Thursday, February 11, 2010

Keperluan Untuk Berfikir

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, syukurku panjatkan ke hadrat Ilahi atas kenikmatan berfikir dan segala nikmat-nikmat yang lain. Tidak ternilainya ia dengan emas dan permata.

Seminggu dua kebelakangan ini, suasana disekelilingku amat mendesakku untuk berfikir secara 'daqiq' dalam mengatasi masalah yang dihadapi. Mengasah segala kekuatan fikiran yang terleka seketika agar tegar kembali di atas jalan yang benar. Mengajak untuk menghadapi kehidupan dengan segala keringat yang ada. Terlintas di fikiranku, ini baru sahaja di zaman remaja, apakah yang akan dihadapi pada masa mendatang? Tidak ada yang mampu menjawabnya kecuali Allah SWT. Justeru, ku sandarkan segala urusanku kepada-Mu kerana tidakku mampu untuk bergerak dengan sendirinya.

Zaman remaja adalah zaman yang menguji mental remaja, menguji keimanan dengan musibah yang dirasakan amat berat walaupun ianya hanya secebis daripada kehidupan. Musibah inilah yang membawa kepada matangnya pemikiran, membentuk cara berfikir yang kreatif, kritis dan lain-lain.

Pada masa inilah ada yang mudah mengalir air matanya, menangis mengenangkan kesilapan yang dilakukan, menangis akan mauizah dan peringatan yang datangnya daripada hati ikhlas senior-senior. Masa inilah yang akan menentukan masa hadapan kita, yakni menentukan bagaimanakah sikap kita pada masa hadapan. Jikalau kita adalah mereka yang selalu pemalas, maka di masa hadapan sikap tersebut akan sentiasa berjalan dengan kita seiringnya masa berjalan. Hanya segelintir manusia yang dapat mengubahnya tatkala umur telah lanjut.

Oleh kerana itu, paksalah dirimu dengan kuliah-kuliah agama (selain kuliah universiti) sebelum tibanya masa tuamu, paksalah dirimu untuk menangis dengan sekecil-kecil dosamu, paksalah dirimu untuk mentaati orang tuamu, paksalah dirimu untuk mengekang nafsumu, paksalah juga dirimu untuk melakukan kebaikan agar engkau tidak menyesal dikemudian hari.

Wahai pemuda-pemudi,

Masa depan kita bukanlah berada di dalam genggaman kita, masa depan kita tidak kita ketahui, maka janganlah persiakan kehidupan yang ada. Jika engkau terasa keseorangan maka carilah sahabat-sahabat yang mampu memimpinmu meniti jalan ini. Jangan kau biarkan dirimu keseorangan tatkala dirimu sedang ditungkus lumus dihasut syaitan, jangan biarkan dirimu rebah sehingga mematahkan kakimu untuk bangun kembali, jangan mudah berputus asa kepada Tuhanmu yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Ingatlah, andaikata kau melangkah menuju ke arah kebaikan dengan niat yang suci, nescaya jalan itu terasa lapang seolah tidak ada sebarang bahaya di hadapannya. Tetapi, saat kau menoleh meninggalkan jalan tersebut, kau akan temui pelbagai kesenangan, kesenangan yang membawa kepada kehancuran, kesenangan yang melupakan asal usul diri.

Saudara-saudari seremajaku,

Pada saat ini, kau akan mengalami apa yang kusebutkan di atas, fikiranmu berkecamuk, hatimu keliru, dan fikiranmu buntu. Masa inilah di mana apabila engkau membaca suatu ayat daripada Al-Quran mahupun sunnah, engkau akan terasa seolah ianya baru sahaja engkau dengarinya walaupun telah berulangkali engkau ulanginya. Engkau akan rasai kemanisan dan keindahan ayat tersebut, membuatkan hatimu yang keras menjadi air yang menumbuhkan bunga-bunga di hatimu. Alangkah indahnya saat itu, saat itu yang akan kau jadikan kenangan dan panduan seumur hidupmu. La ilaha illallah.

Ketika tibanya waktu sebegitu, carilah permata tersebut, jangan kau memandang remeh akannya meskipun telah kau dengari akannya seluruh zaman kanak-kanakmu. Jangan kau lari tanpa bertindak sebaliknya bertindaklah untuk mengatasi kerana hasilnya itu lebih manis daripada madu.




Wan Abdul Baith Izzuddin bin Wan Mustapa
2.58pm, 11 Februari 2010

2 comments:

Unknown said...

inshaAllah..
sama2 kte beringat..

Prie said...

menuntut ilmu dikala muda bagaikan mengukir di atas batu, sedang menuntut ilmu di kala usia telah senja bagaikan menulis diatas air ...

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters