Wednesday, August 12, 2009

Syaitan Yang Menyesatkan



Antara halangan yang akan dihadapi oleh para pendakwah yang mana bahaya dan pesonanya adalah antara yang terkuat, yang menjadi pangkal segala bencana dan penyelewengan ialah tipu daya syaitan, putar belit iblis dan kerenah hawa nafsu. Pendakwah akan tetap selamat meskipun halangan luaran, sosial, politik, ekonomi dan lain-lain yang dihadapinya amat besar, selama mana ia tidak berserah diri kepada nafsu dan tunduk melutut kepada kehendak syaitan. Syaitan sememangnya musuh Mukmin yang paling besar. Ia tidak jemu menipu, menimbulkan keraguan dan meransang ke arah kejahatan. Selagi mana hayat dikandung badan dan selama iman masih bertakhta di dada si Mukmin selama itulah ia akan tetap mengajak kea rah kejahatan. Syaitan pernah bersumpah:




“Demi kemuliaan-Mu (Allah) akan aku perdaya mereka (anak Adam) semuanya kecuali para hamba-Mu yang ikhlas dalam kalangan mereka. Allah menjawab. Yang hak dan yang benar Aku katakan: “Aku akan penuhkan neraka jahannam denganmu (syaitan) dan sesiapa dan mereka yang menurutmu semuanya.”




Kerana sumpah syaitan inilah maka para pendakwah hendaklah lebih berwaspada terhadap syaitan dan musuh-musuh yang lain. Allah berfirman:




Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu maka anggaplah ia sebenar-benar musuh. Sesungguhnya sekutu-sekutunya menyeru supaya mereka (dan kamu) menjadi penduduk neraka.

(Surah Fatir: Ayat 6)



Allah berfirman lagi:



“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Anak Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar daripada kamu. Maka apakah kamu tidak memikirkannya?”

(Surah Yasin: Ayat 60—62)




Celakanya si syaitan ini ialah kalau ia gagal merasuk, memujuk dan menimbulkan was-was dari satu sudut maka ia datang merasuk pula dan sudut yang lain. Demikianlah kerjanya setiap masa dan tempat. Sememangnya benarlah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:



Sesungguhnya syaitan itu meresap dalam diri anak Adam seperti mengalirnya darah dalam tubuhnya.

(Hadith Muttafaqun Alaihi)





Seorang lelaki bertanya kepada Hasan (Hasan Basri) “Wahai Abu Sa’id: Adakah syaitan itu tidur?” Sambil tersenyum beliau menjawab: “Kalau syaitan itu tidur nescaya kita semua boleh berehat.”

Antara kisah yang mesti diambil iktibar dengannya ialah kisah ini :




Pada suatu masa dahulu ada seorang pendeta Bani Israil (yang amat kuat beribadah). Syaitan hendak merosakkannya lalu syaitan merasuk seorang anak gadis (di kampung itu). Syaitan mengilhamkan kepada keluarganya bahawa anak gadis ia hanya boleh disembuhkan oleh pendeta tersebut sahaja. Keluarga anak gadis tersebut pun membawanya ke rumah pendeta. Pada mulanya pendeta enggan membenarkan anak gadis itu tinggal di rumahnya untuk berubat. Tetapi setelah didesak oleh keluarga anak gadis tersebut, Ia pun bersetuju. Dalam tempoh berubat syaitan berjaya memujuknya supaya mendekati anak gadis yang sakit itu. Akhirnya dengan godaan syaitan ia sampai bersetubuh dengan gadis itu hingga hamil. Sejak itu syaitan pun menimbulkan rasa takut dalam diri pendeta itu. Ia berbisik: “Nanti bila datang keluarganya tentu rahsiamu akan diketahui. Baik engkau bunuh sahaja perempuan itu, dan kalau keluarganya datang katakan dia sudah mati. Dia pun lantas menurut hasutan syaitan. Dia segera membunuh anak gadis tersebut dan menanam mayatnya. Setelah itu syaitan pergi menimbulkan syak dan ragu kepada keluarga gadis. Ia membayangkan kepada mereka bahawa pendeta itu telah merogol, menghamilkan dan membunuh anak tersebut, kemudian menanam mayatnya. Apabila keluarganya datang mereka tidak percaya dengan cakap dan dalih pendeta. Mereka akhirnya berjaya membuktikan kesalahan jenayah yang telah dilakukan oleh pendita itu. Dalam pada itu syaitan menjelma dan menemui pendeta. Syaitan berkata: “Akulah yang telah merasuk anak gadis itu. Akulah yang membisikkan kepada keluarganya. Kalau engkau mahu selamat engkau ikutlah perintahku. Aku akan lepaskan engkau dari tindakan mereka “. Bagaimana? Kata pendeta itu. Jawab syaitan: “Engkau sujud kepadaku dua kali. “Pendeta itu pun sujud kepada syaitan. Apabila Ia sujud syaitan pun berkata: “Aku berlepas diri dari kejahatan (kufur) yang telah engkau lakukan. (Aku tidak ada kena mengena dengan perbuatan syirikmu)





Melalui Jalan Manakah Syaitan Menyelinap?




1. Marah



Seorang wali Allah bertanya kepada Iblis:


“Cuba engkau terangkan bagaimana engkau memperdaya anak Adam?” Iblis menjawab: “Aku perdaya dia ketika dia marah dan ketika dia bernafsu.” Sebab itulah Rasulullah berpesan supaya jangan dilayan nafsu marah. Rasulullah menegaskan La Taghdhab [Jangan (dikuasai perasaan) marah].”



2. Nafsu syahwat



Allah berfirman: Maksudnya:


“(Antara ciri orang yang beriman itu ialah yang menjaga kehormatan mereka.”

(Surah Al-Mu’minun: Ayat 5)



3. Tergesa-gesa



“(Sifat) tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan (manakala) cermat dan berhati-hati dari Allah Subhanahu Wata’ala.”



4. Hasad dengki



Peluang dan senjata syaitan yang paling ampuh juga ialah perasaan hasad dengki. Sifat ini memudarkan kewarasan dan kebijaksanaan. Seseorang boleh berubah menjadi terkongkong oleh sifat hasad dengkinya. Ini nanti mendorongnya untuk melakukan apa sahaja, walaupun secara menyeleweng; untuk menjebak manusia yang ia dengki kepadanya.



5. Kikir



“Syaitan menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan, sentiasa menyuruh kamu melakukan kejahatan. (Akan tetapi) Allah menjanjikan untuk kamu keampunan dan kurnia daripadanya, dan Allah Maha Luas (kurnianya) dan Maha Mengetahui.”

(Surah Al Baqarah: Ayat 268)



6. Takabbur



Pintu masuk syaitan yang tidak kurang bahayanya ialah sifat takabbur dan ghurur. Sifat yang merupakan penyakit inilah yang telah menggugurkan darjat iblis. Dari langit ia tercampak ke bumi. “Ia berkata: Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau jadikan aku dari api dan dia (Adam) engkau cipta dari tanah.” Terhadap bahayanya sifat inilah agaknya Rasulullah sering berlindung diri dengan Allah dari keburukan sifat takabbur.



7. Buruk sangka terhadap Muslimin yang lain



“Wahai orang-orang yang beriman hindarilah dari (sifat) banyak berprasangka. Kerana sebahagian dari sangka-sangka itu adalah dosa.”

(Surah Al-Hujurat: Ayat 12)


p/s: Ambillah Bulan Ramadhan sebagai bulan memperbaiki diri dengan tarbiyah. Barakallahu fiikum.




*Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah - Dr. Fathi Yakan

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters