Thursday, March 31, 2011

Fitnah Yang Tidur

[Gambar hiasan : Google]


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Alhamdulillah, mampu mengambil sedikit masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk mencatit sedikit rangkaian kehidupan ini. Semoga mampu memberi manfaat walau sebesar kepak seekor nyamuk, insya-Allah.



Kenapa dipilih tajuk ini?

Sedih, kecewa, gelisah dan takut apabila memikirkan mengenainya.



Apa yang berlaku?

Suatu perkara yang pernah berlaku terhadap manusia di sekelilingku.

Siapa tidak kenal akan kaum wanita itu, telah Allah ciptakan mereka cantik pada pandangan mata kaum si lelaki. Gerak geri, suara, tubuh badan dan segala di sisi mereka merupakan godaan walaupun ianya tidak diniatkan sedemikian.



Kalau demikian, mereka tidak bersalah!

Iya, tidakku berkata ianya adalah salah mereka, tidak juga salah si lelaki kerana menyukai mereka. Namun yang salah ialah apabila kita salah akan caranya.


Benarlah ketentuan Islam dalam menyuruh mereka berhijab, bahkan digalakkan berpurdah bagi mengelakkan fitnah akan kecantikan mereka. Kerana mereka sering diperhatikan oleh mata yang liar tak terjaga.


Petikan daripada kuliah Syeikhuna Mu'az Hawwa : Manusia itu apabila disertakan syahwat dalam perbuatannya, maka dia akan menjadi hamba kepadanya. Seorang yang sukakan wanita akan menghabiskan wang dan hartanya kepada wanita tersebut, menghabiskan setiap detik masanya kepadanya. Sesungguhnya dia telah menjadi hamba kepada wanita itu. Begitulah juga seorang itu akan menjadi hamba kepada duit. Dan ini telah dirakamkan di dalam hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud :

'Celakalah hamba Dinar dan Dirham...' [S.Bukhari]


[Gambar Hiasan : Google]



Aku tidak ingin menjadi hamba kepada wanita kerana aku adalah hamba kepada Allah semata!


اللهم يا مقلب القلوب, ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك

Sunday, March 27, 2011

Taubah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,



Apa khabar wahai penghuni dunia? Bahagiakah kalian hari ini atau sebaliknya? Ku tahu bahawa kalian gembira, gembira kerana kalian mempunyai Allah. Maka Islamlah dan berimanlah kalian kerana itu keceriaan yang diperolehi hanya dengan Islam.




Taubah? Apa ceritamu?

Mesti kamu sudah bosan mendengarnya, seringkali diulang siar di saluran radio, televisyen, internet, facebook dan sebagainya. Namun ia bukan sebab untuk tidak mendengarnya bukan?

Cerita? Iya, aku punya sebuah cerita, cerita dua orang lelaki yang disukai dan diredai Allah SWT dan dianugerahkan Syurga oleh-Nya.

Menarik bukan? Apakah yang dilakukan oleh keduanya sehingga diredai dan disukai oleh Allah SWT serta mendapat Syurga? Walikah mereka?



Tidak! Mereka adalah pembunuh. Lalu kenapa mereka mendapat keagungan tersebut?


Iya, keduanya adalah pembunuh, seorangnya adalah pembunuh musuh Allah di dalam peperangan lalu di terbunuh.

Adapun yang kedua, beliau adalah pembunuh kepada orang pertama tadi kemudian dia bertaubat dan Islam, taubatnya itu diterima oleh Allah lalu beliau syahid di jalan Allah.[1]

Ha... ajaib kan? Pengajarannya?

1 - Kewajipan untuk bertaubat daripada dosa besar [begitu juga dosa kecil] serta tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

2 - Islam menghapuskan kekafiran terdahulu yang dilakukan ketika belum Islam dan taubat menghapuskan dosa-dosa yang terdahulu.


Firman Allah SWT :

'...Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau [kerana] melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya... '[S.Al-Maidah : 32]

Kepada sesiapa yang pernah membunuh, bertaubat selagi ada peluang, jangan ditunggu sehingga nyawa berada dikerongkong.


Lastly,


Aku tak pernah membunuh orang pun, jadi tidak perlu la untuk baca artikel ni.


Betul, kemungkinan besar kita tidak membunuh seseorang secara hakikatnya, tetapi boleh jadi kita membunuh manusia secara mentalnya. Menjatuhkan semangat orang, menyebarkan fitnah terhadap manusia, meremeh-remehkan sesuatu perbuatan yang lain dan sebagainya.

Firman Allah SWT :

'...Dan fitnah itu lebih besar [dosanya] daripada pembunuhan...'  [S.Al-Baqarah : 217]





Rujuan :
1 - Kitab Riyadhus Solihin, karya Imam An-Nawawi rahimahullahm, hadith ke 24, bab 2.

Tuesday, March 15, 2011

Bercakap Dengan Diri Sendiri

APA YANG ANDA KATAKAN TERHADAP DIRI SENDIRI JAUH LEBIH PENTING DARIPADA APA YANG ORANG LAIN KATAKAN TERHADAP ANDA. OLEH ITU, KATAKAN SESUATU YANG POSITIF KEPADA DIRI SELALU, ITU PETANDA ANDA TELAH BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI…
INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

Syarat utama bagi kejayaan dalam sesuatu komunikasi (perhubungan) ialah kepercayaan. Yang dimaksudkan dengan kepercayaan dalam perhubungan ialah rasa percaya seseorang terhadap orang yang dihubungi – jika perhubungan itu keluar. Atau kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri – jika perhubungan itu ke dalam diri sendiri.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.  Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

Komunikasi dalaman, sangat berkait dengan kepercayaan terhadap diri sendiri. Sedangkan komunikasi luaran berkait dengan kepercayaan terhadap orang lain. Kita akan gagal berkomunikasi dengan diri sendiri jika kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi lemah. Dan begitu juga, kita akan gagal berkomunikasi dengan orang lain jika kita tidak ada sifat saling percaya-mempercayai.


Sikap tidak mempercayaai diri sendiri adalah lebih merosakkan kita daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Orang yang tidak percaya akan kemampuan, kebolehan dan kelebihan dirinya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Oleh itu, kita mestilah selalu mempertingkatkan kepercayaan terhadap diri sendiri, untuk membolehkan kita melakukan ‘self motivated’. Dan salah satu cara untuk ‘self motivated’ ialah dengan melakukan komunikasi dalaman.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita selalu memperkatakan tentang bagaimana seseorang dapat  membantu seseorang yang lain melalui perantaraan komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu dirinya sendiri melalui perantaraan komunikasi. Apakah kita perlu bercakap-cakap dengan diri sendiri? Apakah ini gila namanya? Kalau boleh, bagaimana? Bagaimanakah yang dikatakan kita sedang berkomunikasi dengan diri sendiri?


Antara dua bahagian komunikasi ini, komunikasi dalaman mempunyai  kesan yang besar pada manusia. Sayangnya, ia selalu diabaikan dan dipinggirkan berbanding komunikasi luaran. Tidak seperti komunikasi luaran yang kerap dititik-beratkan, dijaga dan dipelajari, komunikasi dalaman kekadang tidak dipedulikan lansung, apalagi hendak dipertingkatkan Manusia kerap kali mementingkan hubungannya dengan manusia lain, tanpa menyedari bahawa dia juga amat perlu untuk berkomunikasi dengan dirinya sendiri. Inilah yang dikatakan komunikasi ke dalam diri.

Kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika kemampuannya tinggi, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam hidupnya.

Banyak faktor yang menentukan kemampuan atau tahap komunikasi dalaman. Antaranya yang paling utama ialah faktor keyakinan. Keyakinan mempunyai kesan yang sangat besar kepada pancaindera yang lima bila berdepan dengan respon. Siapa yang mempunyain keyakinan yang kuat, maka pancainderanya juga akan kuat untuk mentafsirkan, merasai dan memberi gambaran yang positif terhadap respon yang dihadapinya.

Keyakinan pula dibentuk oleh ibu-bapa, suasana, kawan, guru dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup. Jika keyakinan kita positif, maka positif jugalah komunikasi dalaman yang berlaku ke dalam diri kita. Orang yang mempunyai keyakinan yang kuat dan positif, akan menjadi seorang yang rajin, positif dan optimis. Sebaliknya, jika keyakinan seseorang lemah, maka seseorang akan menjadi malas, negatif dan pesimis.

Faktor kedua ialah percakapan terahadap diri sendiri. Percayakah kita bahawa dalam sehari kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding  bercakap dengan orang lain. Malangnya, 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Untuk berjaya, percakapan yang negatif ini mesti ditukar kepada yang positif. Jika tidak, kita akan melakukan sabotaj terhadap diri sendiri. ”Aku tidak boleh” mesti ditukar kepada ”aku boleh.”

Jadi, semaklah apa yang kita selalu katakan kepada diri sendiri… Apakah negatif atau positf? Jangan biarkan kita menjadi musuh terhadap diri sendiri dengan komunikasi yang menyebabkan kita ’gagal’ sebelum gagal!



Sunday, March 13, 2011

Tsunami Akal dan Budi di Tanah Air Sendiri




Lori beras terbalik.

Orang ramai berpesta mengaut beras ‘percuma’ di Lebuhraya.

Pemandu lori yang parah mengerang dengan luka yang dihurung lalat meminta bantuan.
Kelindan lori terbiar hingga mati di tepi jalan.

Saya cuba untuk menghadam laporan kejadian lori beras terbalik di KM394 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tanjung Malim bulan lalu. Apakah yang difikirkan oleh pengaut beras itu? Adakah mereka lebih miskin daripada penghuni pondok yang makan siput babi beberapa tahun lalu di siaran Bersamamu TV3? Jika tidak lama dulu orang ramai berkejaran mengutip duit syiling yang bertaburan akibat kemalangan di Lebuhraya yang sama, kali ini beras dikaut untuk habuan makan, membiarkan mangsa di tepi tanpa tindakan peri kemanusiaan.
Kebingungan.


Seperti ada satu ‘petanda besar, bagai ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan perilaku masyarakat kita kebelakangan ini.

11 Mac 2011, seluruh penduduk dunia terkejut.

Sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Richter. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Tanpa berlengah, ombak setinggi 10 meter menghempas pantai dan menyapu segala yang berdiri di muka bumi, ‘tanpa belas kasihan’.

Tidak pasti apa yang mahu diungkap, selain berdoa agar kejadian itu tidak mengulangi penderitaan kesan Tsunami di Sumatera pada Disember 2004 yang lalu apabila lebih 200 ribu nyawa terbunuh di sekeliling pantai Lautan Hindi. Gelombang Tsunami kali ini menggoncang perairan Lautan Pasifik hingga melimpahkan kesannya ke perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.

Subhanallah!

Hanya pernah sekali menjejakkan kaki ke bumi Jepun, kenangan di bumi Ibaraki, menambah ‘rasa terkait’ dengan apa yang berlaku apabila gempa bumi dan Tsunami turut memusnahkan kawasan yang indah dan permai itu.

Namun kesedihan dan debar menyaksikan satu demi satu laporan berita di media, terpukul oleh beberapa siri laporan berita media tempatan yang membingungkan.


TAHAP KEPRIHATINAN KITA

Belum pun reda gegaran dan deruan ombak ganas Tsunami di Jepun, Buletin Utama di TV3 sudah berbincang tentang implikasi bencana besar di Jepun itu kepada pasaran saham di Tokyo serta akibatnya kepada kedudukan pasaran saham global termasuk Kuala Lumpur. Tanpa sensitiviti yang paling minima atas dasar kemanusiaan, Dato Mukhriz Tun Mahathir menyatakan harapannya agar Jepun segera memulihkan keadaan ekonomi serta pasaran sahamnya dan mudah-mudahan ia tidak berjangkit ke pasaran saham di negara kita.
Tatkala kenyataan rasmi Perdana Menteri tidak kedengaran, laporan ala kadar terhadap bencana luar biasa ini terus dihalakan pada soal ekonomi. Bukan ekonomi Jepun, tetapi kepentingan negara kita, rakan niaga tradisi negara matahari terbit itu!

Mulia sungguh hati rakan ini.

Apa sudah terjadi?


KOSMO! AHAD


Menyelak akhbar di pagi Ahad, sekali lagi kita kebingungan.


Kosmo Ahad 13 Mac 2011 di halaman 3, menyiarkan berita Ratu Pornografi Jepun, Maria Ozawa terselamat daripada malapetaka gempa bumi dan Tsunami itu.
Dalam ramai-ramai tokoh daripada kalangan rakyat Jepun, Miyabi pula yang jadi pilihan.
Bimbang benar dengan kehilangan ikon penting ini.


BERITA HARIAN



Diselak pula akhbar Berita Minggu 13 Mac 2011 di halaman 24, kartunis Zoy melukis kartun Ultraman yang lari bertempiaran dikejar ombak Tsunami gergasi 11 Mac lalu. Entah apa yang cuba diterjemahkan melalui lakaran itu, ia pantas melahirkan betapa rendahnya moral kita hingga kejadian bencana sedahsyat itu, dilakar sebagai bahan senda gurau tanpa sedikit pun mempertimbangkan perasaan sekalian manusia, Jepun atau tidak Jepunnya mereka, berkenaan jurnalisma terencat jiwa ini.

Apakah semua ini?

Neo-journalism versi apakah ini?

Paling mengaibkan, lakaran kartun yang sangat tidak sensitif ini telah disiarkan di CNN iReport iaitu cabang citizen journalism milik CNN.


Berita yang disiarkan itu menyebut:

iReport —
Local Malaysian newspaper Berita Harian published a caricature in their editor’s column today that depicts the popular Japanese cartoon character Ultraman as trying to outrun an incoming tsunami.

The publication has received tremendous criticisms by readers, who accuse the editors as being “inconsiderate and distasteful”. Several political leaders have even stepped out and demand a public apology, to which the editors promptly made on their publication’s Facebook fan page. – posted by Dancingtiger

Mungkin media perdana sama ada di arena siar atau cetak, tidak mampu menyesuaikan diri dengan era jaringan sosial semasa yang semakin menidakkan kuasa veto mereka membentuk pendapat umum.

Dalam tempoh yang begitu singkat, sesuatu yang menggambarkan kejengkelen kartunis, serta kecuaian editorial, telah menjatuhkan maruah negara. Bagaimana kalau berita ini mengusik sentimen pelabur Jepun dan antarabangsa? Inginkah hukuman setimpal itu atas sikap rakan niaga yang tidak berhati perut?

Foto kredit malaysiana.pnm.my

SI LUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!

Bencana itu sudah tiba di Jepun!
Tak apa. Kita kan di Malaysia…

Bencana itu sudah tiba di Johor!
Tak apa. Kita kan di Selangor…

Bencana itu sudah tiba di Gombak!
Tak apa. Kita kan di Petaling Jaya…

Bencana itu sudah tiba di Seksyen 5!
Tak apa. Kita kan di Seksyen 2…

Bencana itu sudah tiba di Jalan 2/4!
Tak apa. Kita kan di Jalan 2/8…

Bencana itu sudah tiba di rumah nombor 47!
Tak apa. Kita kan di rumah nombor 74…

Bahagian depan rumah kita sudah runtuh!
Syukur. Dapur kita masih selamat…

Memperkenalkan… mazhab Aku Tidak Pedulisma!


WASIAT NUH ALAYHI AL-SALAAM

Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.

Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’Aas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:

“Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)” Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya “Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!” Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:
“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”

Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?

Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!

[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]

“Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.
Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.


SALAH SIAPA

Habis, salah siapa semua itu?

Mahu dikata salah kerajaan, ia kerajaan pilihan rakyat.

Mahu dikata salah rakyat, siapakah pendidik-pendidik rakyat itu?

Nampaknya ia salah saya.

Salah pendakwah yang belum cukup kuat berusaha.

Justeru saya telah, sedang dan akan terus berusaha.

Saya sudah mendapat satu lagi tugasan.

Anda cukup dengan menonton sahaja?

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum itu sehingga mereka bertindak mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]

Salam takziah dari saya untuk akal dan budi tamadun manusia.

” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Wednesday, March 2, 2011

Islam dan Wanita


Wanita sebelum kedatangan Islam adalah tidak mendapat hak-hak mereka, tiada tempat di dalam masyarakat serta undang-undang yang sepatutnya diperolehi.

Di dalam masyarakat Yunani, wanita dianggap antara makhluk-makhluk yang rendah martabatnya yang tiada padanya manfaat kecuali dalam melahirkan keturunan dan menguruskan rumah. Dia diharamkan daripada haknya, dicaci, dicuri akan kebebasannya, dijual dan dibeli dipasar-pasar, serta dinafikan pewarisan harta kepadanya.

Wanita yang melahirkan anak yang hodoh akan dihukum ke atasnya dan dibunuh, perempuan yang mampu melahirkan anak akan diambil daripada suaminya dan dilelong, untuk melahirkan anak bangsa lelaki melalui lelaki lain.

Masyarakat Rom, tiadalah juga wanita padanya lebih baik daripada masyarakat Yunani, wanita tiada hak untuk memiliki, juga mereka adalah golongan yang dimalukan pada masyarakat tersebut. Mereka dianggap sebagai hak milik lelaki, barang daripada barang-barang murahan yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh lelaki mengikut kehendak mereka. Kaum lelaki memandang mereka sebagai peransang kepada syahwat, menganggap mereka sebagai kotor dan syaitan, tiada kekuasaan bagi mereka, keperempuanan mereka dicela dan dicaci, sehingga suatu tahap cacian yang mana mereka dilarang daripada berkata-kata walaupun keluarga mana yang mereka masuk, kecelakaan ke atas mereka jika berkata-kata kerana kata-kata mereka adalah alat menggoda.

Adapun masyarakat Hindu, mereka menganggap wanita sebagai lebih buruk daripada api, lebih buruk daripada mati, racun dan patukan ular. Diwajibkan ke atas diri mereka untuk membakar diri sendiri sehingga mati pada hari kematian suami mereka sebagao korban kepada Tuhan supaya mereka diredai.

Di sisi masyarakat Yahudi pula, wanita yang didatangi bulan merupakan najis yang tiada sedikitpun nilai padanya, mereka akan dipulaukan daripada masyarakat, dihina dan tiada seorang pun akan makan semeja bersama dengan mereka sepanjang tempoh tersebut. (Sebagai mana yang diceritakan di dalam taurat [1])

Taraf wanita di sisi mereka adalah pada taraf khadim [hamba], bapa mereka berhak untuk menjual mereka dan wanita tersebut adalah tidak berupaya untuk melakukan apa-apa, wanita diharamkan daripada mewarisi harta - kecuali jika ada pada si bapa itu zuriat -, lebih pahit daripada mati serta dilaknat atas sebab menyelewengkan Adam di syurga ketika mana makan buah di dalam syurga itu.

Manakala masyarakat Nasrani pula, wanita akan dicaci, diharamkan daripada hak-hak mereka, diletakkan sebagai makhluk berkhidmat kepada lelaki, dipertanggungjawabkan di atas segala keburukan dan kemungkaran atas pergaulan mereka dengan lelaki, begitu juga mereka dianggap tidak memiliki ruh yang menyelamatkan mereka, selain Ibu kepada Al-Masih.



Pada zaman Jahiliyyah, sesungguhnya begitu banyak kezaliman ke atas wanita, mereka akan diperlakukan dengan tidak adil terhadap hak mereka, tiada menerima harta warisan, tiada had tertentu atas Talaq [Cerai], tiada juga had yang ditetapkan dalam berpoligami, bahkan mereka akan dipandang buruk jika melahirkan anak perempuan sehingga sampai suatu tahap anak perempuan itu dikebumikan hidup-hidup dibimbangi anak perempuan itu akan membawa kepada kefakiran dan kemiskinan, firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl, ayat 58 - 59 :


وإذا بُشّر أحدهم بالأنثى ظلّ وجهه مسودّا وهو كظيم يتوارى من القوم من سوء ما بشر به أيُمسِكُه على هُونٍ أم يدُسُّه في التراب ألا ساء مايحكمون

Maksudnya : (58) Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelabiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. (59) ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia kan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau adakah dia akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya ketetapan mereka itu.

Firman Allah, Surah At-Takwir, ayat 8-9 :

واذا الموءودة سئلت بأى ذنب قتلت

Maksudnya : (8) Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, (9) Atas dosa apa dia dibunuh?

Firman Allah SWT juga, Surah Al-An'am, ayat 140 :

 قد خسر الذين قتلوا أولادهم سفها بغير علم وحرموا ما رزقهم الله افتراء على الله قد ضلوا وما كانوا مهتدين

Maksudnya : (140) Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak mengetahui, dan mereka mengharamkan apa yang telah Allah rezekikan kepada mereka dengan semata-mata mengadakan-adakan terhadap Allah. Sesungguhnya mereka telah sesat dan tidaklah mendapat petunjuk.

Orang arab membunuh anak-anak perempuan mereka atas dasar fanatik, telah diriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada sahabat Nabi Shallallahu 'Alaihi wasallam berterusan dalam kesedihan di sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka berkatalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam : Kenapa kamu bersedih? 

Dia berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan dosa ketika jahiliyyah, aku bimbangi Allah tidak akan mengampuniku meskipun selepas Islam! 

Rasulullah bersabda : Ceritakanlah kepadaku akan dosamu itu. 

Dia berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang telah membunuh anak-anak perempuan mereka, telah dilahirkan kepada ku seorang anak perempuan, dia mendapat perlindungan daripada isteriku supaya meninggalkannya [tidak mengapa-apakannya], maka aku biarkan sehinggalah dia membesar dan berpengetahuan, dia menjadi antara wanita yang cantik, maka dia dipinangi, ketika itu aku didatangi perasaan fanatik, hatiku tidak ingin untuk mengahwinkannya juga tidak ingin untuk membiarkannya di rumah tanpa suami, 

maka aku pun berkata kepada isteriku : Aku ingin pergi ke kabilah sekian sekian untuk menziarahi kaum kerabatku maka bawalah dia bersamaku, aku terangkan akannya, dia dihiasi dengan pakaian dan perhiasan, dan aku mengambil janji untuk tidak mengkhianatinya.

Lalu aku pun pergilah bersama anak perempuanku ke perigi dan melihat ke perigi itu, aku bertegas dengan keputusanku dan menyebabkan anakku menangis serta berkata : Wahai ayahku! Apa yang hendak kamu lakukan kepadaku! 

Aku kembali kasihan kepadanya, kemudian aku melihat ke perigi itu lalu didatangi perasaan fanatik dan meneguhkan pendirianku sehingga anakku berkata : Wahai ayahku! Janganlah engkau abaikan amanah ibuku. 

Maka akupun melihat ke perigi dan kepadanya, aku mengasihaninya sehinggalah aku dikalahkan oleh syaitan. Aku memegangnya lalu mencampakkannya ke dalan perigi itu sedang dia dalam keadaan terbalik. 

Dia memanggilku di dalam perigi tersebut : Wahai ayahku kamu telah membunuh aku. Demikianlah beberapa ketika sehingga suaranya sudah tidak didengari lalu aku pulang. 

Menangislah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat lalu berkata : Jikalau diarahkan kepadaku untuk menjatuhkan hukuman atas perbuatan jahiliyyah mereka tentu aku akan menghukummu. [2]



Apabila datangnya Islam, terserlah suara kebenaran melalui lisan Nabi Muhammad bin Abdullah shallallahu 'alaihi wasallam, Islam mengurniakan kepada wanita keseluruhan hak mereka, mengangkat darjat mereka, melindungi mereka daripada ejekan, menjaga kemuliaan mereka, menjelaskan bahawa tiada suatu kelebihan berbanding orang arab dan orang bukan arab, tiada suatu kelebihan berbanding orang lelaki dan perempuan kecuali dengan taqwa. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 :

يا أيها الناس إنّا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا
إن أكرمكم عند الله أتقاكم

Maksudnya : (13) Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.


Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa', ayat 1 :

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة، وخلق منها زوجها، وبث منهما رجالا كثيرا ونساء، واتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام، إن الله كان عليكم رقيبا

Maksudnya : (1) Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Alah yang dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain. Dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.

Islam menyatakan bahawa wanita itu sama seperti lelaki dari segi kemanusiaan, diarahkan untuk memuliakan wanita, firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 21 :

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجاً لتسكنوا إليها، وجعل بينكم مودة ورحمة إن في ذلك لآيات لقوم يتفكرون

Maksudnya : (21) Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Untuk menyampaikan bahawa Islam itu memuliakan wanita, Allah SWT menyebut wanita di dalam Al-Quran sebanyak 304 kali, pada 58 surah, disebut sama ada wanita sebagai ibu, anak, adik-beradik, isteri dan lain-lain sebagai satu persamaan serta penerangan akan hak mereka.



Begitu juga datangnya Syariat Islam menerangkan akan hukum kitaran Haidh bulanan bagi wanita, kerana kepentingan kitaran tersebut, diletakkan 'Iddah bagi wanita dan diterangkan hukumnya, Islam menyatakan bahawa 'Iddah dan kitaran bulanan tersebut tidak sedikitpun mengurangkan keupayaan wanita serta kemuliaannya, sebagaimana hal yang berlaku dalam kalangan orang Yahudi yang mengasingkan wanita daripada masyarakat dan kehidupan sepanjang tempoh Haidh tersebut, juga sebagaimana kaum arab jahiliyyah mengasingkan diri daripada wanita yang dalam 'Iddah selepas kematian suaminya selama setahun.

Adapun Islam, membenarkan kita untuk makan dan minum bersama wanita yang didatangi Haidh, mengarahkan kita untuk tidak menggauli mereka dan melarang untuk mendekati mereka dengan persetubuhan selagimana Haidh itu ada, kerana perbuatan demikian dalam keadaan itu akan menyakitkan kepada kedua-dua pasangan, firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222 :

ويسألونك عن المحيض قل هو أذى فاعتزلوا النسآء في المحيض ولاتقربوهن حتى يطهرن فإذا تطهرن فأتوهن من حيث امركم الله إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين

Maksudnya : (222) Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) Haidh. Katakanlah : "Darah Haidh itu satu benda (yang menjijikkan dan) mendatangkan mudharat." Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhi diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah Haidh itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka telah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.


Wallahua'alam bisshowab... 




Rujukan :
Petikan dan dialih bahasa daripada muqaddimah tesis M.A di Universiti An-Najah Al-Wataniyyah dalam tajuk "Ahkamul 'Iddah fil Fiqhil Islami", oleh Hilmi Soleh Salim 'Aql, tahun 1992 masihi.
1 - جاء في التوراة في كتاب اللاويين, الاصحاح الخامس عشر ص (182-183) أن المرءة نجسة طيلة أيام طمثها, وأن كل من مسها أو مس فراشها نجس, وكل ما تضطجع عليه في طمثها نجس.
2 - انظر تفسير الطبراني الجامع لأحكام القران, لأبي عبد الله محمد بن أحمد الأنصاري القرطبي, ج 7\96, الطبعة الثالثة, دار الكتب المصرية, القاهرة
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters