Sunday, February 5, 2012

Hafizahullah 2



Gagalnya rancangan membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

Lelaki itu masuk ke Masjid Nabawi namun tidak menemukan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalamnya, apabila ditanyakan dikatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ke perkampungan Bani Abdul Asy’al menziarah mereka.

Tanpa berlengah, dia berangkat ke sana sambil membimbit khanjar di dalam bajunya menuju ke perkampungan Bani Abdul Asy’al. Setelah sampai, dia menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkarangan masjid berbicara dengan penduduk di situ.

Tunggangannya pun diikat sebelum menghala kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam… Pada masa yang sama, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sudah pun dapat melihat kelibat lelaki itu dari jauh dan ketika itulah Allah SWT menurunkan wahyu mengkhabarkan perihal lelaki tersebut, pekerjaannya yang tercela serta apa yang berlaku antaranya dan Abu Sufyan.

Setelah diturunkan wahyu, dengan serta-merta Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum akan halnya lelaki itu sebelum dia sampai kepada mereka :  ‘Lelaki ini mahu mengkhianati kita, dan Allah-lah pendinding antara dia dan apa yang dia ingini.’

Para sahabat dengan tangkas menangkap maksud Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berawas dengannya, dan orang yang paling hadapan dalam kalangan mereka ialah Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu.

Sampailah lelaki itu kepada mereka yang duduk di sekeliling Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengajukan soalan kepada mereka : ‘Siapakah di antara kamu anak kepada Abdul Muttalib (Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga digelar anak Abdul Muttalib)?’

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab : ‘Akulah anak Abdul Muttalib!’

Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam yang pada ketika itu sedang duduk bersama para sahabat radhiallahu ‘anhum menerima kedatangannya, berpaling menghadapnya seolah-olah lelaki itu mahu berbicara sesuatu yang rahsia sedangkan niatnya adalah untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan memudahkannya mengeluarkan khanjar miliknya itu dengan cepat serta segera membunuh baginda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Akan tetapi perlakuannya itu diperhatikan oleh sahabat-sahabat radhiallahu ‘anhum yang telah diperingatkan untuk berawas dengannya, dan inilah kecuaian lelaki itu serta kelalainnya! Para sahabat mengetahui niatnya yang buruk, dan dengan itu makin bertambahlah rasa pengawasan mereka.

Oleh yang demikian, dia tidaklah hendak memuliakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dan sebelum dia menyeluk mengambil khanjarnya, Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu menarik bajunya dengan tarikan yang kuat seraya berkata : Jauhkan dirimu daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Lelaki itu menarik kembali bajunya, namun gerakan Usaid itu pantas maka dia ikuti dengan gerakan lain iaitu menariknya dari dalam selendang (izar) lelaki tersebut sehingga terberai ikatan selendang itu dan menampakkan senjata yang tersembunyi yang disediakan untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jelas kelihatan senjata yang dibangga dan disombongkannya sebelum dia mencapai tujuannya.

Tatkala itu, bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sekali lagi kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum : Lelaki ini pengkhianat!

Para sahabat menangkapnya, mengambil senjatanya, dengan itu Allah menjaga Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam, melindunginya daripada musuh-musuhnya, mereka melakukan perancangan dan Allah juga mempunyai perancangan, sesungguhnya Allah-lah sebaik-baik perancang.

Jatuhlah senjata tersebut dari tangannya dan dia tahu bahawa rancangannya untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah gagal dan dikalahkan, dan inilah dia sekarang ditangkap oleh kaum muslimin!

Dia pun segera berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam : Darahku, darahku, wahai Muhammad!

Yakni : Aku rayu kepadamu supaya tidak menumpahkan darahku walaupun aku berhak untuk dibunuh tetapi aku mengharapkan keampunanmu!!

Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu memegang ketat baju lelaki tersebut dengan kuat serta menyiasat dengan siasatan yang teliti supaya perasaan takut dan panik menyelubungi dirinya lalu mengetahui apakah rencana lelaki itu.


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memaafkan arab badwi dan membentangkan kepadanya Islam

Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada si badwi : Bercakap benar denganku : Siapakah kamu? Apa yang menyebabkanmu datang ke sini? ... Jika engkau berkata benar maka kamu akan mendapat faedah! Namun andai kamu menipuku maka binasalah dirimu, sesungguhnya Allah telah mengkhabarkan kepadaku apakah rencanamu!

Rasul ‘alaihissolatu wassalam sememangnya mengetahui apakah yang berlaku antaranya dan Abu Sufyan sedangkan ia adalah perjumpaan rahsia di rumah Abu Sufyan di Mekah, perjumpaan yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia! Siapakah yang memberitahu Muhammad sedangkan dia di Madinah? Dia-lah Allah (yang mengkhabarkan peristiwa tersebut)! Dan ini membuktikan bahawa Muhammad itu ialah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

Berkata arab badwi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam : Jika aku ceritakan adakah aku terjamin (keselamatan)?

Rasulullahu shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab : Katakanlah dan kamu selamat!
Dia terus menceritakan dengan terperinci, semenjak pertemuannya dengan Abu Sufyan di rumah beliau, bersepakat atas perbincangan teliti itu sehingga kedatangannya ke Madinah!

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian mengarahkan Usaid bin Hudhair radhiallahu ‘anhu untuk mengikatnya.

Adapun pada keesokan harinya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil lelaki badwi itu dan berkata : Telah aku maafkan dirimu, maka pergilah ke mana yang kau mahu!

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih menunjukkan akhlak kenabiannya yang tinggi apabila berdepan dengan badwi yang datang hendak membunuh baginda, bahkan baginda memaafkan beliau.

Sebelum si badwi meninggalkan majlis bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda sempat membentangkan kepadanya Islam, berkata kepadanya : Apa pandanganmu terhadap sesuatu yang lebih baik daripadanya?

Berkata si badwi : Apakah ia?

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam : Kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah Rasul Allah!

Si badwi itu segera mengatakan keIslamannya di hadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dia pun berterus terang terhadap satu perkara yang ajaib, dia berkata : Wahai Rasulullah : Aku adalah lelaki yang berani tidak gentar, tidak aku takuti lelaki  walau bagaimana keadaan mereka sekalipun kecuali engkau wahai Rasulullah, aku tidak tahu apa yang berlaku ke atas diriku apabila aku melihatmu! Demi Allah, tidak aku melihatmu kecuali hilang akalku (tumpuanku), diriku menjadi lemah, dipenuhi perasaan takut dan kagum! Allah telah pun mengkhabarkan kepadamu apa yang aku bertekad untuk lakukan yang tiada seorang pun mengetahuinya kecuali aku dan Abu Sufyan, lalu aku mengetahui bahawa dirimu dijaga (oleh Allah) dijauhi (dari keburukan), dan sesungguhnya Allah memelihara dirimu serta melindungimu! Ini bererti engkau berada atas kebenaran dan puak-puak Abu Sufyan itu puak Syaitan berada atas kebatilan!

Kata-katanya sebagai seorang badwi muslim itu telah membuatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tersenyum mendengarnya.

Dengan itu gagallah perancangan Abu Sufyan pembesar Mekah untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Allah membalas tipu daya tersebut umpama dia menyembelih dirinya… Apabila Abu Sufyan mengetahui hal itu bertambah-tambahlah kekecewaannya dan penyesalannya, memaksa dia untuk berfikir akan cara yang lain bagi menghadapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam!

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters