Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian dipanjatkan kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Mulut ini sentiasa ingin berkata bahawa aku merinduimu, tetapi jauh di sudut hati, tersimpul satu kerisauan andai ianya hanya sebuah kata yang tak mampu dikotakan... Allah.
Apa khabar pembaca sekalian, sihat, gembira, ceria, riangkah kalian pada waktu ini? Sungguh rindu untuk menulis surat ini kepada kalian, agar ia mampu dimanfaatkan bersama. Mengharungi liku-liku kehidupan ini, kerana ku sedar bahawa kalian juga tidak lari dari masalah. Allahumma la sahla illa ma ja'altahu sahlan wa anta taj'alul hazna iza syikta sahla.
Jiwa kita kadang meronta-ronta mencari suatu hakikat, hidup diselubungi gelisah, fikiran berkecamuk, terasa begitu kosongnya hati, jauhnya dari rahmat Ilahi. Dosa yang kita lakukan telah memakan diri kita, cinta kita kepada Ilahi telah hilang. Ke mana? Ke manakah ia? Ya Allah, susahnya hidup ini tanpa-Mu, tanpa-Mu bagaimanakah kami mahu bergerak, makan minum, tidur, ketawa dan menangis, bahkan bagaimana kami mahu bernafas? Allah...
Ketika diri ini terdesak mencari hakikat tersebut, Engkau datangkan kepada kita petunjuk, Engkau bisikkan kepada hamba Allah yang soleh untuk membantu kita, memberi nasihat dan panduan dalam mencapai ma'rifatullah.
Syeikhuna Mu'az Said Hawwa berpesan :
- Bersederhanalah dalam makan dan minum, sesungguhnya ia dapat menyucikan diri. Jika sesuap makanan yang kamu suapkan ke dalam mulutmu itu adalah untuk beribadah kepada Allah maka makanlah, tetapi andai ianya akan kamu gunakan pada maksiat maka sesungguhnya kamu tidak layak untuk makan.
كلَّ ما كَثُرَ الطعام كَثُرَ حركته وشهوته
- Berpuasalah kerana Allah semata dan bukan kerana perkara sampingannya. Puasa kerana Allah itulah yang menguatkan diri dan diganjari oleh Allah.
أن الضعف في صيامك تغير همتك, وأن الصيام والجوع يقوي همتك إن صدقت في صيامك
- Jika kamu tidak mampu untuk berpuasa dan qiyam, maka lihatlah pada dosamu. Bertaubat dan beristighfarlah. Sujudlah kepada Allah, sesungguhnya setiap sujudmu itu mengangkat darjatmu di sisi-Nya.
- اتقوا الله وكونوا مع الصادقين
- الأرواح جنود مجندة
- Tatkala kamu melihat diri kamu cenderung kepada kebatilan maka ketahuilah bahawa pada dirimu itu ada kebatilan kerana sesungguhnya jika kamu dianugerahkan nur oleh Allah nescaya kamu akan cenderung kepada orang-orang soleh.
- Berbuat baiklah kepada manusia dari segi percakapan, perbuatan nescaya Allah akan berlaku baik kepadamu, begitu juga sebaliknya. Jadikanlah muamalah kamu dengan manusia sebahagian daripada cara mendekatkan dirimu kepada Allah.
- Selawatlah ke atas Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam jika kamu telah melakukan sesuatu maksiat. Selawat akan memudahkan kamu untuk memintas titian sirat, sekali kamu berselawat ke atas Nabi, Allah akan berselawat ke atasmu sepuluh kali, apabila Allah berselawat ke atasmu ketahuilah bahawa ia adalah penyebab kamu terkeluar daripada kegelapan, terkeluar daripada kegelapan maksiat kepada nur ketaatan.
Jazakumullahu khairan kathira, wassalamua'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
2 comments:
mabruk..
sebuah pengisian yg baik...
sgt bertepatan dgn keadaan diri ini skarang..
mabruk..
pengisian yg amat bermakna saat diri ini terasa sukar....
Post a Comment