Wednesday, August 27, 2008

Kepalsuan Hadis Kelebihan Tarawih


oleh:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH

Lot 1498,Taman Seri Demit,Jln.Sultanah Zainab 2,

Kubang Kerian,16150 Kota Bharu, Kelantan.

Tel:019-9817564

012-9548461


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang


Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,


Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:


· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).


· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.


· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.


· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.


· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..


· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh…


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.


Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya :


Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.

(Bukhori, Muslim)


Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).


Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud:


Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.

(An-Najm: 3-4).


Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:


Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah…..


Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:


Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

(Al-Bukhari)


Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:


Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.

(Al-Muddatsir)


Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.


Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah


1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.


2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.


3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.


4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.



SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT

SUNNAH RASULULLAH S.A.W.



Ramadhan Yang Menggamit

oleh Ustaz Muhammad


“Salam sayang buat semua sahabat. Semoga sentiasa dirahmati Allah. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w rasul tercinta. Segala puji bagi Allah yang menurunkan kasih sayang ke dunia ini. Tanpanya, sunyilah dunia ini dari perkenalan, berkasihan, beringat-ingatan.”


Berlakunya 15 Syaaban, selalu kita diingatkan dengan peristiwa yang berlaku di pertengahan bulan Syaaban ini. Tapi sedarkah kita dengan kehadiran Ramadhan sejurus selepas Syaaban, ramai yang leka dengan sambutan di bulan Syaaban, dan terus terleka bagi menghadapi bulan Ramadhan.


Ramadhan, satu bulan yang penuh berkat.Ramadhan di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.Ramadhan dijanjikan keampunan dosa silam dan akan datang.


Golongan penghafaz al-Quran sepatutnya golongan yang paling gembira denagn kehadiran bulan ini. Padanya diturunkan al-quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh alam. Padanya al-Quran ditadaruskan oleh Nabi s.a.w bersama Jibril setiap tahun. Padanya dibaca setiap malam dalam solat tarawih dan qiamullail.Namun, adakah kita berada dalam golongan ini. Pahala yang dijanjikan berganda-ganda pada bulan ini, ini semua tidak akan tercapai andai masa pada bulan ini hanya dihabiskan dengan tidur. Rebutlah peluang keemasan ini. Kita tidak mempunyai masa yang lebih sesuai untuk mengingati al-Quran selain bulan ini yakni Ramadhan


Pahala yang dijanjikan insya’Allah diperolehi. Ditambah pula dengan peningkatan hafalan al-Quran. Alangkah indahnya bulan Ramadha. Jangan sampai kita tergolong dalam kelompok yang menjadi bebanan kepada rasul kita s.a.w. sebagaimana firman Allah s.w.t :


“Telah berkata rasul, wahai tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai beban (diabaikan)”


Tetapi jadilah golongan yang akan diangkat darjatnya dengan setiap ayat yang dibaca. Di dalam syurga, setiap ayat yang dapat dibaca akan membezakan darjat kita dengan manusia yang lain. Soalannya, jika kita mati sekarang, berapakah jumlah ayat yang dapat dibaca. Tepuk dada, cari-cari tak ingat apa-apa.


Pada bulan Ramdhan ini juga para sahabat pada zaman Nabi berjihad menentang Kuffar La’natullah. Semoga semangat ini akan terus berkobar dikalangan kita semua. Khususnya kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan, semoga Berjaya dengan demilang. Kembalinya Nabi dari medan perang, menjelaskan bahwa peperangan belum berakhir. Peperangan dengan hawa nafsu akan berterusan. Berapakah jumlah mereka yang telah tewas pada bulan-bulan sebelum kedatangan Ramadhan. Tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas dari fitnah dan cubaan.


Firman Allah di dalam al-Quran :


“Mengapakah mereka tidak melihat sesungguhnya diri mereka itu telah tewas (hawa nafsu) pada setiap tahun sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak bertaubat dan tidaklah mereka menyebut (zikrullah)”


Soalannya, adakah ingin kita bertaubat mengakui kesilapan kita dan kembali kepada Allah. Atau kita selesa dengan apa yang berlaku. Celakalah bagi mereka yang melalui Ramadhan yang mana mereka tidak diampunkan dosa pada bulan ini.


Berlalunya Ramadhan tidak ada beza dengan bulan yang lain. Inilah ynag diaminkan oleh Rasulullah s.a.w semasa menaiki mimbar, Jibril membacakan doa.


Pintu taubat terbuka luas. Pintu dosa sudah disempitkan. Apa yang masih kita tunggu. Berapa ramai mereka yang sebaya dengan kita sudah tiada. Jika adab kita bersama manusia pun dititikberatkan pada bulan ini, apatah lagi adab bersama Allah.


Sabda Rasulullah s.a.w :


"Apabila tibanya Ramadhan,dibuka pintu Syurga, dan ditutup pintu Neraka dan dibelenggu para syaitan"


Ramadhan penghulu segala bulan. Melatih hamba Allah menjadi seorang yang betul-betul muttaqin (bertakwa). Peluang terbesar dalam hidup ini. Yakinkah kita dengan kedatangan Ramadhan tahun hadapan? Isilah masa dengan ibadat, membaca al-Quran. Moga kita digolongkan oleh Allah di kalangan hamba yang yang dijanjikan syurga.


Berdoalah selalu ketika menghadap Allah memohon rahmat serta keampunan di bulan yang digandakan berlipat kali ganda pahala.


Dan berdolah kepadaNya agar dibersihkan jiwa kita dari kotoran.

Moga kita dikumpulkan bersama di dalam syurga nanti……..


Tuesday, August 26, 2008

JANTUNG SEORANG MUADZIN MENGUMANDANGKAN AZAN


Oleh : Dr Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair, Arab Saudi


Doktor Jasim al-Haditsy seorang penasihat kesihatan jantung anak di ‘Amir Sultan Center untuk Penyakit Jantung’ di Hospital Angkatan Bersenjata Riyadh, Arab Saudi menceritakan kepadaku, “salah seorang rakanku yang boleh dipercayai bercerita kepadaku, bahawa pada suatu malam saat dia sedang bertugas di hospital, ada seorang pesakit yang meninggal dunia, maka dia segera memastikan akan kematian pesakit tersebut, dia meletakkan stetoskop di atas dada pesakit hingga dia mendengar suara, AllahuAkbar, AllahuAkbar, Asyhadu alla ilaha illallah’...


Dia berkata, “saya menyangka azan subuh telah berkumandang, kemudian saya bertanya kepada perawatnya, “ sekarang pukul berapa?” dia menjawab “ jam satu malam”.


Saya tahu bahawa sekarang ini belum tiba saatnya azan subuh, kemudian saya kembali meletakkan stetoskop di atas dadanya dan saya kembali mendengar azan tersebut sepenuhnya.


Saya bertanya kepada ahli keluarga pesakit ini, tentang keadaannya semasa hidup, mereka menjelaskan, “ dia bekerja sebagai muadzin di sebuah masjid, biasanya dia datang ke masjid seperempat jam sebelum tiba waktunya atau kadang-kadang lebih awal lagi, dia selalu mengkhatamkan Al-Quran dalam masa tiga hari dan sangat menjaga lisannya dari kesalahan.


Pada 15 Ramadhan, seorang jemaah solat pengsan di masjid saat dia mengumandangkan iqamah solat subuh, dengan segera, tiga orang dari jemaah solat membawanya ke Hospital Angkatan Bersenjata di Riyadh.


Orang itu sedar ketika mereka masih dalam perjalanan menuju ke hospital, tiba-tiba dia berzikir seperti tidak pernah terjadi apa-apa pun. Sesampainya di Unit Kecemasan (ICU), dia disambut oleh seorang pemeriksa jantung yang menceritakan kisah ini kepadaku, “kami menemukan terdapat peradangan mematikan yang parah dan teruk sekali pada sebahagian besar jantungnya, keadaan itu membuatkan kami tercengang.


Ketika saya berusaha untuk membawanya ke ruang ICU, tiba-tiba saya mendengan suara tasbih dan tahlil dan dia membisikkan sesuatu ke telinga salah seorang dari rakanku lalu tersenyum sambil membaca, “, Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammada Rasulullah’ lalu nyawanya di ambil menuju keharibaan tuhan-nya.

Rakanku yang terdengar bisikan orang tersebut tiba-tiba menangis tersedu-sedu, aku berasa takut atas kejadian ini dan segera menanyakan keadaannya, dia berkata, “orang ini telah membisikkan kepadaku, “Doktor! Tidak usahlah anda menyibukkan diri, sungguh aku akan mati, aku telah melihat syurga, insya’ Allah aku akan segera menuju ke sana, aku melihatnya sekarang, sungguh aku melihatnya”.


Ketika orang ini ditanya tentang riwayat hidup (sisi kehidupan) orang yang telah meninggal ini, dia berkata, “Dia sangat menjaga dua perkara :


Pertama, dia dan muadzin selalu saling dahulu mendahului untuk datang ke masjid, kadang muadzin mendahuluinya dan lebih banyak dia yang datang terlebih dahulu.

Kedua, dia dikenali sebagai seorang yang berperibadi baik, Allah S.W.T telah menjaganya dari perbuatan keji dan mungkar dia tidak pernah berbohong dan mencaci orang lain.


Allah telah mencukupinya dan menjaminnya. Dan sesungguhnya kita tidak boleh memberikan rekomendasi apapun untuk siapapun di hadapan Allah.

Pembaharuan Tentang Konsep Zuhud

Oleh : Dr Aidh Al-Qarni


Hakikat zuhud adalah meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat untuk kepentingan akhirat. maka setiap yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat lebih baik ditinggalkan. Seperti itulah yang dicontohkan nabi s.a.w. sepanjang hidupnya.

Baginda tidak pernah menjauhi sama sekali kecuali hal-hal yang dianggapnya dapat melalaikannya dari mengingati, menyembah, dan membela agama Allah s.w.t. Adapun segala sesuatu yang dapat mendukung perjuangan dan membela agama Allah s.w.t. atau sesuatu yang membuat sentiasa kuat menyembah Allah s.w.t., maka meninggalkannya adalah kebodohan.

Kenyataan yang sering kita lihat adalah kesalahan pemahaman tentang konsep zuhud. Pada sebahagian orang, pengertian zuhud telah disalah definisikan. Untuk mengamalkan zuhud, mereka sehingga meninggalkan hal-hal yang dipandang baik( at-Tayyibaat) dalam penilaian umum. Sehingga akhirnya pemahaman mereka yang sedemikian berpengaruh atau terlihat dalam cara beribadah, pandangan, manhaj dakwah, dan kitab-kitab karangan mereka.

Menurut mereka, zuhud adalah sama sekali melepaskan diri dan jiwa dari segala hal yang berbau keduniaan sehingga akhirnya mereka tampak lebih jauh tertinggal jika dibandingkan dengan agama-agama lain, seperti Yahudi, Nasrani, Penyembah patung, dan bangsa-bangsa lainnya. Pemahaman ini berlanjutan sampai kepada generasi-generasi sekarang. Mereka berpaling dari dunia. Mereka menghina orang-orang yang mengejar, membangun, dan mengolahnya. Sehingga mereka pun jauh tertinggal di belakang dan agama lain. Kekayaan dan kekuatan akhirnya menjadi milik agama lain yang mana dengan kekayaaan dan kekuatan itulah mereka menghentam dan menguasai orang-orang Islam.

Yang menyedihkan adalah bahawa mereka yang berbuat dan berfahaman demikian selalu mengunakan nama agama. Padahal sesungguhnya mereka telah menyelewengkan pemahaman agama. Penisbatan mereka kepada agama adalah salah sebab apa yang dinginkan oleh agama (Islam) sesungguhnya sangat berbeza dengan apa yang mereka fahami dan lakukan. Agama mengingin dan menganjurkan untuk mementingkan dunia dan akhirat sekaligus.

Di dunia, umat Islam diwajibkan untuk meperjuangkan kalimatullah(La Ilaaha Illallah) untuk sentiasa menjadi kalimat yang diagungkan setinggi-tingginya. Sedangkan untuk melakukan hal demikian tidak akan mungkin tanpa didukung fasiliti keduniaan, seperti ekonomi. Inilah konsep yang benar dalam masalah ini (zuhud).

Lihatlah sahabat-sahabat Nabi s.a.w. mereka adalah orang-orang terkaya di Madinah. mereka membanteras kemiskinan. Mereka berhasil membangun dan memajukan kota Madinah. Mereka dapat mengalahkan bangsa asing di dalam dan di luar. Demikian itu dapat mereka lakukan tidak lain kerana mereka memiliki kekayaan harta. Bagi mereka, dunia adalah sarana menuju akhirat.

Mereka yang sentiasa menyerukan untuk meninggal dan melepaskan diri dari segala hal yang berbau keduniaan, sesungguhnya tidak memiliki sandaran (alasan) yang kuat. Dalil yang mereka pegang adalah hadith-hadith dhaif, yang mana tidak pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang ma’shum.

Sunday, October 7, 2007

Mazaliq Fi Toriq Al-Tolab



Pada satu malam, ketika membuka laci meja di rumah, terlihat beberapa helaian kertas yang telah lama dicetak dan tersimpan. Oh, buku Dr. salman al-‘Audah rupanya. Tajuk: Mazaliq Fi Toriq al-Tolab ‘Kegelinciran dalam perjalanan mencari ilmu’. Ini kali kedua saya membacanya. Rasa terpanggil pula untuk berkongsi sedikit maklumat yang menarik di dalamnya…….

Pencinta sunnah perlu mempunyai sifat berhati-hati dalam segenap perkara agar tidak tersalah langkah dalam mempraktikkan sunnah dan juga menyebarkannya. Di sini saya ingin berkongsi bersama para pembaca tentang apa yang telah ditulis oleh salah seorang pendakwah masa kini daripada Arab Saudi iaitu Dr. Salman Ibn Fahd al-‘Audah (penasihat laman web http://www.islamtoday.com/). Buku ini (Mazaliq Fi Toriq al-Tolab) boleh dimuat turun dalam bentuk Microsoft Word (dalam Bahasa Arab) melalu laman web beliau.


Apa yang ingin difokuskan ialah nasihat Dr. Salman al-’Audah terhadap para pencinta sunnah yang agak gopoh dalam mempraktikkan sunnah (pada pandangan mereka) sehingga ia menimbulkan salah faham daripada masyarakat.


Beliau menyatakan perkara ini di bawah perbahasan ketujuh dalam buku beliau (bermula daripada muka surat 40) dengan menyatakan perkara berikut sebagai beberapa kesilapan yang dilakukan oleh penuntut ilmu masa kini:

Pertama: Melaksanakan sesuatu sunnah sebelum memastikan kesahihannya.
- Contoh yang beliau berikan ialah tentang kisah beliau bertemu dengan seorang pemuda yang memakai serban yang dililitkan di kepalanya dan ia berlainan dengan pakaian orang lain di tempatnya. Setelah disoal oleh Dr. Salman, pemuda itu terus menyebut beberapa hadith palsu tentang kelebihan melilitkan serban sebegitu rupa sedangkan hadith-hadith itu sebenarnya adalah palsu!


- Contoh kedua pula ialah tentang apa yang dilakukan oleh sebahagian pemuda (di atas dakwaan mengikut sunnah) iaitu mencukur misai (tidak sekadar menipiskannya) dan menganggap bercukur itu adalah satu-satunya cara untuk mengikut sunnah.


- Contoh ketiga pula ialah sikap sebahagian penuntut ilmu hadith yang memarahi perbuatan bangun menyambut tetamu yang datang dari luar. Contohnya apabila kita berada dalam satu majlis atau satu pertemuan, lalu datang seorang tetamu atau orang ternama. Maka kita akan bangun untuk menyambutnya, bersalam dengannya dan sebagainya. Ia adalah sikap yang baik dan tidak menyalahi mana-mana nas Al-Quran atau hadith. Tetapi Dr. Salman mengkritik sikap sebahagian penuntut ilmu yang menganggap perkara itu adalah dilarang menurut ’sunnah’. Sedangkan beliau sendiri mendengar fatwa daripada bekas mufti Arab Saudi iaitu Syeikh Abd. Aziz Ibn Baz (semoga Allah merahmati beliau) yang memuji adat berdiri dan menyambut tetamu.

Kedua : Berlebihan dalam melaksanakan sunnah
- Contoh yang diberikan oleh Dr. Salman ialah sikap sebahagian muslimin dalam merapatkan saf ketika solat berjemaah. Beliau mengkritik sikap sebahagian mereka yang terlalu mementingkan cara tertentu dalam merapatkan saf. Sedangkan merapatkan saf seperti yang ada dalam hadith-hadith sahih memberi maksud agar tidak ada jemaah yang terkehadapan atau terkebelakang dan kedudukan dada mereka adalah sama sahaja. Namun ada sebahagian yang mementingkan cara ’melekatkan’ buku lali dan juga merapatkan bahu sehingga menyentuh bahu jemaah di sebelah. Beliau tidak menganggap perkara ini sebagai sunnah. Malah ini bukannya satu perkara yang disepakati sebagai sunnah oleh ulama sejak zaman berzaman. Berlebih-lebihan dalam ’melekatkan’ badan ini telah menyebabkan sebahagian masyarakat salah faham dan timbul juga sikap bermasam muka.

Terdapat banyak perkara yang disebutkan oleh Dr. Salman al-’Audah dalam bukunya yang ringkas ini. Ia amat sesuai untuk dibaca terutama oleh mereka yang mampu membaca tulisan dalam Bahasa Arab. Bagi mereka yang tidak mampu, bolehlah melayari laman web beliau http://www.islamtoday.com/ iaitu versi Bahasa Inggeris untuk memperolehi maklumat yang pelbagai berkaitan berita dunia Islam, fatwa-fatwa terkini, artikel Dr. Salman dan lain-lain lagi. Wallahu a’lam.
Abdullah Mas'ud MTAQ

Saturday, September 29, 2007

Buatmu Teman…

Teman,
Ku mohon kemaafanmu
Atas dosaku terhadapmu
Ku pinta ihsanmu
Di atas kesalahanku
Semoga engkau dirahmati Allah
Dan mendapat hidayah-Nya

Teman,
Terkenangku saat kita pernah bersama
Ukhwah yang kujalinkan bukan kerana Allah
Balasan oleh-Nya telahpunku terima
Senyum dan tawa yang dahulu
Hanya tinggal kemarahan dan hasad
Tidak dapatku padamkan
Api kemarahanmu yang membara
Dek kerana dosaku ini

Teman,
Ku insafi diri ini
Akan apa yang aku telah lakukan
Ku cuba untuk kembali
Mencari petunjuk cinta Ilahi
Semoga kau mendoakan diri ini sentiasa
Agar Allah masih menyayangi jasad ini

Teman,
Ku lihat dirimu jauh berubah
Perwatakanmu jauh berbeza
Sejak berakhirnya persahabatan antara kita
Bagaikan terdapat hijab
Melangkau timur dan barat
Antara diriku dan dirimu

Teman,
Kalau dahulu engkau adalah pejuang sunnah Nabiyullah
Tetapi kenapa tidak lagi sekarang?
Kalau dahulu engkau adalah seorang pemikir akan sesuatu
Tetapi kenapa tidak lagi sekarang?
Kalau dahulu engkau adalah seorang pendiam
Tetapi kenapa tidak lagi sekarang?
Engkau kini adalah manusia yang tidak kukenali

Teman,
Aku mengatahui kesangsianmu terhadap diri ini
Namun apakah dayaku untuk membuat kau mempercayaiku
Selepas apa yang telah aku lakukan terhadapmu?
Aku malu akan diriku sendiri
Kerana telah mengkhianati amanahku
Kerana telah lupa akan diriku saat aku melakukan dosa

Teman,
Kuredhai engkau membenci dan memusuhiku
Namun biarlah kemarahanmu itu
Hanya di dunia sementara
Agar aku tidak disekat dek dosaku terhadapmu

Teman,
Bersahabat dengan setiap manusia
Bukan dengan seorang dalam kalangan mereka
Tetapi dengan mereka keseluruhannya
Tanpa membezakan baik dan buruk rupa paras mereka
Kerana yang ramai itu akan membaikimu
Sedangkan yang seorang itu
Mungkin akan membinasakanmu tika kau lalai

Teman,
Terima kasih kerana telah memberikanku harapan
Apa yang aku harapkan darimu
Hanyalah agar engkau terus menerus
Perjuangkan Al-Quran dan As-Sunnah
Janganlah kerana diriku ini
Engkau telah lupakan segalanya yang telah kita lalui
Aku mendoakan kepadamu
Semoga Allah merahmatimu…

Umar Al-Faruq
11.24 a.m.
22/9/2007
Sabtu
Ditujukan kpd sahabatku
Maafkanlah diriku.

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters