Friday, September 24, 2010

Tajdidin Niyyah

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah kini dapat lagi bersua untuk memberi setelah sekian lama menyepi, alhamdulillah 'ala kulli haalin wa ni'mah, pulang ku ke Jordan kali ini membawa menyegarkan kembali niat asal yang telah disamari dengan dunia dan isinya. Kembara mencari ilmu untuk mencapai maghfirah dan mardhatillah, menyedari bahawa diri yang nyawaku berada di dalam tangan-Nya adalah mutlak milik-Nya, Allah Jalla Jalalah.


عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء ما نوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه ) . رواه البخاري و مسلم في صحيحهما .


Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : 'Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda : Bahawasanya segala amalan adalah bergantung kepada niat, dan bahawasanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah kerana ingin memperolehi dunia atau kerana seorang perempuan yang ingin ia nikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa ia berhijrah kerananya. [Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Alangkah besarnya keagungan ikhlas yang terpancar melalui hadith ini, ia diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari sebanyak 7 kali di tempat berlainan dalam kitab sahihnya. Hadith ini merupakan hadith yang mutawatir maknawi dan bukannya mutawatir lafzi, adapun berkenaan kenapakah Imam Al-Bukhari meletakkan hadith ni sebagai permulaan kepada kitab sahihnya tidak ada kena mengena dengan tajuk pertama kitabnya itu sebaliknya ia adalah untuk menunjukkan kebaikan niatnya mengarang kitab ini, mengarang untuk mendapatkan redha Allah.

Berkata Abdurrahman bin Mahdi : Andai aku mengarang kitab daripada bab-bab, nescayaaku akan menjadikan hadith Umar bin Al-Khattab berkenaan 'Setiap amalan bergantung kepada niatnya...' pada setiap bab. Dan daripadanya juga berkata : Sesiapa yang berkehendak untuk mengarang kitab maka mulakanlah dengan (menyebut) hadith ini.

Hal ini sebagaimana kisah seorang sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sentiasa membaca Surah Al-Ikhlas di dalam solatnya, maka bertanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kepadanya kenapakah ia melakukan sedemikian. Sahabat radhiallahu 'anhu tadi menjawab : "Wahai Rasulullah, aku menyukainya.' Rasulullah kemudian bersabda : 'Sesungguhnya kecintaanmu kepadanya memasukkan kamu ke dalam syurga.' [Au kama qaala 'alaihissalam]

Masya-Allah, betapa agungnya cinta yang memasukkan seseorang ke dalam syurga, moga aku dapat bersama-sama dengan mereka di akhirat kelak.

Akan tetapi niat yang soleh mestilah diiringi dengan amalan yang soleh, andai ianya tidak segandingan maka amalan yang kita lakukan itu adalah batil...

Amat banyak mutiara-mutiara ilmu yang mampu kita perolehi daripada hadith ini andai kita benar-benar menekuninya, semoga kita semua beroleh manfaat. Antum semua boleh merujuk kepada syarah hadith tersebut untuk mengetahui akan lebih banyak penjelasan berkenaannya. Barakallahu fiikum, sehingga berjumpa lagi di lain waktu, wassalam.




Diedit daripada pemahaman penulis melalui muhadarah Dr. Ziyad 'Abbad yang dihadirinya, madah Hadith Tahlili Fakulti Syariah, University of Jordan

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters