Sunday, March 24, 2013

Sabar dengan Musibah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,



Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah subhanahu wa ta'ala serta selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman :

فإن مع العسر يسر - إن مع العسر يسرا

Minggu ini diberikan ujian oleh Allah subhanahu wa ta'ala, musibah yang begitu berat seolah diri ini tidak mampu untuk menanggungnya. Bagaimana terkenang kisah Ka'ab bin Malik radhiallahu 'anhu yang dipulaukan, mengenangkan juga kisah Ummul Mukminin 'Aisyah radhiallahu 'anha apabila difitnah. Kecekalan hati mereka dalam berdepan dengan musibah yang dihadapi sungguh meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya.

Kedua kisah tersebut walaupun berpunca dari sebab yang berbeza tetapi kedua-duanya dipulaukan, mesti tidak pernah terbayang di fikiran kita bagaimana boleh terjadi semua orang yang kita kenali memulaukan kita, kawan-kawan yang dahulunya kita bergelak ketawa dan menangis sekali tiba-tiba memulaukan kita, ustaz-ustazah yang dahulunya memberikan tunjuk ajar kepada kita tiba-tiba turut memulaukan kita. Dada terasa begitu sempit, air mata mengalir dengan begitu mudah sekali. Allah...

"Allah sedang berbicara denganmu..."

Di kala itu, tiada tempat lain untuk mengadu setelah Allah kecuali orang terdekat, mesej dihantar kepada ummi memohon doa seorang ibu agar Allah membuka jalan dan memberikan petunjuk. Isteri yang tidak putus-putus memberikan kata semangat amat dihargai, terasa besarnya peranan Ummul Mukminin Khadijah radhiallahu 'anha tatkala menenangkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam setelah diturunkan wahyu dan berjumpa Jibril alaihissalam. Kata-kata mereka ibarat pertama yang menyebabkan diri ini terus mampu melangkah ke hadapan sedangkan jika bersendirian sudah tentu rebah ini memerlukan masa yang agak panjang untuk bangkit kembali. Terima kasih dan bersyukur kerana mempunyai mereka, moga Allah memberikan mereka syurgaNya yang tertinggi bersama para Nabi Allah yang mulia.

Begitu juga terasa gugur seluruh dosa, seolah diri diberi nafas baru untuk menerus baki kehidupan, hanya Allah mengerti. Allah menyayangimu, Allah ingin engkau menjadi manusia baru tanpa dosa, Allah mahu engkau menjadi orang yang semakin tabah melangkah ke hadapan, Allah amat dekat denganmu.

Saat diuji, kita teringat betapa banyakkah amal ibadah yang telah kita kerjakan, cukupkan untuk kita bawa menghadap Allah? Andai dengan manusia yang telah kita curahkan begitu banyak baktipun dengan senang diruntuhkan dengan syak wasangka, apakah kita tidak fikir pahala kita dengan senang boleh terhapus dengan dosa yang kita lakukan?

Bersabar... Allah bersama orang-orang yang benar

Kesilapan hari ini jadikan teladan, jangan ulangi dan perbaiki ke arah lebih baik


-----------------------------------------
Tidaklah seorang suami yang keletihan pulang dari tempat kerja akan merasai keletihan yang dihadapinya apabila disambut dan dibelai mesra oleh isteri yang solehah. Begitu juga sebaliknya betapa bertambahnya keletihan si suami apabila disambut dengan si isteri mengingatkan kekurangan serta tanggungjawabnya yang tidak selesai tanpa memikirkan kepenatan si suami.

Saling memahami, bertolak ansur, jangan mengambil kesempatan atas kekurangan satu sama lain sebaliknya belajarlah sifat lengkap melengkapi. Jangan kerana si suami kerap menolong di dapur maka kau lepaskan tanggungjawabmu kepadanya, dan jangan kerana banyaknya si isteri menolongmu dalam kerja menyebabkan engkau malas, melepaskan tanggungjawabmu kepada si isteri.

اللهم اهدنا سبل السلام, واجعل أسرتنا رياض من رياض الجنة وبارك لنا بالمودة والرحمة من عندك

إنك أنت الرحمن الرحيم
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters