Berikut adalah pengakuan seorang bekas tahanan di penjara Abu Gharaib, yang digelar "Lelaki di dalam kerudung" (Man in the hood). Lelaki tersebut, Alias Ali Shalal didatangkan khas dari Iraq ke Malaysia untuk berkongsi pengalamannya yang diseksa selama hampir enam bulan di beberapa buah penjara di Iraq. Ikuti pengakuan Alias yang ditranskripkan oleh wartawan Nyza Ayob dan Wan Intan Fadillah di Persidangan Antarabangsa dan Pameran, Pendedahan Jenayah Perang dan Memerangi Jenayah Perang, anjuran Perdana Global Peace, 6 Februari lalu.
Nama saya Alias Ali Shalal, berusia 45 tahun, warganegara Iraq dan merupakan pensyarah pendidikan Islam di bandar Al- Alamiya, Iraq. Tujuan saya membuat pengakuan ini adalah untuk menceritakan pengalaman saya diseksa di penjara Abu Gharaib.
Pada 13 Oktober 2003, semasa dalam perjalanan ke masjid di Al-Amraya, saya telah ditangkap oleh tentera Amerika. Mereka telah mengikat tangan saya dan menutup muka saya. kemudian mereka meletakkan saya dalam sebuah penjara yang kecil di Kem Tentera Amerika di Al-Amraya. Komander tentera ini, Kapten Philips memberitahu saya bahwa dia telah menerima arahan untuk menahan saya dan dia tidak memaklumkan sebab penahan ini.
Selepas dua hari saya dipindahkan ke penjara Abu Gharaib. Perkara pertama yang dilakukan ke atas saya, ialah pemerikasaan fizikal dan mendera saya. Pada masa yang sama tangkapan yang lain telah diletakkan dalam satu bilik penyiasatan. Bilik ini sempit dan dibanjiri air kumbahan najis separas buku lali. Saya diarahkan duduk dalam air tersebut.
Selepas soal siasat, saya dipindahkan dari tempat tersebut dan tahanan lain pula dimasukkan secara bergilir-gilir.
Perkara pertama yang disoal kepada saya sama ada saya berfahaman Syiah atau Sunni. Saya terkejut dengan soalan tersebut kerana di Iraq tida perbezaan antara keduanya. Tentera Amerika itu memaksa saya menjawab soalan seperti diminta. Dan dia memaklumkan bahawa di Iraq terdapat tiga puak iaitu Syiah, Sunnah dan Qurdi.
Lokasi Osama ben Laden
Apabila saya menjawab yang saya ialah warga Iraq Muslim, penyiasat menolak jawapan saya dan menyatakan saya anti-Zionis dan anti-Semitic serta menyokong pergerakan di sebaliknya. Mereka juga menyatakan saya mengetahui lokasi Osama ben Laden. Saya menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan Muslim dan Yahudi daripada sejarah keluarga yang sama. Saya menyatakan saya tidak dapat menyertai pergerakan tersebut sebab saya seorang yang cacat dan mengalami kecederaan di tangan.
Penyiasat menuduh saya mencederakan tangan saya apabila diserang oleh tentera Amerika. Mereka kononnya mengetahui saya sebagai orang penting dalam komuniti dan akan membantu jika saya bekerjasama dengan mereka. Penyiasat Amerika itu berjanji akan menawarkan khidmat perubatan untuk mengubati kecederaan di tangan saya.
Apabila saya tidak bekerjasama, penyiasat bertanyakan saya sama ada saya menganggap tentera Amerika sebagai penjajah atau pembebas. Apabila saya menyatakan tentera Amerika penjajah, mereka hilang sabar dan mengugut untuk menghantar saya ke Guantanamo Bay.
Selepas siasatan tersebut, mereka membawa saya ke bilik yang lain dan mengambil rekod cop jari, mengambil gambar mata saya dan mengambil air liur untuk analisis DNA. Seterusnya mereka mengikat pergelangan tangan dan meletakkan nama penuh saya, nombor serta status agama.
Mereka seterusnya memukul saya berulang kali dan meletak saya ke atas trak unutk memindahkan saya ke penjara lain di Abu Gharib. Keadaan di kem tersebut sungguh teruk. Setiap khemah ditempatkan 45 hingga 50 tahanan dan ruang antara setiap tahanan berukuran hanya 30sm x 30sm. Setiap khemah hanya diberi 60 liter air sehari untuk dikongsi semua tahanan. Air inilah digunakan untuk minum dan membersihkan diri selepas didera.
Diugut dihantar ke Guantanamo Bay
Kadang-kadang sebagai hukuman, kami langsung tidak diberi makanan. Jika diberi makanan, makan pagi pada jam 5.00 pagi, makan tengah hari pada jam 8.00 pagi dan makan malam pada jam 1.00 tengah hari. Sepanjang Ramadan, kami diberi makanan dua kali sehari, pada jam 12 tengah malam dan waktu berbuka.
Sepanjang saya dalam tawanan, saya disoal dan didera. Setiap kali saya diancam akan dihantar ke penjara Guantanamo Bay. Sepanjang waktu itu saya mendengar rakan tahanan yang lain didera dengan api rokok, dicucuk dengan bahan kimia, batang kayu dan paip. Ada antara mereka tulangnya patah.
Di dalam kem, saya melihat tahanan yang dibawa dari penjara rahsia yang kemudiannya saya ketahui adalah Arabian Oil Institute. Ia terletak di utara Baghdad. Tahanan-tahanan ini berada dalam keadaan luka yang sangat parah.
selepas sebulan dan sebaik sahaja sebelum matahari terbenam nombor saya dipanggil dan mereka menutup kepala dengan penutup manakala tangan dan kaki saya diikat. kemudian mereka memasukkan saya ke dalam penjara. selepas itu, mereka bertanya kepada saya dengan berbahasa Arab untuk menanggalkan pakaian tetapi saya enggan. Lalu mereka mengoyakkan pakaian saya dan mengikat saya semula. Tidak cukup dengan itu, mereka mengikat saya pada tangga dan dipukul bertubi-tubi kemudian dilemparkan dengan kepingan besi, najis dan membuang air kecil ke arah saya.
Mereka mengacukan pistol di kepala saya dan mengatakan bahawa mereka boleh menamatkan riwayat hidup saya. Setelah itu mereka menjerit ke telinga saya dengan menggunakan megaphone dengan bahasa yang bertujuan melemahkan semangat saya. Pada saat ini, saya masih boleh mendengar jeritan tahanan lain yang sedang diseksa sehingga ke waktu pagi.
Tentera Israel kemudian telah menyeksa saya dengan memasukkan sebatang kayu ke dalam dubur saya hingga tertusuk ke rektum (usus besar). Saya juga ditusuk dengan hujung senapang. Disebabkan itu, saya mengalami pendarahan yang parah. Ketika itu, setiap kali tentera Amerika lalu melepasi saya, mereka akan memukul dan saya ditinggalkan tanpa makan selama 36 jam.
Pagi keesokan harinya, pegawai penyiasat datang ke sel saya, dan mengikat saya pada jaring sel tersebut. Dia kemudiannya memasang lagu pop "By the Rivers of Babylon" oleh kumpulan Boney M, sehinggalah ke waktu pagi. Kesannya saya kehilangan pendengaran dan tidak dapat berfikir dengan betul. Ia sangat menyakitkan dan saya tidak sedarkan diri. Saya hanya terjaga apabila tentera Israel menyimbahkan air ke muka saya. Apabila saya semakin meningkat sedar, dia mula memukul saya lagi dan memaksa saya menyebut nama-nama pejuang dan apa aktiviti yang kami lakukan untuk menentang Amerika. Apabila saya menafikannya dia memukul saya bertubi-tubi.
Saya telah ditahan di penjara tersebut tanpa berpakaian selama 2 minggu. Ketika itu, seorang pengawal Amerika yang bernama Grainer bersama seorang Yahudi berbangsa Morocco bernama Idel Palm (juga dikenali dengan panggilan Abu Hamid) datang ke sel dan bertanya kepada saya mengenai balutan di tangan saya yang telah dibedah sebelum ini.
Ubat tahan sakit Amerika
Mereka membuka balutan tersebut lalu mengguris semula luka yang hampir pulih mengakibatkan kesakitan yang teramat sangat. Apabila saya meminta ubat penahan sakit mereka memijak tangan saya itu dan berkata "inilah ubat tahan sakit Amerika" sambil ketawa.
Pada hari ke-15 penahanan, saya diberikan sehelai selimut. Saya berasa sedikit selesa.
Suatu hari, seorang banduan telah melalui sel saya dan memberitahu bahawa pegawai penyiasat ingin mempercepatkan penyiasatan dan akan menggunakan kaedah yang lebih kejam untuk mendapatkan maklumat. Selepas itu, saya dibawa ke sebuah penjara dan sebaik penutup kepala saya ditanggalkan, terdapat banyak wayar elektrik yang bersambung dengan bekalan tenaga elektrik.
Pada masa yang sama, kelihatan Yahudi Morocco, Idel Palm, pegawai penyiasat Israel, dua tentera Amerika yang dikenali dengan Davies dan seorang Frankies serta dua orang tentera yang lain. Penutup kepala saya masih belum dibuka dan saya boleh mendengar jeritan suara tahanan yang masih diseksa.
Saya juga dikenakan renjatan elektrik sehingga saya tergigit lidah dan darah membuak di dalam mulut saya. Sepanjang saya didera penyiasat mengambil gambar saya dan saya ditinggalkan keseorangan di dalam sel selama 45 hari.
Pada hari ke-49, saya dihantar kembali ke khemah C dan berada di sana selama 45 hari lagi. saya dibebaskan pada awal Mac 2004. Saya diletakkan di dalam trak dan dicampakkan di tengah lebuh raya. Sebuah kereta berhenti dan membawa saya pulang.
0 comments:
Post a Comment