Sunday, February 11, 2007

Mangsa Fallujah dedah penyeksaan di penjara


KUALA LUMPUR 7 Feb. – Orang ramai yang menghadiri hari terakhir Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah Peperangan - Jenayahkan Perang hari ini tergamam dengan pendedahan terperinci penderitaan yang terpaksa dilalui oleh seorang tahanan perang di Fallujah, Iraq.

Bekas Ketua Jurutera Kementerian Sains dan Teknologi Iraq, Abbas Z. Abid, 43, menceritakan bagaimana beliau dan tahanan lain diseksa dengan pelbagai kaedah yang menggerunkan semasa berada di Penjara Al-Jadiria dari September 2005 hingga Oktober 2006.

Ia termasuk digantung di dinding selama berjam-jam dengan kemaluan diikat bahan berat dan dikenakan kejutan elektrik di beberapa bahagian badan khususnya kemaluan.

‘‘Saya juga ditakut-takutkan dengan melepaskan tembakan berhampiran kepala dan mencabut kuku jari.

‘‘Selain digantung di dinding sehingga pengsan, saya juga kerap digari tangan ke belakang sebelum digantung agar bahu saya tercabut,’’ katanya.

Pendedahan menyayat hati itu dibuat pada majlis penyampaian pengakuan mangsa dan saksi pakar kepada Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur pada persidangan anjuran Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Abbas merupakan seorang daripada enam penceramah yang menyampaikan kes mereka berhubung peperangan yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon.

Penyampaian pertama kali ini dipengerusikan oleh pengerusi pertubuhan itu yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Abbas menambah, beliau turut menyaksikan penyeksaan ke atas tahanan lain termasuk dipaksa mengadakan hubungan seks dengan tahanan lain, digerudi badan mereka, dicucuh dengan rokok dan kain nilon cair, dimasukkan bahan keras seperti kayu ke dalam dubur dan dipaksa berdiri berjam-jam.

‘‘Saya juga dipaksa menandatangani satu kenyataan tanpa mengetahui apa isi kandungannya kerana mereka meletakkan beg di atas kepala saya selama lebih dua bulan.

‘‘Mereka melakukan demikian kepada semua tahanan, dengan sesetengahnya berlanjutan selama lima bulan,’’ katanya.

Pengalaman bersesak-sesak dalam bilik berukuran 7 meter panjang dan 3.5 meter lebar bersama 70 banduan lain dan seterusnya ditambah 115 orang, turut sukar dilupainya.

‘‘Dalam ruang yang sempit itu, tahanan terpaksa duduk dan tidur di atas satu sama lain dalam keadaan badan terbakar, luka dan menghidap penyakit berjangkit.

‘‘Tahanan juga hanya dibenarkan ke tandas empat hari sekali, itu pun hanya satu minit. Pada waktu lain, tahanan perlu kencing di dalam botol plastik di hadapan pintu manakala najis dilepaskan di dalam beg plastik di hadapan orang lain.

‘‘Oleh kerana keadaan terlalu sempit, botol dan beg ini sering dilanggar dan najis akan bertaburan di bilik itu. Ia hanya dikosongkan apabila kami diberi peluang ke tandas,’’ katanya.

Setiap lima tahanan pula, katanya, menerima hanya dua liter air setiap tiga hari dan apabila terdesak, mereka terpaksa minum daripada botol yang berisi air kencing.

Abbas memberitahu, tahanan yang bernama Omar, Baker dan Marwan menerima perhatian ‘khas’ daripada pengawal penjara dengan dijerit dan diberi gelaran menghina kerana mereka merupakan orang Sunni.

Beliau turut menyaksikan sendiri lapan tahanan mati akibat kecederaan selepas diseksa kerana tiada rawatan perubatan diberikan.

Mengenai pengawal penjara itu, Abbas memberitahu sesetengah daripada mereka menggunakan telefon bimbit dengan nada deringan lagu Iran dan bercakap dalam bahasa yang tidak difahaminya.

‘‘Tentera Amerika Syarikat (AS) juga banyak kali melawat penjara itu,’’ katanya.

Justeru beliau berkata, AS tidak boleh menafikan kewujudan penjara rahsia itu.

‘‘Namun, di dalam media, mereka menafikannya dan sengaja memberi gambaran bahawa hanya tentera Iraq yang menyeksa rakyatnya sendiri semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada penyeksaan di Abu Ghraib,’’ tegasnya.

Pada 5 September 2006, Abbas dibawa ke mahkamah yang mengarahkan beliau dibebaskan kerana tidak cukup bukti.

Beliau kemudian dibebaskan pada 2 Oktober 2006 bersama tiga tahanan lain, termasuk seorang warga Syria.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters