Friday, March 29, 2013

Selamat Ulangtahun Kelahiran ke _ _

Assalamualaikum wbt,





Alhamdulillah, segala puji dan puja milik Allah Tuhan Sekalian Alam yang telah menganugerahkan kepadaku seorang isteri yang penyabar, pemberi semangat, semoga sentiasa menjadi isteri yang solehah dan beroleh syurga Allah yang abadi, selawat dan salam juga ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke _ _ buat isteri tercinta, Nur Hanani Fadzilah binti Abdul Khalid... Tak lupa juga Ulang Bulan Perkahwinan kita yang ke 7 baru-baru ini.  :)

Meskipun bersikap kebudak-budakan, tetapi Allah Yang Maha Mengetahui betapa dia benar-benar penguatku di kala susah, pemberi semangat yang tidak pernah putus, membuatkanku bersungguh melakukan sesuatu.

Terima kasih atas kasih dan sayang yang dicurahkan, tiada dapat kubalas melainkan dengan mendoakan agar Allah SWT memberikanmu yang terbaik dariNya.

Jangan bersedih atas sesuatu yang kita belum ada, hikmahnya pasti ada, sentiasa berusaha memperbaiki diri, jangan terikut dengan sikapku yang tak elok, sentiasalah istiqamah dengan kebaikan... Moga-moga kebaikan yang kita amalkan itu memberi kesan kepada orang yang rapat dengan kita.



Rajin-rajin study... All the best

----------------------------

P/S : Minta maaf sebab tak teringat nak beli hadiah, harapnya makan-makan malam ni dapat gembira hatimu sedikit sebanyak, maafkan salah dan silap abang juga :)

Sunday, March 24, 2013

Sabar dengan Musibah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,



Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah subhanahu wa ta'ala serta selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman :

فإن مع العسر يسر - إن مع العسر يسرا

Minggu ini diberikan ujian oleh Allah subhanahu wa ta'ala, musibah yang begitu berat seolah diri ini tidak mampu untuk menanggungnya. Bagaimana terkenang kisah Ka'ab bin Malik radhiallahu 'anhu yang dipulaukan, mengenangkan juga kisah Ummul Mukminin 'Aisyah radhiallahu 'anha apabila difitnah. Kecekalan hati mereka dalam berdepan dengan musibah yang dihadapi sungguh meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya.

Kedua kisah tersebut walaupun berpunca dari sebab yang berbeza tetapi kedua-duanya dipulaukan, mesti tidak pernah terbayang di fikiran kita bagaimana boleh terjadi semua orang yang kita kenali memulaukan kita, kawan-kawan yang dahulunya kita bergelak ketawa dan menangis sekali tiba-tiba memulaukan kita, ustaz-ustazah yang dahulunya memberikan tunjuk ajar kepada kita tiba-tiba turut memulaukan kita. Dada terasa begitu sempit, air mata mengalir dengan begitu mudah sekali. Allah...

"Allah sedang berbicara denganmu..."

Di kala itu, tiada tempat lain untuk mengadu setelah Allah kecuali orang terdekat, mesej dihantar kepada ummi memohon doa seorang ibu agar Allah membuka jalan dan memberikan petunjuk. Isteri yang tidak putus-putus memberikan kata semangat amat dihargai, terasa besarnya peranan Ummul Mukminin Khadijah radhiallahu 'anha tatkala menenangkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam setelah diturunkan wahyu dan berjumpa Jibril alaihissalam. Kata-kata mereka ibarat pertama yang menyebabkan diri ini terus mampu melangkah ke hadapan sedangkan jika bersendirian sudah tentu rebah ini memerlukan masa yang agak panjang untuk bangkit kembali. Terima kasih dan bersyukur kerana mempunyai mereka, moga Allah memberikan mereka syurgaNya yang tertinggi bersama para Nabi Allah yang mulia.

Begitu juga terasa gugur seluruh dosa, seolah diri diberi nafas baru untuk menerus baki kehidupan, hanya Allah mengerti. Allah menyayangimu, Allah ingin engkau menjadi manusia baru tanpa dosa, Allah mahu engkau menjadi orang yang semakin tabah melangkah ke hadapan, Allah amat dekat denganmu.

Saat diuji, kita teringat betapa banyakkah amal ibadah yang telah kita kerjakan, cukupkan untuk kita bawa menghadap Allah? Andai dengan manusia yang telah kita curahkan begitu banyak baktipun dengan senang diruntuhkan dengan syak wasangka, apakah kita tidak fikir pahala kita dengan senang boleh terhapus dengan dosa yang kita lakukan?

Bersabar... Allah bersama orang-orang yang benar

Kesilapan hari ini jadikan teladan, jangan ulangi dan perbaiki ke arah lebih baik


-----------------------------------------
Tidaklah seorang suami yang keletihan pulang dari tempat kerja akan merasai keletihan yang dihadapinya apabila disambut dan dibelai mesra oleh isteri yang solehah. Begitu juga sebaliknya betapa bertambahnya keletihan si suami apabila disambut dengan si isteri mengingatkan kekurangan serta tanggungjawabnya yang tidak selesai tanpa memikirkan kepenatan si suami.

Saling memahami, bertolak ansur, jangan mengambil kesempatan atas kekurangan satu sama lain sebaliknya belajarlah sifat lengkap melengkapi. Jangan kerana si suami kerap menolong di dapur maka kau lepaskan tanggungjawabmu kepadanya, dan jangan kerana banyaknya si isteri menolongmu dalam kerja menyebabkan engkau malas, melepaskan tanggungjawabmu kepada si isteri.

اللهم اهدنا سبل السلام, واجعل أسرتنا رياض من رياض الجنة وبارك لنا بالمودة والرحمة من عندك

إنك أنت الرحمن الرحيم

Sunday, March 10, 2013

Kritikan Dalam Persatuan



Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, juga salam rindu kepada isteri tercinta, keluarga, guru-guru dan sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.


KRITIK KERANA CINTA / BENCI
Kritikan boleh menjadi tanda kita cinta kepada sesuatu, kita mengkritik kerana kita mahukan ia menjadi lebih baik dan lebih dicintai. Namun, kritikan juga boleh menjadi tanda benci kita terhadap sesuatu, menunjukkan betapa kita tidak menyukainya, hasad dengki dan sebagainya.

Samada kritikan itu adalah kritikan cinta ataupun benci dapat kita lihat daripada bibit kata seseorang. Bagaimana mungkin orang yang mengatakan bahawa dia mencintai sesuatu yang dikritiknya tanpa dia tidak sedikitpun membela perlakuan baik yang dilakukan oleh orang yang dicintainya? Dalam konteks bepersatuan, orang yang memimpin persatuan adalah manusia dan ada salah silapnya yang tidak dapat dinafikan. Kita dalam memberi kritikan atau teguran perlu terlebih dahulu berfikir sebagaimana berfikirnya seorang pemimpin barulah kita dapat melihat sisi pandang yang lain. Jangan menyempitkan ruang fikiran kita dengan satu idea dan dari satu sudut!

Sungguh hairan dengan orang yang tidak terlibat dengan meeting-meeting persatuan, jarang sekali menjadi ajk program (terutama ajk program, ajk teknikal, pengarah dan amt) tiba-tiba bangkit menyatakan pendapat seolah pendapatnya sahajalah yang betul dan benar. Bimbang andai kita hanya tahu mengkritik tanpa memberikan penyelesaian bahkan lebih kepada menurut hawa nafsu serakah yang tidak bertepi.

KRITIKAN DALAM ISLAM
Kritikan yang kita ingini adalah kritikan yang membina, kritikan yang memperbaiki kelemahan di samping tidak bersikap menjatuhkan. Kritikan dalam Islam adalah kritikan berbentuk islah (memperbaiki) dan bukan ifsad (merosakkan). Inilah sifat kritikan dari seorang muslim, kritikan ifsad bukan sahaja menjatuhkan tetapi menimbulkan pelbagai lagi masalah seperti :

1. Membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga kritikan sebagai cinta kita diterjemah oleh orang lain sebagai benci.
2. Pemulauan terhadap kata-kata dan renggangnya ukhuwwah yang telah kita bina selama ini.
3. Membibitkan permusuhan dan hasad dengki yang berlarutan.
4. Memecahbelahkan kesatuan dan seterusnya menghancurkan sesebuah persatuan.
5. Kita akan kekal dengan sikap sebagai pengkritik mufsid.

BATU API
Kadang-kadang orang yang menjadi batu api ini lebih berdosa daripada pengkritik mufsid, bagaimana tidaknya apabila dia menjadi orang yang mengapikan api perbalahan sesama muslim, mengajak kepada perselisihan dan bukan perpaduan, menyelongkar kesalahan yang tidak disengajakan dan sengaja mencari titik perpecahan.

Hai si batu api, ingatlah akan azab Allah yang menanti, jangan terus berasa senang lenang setelah menaburkan api permusuhan. Nun jauh di sana, neraka sedang menunggu, malaikat sedang mencatit, Allah sedang melihat dan syaitan sedang ketawa berdekah-dekah. Insaf dan bertaubatlah, Allah itu Maha Adil!

...........................

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters