Friday, July 3, 2009
7/03/2009 05:05:00 AM
Niat Baik Tidak Menghalalkan Yang Haram
Author:
Unknown
Islam menghargai apa sahaja yang dapat membangkitkan perbuatan mulia, niat yang baik dan mulia di dalam semua pensyariatannya dan penghalaannya. Nabi Muhamad s.a.w. telah bersabda:
Ertinya: Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya setiap orang itu dinilai berdasarkan apa yang diniatkannya.” (Bukhari)
Dengan niat yang baik, perkara yang harus/mubah dan adat dapat diangkat menjadi ketaatan dan ibadah kepada Allah. Sesiapa yang makan makanan dengan niat untuk memelihara kehidupannya, menguatkan tubuh badan dan supaya dapat melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan dan umatnya, maka makan dan minumnya itu menjadi ibadah.
Dan sesiapa sahaja yang melepaskan syahwat seks bersama isterinya dengan niat untuk mendapatkan anak atau untuk memelihara diri dan keluarganya dari terjebak ke lembah maksiat, maka perbuatannya itu adalah ibadah yang berhak diberi pahala. Dalam hal ini Nabi s.a.w. telah bersabda:
Ertinya: "Pada kemaluanmu itu ada sadaqah. Para sahabat kemudian bertanya: Apakah kalau kita melepaskan syahwat juga mendapatkan pahala? Jawab Nabi: Apakah kalau dia lepaskan pada yang haram, dia juga akan beroleh dosa? Maka begitu jugalah halnya kalau dia lepaskan pada yang halal, dia pun akan beroleh pahala." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabdanya lagi:
Ertinya: "Barangsiapa mencari rezeki yang halal dengan niat untuk menjaga diri supaya tidak minta-minta, dan berusaha untuk mencukupi keluarganya, serta supaya dapat ikut berbelas kasih (membantu tetangganya), maka kelak dia akan bertemu Allah (di akhirat) sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama." (Riwayat Thabarani)
Begitulah keadaanya pada setiap amalan yang diharuskan/mubah yang dikerjakan oleh seorang mukmin, yang ada di dalamnya niat yang baik, maka ia dapat diangkat menjadi ibadah kepada Allah. Manakala perkara yang diharamkan, ia akan tetap dihukum sebagai haram, sekalipun orang yang melakukannya berniat baik atau bertujuan mulia.
Islam selama-lamanya tidak mengakui perbuatan menjadikan perkara yang haram itu sebagai jembatan untuk mencapai matlamat yang terpuji. Kerana Islam memelihara kemuliaan tujuan dan membersihkan wasilah/perantaraan secara serentak. Syariat Islam tidak mengakui sama sekali prinsip: “Matlamat menghalalkan cara.” Atau prinsip: “Untuk menuju kebenaran. Tidak mengapa jika bergelumang dengan banyak kebatilan.” Malah Islam mengatakan, untuk menuju matlamat yang benar mestilah melalui cara yang benar juga.
Barangsiapa yang mengumpul harta dengan riba, maksiat, permainan yang diharamkan, judi atau apa sahaja amalan yang diharamkan untuk membina masjid atau untuk projek-projek kebajikan atau sebagainya, maka ia tidak menjadi syafaat sekalipun niat tujuannya adalah baik. Dan ia juga tidak dapat menghilangkan dosa perbuatan haram berkenaan. Kerana di dalam Islam, perkara yang diharamkan terkesan dengan niat dan tujuan yang baik.
Ini adalah apa yang telah diajarkan oleh Rasullah s.a.w. kepada kita semua, ketika baginda s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Sesungguhnya Allah itu baik, Ia tidak hendak menerima kecuali yang baik pula. Allah pun memerintah kepada orang mu'min seperti halnya perintah kepada para Rasul."
Kemudian bagida s.a.w. membaca ayat:
"Hai para Rasul! Makanlah dari yang baik-baik (halal) dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya aku Maha Mengetahui apa saja yang kamu perbuat." (al-Mu'minun: 51)
"Hai orang-orang yang beriman! Makanlah dari barang-barang baik yang telah Kami berikan kepadamu." (al-Baqarah: 172)
"Kemudian ada seorang lelaki yang datanq dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus penuh dengan debu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: yaa rab, yaa rab (hai Tuhanku, hai Tuhanku), padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana mungkin doanya itu dikabulkan?" (Riwayat Muslim dan Tarmizi)
Baginda bersabda lagi:
Ertinya: "Barangsiapa mengumpulkan wang dari jalan yang haram kemudian dia sedekahkan harta itu, sama sekali dia tidak akan beroleh pahala, bahkan dosanya akan menimpa dia " (Riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim)
Ertinya: "Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia sedekahkan, bahawa sedekahnya itu akan diterima; dan kalau dia infaqkan tidak juga mendapat barakah; dan tidak pula ia tinggalkan di belakang punggungnya (sesudah ia meninggal), melainkan dia itu sebagai perbekalan ke neraka. Sesungguhnya Allah tidak akan menghapuskan kejahatan dengan kejahatan, tetapi kejahatan dapat dihapus dengan kebaikan. Kejelekan tidaklah dapat menghapuskan kejelekan." (Riwayat Ahmad dan lain-lain)
*dipetik daripada Kitab Halal dan Haram oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Bab 1.8 Niat Baik Tidak Menghalalkan Yang Haram
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wanabdbaith. Powered by Blogger.
0 comments:
Post a Comment