Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
Sempat juga bersua dan meluangkan sedikit masa untuk blog ini, sekadar menyebarkan usaha kecil untuk menterjemah satu tajuk daripada sebuah buku. Khas untuk projek terjemahan yang dianjurkan oleh Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA) tapi rasanya tidak salah untuk berkongsi di samping memperbaiki kesilapan yang ada dan memantapkan lagi terjemahan pada masa akan datang.
Anda dialu-alukan untuk komen =)
Perancangan Abu Sufyan menentang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam :
Pertembungan antara kaum muslimin dan quraisy semakin hari semakin meningkat bermula selepas peperangan Ahzab pada tahun kelima hingga ke perdamaian Hudaibiyah pada penghujung tahun keenam, dan tahun itu menjadi saksi terhadap banyaknya pertembungan antara muslimin dan musyrikin yang menyebabkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membentuk beberapa kumpulan jihad serta melancarkan peperangan-peperangan kecil bagi menentang orang-orang kafir!
Pada permulaan tahun keenam, Abdullah bin Unais radhiallahu ‘anhu telah Berjaya menenangkan kaum muslimin dengan pembunuhan pemuka orang kafir, Sufyan bin Khalid Al-Huzali berdekatan Kota Mekah, kerana sesungguhnya dia pernah menyediakan seangkatan tentera yang besar untuk memerangi Madinah, oleh sebab itu terpecahlah tenteranya! Al-Huzali itu tidak lain tidak bukan adalah sekutu pembesar Mekah, Abu Sufyan… Maka tiada lagi bagi Abu Sufyan sekutu kuatnya.
Pada tahun yang sama, Muhammad bin Muslimah serta saudaranya (redha Allah ke atas mereka) turut berjaya menenangkan muslimin dari serang hendap Tsumamah bin Utsal Al-Hanafiy, Ketua penduduk Yamamah selaku sekutu kedua terkuat Abu Sufyan yang telah menyediakan barisan tentera yang lain untuk memerangi Madinah sehingga berpecah-pecah tenteranya… Peristiwa tersebut berakhir dengan pengislaman Tsumamah bin Utsal (redha Allah ke atasnya) lalu dilancarkan perang ekonomi terhadap kaum Quraisy, menghalang sumber gandum mereka! Hilanglah Abu Sufyan sekutunya yang kedua!
Abu Sufyan adalah orang yang rugi di hadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sudah jatuh ditimpa tangga, selepas pusingan didatangkan pusingan yang lain. Kerana di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu adanya Allah, memberikan taufiq, pertolongan dan bantuan!
Abu Sufyan mengutuskan seseorang membunuh Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam :
Abu Sufyan tidak lagi mempunyai sebarang pilihan di hadapannya kecuali melakukan pilihan terakhir tersebut, iaitu membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam! Dengan perancangan itu dia menawarkan tawaran kepada sesiapa yang mampu membunuh baginda.
Dia memulakan langkah terhadap perancangannya itu dengan membawakannya kepada penasihat-penasihat yang berdekatan tanpa sesiapa di sisi mereka, kemudian Abu Sufyan berkata kepada mereka : Tidakkah kamu mendapati seorang lelaki yang kita percayai untuk melakukan operasi pembunuhan Muhammad ini! Dia telah memasuki pasar-pasar, keluar dan masuk darinya sedangkan membunuhnya itu lebih senang dan dipermudahkan bagi kita! Kita mampu membalas dendam terhadapnya dan mampu berehat daripadanya!.
Mereka lalu berkata : Kami akan berbuat demikian, kami carikan seorang lelaki yang mahir, bijak dan berpengalaman dalam hal ini.
Mereka pun mencari lelaki pembunuh upahan yang mahir dan didatangkan untuk menghadap Abu Sufyan!.
Lelaki itu masuk ke rumah Abu Sufyan berjumpa dengannya sambil menjaga keselamatan dirinya daripada dikenali dan dilihat oleh manusia, di rumah itulah diadakan perjumpaan sulit yang tertutup… membuat perancangan untuk membunuh baginda Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam.
Si lelaki itu berkata : ‘Aku sanggup untuk membunuh Muhammad dan aku mampu untuk melakukannya serta aku mempunyai pengetahuan yang cukup akan jalannya, caranya juga telah kucipta sebuah rancangan yang teliti untuk itu… Di sisi ku juga terdapat sebilah Khanjar (sebilah pisau melengkok) yang tajam, khusus untuk membunuh di samping ianya dapat kusembunyikan di dalam bajuku tanpa sesiapa mengetahui dan merasai kewujudannya. Jika engkau bertekad atas perkara tersebut, maka selayaknya engkau serahkan tugasan tersebut kepadaku. Sesungguhnya akulah orangnya!’
Abu Sufyan menjawab : ‘Kaulah sahabat kami, dengan ini kuserahkan tugasan ini kepadamu!’
Lalu persetujuan termeterai antara mereka berdua, Abu Sufyan turut menyerahkan kepada lelaki itu seekor unta, sedikit bekalan dan duit sebagai pampas an. Sebelum lelaki itu keluar, Abu Sufyan sempat berpesan :
‘Kau mesti berhati-hati lebih daripada biasa, rahsiakan perkara ini daripada manusia, jangan sekali-kali menceritakannya walau terhadap orang yang paling dekat denganmu, kerana jika mereka mengetahu berita ini pasti ia akan tersebar sehingga ke pengetahuan Muhammad serta sahabatnya.’
Lelaki tersebut membalas : ‘Tiada siapa yang akan mengetahuinya kecuali kau dan aku!’ Dan berlalu keluar dari rumah Abu Sufyan dengan mempersiapkan khanjarnya untuk berangkat menuju ke Madinah bersama unta yang disediakan oleh Abu Sufyan.
Perjalanan lelaki itu mengambil masa 5 hari berturut-turut dari Mekah ke Madinah dan pada subuh hari keenam sampailah dia ke sana. Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang menginginkan Islam dan ingin belajar tentangnya.
Bersambung...
______________________
Rujukan :
1) Kitab صور من جهاد الصحابة, karangan Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, m/s 139-141, cetakan ke-3, 2009, Darul Qalam.
______________________
Rujukan :
1) Kitab صور من جهاد الصحابة, karangan Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, m/s 139-141, cetakan ke-3, 2009, Darul Qalam.
0 comments:
Post a Comment