Wednesday, December 30, 2009

Peranan Pelajar : Edisi 1



Pendahuluan



Dengan nama Allah yang pemurah lagi mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, dan sejahtera ke atas seluruh hambaNya yang terpilih.



Sebelum saya masuk kepada tajuk yang hendak saya sampaikan kepada saudara-saudara, sukalah saya melahirkan perasaan gembira yang tersemat di hati saya. Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam, bahkan di setengah-setengah dunia bukan Islam, wujudnya kumpulan pemuda Islam yang beriman penuh dengan 'akidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.



Gejala ini patut sangatlah mendapat sanjungan, penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu akan tanggungjawab. Mereka ini menunaikan tanggungjawab itu secara aktif dengan penuh kesedaran di pusat-pusat pengajian tinggi dalam semua bidang pendidikan, sekalipun sistem pendidikan di seluruh dunia Islam sekarang ini dikuasai oleh cara berfikir dan tradisi barat.



Adapun tajuk yang ingin saya sampaikan di sini ialah: Apakah peranan yang harus dimainkan oleh pemuda, khususnya pelajar-pelajar dalam membina masa depan dunia Islam?




Keadaan dan masalah yang sama



Sebelum itu saudara-saudara patutlah percaya bahawa perbualan saya ini saya tujukan kepada semua pelajar di seluruh dunia Islam; iaitu satu kawasan dunia yang telah menyerah kalah kepada fikiran dan tamadun barat setelah merengkok secara langsung beberapa lama di bawah penindasan mereka. Setiap cabang kehidupan mereka yang antaranya ialah pelajaran dan pendidikan membayangkan teori-teori dan sistem yang diterima dari barat.



Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama. Kerana itu para pelajar di dunia Islam menghadapi masalah yang sama.



Umat Islam dan bukannya negeri Islam



Perkara kedua yang harus saudara-saudara berikan perhatian, bahawa bukanlah maksud saya dengan NEGERI-NEGERI ISLAM itu sempadansempadan negerinya yang memanjang, bukit bukaunya yang mengawan, sungai-sungainya yang tenang atau air terjunnya yang menjunam. Apa yang saya maksudkan ialah penduduknya yang hidup dalam kawasan-kawasan yang berkenaan.



Adalah diketahui bahawa manusia itu sentiasa terdedah kepada kemusnahan. Setiap orang ada ajalnya yang sudah ditetapkan. Oleh itu hendaklah kita memindahkan dengan amanah, suci dan jujur segala apa yang kita warisi daripada orang terdahulu dari kita kepada generasi akan datang sekiranya kita ingin melihat segala tamadun dan kebudayaan kita kekal di negeri-negeri itu. Bukan ini saja, bahkan kita mesti memupuk supaya generasi akan datang sanggup memikul amanah yang berat ini dengan penuh kemampuan dan kesedaran, agar mereka juga berkesanggupan memindahkan, amanah itu kepada generasi-generasi yang berikutnya.




Hakikat kemusnahan umat



Sesungguhnya umat-umat yang telah lenyap tanpa meninggalkan kesan itu bukanlah ertinya lenyap dari dunia ini, tetapi sebenarnya ialah keruntuhan kebangsaannya dari alam nyata. Maksud kita apabila kita mengatakan bahawa tamadun bangsa BABIL dan FIR'AUN itu telah lenyap, ertinya tamadun bangsa-bangsa itu telah hilang ciri-cirinya ditelan zaman. Adapun generasi bangsa Babil itu masih membiakkan keturunannya, tetapi identiti kebangsaannya telah

lenyap. Begitu juga tamadun bangsa Mesir tua masih kekal di muka bumi, tetapi tamadun yang dikenali dengan nama Tamadun Fir'aun tidak lagi dilihat kesannya.

Segalanya itu ialah kerana generasi mereka yang silih berganti telah hilang kemampuan untuk memindahkan pusaka warisan yang diwarisinya dari generasi yang lalu kepada jenerasi yang lahir selepasnya.



Oleh yang demikian nyatalah bahawa generasi sesuatu bangsa itu apabila hiiang identiti kebangsaannya dan hancur ke dalam identiti yang lain tnaka itulah ertinya bangsa itu telah lenyap dan musnah.



Sejarah telah membuktikan bahawa dua belas golongan dari bangsa Israel telah hilang dan dunia ini dan tidak ditemui oleh sejarah hingga hari ini. Dalam hal ini tidak pula diriwayatkan bahawa mereka telah dibunuh kesemuanya atau telah dilenyapkan asal-usulnya dari muka bumi ini untuk selama-lamanya. Sebenarnya apa yang dimaksudkan dalam hal ini ialah kesedaran keisraelan telah lenyap dari golongan itu dan kesedaran itu tidak berpindah kepada generasi-generasi yang lahuselepas mereka. Apabila lenyap sifat keisraelan dan tamadun keisraelan tadi lalu meresaplah ia ke dalam bangsa-bangsa lain di dunia ini hingga anak cucu mereka sendiri tidak mengetahui yang mereka itu berketurunan Israel.



Dari sini nyatalah bahawa hidup dan kekalnya sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada sikap ingin menyediakan generasi akan datangnya supaya meraka berkemampuan menielihara identiti kebangsaannya. Mungkin inilah tajuk penting yang hendak saya terangkan dengan jelas kepada saudara semua.





Kewajipan memindahkan perbendaharaan tamadun pada

generasi akan datang



Sesungguhnya bumi yang saudara-saudara hidup di atasnya ini telah pun diteroka oleh orang-orang yang terdahulu dari saudara supaya tamadun Islam dapat bertapak di atasnya, supaya dikuatkuasakan pelaksanaan peraturan-peraturan hidup yang mereka anuti dan supaya diperintah oleh undang-undang yang dianggap benar dan peraturan-peraturan sistem kerja yang mereka fikirkan baik.



Perlu kita ingat bahawa kekalnya generasi Islam adalah bergantung penuh di atas usaha generasi yang akan datang untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanannya yang kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia dan yang telah membezakan kita dari bangsa-bangsa lain di dunia.



Sudah pasti bahawa setiap orang Islam tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang masa, dengan syarat ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan perbendaharaan tamadun kepada generasi yang akan datang. Pemindahan ini hendaklah sentiasa berjalan dalam setiap pertukaran generasi.



Sekiranya kita tidak sanggup mengekalkan sifat-sifat istimewa tamadun yang membezakan umat kita itu, dan generasi muda kita pula tercekup dengan tamadun asing, katakan tamadun Amerika umpamanya, lalu terpengaruh dengannya dan terbentuk dengan acuannya tidak lagi dengan acuan tamadun Islam, maka lambat laun bumi ini akan bertukar menjadi bumi Amerika. Ya, generasi Islam akan tinggal di bumi itu, tetapi ianya dibentuk dengan acuan Amerika yang menandakan tamadun Islam tidak lagi kekal di atas bumi yang dikhususkan untuk umat Islam. Itulah yang menandakan kekalnya tamadun lain yang menghapuskan identiti kebangsaan kita atau dengan lebih tepat identiti keislaman kita.



Maka hendaklah saudara-saudara mengamati kedudukan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini dan memahami bagaimana penting peranan masalah ini dalam sejarah.



Masalah ini tidaklah merupakan masalah pelajaran semata-mata, bahkan ianya juga menjadi masalah yang mempunyai hubungan langsung dengan adanya identiti Islam dan juga dianggap menjadi masalah hidup mati identiti itu secara terus menerus.



Hidup kita tidak akan kekal sebagai satu umat Islam melainkan apabila kekalnya anak-anak muda kita yang sedang melalui peringkat pembentukan dan persediaan di pusat-pusat pengajian dan pendidikan. Kekal dalam erti berpegang teguh dengan tamadun Islam, mengibarkan benderanya serta menyeru kepadanya.



*daripada Abul A'ala Al-Maududi

Sedetik Kegembiraan

Bergambar di KLIA sebelum bertolak.


Assalamualaikum wbt, alhamdulillah ke atas nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas diri ini, alhamdulillah di atas kesedaran dan rasa bersalah apabila melakukan sebarang maksiat kerana itu menandakan hati ini masih lagi hidup. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Di dalam flight.

Hehe... Sebenarnya kali ni ana terimbas kembali akan waktu hendak meninggalkan bumi Malaysia bagi menyambung pelajaran ke Jordan di University of Jordan. Sebelum itu ana ada menghantar borang kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan berjaya mendapat tawaran untuk sambung ke sana, akan tetapi ana tidak ke sana kerana hati masih teguh berkata bahawa ana pasti akan mendapat tawaran untuk ke sini insya-Allah. Ada juga tawaran yang dihantar daripada kolej-kolej lain dan semuanya ana ketepikan dengan hanya berpegang kepada harapan yang belum pasti.

Keputusan SPM ana tidak sehebat sahabat-sahabat ana yang lain dan tidak teruk, alhamdulillah atas segalanya. Sewaktu ingin memohon ke sini, ana bertanya kepada ummi dan ayah, meminta persetujuan dan pandangan mereka, walaupun berat untuk bersetuju tetapi mereka sentiasa memberikan semangat. Ummi menyuruh ana bertanya kepada mana-mana graduan universiti-universiti di Jordan akan yang manakah terbaik buat diri ana. Tanpa melengahkan masa, ana menghantar mesej melalui e-mel bertanya kepada Ustaz Hasrizal (saifulislam) dan mendapat jawapan daripadanya. Di sini ana sediakan jawapan balas daripada Ustaz Hasrizal sekadar untuk berkongsi bersama :


"Assalamualaikum.Tahniah ustaz ucapkan atas keputusan peperiksaan yang memberangsangkan.

Ustaz adalah graduan universiti mu'tah. tetapi jika akhi ada keupayaan untuk memilih di antara universiti mu'tah dan university of jordan di amman, maka eloklah dipilih university of jordan di amman.sebabnya banyak, tetapi ustaz ringkaskan bahawa sumber2 ilmu sangat banyak, pelbagai dan hebat di university of jordan, dan bandar amman itu sendiri. malah jumlah pelajar malaysia yang sedikit di amman akan menambahkan lagi peluang anta menguasai bahasa arab dan skill berdikari.

Cuma, masalahnya di university of jordan ni, yurannya mahal. itu sahaja. kalau di uni mu'tah, kosnya masih sama macam dulu
selamat menyambung pengajian...

salam ukhuwwah dari ustaz, wassalamualaikum wbt"


Setelah mendapat jawapan tersebut, ana mengisi borang permohonan dengan meletak University of Jordan pada pilihan pertama, manakala Universiti Yarmouk dan Mu'tah pada kedudukan kedua dan ketiga. Beberapa bulan selepas permohonan di hantar ana mendapat jawapannya yakni beberapa minggu sebelum dihantar untuk menjalani BTN di Ulu Kenas, Perak.

Bersama ustaz pengiring kami dari YIK.

Sebelum itu, pada bulan Januari 2008 sehingga bulan Mei 2008, ana mengisi masa tersebut dengan menyambung pelajaran di Maahad Muhammadi Lilbanin berhajat untuk mengambil STAM. Akan tetapi hajat tersebut tidak kesampaian apabila ana mendapat maklum balas terhadap permohonan untuk ke Jordan.

Airport Bahrain.

Ana dijadualkan bertolak pada pagi 10 September 2008 bersamaan 10 Ramadhan 1429, pada malam sebelum bertolak Ustaz Najib Abdullah Al-Qari datang melawat ke rumah ana lebih kurang pukul 11 malam. Datang memberi kata-kata nasihat dan peringatan dalam mengecapi ilmu di bumi Urdun, barakallahu fiih. Malamnya itu ana tidur dengan nyenyak walapun ummi menyuruh agar meneliti suasana rumah agar nanti tidak terasa begitu rindu. Hehe..

Transit di Bahrain.

Akhirnya tibalah pagi tersebut, ku bersiap memakai kot yang ummi belikan, kami bertolak ke airport selepas bersahur. Ana tidak bersahur kerana tiada selera cuma bangun minum air kosong dan bersiap. Ana bersalaman dengan ummi ayah, memeluk mereka dengan kegembiraan. Gembira bukan kerana sudah tidak dimarahi oleh mereka tetapi gembira kerana dapat menjelajah ke bumi Jordan mencari ilmu, mahupun begitu ana turut diselimuti rasa sedih apabila melihat ummi menangis walaupun perasaan sedih itu akhirnya tenggelam dengan kegembiraan tadi. Perasaan sedih itu dihilangkan saat ana berfikir bahawa jika hayat ini masih berpanjangan nescaya kita akan bertemu lagi. Di samping itu, ana juga gembira kerana nanti ku akan pulang membawa kegembiraan untuk mereka.

Antara perkara yang menaikkan semangatku saat ana putus semangat ialah kata-kata ummi iaitu ana berkeupayaan untuk menjadi seorang pendakwah. Kata-kata itulah yang ana pegang sehingga kini selain Al-Quran dan As-Sunnah yang tiada taranya. Kata-kata semangat oleh seorang ibu, semoga ianya menjadi kenyataan. Kata-kata itulah yang ku bawa ke bumi Jordan ini, berbekalkan semangat serta harapan yang belum pasti.

Di Bahrain bersama sahabat-sahabat.

Ku melangkah ke pintu masuk penerbangan melemparkan senyuman kegembiraan...


Wassalam...

Friday, December 25, 2009

Selamat Berpuasa Hari 'Asyura

Bismillahirrahmanirrahim



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Sempena kedatangan bulan haram ini, didoakan kepada semua pembaca blog ini bertambah amalan kebaikannya, dijauhi daripada segala maksiat, dan bertaubat di atas segala dosa-dosa yang lalu. Semoga ALLAH merahmati kita semua, amiin.

Mari bersama-sama berpuasa pada hari 'Asyura ini agar diampunkan dosa-dosa kita. :D

Thursday, December 24, 2009


Pada 22 Disember 2009 bersamaan hari selasa baru-baru ini telah diadakan Malaysia Day bertempat di Jamiah Yarmouk, Irbid. Program yang dibuat untuk memperkenalkan Malaysia kepada penduduk Jordan yang masih lagi jahil tentangnya.

Program yang dijalankan kali ini sebenarnya kurang mendapat galakan daripada ahli dek kerana masa yang dibuat ialah pada hari pembelajaran. Meskipun dikatakan mendapat surat cuti kepada sesiapa yang terlibat tapi ianya tetap memberatkan hati untuk meninggalkan kelas semata-mata untuk ke sana.

Hari program pun datang menjelma, ana masih lagi ragu-ragu sama ada hendak melibatkan diri mahupun tidak, oleh kerana kasihan kepada ajk yang telah bertungkus-lumus dan berharap agar kami datang, maka ana dan beberapa orang yang lain pun menggagahkan diri untuk ke sana.

Kami bertolak dalam pukul 9 lebih dengan menaiki service memuatkan 5 orang di dalamnya. Lebih kurang jam 10 pagi lebih kami sampai ke Irbid tapi pemandu service pula membuat karenah tidak mahu menghantar kami ke pintu utama Jamiah Yarmouk. Huhu, ana masih lagi mampu bersabar dalam keadaan hati yang panas, kalau hendak diikutkan hati sahabat-sahabat lain mahu saja mereka memperli pemandu tersebut. Akhirnya kami mengalah dan turun di Madinah Riadhiyyah (dikatakan pemandu service tersebut ini adalah raisi, tak reti membaca kot).

Sesampainya kami di dalam jamiah, ana call Ustaz Muhammad bertanyakan akan di manakah majlis tersebut diadakan, mungkin nada ana yang pada masa itu masih terkesan dengan rasa marah kepada pemandu service tadi membuatkan Ustaz Muhammad beranggapan ana marah kepadanya. Astaghfirullah, ana yang masih lagi belum hilang sabarnya ditambah pula dengan dimarahi orang lain. Nak buat macam mana lagi, mengalahlah sebab mungkin kita yang salah dan semua beransur baik.

Setelah beberapa jam berada di sana ana meminta keizinan untuk pulang ke rumah memasak kepada ahli rumah yang lain. Namun dikatakan pula kepada ana untuk bersabar agar nanti dapat pulang bersama. Ana menunggu dan menunggu sehinggalah kepala dah sakit sangat, rasa macam nak marah pada semua orang. Pada ketika itu juga ada budak-budak arab datang buat hal dengan mengambil barang jualan tanpa ingin membayarnya. Panas je dengan mereka masa tu sampai kepala berdenyut-denyut dibuatnya.



Seusainya majlis dan sesudah solat maghrib ana pulang ke rumah seorang diri, tidak tahan menunggu dan melayan karenah sahabat-sahabat (atau mungkin ana sendiri yang banyak karenah... huhu). Ana menghantar mesej kepada Ustaz Hazwan mengkhabarkan bahawa ana pulang bersendirian agar mereka tidak tertanya-tanya ke mana ana menghilang.

Pulang membawa diri dengan menaiki service pada waktu malam, ana tertidur sepanjang perjalanan dan alhamdulillah kerana ianya mengurangkan sedikit sebanyak sakit kepala yang dihadapi. Masalah tidak selesai di situ sahaja, rupa-rupanya service yang ana naiki membawa ana ke Mujamma' Syimali dan tidak melalui jalan ke Sweileh. Jadi terpaksalah mencari bas yang masa itu ada macam tidak ada je. Cari punya cari dan setelah bertanya akhirnya berjumpa dengan coaster ke Sweileh, syukurnya tak terkira. Dalam perjalanan ke Sweileh ana mula berfikir kembali dengan sikap ana terhadap sahabat-sahabat, mungkin telah melukakan sedikit sebanyak hati mereka. Berfikir bahawa Allah ingin menguji tahap kesabaran ana sebermulanya hari tersebut. Allahu Akbar.

Sakit kepala masih lagi berbaki sewaktu sampai di rumah, tidak berapa lama kemudian sahabat-sahabat yang lain sampai ke rumah rupanya rasa marah tu masih ada. Masya-Allah, tak tahulah apa yang ana marahkan sangat tapi yang pasti ana bukanlah jenis orang yang suka menyimpan dendam dan marah kepada orang lain dalam waktu yang lama. Hal ini kerana ana sentiasa teringat akan hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tentang amalan yang tergantung di langit apabila muslim tidak bercakap dengan saudaranya melebihi tiga hari. Semoga ana tidak tergolong dalam golongan tersebut.


Namun, ada satu perkara yang ana amat setuju iaitu kita kadang melebihkan persatuan sehingga mengabaikan tujuan utama kita datang ke sini. Tujuan utama kita datang ke sini bukan untuk berpersatuan bahkan tujuan utama kita adalah untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin. Mungkin akan dikatakan bahawa berpersatuan itu juga menambah keilmuan kita, ana tidak pernah menafikannya serta tidak pernah menafikannya. Akan tetapi apa yang ana hendak tekankan ialah jangan menjadikan tujuan utama kita ke sini untuk berpersatuan kerana persatuan itu hanyalah sampingan untuk mendidik. Hakikatnya kita masih dapat berpersatuan tanpa mengabaikan tujuan utama kita.


Ya Allah, andaikata persatuan itu menghalangku daripada menuntut ilmu-Mu maka janganlah Engkau letakkan aku dalam keadaan tersebut. Berikanlah aku kemudahan dan pengurusan yang cekap dalam menghadapi masalah apabila bertindih antara persatuan dengan menuntut ilmu. Juga berikanlah aku kekuatan untuk beramal dengan ilmuku dalam berkhidmat untuk agama-Mu.

Wednesday, December 23, 2009

Jenis-jenis Najis



Bismillahirrahmanirrahiim


Menyucikan diri itu terbahagi kepada 2:

1. Menyucikan diri daripada najis.
2. Menyucikan diri daripada hadas.


Menyucikan diri daripada najis :

Makna najis : setiap sesuatu yang disifatkan tidak suci.
Makna najis dari sudut syara' : Sesuatu yang dianggap tidak suci dan menegah daripada sahnya solat ; seperti darah dan kencing.


Jenis-jenis najis :

Jenis-jenis najis itu ada banyak akan tetapi disebutkan di sini 7 perkara yang paling penting sahaja :

1 - Arak dan setiap cecair yang memabukkan. Firman Allah SWT :
(إنما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان) bermaksud : '.. sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan...' yakni najis [Surah Al-Maidah : 90]. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam : 'Setiap yang memabukkan itu adalah khamar, dan setiap adalah haram.' [Riwayat Imam Muslim : 2003 ; daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma.]

2 - Anjing dan Babi : Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam :
(طهور إناء أحدكم إذا ولغ فيه الكلب أن يغسله سبع مرات أولاهن بالتراب) [Riwayat Imam Muslim : 279]. Dan di dalam riwayat Imam Daruqutni (1/65) :(إحداهن بالبطحاء)

* maksud ولغ : minum, البطحاء : batu kecil dan dimaksudkan dengannya ialah tanah.

3 - Bangkai : Ia adalah setiap haiwan yang mati tanpa disembelih mengikut syara', firman Allah SWT : (حرمت عليكم الميتة) bermaksud : 'Diharamkan bagimu (memakan) bangkai...' [Surah Al-Maidah : Ayat 3]. Dan pengharamannya disebabkan kerana ianya adalah najis.

Termasuk juga di dalam hukum bangkai ini ialah apa yang disembelih kerana berhala, juga apa yang tidak disebut padanya nama Allah, firman Allah Ta'ala :
(وما أهل لغير الله به) bermaksud : '.. dan apa yang disembelih atas nama selain Allah...' [Surah Al-Maidah : Ayat 3].

Terkecuali daripada najis bangkai ialah :

Pertama : Mayat manusia : firman Allah SWT : bermaksud : 'Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam...' [Surah Al-Isra' : Ayat 70]. Berdasarkan kepada kemuliaan itu manusia menjadi suci sama ada hidup mahupun mati. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam : 'Maha Suci Allah, sesungguhnya orang muslim itu tidak najis.' [Riwayat Imam Bukhari : 279]. Atau sebagaimana kata Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma : 'Orang muslim itu tidaklah najis hidup mahupun mati.' [Riwayat Imam Bukhari dikaitkan dengan jenazah, dalam bab Mandi jenazah dan wudhu'nya.]


Kedua dan Ketiga : Ikan dan belalang : Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam :
(أحلت لكم ميتتان ودمان, فأما الميتتان فالحوت والجراد, وأما الدمان فالكبد والطحال) [Riwayat Ibnu Majah].

4 - Darah yang mengalir (termasuk dalamnya ialah nanah) : Firman Allah Ta'ala : bermaksud : '.. atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana sesungguhnya semua itu kotor..' [Surah Al-An'am : Ayat 145]

Terkecuali daripada najis darah ialah : الكبد dan الطحال sebagaiman disebutkan di dalam hadith sebelum ini.

5 - Kencing manusia dan tahinya, juga kencing haiwan dan tahinya :

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari (217) dan Muslim (284) bahawa ada seorang arab kencing di dalam masjid, maka bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam :
(صبوا عليه ذنوبا من ماء) yakni baldi, dan arahan untuk menyimbah air ke atasnya dalil menunjukkan ianya adalah najis.

6 - Setiap bahagian yang terputus daripada haiwan sewaktu hidupnya maka ia adalah najis. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam : 'Apa yang terputus daripada haiwan maka ia adalah bangkai.' [Riwayat Imam Hakim dan disahihkannya.]

Terkecuali daripadanya rambut dan bulu haiwan yang halal dimakan dagingnya kerana sesungguhnya ia adalah suci. Firman Allah : bermaksud : '.. dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).' [Surah An-Nahl : Ayat 80]


7 - Susu haiwan yang tidak dimakan dagingnya : seperti himar dan seumpamanya, kerana susunya adalah seperti dagingnya, dan dagingnya itu adalah najis.




* Rujukan Fiqhul Manhaji, m/s 37 - 40, Dar Al-Qalam, 2008. Berdasarkan mazhab Imam Asy-Syafi'i

Monday, December 21, 2009

Hadith Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam


Kedudukan Hadith Nabawi Yang Mulia

Adakah kamu mendapati di dalam Al-Quran Al-Karim bilangan solat-solat yang difardhukan? Juga berapakah bilangan rakaat setiap solat?

Sesungguhnya kamu tidak akan menjumpainya di dalam Al-Quran Al-Karim, akan tetapi kamu dapati ianya dijelaskan melalui hadith nabi, ia adalah sumber kedua Islam dalam setiap penjuru kehidupan.

Adapun dalil yang menunjukkan akan kedudukan hadith nabawi ialah sebagaimana berikut :

1. Sesungguhnya ia adalah wahyu daripada Allah Ta'ala, dalilnya ialah
(وما ينطق عن الهوى إن هو إلا وحي يوحى) [Surah An-Najm : 3-4], kalimah هو di sini kembali kepada ينطق yang bermaksud : 'Tidaklah apa yang dituturkannya shallallahu 'alaihi wasallam itu kecuali wahyu daripada Allah Ta'ala', ayat ini didatangkan di dalam bentuk الحصر , maka semua apa yang diucapkan olehnya shallallahu 'alaihi wasallam Quran mahupun hadith adalah daripada Allah Ta'ala, akan tetapi Al-Quran Al-Karim diwahyukan dengan lafaz dan makna, manakala hadith diwahyukan dengan makna sahaja.

2. Hubungan hadith dengan Al-Quran Al-Karim :

- Mengukuhkan
- Menjelaskan
- Mengkhususkan
- Mengikat
- Menambah


A. Hadith Nabawi itu mengukuhkan/menguatkan, Al-Quran Al-Karim menggesa manusia solat di dalam ayat-ayatnya, datang pula hadith mengukuhkan lagi hal tersebut dengan turut menggesa manusia bersolat.

B. Hadith Nabawi menjelaskan, iaitu menjelaskan apa yang termaktub di dalam Al-Quran.

Contoh : Al-Quran menyuruh manusia untuk solat tanpa di terangkan caranya, maka datanglah hadith menjelaskan cara solat.

C. Hadith Nabawi mengkhususkan, sesungguhnya kebanyakan ayat-ayat Al-Quran datang dengan kaedah umum, maka datang hadith mengkhususkan, yakni mengecualikan daripada kaedah tersebut.

Contoh : Allah SWT berfirman : (حرمت عليكم الميتة والدم) bermaksud "Diharamkan ke atas kamu bangkai dan darah." [Surah Al-Maidah : 3], maka datang hadith mengecualikan bangkai ikan dan belalang daripada hal tersebut.

D. Hadith Nabawi mengikat dengan Al-Quran Al-Karim, iaitu hadith menyebut hukum syar'i syarat yang tidak disebut oleh Al-Quran Al-Karim, firman Allah Ta'ala :
(والسارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله والله عزيز حكيم) [Surah Al-Maidah : 38], di dalam ayat tersebut tidak dinyatakan apakah syarat sehingga mewajibkan tangan seseorang itu dipotong, maka dijelaskan hal tersebut oleh hadith seperti dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam : 'Dipotong tangan seseorang itu apabila dia mencuri 1/4 dinar atau ke atas.' atau sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

E. Hadith Nabawi mendatangkan hukum baru yang tidak terdapat di dalam Al-Quran sekalipun.

Contoh : Hukuman rejam ke atas penzina sudah berkahwin.


Adakah mencukupi Al-Quran tanpa Hadith?

Bertanya sebahagian manusia 'Bukankah mencukupi dengan Al-Quran sahaja? Bukankah di dalamnya terkandung segala-galanya? Sebagaimana firman Allah Ta'ala :
(ما فرطنا في الكتاب من شيء) [Surah Al-An'am : 37]'. Jawabnya :

* Jikalau kitab yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah Lauh Mahfuz maka tidak sangsi baginya kerana kalam di sini adalah daripada Al-Quran dan bukan daripadanya. Adapun jika yang dimaksudkannya ialah Al-Quran maka jawabnya :

* Sesungguhnya Al-Quran Al-Karim dialah yang menyuruh kita untuk mengikut hadith, firman Ta'ala : (وما ءاتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا واتقوا الله إن الله شديد العقاب) [Surah Al-Hasyr : 7], telah diarahkan kita supaya mengikut Rasul shallallahu 'alaihi wasallam serta diingatkan akan azab yang besar di akhir ayat tersebut bagi sesiapa yang tidak mengikutnya, maka sesiapa yang menolak hadith sesungguhnya dia turut menolak Al-Quran.

* Jika kita tidak menerima dan mengambil daripada hadith nescaya tidaklah kita dapat menunaikan solat, kerana Al-Quran tidak menjelaskan dengan jelas berapakah solat yang difardhukan sehari-hari, tidak diterangkan berapakah bilangan rakaat dalam setiap solat, tidak menjelaskan panjang lebar tentang syarat-syarat solat, rukun-rukunnya, serta perkara yang membatalkannya. Maka bagaimanakah hendak kita menunaikan solat tanpa berpandukan kepada hadith? Jika inilah halnya dengan solat dan ia adalah tiang agama, maka apa pula yang kau fikir tentang aqidah dan syariat-syariat Islam?

Begitulah jelas kepada kita sesungguhnya orang yang menyeru bahawa Al-Quran itu sudah mencukupi adalah orang yang jahil tentang kedudukan sunnah, atau mereka orang yang tidak menyukai Al-Quran kerana mereka benci Islam Quran dan Sunnah. Sesungguhnya 3/4 daripada Islam terdapat di dalam Hadith Nabawi, mereka yang meninggalkan hadith menginginkan kehancuran Islam.


* Rujukan : Al-Minhaj Al-Hadith fi Ulum Al-Hadith, Ustaz Dr. Syaraf Qudhoh, m/s 9-11, Academic for Publishing & Distribution, 2004.

Harapan, Realiti dan Kehidupan

Assalamualaikum wbt, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat dan setiap pengajaran yang dianugerahkan-Nya kepada manusia.



Semalam, kami (Bayt A'azab), Ustaz Shahrul, Ustaz Mus'ab, dan Shabil keluar menjamu selera di Mat'am Riffi meraikan kepulangan Adik Syed Iqbal bagi menyambung pembelajarannya di SMA Pulau Tawar. Beliau adalah anak kepada salah seorang ustaz yang amat kami segani di sini. Terasa satu pemergian dalam diri ini, sunyi dan bimbang. Namun semuanya hanya dapatku rungkaikan dengan harapanku kepadamu, menjadi manusia yang berguna, berdoa agar tidak hilang arahmu dalam menharungi masa remaja. Jangan kau lupakan saat kita di sini, mengambil ibrah dan mau'izah di bumi ini.

Syed Iqbal, pelapis generasi mendatang.

Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah semalam, ku teringat akan kehidupanku di MTAQ. Masih lagi segar dalam fikiran bagaimana diri ini suka memencilkan diri dengan berseorangan. Namun begitu masih ada sahabat-sahabat yang mendampingiku, menegur akan kesalahanku, membuka ruang lingkup fikiranku. Pada ketika itu ku sangat membencikan sahabat-sahabat yang kurang akhlaknya, benci akan sikap mereka yang menyalahi disiplin. Ku cuba menghindarkan diri daripada mereka dan mereka juga tidak senang akan sikapku.

Masa berlalu merentasi segala realiti, kini ku sudah menjejakkan diri dalam alam mahasiswa. Hilang segala kebencian terhadap semua sahabat, terasa amat mudah untuk menerima pandangan-pandangan yang dahulu ku amat 'anti' dengannya. Rindu terhadap sekalian sahabat membuak-buak dek kerana saat-saat akhir perpisahan kami itu diakhiri dengan senyuman serta kemesraan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Indahnya persahabatan jika didirikan atas erti ukhwah sebenar.

Kenangan bersama.

Junior-junior mula memenuhi kekosongan kami, kami berpecah ke sana sini. Menuju arah masing-masing dalam mengejar redha Ilahi. Sedar mahupun tidak, fasal awal tahun kedua di sini sudahpun menghampiri hujungnya. Setahun lebih sudah kuhabiskan masaku di sini, mencari pengalaman dan membuka kotak fikiran.

Bergambar bersama sebelum pulang ke rumah.

Tidak dilupakan juga kepada Ustaz Mahyeddin yang sedikit sebanyak memberi teguran kepada kami di sini. Beliau telah ditakdirkan najah di dalam imtihan syamil dan sekarang sudah berpangkat M.A, pada hari Jumaat baru-baru ini bersamaan 18 Disember beliau pulang ke tanah air menyambung bakti di USIM mengajar akan erti kehidupan. Semoga Allah memberkati beliau.

Sebenarnya pada tahun ini banyak peristiwa-peristiwa bermakna telah berlaku, terhimpun di dalamnya kesedihan dan kegembiraan, semoga ia diabadikan dalam kenangan. Antara pemergian yang tidak disangka-sangka ialah pulang Almarhum Ustaz Arman ke rahmatullah. Beliau adalah Atase Pendidikan di MSD, banyak mengajar dan menolong kami dalam berpersatuan. Tiada yang dapat membalas kebaikannya kecuali Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ku doakan beliau ditempat dalam kalangan orang-orang soleh serta para Rasul dan Anbiya'.

Ya Allah berikanlahku kekuatan dan iltizam dalam mengharungi kehidupan di dunia-Mu ini, jangan Kau biarkan aku tersungkur dan jatuh ke lembah hitam maksiat, kejahilan dan azab. Sebaliknya Kau pimpinlah aku untuk berdiri dan kukuh di atas jalan kebenaran, ilmu dan nikmat-Mu agar aku mampu menyumbang kekuatanku dalam menegakkan kalam dan Deen ini.
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters