atau di dalam ibadah. Kalau ianya bertambah, maka ia baik untukmu sekalipun ketika ini pelbagai masalah mendatangi dirimu. Ketahuilah bahawa masalah itu tidak lain dan tidak bukan untuk menjadikan diri lebih kuat, Allah itu Maha Adil dalam menetapkan segala sesuatu.

Celoteh Anak Kecil


Sempena tarikh 2 Januari 2016 yang mendekati, ingin kudoakan agar anak-anakku terhindar dari fitnah dunia dan akhirat serta tergolong dalam kalangan mereka yang solehah dan muslihah.

Zaman ini zaman teknologi, zaman yang mana manusia sudah tidak mengenal batasan. Kalau dahulu pengaruh televisyen sudah cukup memberi kesan negatif yang besar terhadap perkembangan kanak-kanak, apatahlagi zaman internet dalam genggaman tangan, boleh di bawa ke sana ke mari, boleh disembunyikan tanpa pengetahuan ibu bapa yang memantau. Inilah fitnah dunia kini, tidak kira siapa, kecil mahupun besar.

Anak kecil itu tidak mengerti dan sedang belajar mengenal dunia, tetapi persekitaran ini yang tidak sihat merosakkan pemikiran manusia. Di samping tugas ibu bapa menghindarkan mereka dari perkara tersebut, letakkanlah harapan kepada Allah melalui doa. Hanya Allah sebaik-baik Penjaga, tiada yang lebih baik melainkan Dia.

Doa
اللهم إنا نعوذبك من عذاب القبر ومن عذاب النار ومن فتنة المحيا والممات ومن شر فتنة المسيح الدجال
Ya Allah, kami memohon perlindunganmu daripada azab kubur dan azab neraka serta daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati dan daripada buruknya fitnah Al-Masih Dajjal.

Amalkan dan bacalah doa ini pada setiap tasyahud akhirmu, moga ia menjadi benteng utama kita dalam menghadapi dunia yang menggila.


Sehingga berjumpa lagi, jika bukan di dunia ini maka biarlah ia di syurga sana...
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters