Pelajar Malaysia Taja Pusat Pengajian
al-Khalidi di Amman, Jordan
Oleh : Naim Rosni
Amman, 6 Mac 2014 –
Sekumpulan pelajar Malaysia di Jordan telah mengambil inisiatif dalam
mengembangkan bakat kerja sosial dengan melancarkan kutipan dana bagi membantu
menghidupkan pusat pengajian tokoh tafsir terkenal Dr Salah al-Khalidi.
Dr Salah al-Khalidi merupakan tokoh
tafsir kelahiran Palestin yang kini menetap di Amman, Jordan bukanlah tokoh
asing kepada para pelajar Malaysia di Jordan. Rata-rata pelajar Malaysia
khususnya di Amman bukan sahaja mengenali tokoh ini bahkan sering menjemput dan
mengikuti kelas-kelas pengajian beliau. Boleh dikatakan hampir kesemua
tokoh-tokoh ilmuan Malaysia yang bergraduat dari Jordan mengenali susuk tubuh
Dr Salah al-Khalidi.
Dengan menubuhkan Sekretariat
Dana Pengajian al-Khalidi, kumpulan pelajar tersebut dalam tempoh 36 jam telah
berjaya mengumpulkan dana yang mencukupi untuk membayar sewa tahunan premis yang
dijadikan tempat Dr Salah al-Khalidi menyampaikan kuliah. Dana diperolehi
melalui kutipan yang dilancarkan dari para pelajar di Jordan dan para dermawan
dari Malaysia.
Penyampaian tajaan tersebut telah
disampaikan oleh Saudara Abdul Hakim Othman, Presiden Majlis Perwakilan
Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) kepada Ustaz Huzaifah al-Khalidi yang
merupakan anak kepada Dr Salah al-Khalidi. Penyampaian tajaan tersebut turut
disaksikan oleh Ustaz Farid Ravi, Pengerusi Sekretariat Pelajar ijazah Lanjutan
Malaysian Jordan (SELAMA) dan Saudara Muhamad Fariduddin Suhaimi, Pemangku
Presiden Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA).
Ustaz Huzaifah dalam ucapannya
berterima kasih dan mengalu-alukan tajaan yang disampaikan oleh para pelajar
Malaysia dan para dermawan. Beliau turut menjemput para pelajar Malaysia untuk turut
memanfaatkan pusat tersebut samada melalui aktiviti tafaqquh mahupun
kemasyarakatan.
Ustaz Farid Ravi
(gambar kiri) yang juga merupakan salah seorang penyelia kepada projek tersebut
dalam reaksi spontannya melahirkan rasa bersyukur kepada Allah swt kerana
diberi peluang untuk berkhidmat kepada tokoh tafsir semasa yang sangat zuhud
dan wara’. Beliau yang sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang tafsir di
Universiti of Jordan berharap agar Dr Salah al-Khalidi diberi kesihatan
berpanjangan bagi membolehkan ummat mengambil manfaat daripada beliau.
Pihak sekretariat juga difahamkan
sedang melangkah ke fasa kedua dengan berusaha membawa Dr Salah al-Khalidi
menjelajah Malaysia bagi menyampaikan kuliah dan mengadakan dawrah khusus
kepada pelajar-pelajar pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.
Ustaz Wan Abdul Baith
Izzuddin (gambar kanan) ketika dihubungi memberitahu bahawa Dr Salah secara
dasarnya telah pun bersetuju untuk mengadakan rehlah ilmiyah beliau ke Malaysia
sekitar bulan Ogos 2014. Beliau yang merupakan Penyelaras kepada Sekretariat
Dana Pengajian al-Khalidi berkata, sekretariat sedang menunggu pengesahan dari
pihak persatuan pelajar di Jordan untuk menjadi penganjur kepada rehlah
tersebut. Dalam masa yang sama, sekretariat menjemput institusi mahupun orang
perseorangan yang ingin mengadakan smart partnership dalam menganjurkan
dawrah dan kuliah-kuliah Dr Salah di Malaysia nanti.
Tambah beliau lagi, buat masa ini
dana yang ada mampu untuk menanggung kos tiket kapal terbang Dr Salah pergi dan
balik hasil sumbangan dermawan sebelum ini. Sekretariat juga merancang untuk
membekalkan buku-buku Dr Salah kepada peserta dawrah secara percuma bergantung
kepada sumbangan dan dana yang diperolehi daripada para dermawan. Beliau juga
memaklumkan bahawa kutipan sumbangan yang diberhentikan sementara sebelum ini
disambung semula sehingga 9 Mac 2014 iaitu tarikh asal penutupan penerimaan
sumbangan. Peluang sumbangan atau tajaan seterusnya akan dibuka sebaik sahaja
perancangan disiapkan.
Pihak-pihak yang yang berminat
untuk mengadakan smart partnership atau pun membuat sumbangan boleh
menghubungi :
Wan Abdul Baith Izzuddin Wan Mustapa
Tel / Whatsapp : +962779933809
FB : https://www.facebook.com/abdbaith.izzuddin?fref=ts
Email : abdbaith47@gmail.com
Tel / Whatsapp : +962779933809
FB : https://www.facebook.com/abdbaith.izzuddin?fref=ts
Email : abdbaith47@gmail.com