Di dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam Al Ghazzali radiyalla’anhu ada disimpulkan sebab-sebab yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut.
Antara lain:
i)Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang telah disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau tidak bersetuju dengannya dalam sesuatu perkara lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang aggresif untuk memuaskan hatinya. Pendek kata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan.
ii) Merasa Diri Mulia
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang pada anggapannya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang-orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta; dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap takabbur terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap orang yang lebih sesuatu daripada dirinya yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah ia tidak boleh menerima apa yang dirasanya sebagai sikap mengatasinya.
iii) Takabbur
Zahirnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan memperhambakan seseorang. Ia beranggapan seseorang itu harus mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak ingin lagi menerima arahan daripadanya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya. Atau boleh jadi ia
menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.
iv) Ujub
Pernah Allah Subbanahu Wata’ala jelaskan kepada kita perihal umat-umat dizaman dahulu. Mereka merasa takjub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka daripada menurut kebenaran. Hujah mereka adalah sebagaimana yang tertera di dalam Al Qur’an:
“Bukankah kamu tak lebih dari manusia (biasa) seperti kamu juga?”
Dan ungkapan yang berbunyi:
“Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”
Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang berjaya mendapat pangkat ke Rasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah Subhanahu Wata’ala ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.
v)Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.
vi)Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
Umpamanya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingannya dalam salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada tandingannya di zaman itu telah menguasai dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercita-cita kalau orang yang menandinginya itu mati atau kemahirannya berkurangan dan hilang.
vii) Busuk Hati
Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar hal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpamanya tentang kekacauan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.
*diedit daripada Rintangan Perjuangan Dalam kehidupan Pendakwah oleh Fathi yakan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wanabdbaith. Powered by Blogger.
0 comments:
Post a Comment