Tuesday, October 6, 2009

WASIAT DAN KEWAJIPAN


Wahai saudaraku, dengarlah!

Apa yang saya mahu daripada kalimah-kalimah ini ialah untuk membentangkan fikrah anda kepada di hadapan anda sekalian. Boleh jadi detik-detik getir sedang menanti kita menyebabkan kita akan berpisah. Pada ketika itu, saya tidak lagi dapat bercakap atau menulis kepada kamu. Oleh itu, saya berwasiat kepada anda sekalian; telitilah kalimah ini, ingatilah ianya sedaya upayamu dan bersatulah padanya. Sesungguhnya kalimah-kalimah ini mengandungi erti yang amat padat.



Wahai saudaraku;

Anda sekalian bukan satu pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, juga bukan suatu badan yang
dibentuk untuk tujuan-tujuan terbatas. Anda sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hari ummat ini dan dihidupkan dengan Al-Quran. Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak keterlaluan jika anda merasakan bahawa anda adalah penanggung beban kenabian setelah semua manusia enggan melakukannya. Andainya anda ditanya, kamu mengajak kepada apa...? Katakanlah, kami mengajak kepada Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Pemerintahan adalah sebahagian daripada ajarannya. Kebebasan adalah salah satu dari tuntutannya. Jika dikatakan kepada anda... ini adalah politik. Katakanlah inilah dia Islam dan kami tidak tahu pembahagian seperti ini (pembahagian politik dengan Islam).


Andai kata mereka mengatakan kamu penyeru revolusi. Katakanlah, kami adalah penyeru kebenaran dan kedamaian. Jika kamu mengganggu dan menghalang dakwah kami, Allah telah membenarkan kami mempertahankan diri dan kamu adalah pengacau yang zalim. Andainya dikatakan kepadamu; kamu meminta bantuan dari orang tertentu atau mana-mana pertubuhan. Katakanlah, kami hanya beriman kepada Allah sahaja dan kami kufur dengan segala sekutu-sekutunya. Jika mereka berkeras meneruskan permusuhan mereka, katakanlah... kami tidak mahu orang-orang yang jahil.



Wahai saudaraku,

Berimanlah kepada Allah, berbanggalah dengan mengenali dan bergantung kepada-Nya. Jangan kamu takut dan gerun selain dari-Nya. Tunaikanlah segala kewajipanmu kepada-Nya, dan jauhilah larangan-Nya.
Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia dan sempurna. Jadilah orang-orang yang mantap dengan akhlak, mulia dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu iaitu kemuliaan orang mukmin dan orang-orang yang bertaqwa.


Hayati dan kajilah Al-Quran. Bincangkanlah sirah Nabimu. Jadilah orang yang beramal dan bukannya orang yang suka bercakap dan berdebat (dalam hal yang sia-sia). Bila Allah memberikan hidayah kepada seseorang, maka diberinya ilham untuk beramal. Sesuatu kaum itu tidak sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali orang-orang yang berdebat. Kasih mengasihanilah di antara kamu dan jaga serapi-rapinya ikatan kamu kerana ia merupakan kekuatan rahsia kamu dan tunjang kejayaan kamu. Teguhkanlah dirimu sehingga Allah membuka di antara kamu dan kaummu dengan kebenaran. Dialah sebaik-baik Pembuka. Dengar dan patuhlah kepada pemimpin kamu di masa susah dan senang, ketika sihat dan lesu. Mereka adalah simbol fikrah kamu dan penghubung di antara kamu. Selepas itu, tunggulah kemenangan dan sokongan daripada Allah. Peluang tetap akan datang dan janganlah ragu.


Pada hari itu orang-orang mukmin akan merasa gembira dengan pertolongan Allah, Allah akan menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia Maha Berkuasa lagi Maha Penyayang. (Ar-Ruum)




dipetik daripada : Antara Semalam dan Hari Ini oleh Asy-Syahid Hasan Al-Banna

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters