University of Jordan dan Masjid Abd. Rahman b. 'Auf Alhamdulillah, sudah sebulan lebih bercuti dan berhari raya, esok tiba masanya untuk meneruskan kembali episod sebuah perjuangan ini.
Dalam masa sebulan lebih ini juga aku telah mempelajari banyak perkara daripada sahabat-sahabatku dan ustaz-ustaz di sini, mempelajari bagaimana untuk lebih memahami dan mengambil ibrah.
Manusia itu tidak lepas daripada perasaan megahnya, bangga akan pencapaiannya yang serba boleh, ingin menjadi hebat lebih daripada orang sekeliling. Begitulah juga diriku, tidak lepas daripada semua itu, tapi tiap kali aku didatangi perasaan sedemikian, datang satu bisikan berkata bahawa kau salah. Kau sememangnya tidak layak memikul amanah tersebut. Astaghfirullah, apa yang telah aku sombongkan?
Ramadhan telah pun berlalu pergi, kumerasai kesedihan dan juga kegembiraan. Jika dapat kugambarkan yang manakah lebih mempengaruhi hati saat berlalunya Ramadhan tentulah jelas kelihatan bahawa kegembiraan mengatasi kesedihan. Namun, aku disergah pada malam raya pertama oleh tazkirah ringkas seorang ustaz di sini kepada kami semua. Kesedihan meninggalkan Ramadhan mengatasi kegembiraan Syawal itulah yang menandakan bahawa tarbiyah Ramadhan telah kita berjaya harungi.
Esok adalah satu lagi hari yang aku mesti tempuhi, rupa paras sahabat-sahabatku di jami'ah makin terbayang-bayang di dalam fikiran ini. Tidak sabar rasanya untuk berjumpa dengan mereka, tidak sabar rasanya untuk menambah input berguna, tidak sabar rasanya untuk mengisi masa yang lapang ini, juga tidak sabar rasanya untuk melakukan 'improvement' diri bagi fasal akan datang.
Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan, dan kecekalan dalam mengharungi dunia-Mu ini serta melaksanakan amanah yang Engkau anugerahkan. Berikanlah aku kebijaksanaan, kecergasan, dan hidangilah rohku dengan makanan rohani. Ampunilah dosa-dosaku, dosa ibu bapaku, guru-guruku, adik-beradikku, para sahabatku dan semua kaum Muslimin dan Muslimat. Tempatkanlah kami di Syurga-Mu yang tertinggi. Amiin ya Rabb.
0 comments:
Post a Comment