Wednesday, August 27, 2008

KETETAPAN IMSAK SEBELUM SUBUH Satu Penilaian Semula

oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH

Lot 1498,Taman Seri Demit,Jln.Sultanah Zainab 2,

Kubang Kerian,16150 Kota Bharu, Kelantan.

Tel:017-9380203

012-9548461


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Puji-pujian bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. serta para sahabatnya.


Entah bermula dari tahun berapa, umat Islam di negara kita telah mengenali erti imsak sebelum masuknya waktu subuh selama lebih kurang 10 minit. Tetapi ketetapan imsak dengan erti seperti ini tidak pula diketahui di negara-negara Islam yang lain sama ada di Timur Tengah atau lainnya. Tidak ada sesiapapun di antara kita yang cuba bertanya tentang asal usul imsak ini, apatah lagi untuk mempersoalkannya. Inilah satu sikap tidak baik yang ada pada masyarakat kita iaitu menurut saja apa yang diperkenalkan tanpa usul periksa.


Yang menghairankan ialah institusi-institusi agama rasmi dan bukan rasmi di negara kita juga seolah-olah mengesahkannya, justeru ia disebarkan melalui media massa, risalah-risalah, poster-poster, iklan-iklan dan sebagainya dengan begitu meluas sekali. Semuanya menyatakan “waktu berbuka puasa dan imsak atau imsakiah”.


Imsak dalam istilah bermaksud, menahan diri daripada makan, minum, jimak dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa. Inilah juga imsak yang difahami oleh masyarakat umum daripada waktu imsak yang disiarkan itu.


Tetapi ada juga setengah-setengah kalangan yang terus makan walaupun selepas waktu imsak itu. Tentu pihak lain memandangnya dengan pandangan yang serong dan mungkin tidak sah puasanya dan orang yang melakukan perbuatan itu sendiripun berada dalam keadaan serba salah.


Dari itu, pihak kami berasa bertanggungjawab membincangkan isu ini secara ilmiah berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah di samping kitab-kitab ulamak yang muktabar dengan harapan umat Islam amnya dan institusi-institusi agama yang rasmi dan bukan rasmi di negara ini akan menilai semula ketetapan imsak sebagaimana yang diamalkan selama ini.


Pertama, Al-Quran dengan jelas menyatakan firman Allah yang bermaksud:


“Makan dan minumlah kamu sehingga nyata benang putih (fajar sadiq-permulaan waktu subuh) daripada benang hitam (penghujung waktu malam) iaitu fajar.” (Al-Baqarah:187)


Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada sebarang imsak sebelum masuknya waktu subuh malah tuhan menganjurkan supaya kita makan dan minum “hingga” atau “sampai” masuk waktu subuh. Perintah disini mengikut ulamak usul bukan memberi makna wajib walaubagaimanapun paling kurang ia memberi makna harus.


Kedua, hadis sahih jelas menunjukkannya di mana Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Para ulamak sepakat mengatakan bahawa Bilal melaungkan azan sebelum masuknya waktu subuh dengan tujuan mengejutkan orang yang tidur supaya bangun bersahur dan Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan apabila masuknya waktu subuh.


Di sini tidak disebutkan tentang imsak atau menahan diri daripada makan minum dan sebagainya sebelum masuknya waktu subuh malah ia menganjurkan supaya makan sampai akhir waktu iaitu masuknya waktu subuh.


Ketiga, dalam hadis sohih yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang mafhumnya, “Umat ini akan sentiasa baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur”. (Riwayat Imam Ahmad)


Hadis ini juga menerangkan kedua-dua ayat Al-Quran dan Hadis yang tersebut di atas yang bermaksud: Makan dan minum dan sebagainya hingga masuk waktu subuh. Selagi umat ini melakukan demikian mereka berada dalam kebaikan, sebaliknya bila mereka meninggalkan amalan-amalan seperti ini mereka tidak lagi berada dalam kebaikan.


Keempat, kita telah meneliti sekurang-kurangnya 30 buah kitab muktabar dalam Mazhab Syafie antaranya Al-Umm, Majmuk Syarah Muhazzab, Al-Iqna’, Al-Mahalli, Hasyiah Al-Bajuri, As-Syarqawi, Bahrul-Mazi, Kasyful Litham dan lain-lain lagi selain daripada kitab-kitab muktabar dalam mazhab-mazhab yang lain tetapi tidak juga kita temui adanya ketetapan imsak sebelum masuknya waktu subuh sebagaimana yang diamalkan oleh kita.


Hairan! Kalau begitu dari manakah puncanya ketetapan imsak ini, dan siapakah orang yg mula-mula memperkenalkannya? Mungkin orang yang menyokong ketetapan imsak ini berhujjah dengan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bermaksud,


“Kami bersahur bersama Nabi s.a.w. kemudian kami bangun pergi sembahyang, perawi bertanya;” Berapakah jarak diantara bersahur kamu dengan sembahyang? Zaid menjawab; lebih kurang lima puluh ayat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Ini bermakna (kata mereka) bersahur itu sudah selesai sebelum masuk waktu subuh selama lebih kurang 50 ayat (jika dianggarkan tempohnya lebih kurang 10 minit). Inilah punca imsak,” kata mereka.


Tetapi pemahaman yang seperti ini tidak benar kerana;


1. Tidak ada seorangpun perawi hadis yang menghuraikan pengertian begitu.


2. Hadis ini ada kemungkinan memberi erti yang lain selain daripada kemungkinan tadi. Ia mungkin memberi erti “tempoh diantara selesai bersahur dengan sembahyang subuh itu adalah lebih kurang 50 ayat. Ini bermakna setelah selesai bersahur azan dilaungkan selepas itu sesiapa yang hendak mengambil wudhu’ bolehlah mengambil wudhu’ kemudian barulah sembahyang subuh. Tempoh diantara azan, wudhu’, sembahyang sunat subuh dan sembahyang subuh itu sendiri adalah lebih kurang 50 ayat.


3. Ia juga mungkin bermaksud, “tempoh daripada kami mula bersahur hinggalah masuk waktu subuh hanyalah sekadar bacaan 50 ayat.”


4. Ulamak-ulamak hadis malah berdalil dengan hadis ini tentang kelewatan waktu bersahur itu dan peri ringkasnya makan sahur yang diambil oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya sehingga masa bersahur dengan masuk waktu subuh itu ialah kadar 50 ayat bukan sebaliknya menunjukkan berhenti makan sahur dan sebagainya sebelum subuh seperti yang berlaku dalam amalan imsak.


5. Ayat Al-Quran itu tidak sama panjangnya, ada yang panjang dan ada yang pendek. “50 ayat” yang dimaksudkan itu ayat yang panjangkah atau yang pendek atau yang sederhana?


Banyak sekali kemungkinan yang boleh difahami daripada hadis tadi. Mengikut kaedah usul feqah, bila sudah ada kemungkinan tidak boleh lagi dijadikan dalil. Kaedah usul menghendaki agar kita mengembalikan nas yang mubham (samar) kepada yang mubayyan (terang). Yang mujmal (ringkas) mesti dikembalikan kepada yang mufassal (terperinci). Kenapa pula kita tidak mengembalikan hadis yang mempunyai banyak kemungkinan itu kepada Al-Quran dan Hadis yang terang seperti yang disebutkan tadi?


Orang yang mendokong ketetapan imsak juga mungkin mengambil sikap ihtiath (bercermat) dalam soal ini kerana takut terlanjur atau terlajak, ada baiknya diberhentikan sebelum garis yang ditentukan (sebelum masuk waktu subuh). Tetapi kenapa pula 10 minit sebelum subuh, tidak 5 minit atau 15 minit?



Kalau dalam soal bersahur kita patut berihtiath, tidakkah patut juga kita berihtiath semasa kita berbuka puasa? Kenapa kita tidak melewatkan 10 minit selepas masuknya waktu maghrib?


Tidakkah dengan mengamalkan imsak yang seperti ini, kita telah terhalang daripada mendapat pahala dan keutamaan lewat bersahur yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.


Jelaslah apa yg kita amalkan ini tidak mempunyai landasan yang kukuh sama ada daripada Al-Quran atau As-Sunnah dan juga perdapat ulamak-ulamak mujtahidin. Kalaupun ada hanyalah pendapat yang syaz. Pendapat yang syaz ini mengikut ulamak tidak boleh dipakai untuk amalan umum, apatah lagi untuk dibuat landasan dalam fatwa.



Oleh itu marilah kita memperbaiki segala amalan kita sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah supaya kita mendapat keberkatan dan kejayaan yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w. apabila kita berpegang kepada kedua-duanya.

Pihak kami juga berharap agar institusi-institusi agama tanahair sama ada rasmi atau tidak rasmi membuat penelitian dan kajian semula terhadap isu ini, kemudian memberi penjelasan kepada umum supaya mereka tidak lagi meraba-raba dalam soal agama.

Hidup dengan Al-Quran dan As-Sunnah"

Kepalsuan Hadis Kelebihan Tarawih


oleh:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH

Lot 1498,Taman Seri Demit,Jln.Sultanah Zainab 2,

Kubang Kerian,16150 Kota Bharu, Kelantan.

Tel:019-9817564

012-9548461


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang


Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,


Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:


· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).


· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.


· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.


· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.


· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..


· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh…


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.


Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya :


Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.

(Bukhori, Muslim)


Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).


Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud:


Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.

(An-Najm: 3-4).


Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:


Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah…..


Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:


Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

(Al-Bukhari)


Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:


Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.

(Al-Muddatsir)


Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.


Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah


1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.


2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.


3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.


4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.



SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT

SUNNAH RASULULLAH S.A.W.



Ramadhan Yang Menggamit

oleh Ustaz Muhammad


“Salam sayang buat semua sahabat. Semoga sentiasa dirahmati Allah. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w rasul tercinta. Segala puji bagi Allah yang menurunkan kasih sayang ke dunia ini. Tanpanya, sunyilah dunia ini dari perkenalan, berkasihan, beringat-ingatan.”


Berlakunya 15 Syaaban, selalu kita diingatkan dengan peristiwa yang berlaku di pertengahan bulan Syaaban ini. Tapi sedarkah kita dengan kehadiran Ramadhan sejurus selepas Syaaban, ramai yang leka dengan sambutan di bulan Syaaban, dan terus terleka bagi menghadapi bulan Ramadhan.


Ramadhan, satu bulan yang penuh berkat.Ramadhan di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.Ramadhan dijanjikan keampunan dosa silam dan akan datang.


Golongan penghafaz al-Quran sepatutnya golongan yang paling gembira denagn kehadiran bulan ini. Padanya diturunkan al-quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh alam. Padanya al-Quran ditadaruskan oleh Nabi s.a.w bersama Jibril setiap tahun. Padanya dibaca setiap malam dalam solat tarawih dan qiamullail.Namun, adakah kita berada dalam golongan ini. Pahala yang dijanjikan berganda-ganda pada bulan ini, ini semua tidak akan tercapai andai masa pada bulan ini hanya dihabiskan dengan tidur. Rebutlah peluang keemasan ini. Kita tidak mempunyai masa yang lebih sesuai untuk mengingati al-Quran selain bulan ini yakni Ramadhan


Pahala yang dijanjikan insya’Allah diperolehi. Ditambah pula dengan peningkatan hafalan al-Quran. Alangkah indahnya bulan Ramadha. Jangan sampai kita tergolong dalam kelompok yang menjadi bebanan kepada rasul kita s.a.w. sebagaimana firman Allah s.w.t :


“Telah berkata rasul, wahai tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai beban (diabaikan)”


Tetapi jadilah golongan yang akan diangkat darjatnya dengan setiap ayat yang dibaca. Di dalam syurga, setiap ayat yang dapat dibaca akan membezakan darjat kita dengan manusia yang lain. Soalannya, jika kita mati sekarang, berapakah jumlah ayat yang dapat dibaca. Tepuk dada, cari-cari tak ingat apa-apa.


Pada bulan Ramdhan ini juga para sahabat pada zaman Nabi berjihad menentang Kuffar La’natullah. Semoga semangat ini akan terus berkobar dikalangan kita semua. Khususnya kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan, semoga Berjaya dengan demilang. Kembalinya Nabi dari medan perang, menjelaskan bahwa peperangan belum berakhir. Peperangan dengan hawa nafsu akan berterusan. Berapakah jumlah mereka yang telah tewas pada bulan-bulan sebelum kedatangan Ramadhan. Tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas dari fitnah dan cubaan.


Firman Allah di dalam al-Quran :


“Mengapakah mereka tidak melihat sesungguhnya diri mereka itu telah tewas (hawa nafsu) pada setiap tahun sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak bertaubat dan tidaklah mereka menyebut (zikrullah)”


Soalannya, adakah ingin kita bertaubat mengakui kesilapan kita dan kembali kepada Allah. Atau kita selesa dengan apa yang berlaku. Celakalah bagi mereka yang melalui Ramadhan yang mana mereka tidak diampunkan dosa pada bulan ini.


Berlalunya Ramadhan tidak ada beza dengan bulan yang lain. Inilah ynag diaminkan oleh Rasulullah s.a.w semasa menaiki mimbar, Jibril membacakan doa.


Pintu taubat terbuka luas. Pintu dosa sudah disempitkan. Apa yang masih kita tunggu. Berapa ramai mereka yang sebaya dengan kita sudah tiada. Jika adab kita bersama manusia pun dititikberatkan pada bulan ini, apatah lagi adab bersama Allah.


Sabda Rasulullah s.a.w :


"Apabila tibanya Ramadhan,dibuka pintu Syurga, dan ditutup pintu Neraka dan dibelenggu para syaitan"


Ramadhan penghulu segala bulan. Melatih hamba Allah menjadi seorang yang betul-betul muttaqin (bertakwa). Peluang terbesar dalam hidup ini. Yakinkah kita dengan kedatangan Ramadhan tahun hadapan? Isilah masa dengan ibadat, membaca al-Quran. Moga kita digolongkan oleh Allah di kalangan hamba yang yang dijanjikan syurga.


Berdoalah selalu ketika menghadap Allah memohon rahmat serta keampunan di bulan yang digandakan berlipat kali ganda pahala.


Dan berdolah kepadaNya agar dibersihkan jiwa kita dari kotoran.

Moga kita dikumpulkan bersama di dalam syurga nanti……..


wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters