Sunday, August 16, 2009

DAKWAH KITA; DAKWAH KEBANGKITAN DAN MENYELAMAT (Siri 1)


a) Peninggalan yang berat.
Wahai saudara-saudara seIslamku, Allah menghendaki kita mewarisi peninggalan yang berat dengan bebanan tanggungjawab yang besar. Allah mahu sinar dakwah kamu ini menyinari segenap kegelapan. Allah telah memberi peluang kepada anda meninggikan kalimat-Nya dan syariatnya dengan mendirikan semula negara Islam yang baru. Firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang menolong (agamanya), sesungguhnya Allah benar-benar maha kuat lagi maha perkasa" (al-Hajj:40).

(b) Matlamat am kita.
Apakah yang kita mahu wahai saudara-saudaraku..?
Adakah kita mahu mengumpulkan harta, sedang ia hanyalah bayangan yang akan lenyap. Atau adakah kita mahu kemasyhuran, sedangkan ianya akan hilang. Atau adakah kita mahu menjadi samseng di muka bumi ini..? Firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, diwariskannya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128).

Dan kita juga membaca firman Allah yang bermaksud;

"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa" ( al Qasas:83).


Allah menjadi saksi bahawa kita tidak mahu itu semua dan kita tidak mengajak manusia kepadanya, tetapi ingatlah saudara sekelian, bahawa anda semua mempunyai dua matlamat asasi;

a) Membebaskan tanahair Islam dari sebarang kuasa asing. Ini adalah hak semula jadi setiap insan dan tidak boleh ditolak kecuali orang zalim atau bersifat kuku besi.

b) Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas mengamalkan undang-undang Islam, melaksanakan sistem Islam dalam masyarakat, mengiklankan prinsip-prinsipnya dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia. Selagi ia tidak tertegak, seluruh umat Islam adalah berdosa dan bertanggungjawab di hadapan Allah 'azza wa jalla atas kecuaian dan kelemahan mereka. Menjadi suatu kezaliman kepada seluruh manusia dalam keadaan sekarang ini bila tertegaknya negara-negara yang berdiri atas prinsip-prinsip zalim dan melaungkan slogan-slogan jahat tetapi tidak ada di kalangan manusia ini orang yang berusaha untuk menegakkan sebuah negara yang hak, adil dan sejahtera. Kita mahu melaksanakan 2 matlamat ini di Lembah Nil, Negeri-negeri Arab dan di setiap bumi yang beraqidah Islam iaitu kerana agama, nasionaliti dan aqidah telah menyatukan seluruh mereka.

(c) Matlamat Khas Kita.
Selepas dua matlamat tadi, kita mempunyai beberapa matlamat khas pula dimana masyarakat tidak akan menjadi sempurna Islam tanpanya. Ingatlah wahai saudaraku,
Lebih 60% dari rakyat Mesir hidup lebih rendah dari binatang. Mereka berhempas pulas untuk mendapat sesuap makanan. Negeri Mesir diancam kebuluran dan terdedah kepada pelbagai masalah ekonomi yang tidak diketahui bagaimana untuk mengatasinya kecuali Allah. Di Mesir terdapat lebih dari 320 syarikat asing yang memonopoli sektor awam di seluruh negara. Jentera-jentera perniagaan, perkilangan dan sektor-sektor ekonomi semuanya di tangan asing yang mengenakan riba. Segala kekayaan harta benda secepat kilat berpindah ke tangan mereka dari tangan peribumi. Mesir merupakan negara yang paling teruk menderita pelbagai penyakit dan kecacatan. Lebih dari 90% rakyat Mesir diancam oleh penyakit tubuh badan dan kecacatan pancaindera. Sampai sekarang lebih dari 80 % penduduk Mesir masih lagi mengalami buta huruf. Lebih dari 100 000 orang yang berpelajaran pula hanya sekadar sekolah rendah. Jenayah berganda sehingga yang keluar dari penjara lebih ramai dari sekolah. Di samping itu hingga kini, Mesir tidak mampu untuk menyediakan pasukan tentera yang lengkap sempurna. Keadaan yang sama berlaku di seluruh dunia Islam. Menjadi matlamat anda sekalian untuk berusaha memperbaiki mutu pelajaran, memerangi kemiskinan, kejahilan, penyakit, jenayah dan membentuk masyarakat yang contoh yang layak dipanggil Islam.



(d) Wasilah Am Kita.
Bagaimana kita boleh sampai ke matlamat-matlamat ini...?
Syarahan-syarahan, ceramah-ceramah, surat, kursus dan mengkaji sebab kelemahan, kesemua ini adalah tidak mencukupi dan tidak banyak memberi faedah untuk sampai kepada matlamat yang disebut tadi. Dalam setiap dakwah ada cara yang perlu diambil dan dilaksanakan. Cara-cara am untuk berdakwah tidak lebih dan tidak kurang dari 3 perkara;

1. Iman yang mendalam.
2. Pembentukan yang rapi.
3. Kerja terus menerus.

Inilah wasilah kita secara umumnya wahai saudaraku. Percayalah dengan fikrahmu, berkumpullah dan berusahalah dengan teguh.

(f) Wasilah Tambahan.
Selain cara-cara am tadi, terdapat cara sampingan yang kadangkala perlu diambil dan diikuti. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ada yang selaras dengan uruf setempat dan ada yang menyalahi dan bertentangan. Ada yang lembut dan ada yang keras. Kita perlu melatih diri kita mengikuti kesemua bentuk tersebut dan bersedia demi menjamin kejayaan Islam. Kadangkala kita dituntut supaya menyanggahi adat dan kebiasaan. Kadangkala kita diminta keluar dari cara kebiasaan orang ramai. Sebenarnya tidak di katakan hakikat dakwah melainkan terpaksa keluar dari kebiasaan orang ramai manusia dan bangun merubah segala adat kebiasaan. Apakah anda sekelian bersedia untuk itu wahai saudaraku?

(g) Keraguan.
Ramai orang akan berkata; Apa guna wasilah-wasilah ini.? Adakah ia akan mampu membangun dan menyusun masyarakat yang telah tenggelam dalam masalah dan gejala yang begitu parah ini.? Bagaimana kamu hendak memperbaiki ekonomi tanpa menggunakan riba..? Bagaimana kamu hendak lakukan dengan wanita.? Bagaimana kamu mampu merampas semula hak kamu tanpa menggunakan kekuatan.?

Ketahuilah wahai saudaraku..
Segala was-was syaitan yang dicampakkan ke dalam cita-cita setiap muslih itu (reformis) akan dihilangkan oleh Allah. Dia amat mengetahui dan bijaksana. Peringatkan kepada mereka, sejarah pernah menceritakan kepada kita kisah umat-umat yang telah lalu dan kini. Ianya mengandungi pelbagai pengajaran dan penyedaran. Umat yang berjuang untuk hidup tidak mungkin akan mati.

bersambung...



Antara Semalam Hari Ini - Asy-Syahid Hassan Al-Banna

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters