Thursday, February 4, 2010

Berhelah Dalam Perkara Haram


Berhelah dalam perkara haram, hukumnya adalah haram.


Sebagaimana Islam mengharamkan setiap perbuatan yang boleh membawa kepada haram dengan cara yang jelas kelihatan, diharamkan juga perbuatan membuat helah untuk melakukan perbuatan haram itu dengan cara yang tersembunyi dan helah syaitan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mencela orang-orang yahudi atas perbuatannya menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dengan jalan helah. Sabdanya :

Ertinya : " Jangan kamu berbuat seperti perbuatan yahudi, dan jangan kamu menganggap halal terhadap larangan-larangan Allah walaupun dengan helah yang paling kecil. " (Disebutkan oleh Imam Ibnul Qaiyyim di dalam Ighatsatul Lahafan : 1/348, katanya : Ia diriwayatkan oleh Abu Abdullah bin Batthah dengan sanad yang baik. Ia disahihkan seumpamanya oleh At-Tirmizi.)

Dapat dilihat, orang-orang yahudi diharamkan menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka melakukan helah atas perkara yang diharamkan ini. Caranya ialah, mereka menggali parit pada hari Jumaat, supaya ikan-ikan dapat masuk pada hari Sabtu. Kemudian, pada hari Ahad, mereka akan mengambil ikan-ikan tersebut.

Perbuatan di atas, oleh orang-orang yang melakukan helah dianggap sebagai tidak mengapa. Namun bagi fuqaha' Islam, ia adalah perbuatan haram. Kerana tujuannya adalah untuk menangkap ikan sama ada melalui cara helah ataupun secara langsung.


Sebahagian dari helah yang berdosa ialah memberi nama sesuatu yang diharamkan dengan satu nama lain. Diubah reka bentuknya tetapi ianya tetap perkara yang sama. Dan, tidak syak sama sekali bahawa tidak diambil kira perubahan nama ke atas sesuatu perkara sedangkan ianya adalah perkara yang sama. Juga tidak diambil kira perubahan rupa bentuk sedangkan hakikat benda yang berubah itu masih adalah perkara yang serupa.

Sesiapa sahaja yang cuba mereka-reka rupa bentuk lain dengan tujuan mahu melakukan helah untuk menghalalkan riba, atau mengubah nama khamar dengan tujuan mahu melakukan helah untuk menghalalkan khamar, maka sesungguhnya dosa memakan riba dan meminum khamar itu tetap ada dan tidak berubah. Ini ada disebutkan di dalam hadith Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam :

Ertinya : " Sungguh akan ada satu golongan dari ummatku yang menganggap halal minum arak dengan memberikan nama lain. " (Riwayat Ahmad)

Ertinya : " Akan datang suatu masa di mana manusia menganggap halal riba dengan nama jual beli. " (Ada disebutkan di dalam Ighatsatul Lahafan, 1/325)

Sesuatu yang sungguh pelik pada zaman kita ini di mana tarian bogel mereka beri nama seni, khamar mereka beri nama minuman kerohanian dan riba mereka namakan dengan faedah... Begitulah seterusnya.



Rujukan : Al-Halal wal Haram fil Islam - Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters