Tuesday, March 15, 2011

Bercakap Dengan Diri Sendiri

APA YANG ANDA KATAKAN TERHADAP DIRI SENDIRI JAUH LEBIH PENTING DARIPADA APA YANG ORANG LAIN KATAKAN TERHADAP ANDA. OLEH ITU, KATAKAN SESUATU YANG POSITIF KEPADA DIRI SELALU, ITU PETANDA ANDA TELAH BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI…
INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

Syarat utama bagi kejayaan dalam sesuatu komunikasi (perhubungan) ialah kepercayaan. Yang dimaksudkan dengan kepercayaan dalam perhubungan ialah rasa percaya seseorang terhadap orang yang dihubungi – jika perhubungan itu keluar. Atau kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri – jika perhubungan itu ke dalam diri sendiri.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.  Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

Komunikasi dalaman, sangat berkait dengan kepercayaan terhadap diri sendiri. Sedangkan komunikasi luaran berkait dengan kepercayaan terhadap orang lain. Kita akan gagal berkomunikasi dengan diri sendiri jika kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi lemah. Dan begitu juga, kita akan gagal berkomunikasi dengan orang lain jika kita tidak ada sifat saling percaya-mempercayai.


Sikap tidak mempercayaai diri sendiri adalah lebih merosakkan kita daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Orang yang tidak percaya akan kemampuan, kebolehan dan kelebihan dirinya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Oleh itu, kita mestilah selalu mempertingkatkan kepercayaan terhadap diri sendiri, untuk membolehkan kita melakukan ‘self motivated’. Dan salah satu cara untuk ‘self motivated’ ialah dengan melakukan komunikasi dalaman.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita selalu memperkatakan tentang bagaimana seseorang dapat  membantu seseorang yang lain melalui perantaraan komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu dirinya sendiri melalui perantaraan komunikasi. Apakah kita perlu bercakap-cakap dengan diri sendiri? Apakah ini gila namanya? Kalau boleh, bagaimana? Bagaimanakah yang dikatakan kita sedang berkomunikasi dengan diri sendiri?


Antara dua bahagian komunikasi ini, komunikasi dalaman mempunyai  kesan yang besar pada manusia. Sayangnya, ia selalu diabaikan dan dipinggirkan berbanding komunikasi luaran. Tidak seperti komunikasi luaran yang kerap dititik-beratkan, dijaga dan dipelajari, komunikasi dalaman kekadang tidak dipedulikan lansung, apalagi hendak dipertingkatkan Manusia kerap kali mementingkan hubungannya dengan manusia lain, tanpa menyedari bahawa dia juga amat perlu untuk berkomunikasi dengan dirinya sendiri. Inilah yang dikatakan komunikasi ke dalam diri.

Kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika kemampuannya tinggi, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam hidupnya.

Banyak faktor yang menentukan kemampuan atau tahap komunikasi dalaman. Antaranya yang paling utama ialah faktor keyakinan. Keyakinan mempunyai kesan yang sangat besar kepada pancaindera yang lima bila berdepan dengan respon. Siapa yang mempunyain keyakinan yang kuat, maka pancainderanya juga akan kuat untuk mentafsirkan, merasai dan memberi gambaran yang positif terhadap respon yang dihadapinya.

Keyakinan pula dibentuk oleh ibu-bapa, suasana, kawan, guru dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup. Jika keyakinan kita positif, maka positif jugalah komunikasi dalaman yang berlaku ke dalam diri kita. Orang yang mempunyai keyakinan yang kuat dan positif, akan menjadi seorang yang rajin, positif dan optimis. Sebaliknya, jika keyakinan seseorang lemah, maka seseorang akan menjadi malas, negatif dan pesimis.

Faktor kedua ialah percakapan terahadap diri sendiri. Percayakah kita bahawa dalam sehari kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding  bercakap dengan orang lain. Malangnya, 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Untuk berjaya, percakapan yang negatif ini mesti ditukar kepada yang positif. Jika tidak, kita akan melakukan sabotaj terhadap diri sendiri. ”Aku tidak boleh” mesti ditukar kepada ”aku boleh.”

Jadi, semaklah apa yang kita selalu katakan kepada diri sendiri… Apakah negatif atau positf? Jangan biarkan kita menjadi musuh terhadap diri sendiri dengan komunikasi yang menyebabkan kita ’gagal’ sebelum gagal!



0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters