Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah 'ala ni'amihi, wasy syukr 'ala rahmatih... Selesai solat maghrib dari Masjid Abdur Rahman bin Auf, ku berjalan pulang sambil mengeret secubit senyuman... Terkenang kisah awalku di bumi Jordan...
Hari pertama ke kelas ku menegur seorang arab yang sekelas denganku, namanya Shauqi, baik juga orangnya. Oleh kerana doktor tidak menghadirkan diri maka kami berbual-bual sedikit sebanyak, dia sahabat pertama yang ku kenal di dalam University of Jordan ini, memberi motivasi kepadaku dan tunjuk ajar yang amat berguna.
Waktu itu nak bercakap bahasa arab ni punyalah susah, lidah masih kelat... Masih segar di ingatanku cara berinteraksiku dengan doktor-doktor di sini, aku menulis dahulu apa yang aku hendak katakan, niat di hati agar nanti lancar lidah bertanya kepada doktor, akhirnya yang terjadi ialah aku menunjukkan kertas tersebut kepada doktor dan beliau membacanya sendiri apa yang ku tulis... hihi...
Setelah separuh semester berlalu, peperiksaan pertengahan semester mula bertandang dan selepasnya keluarlah natijah bagi imtihan yang telah diduduki. Dalam 4 madah yang diambil, satu madah mendapat markah yang amat mengecewakan, keputusan yang terlalu menyedihkan buat diriku. Ku luahkan kepada Shauqi akan kesedihanku, dia sangat memahami apa yang kulalui dan tanpa membuang masa terus menyiramiku dengan kata-kata semangat. Sungguh berguna dan manis saat itu apabila dikenangkan kembali, tiada yang mampu kuucapkan kecuali mendoakan kebaikan buat dirinya atas pertolongan tersebut. barakallahu fiih.
Seketika masa berlalu, Shauqi mengkhabarkan bahawa beliau akan bertukar ke kuliah lain dan tidak lagi dapat meluangkan masa bersama seperti sebelumnya. Katanya sebelum dia berpindah dan sebelum habisnya semester ini dia mahu aku dapat menguasai sedikit sebanyak bahasa arab dan ammi agar nanti aku mampu berdikari. Sungguh mulia jasanya, diajar dan disuruhnya aku untuk menghafaz kalimah-kalimah yang menjadi perbualan harian, dikenalkan aku akan budaya masyarakat Jordan dan beberapa kesukaan mereka. Dia akan menyoal aku setiap kali aku berjumpa dengannya, di samping itu aku juga mengajarnya perkataan-perkataan bahasa Melayu atas kehendaknya. Alhamdulillah, syukur dikurniakan sahabat sepertinya.
Akhirnya berakhirlah semester pertama itu, terkandung di dalamnya perasaan manis, pahit, masam dan tawar namun begitulah kehidupan. Alhamdulillah, ku mampu memperbaiki markah madah yang lemah tadi meskipun tidak banyak. Tidak dilupakan juga kepada Ustaz Aswandi atas kesudian membelanja aku tatkala kesedihan, dialah orang pertama yang mengenalkan aku kepada Kinafah [salah satu manisan Jordan yang menjadi kegemaranku sehingga sekarang]. Saat itu tidak akan sekali-kali ku lupakan, insya-Allah doaku sentiasa menjadi pengiring buat kalian.
Barakallahu fiikum ajma'in...
Wan Abdul Baith Izzuddin bin Wan Mustapa
Sweileh, 1937 p.m
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wanabdbaith. Powered by Blogger.
0 comments:
Post a Comment