Wednesday, August 27, 2008

Ramadhan Yang Menggamit

oleh Ustaz Muhammad


“Salam sayang buat semua sahabat. Semoga sentiasa dirahmati Allah. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w rasul tercinta. Segala puji bagi Allah yang menurunkan kasih sayang ke dunia ini. Tanpanya, sunyilah dunia ini dari perkenalan, berkasihan, beringat-ingatan.”


Berlakunya 15 Syaaban, selalu kita diingatkan dengan peristiwa yang berlaku di pertengahan bulan Syaaban ini. Tapi sedarkah kita dengan kehadiran Ramadhan sejurus selepas Syaaban, ramai yang leka dengan sambutan di bulan Syaaban, dan terus terleka bagi menghadapi bulan Ramadhan.


Ramadhan, satu bulan yang penuh berkat.Ramadhan di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.Ramadhan dijanjikan keampunan dosa silam dan akan datang.


Golongan penghafaz al-Quran sepatutnya golongan yang paling gembira denagn kehadiran bulan ini. Padanya diturunkan al-quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh alam. Padanya al-Quran ditadaruskan oleh Nabi s.a.w bersama Jibril setiap tahun. Padanya dibaca setiap malam dalam solat tarawih dan qiamullail.Namun, adakah kita berada dalam golongan ini. Pahala yang dijanjikan berganda-ganda pada bulan ini, ini semua tidak akan tercapai andai masa pada bulan ini hanya dihabiskan dengan tidur. Rebutlah peluang keemasan ini. Kita tidak mempunyai masa yang lebih sesuai untuk mengingati al-Quran selain bulan ini yakni Ramadhan


Pahala yang dijanjikan insya’Allah diperolehi. Ditambah pula dengan peningkatan hafalan al-Quran. Alangkah indahnya bulan Ramadha. Jangan sampai kita tergolong dalam kelompok yang menjadi bebanan kepada rasul kita s.a.w. sebagaimana firman Allah s.w.t :


“Telah berkata rasul, wahai tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai beban (diabaikan)”


Tetapi jadilah golongan yang akan diangkat darjatnya dengan setiap ayat yang dibaca. Di dalam syurga, setiap ayat yang dapat dibaca akan membezakan darjat kita dengan manusia yang lain. Soalannya, jika kita mati sekarang, berapakah jumlah ayat yang dapat dibaca. Tepuk dada, cari-cari tak ingat apa-apa.


Pada bulan Ramdhan ini juga para sahabat pada zaman Nabi berjihad menentang Kuffar La’natullah. Semoga semangat ini akan terus berkobar dikalangan kita semua. Khususnya kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan, semoga Berjaya dengan demilang. Kembalinya Nabi dari medan perang, menjelaskan bahwa peperangan belum berakhir. Peperangan dengan hawa nafsu akan berterusan. Berapakah jumlah mereka yang telah tewas pada bulan-bulan sebelum kedatangan Ramadhan. Tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas dari fitnah dan cubaan.


Firman Allah di dalam al-Quran :


“Mengapakah mereka tidak melihat sesungguhnya diri mereka itu telah tewas (hawa nafsu) pada setiap tahun sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak bertaubat dan tidaklah mereka menyebut (zikrullah)”


Soalannya, adakah ingin kita bertaubat mengakui kesilapan kita dan kembali kepada Allah. Atau kita selesa dengan apa yang berlaku. Celakalah bagi mereka yang melalui Ramadhan yang mana mereka tidak diampunkan dosa pada bulan ini.


Berlalunya Ramadhan tidak ada beza dengan bulan yang lain. Inilah ynag diaminkan oleh Rasulullah s.a.w semasa menaiki mimbar, Jibril membacakan doa.


Pintu taubat terbuka luas. Pintu dosa sudah disempitkan. Apa yang masih kita tunggu. Berapa ramai mereka yang sebaya dengan kita sudah tiada. Jika adab kita bersama manusia pun dititikberatkan pada bulan ini, apatah lagi adab bersama Allah.


Sabda Rasulullah s.a.w :


"Apabila tibanya Ramadhan,dibuka pintu Syurga, dan ditutup pintu Neraka dan dibelenggu para syaitan"


Ramadhan penghulu segala bulan. Melatih hamba Allah menjadi seorang yang betul-betul muttaqin (bertakwa). Peluang terbesar dalam hidup ini. Yakinkah kita dengan kedatangan Ramadhan tahun hadapan? Isilah masa dengan ibadat, membaca al-Quran. Moga kita digolongkan oleh Allah di kalangan hamba yang yang dijanjikan syurga.


Berdoalah selalu ketika menghadap Allah memohon rahmat serta keampunan di bulan yang digandakan berlipat kali ganda pahala.


Dan berdolah kepadaNya agar dibersihkan jiwa kita dari kotoran.

Moga kita dikumpulkan bersama di dalam syurga nanti……..


Tuesday, August 26, 2008

JANTUNG SEORANG MUADZIN MENGUMANDANGKAN AZAN


Oleh : Dr Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair, Arab Saudi


Doktor Jasim al-Haditsy seorang penasihat kesihatan jantung anak di ‘Amir Sultan Center untuk Penyakit Jantung’ di Hospital Angkatan Bersenjata Riyadh, Arab Saudi menceritakan kepadaku, “salah seorang rakanku yang boleh dipercayai bercerita kepadaku, bahawa pada suatu malam saat dia sedang bertugas di hospital, ada seorang pesakit yang meninggal dunia, maka dia segera memastikan akan kematian pesakit tersebut, dia meletakkan stetoskop di atas dada pesakit hingga dia mendengar suara, AllahuAkbar, AllahuAkbar, Asyhadu alla ilaha illallah’...


Dia berkata, “saya menyangka azan subuh telah berkumandang, kemudian saya bertanya kepada perawatnya, “ sekarang pukul berapa?” dia menjawab “ jam satu malam”.


Saya tahu bahawa sekarang ini belum tiba saatnya azan subuh, kemudian saya kembali meletakkan stetoskop di atas dadanya dan saya kembali mendengar azan tersebut sepenuhnya.


Saya bertanya kepada ahli keluarga pesakit ini, tentang keadaannya semasa hidup, mereka menjelaskan, “ dia bekerja sebagai muadzin di sebuah masjid, biasanya dia datang ke masjid seperempat jam sebelum tiba waktunya atau kadang-kadang lebih awal lagi, dia selalu mengkhatamkan Al-Quran dalam masa tiga hari dan sangat menjaga lisannya dari kesalahan.


Pada 15 Ramadhan, seorang jemaah solat pengsan di masjid saat dia mengumandangkan iqamah solat subuh, dengan segera, tiga orang dari jemaah solat membawanya ke Hospital Angkatan Bersenjata di Riyadh.


Orang itu sedar ketika mereka masih dalam perjalanan menuju ke hospital, tiba-tiba dia berzikir seperti tidak pernah terjadi apa-apa pun. Sesampainya di Unit Kecemasan (ICU), dia disambut oleh seorang pemeriksa jantung yang menceritakan kisah ini kepadaku, “kami menemukan terdapat peradangan mematikan yang parah dan teruk sekali pada sebahagian besar jantungnya, keadaan itu membuatkan kami tercengang.


Ketika saya berusaha untuk membawanya ke ruang ICU, tiba-tiba saya mendengan suara tasbih dan tahlil dan dia membisikkan sesuatu ke telinga salah seorang dari rakanku lalu tersenyum sambil membaca, “, Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammada Rasulullah’ lalu nyawanya di ambil menuju keharibaan tuhan-nya.

Rakanku yang terdengar bisikan orang tersebut tiba-tiba menangis tersedu-sedu, aku berasa takut atas kejadian ini dan segera menanyakan keadaannya, dia berkata, “orang ini telah membisikkan kepadaku, “Doktor! Tidak usahlah anda menyibukkan diri, sungguh aku akan mati, aku telah melihat syurga, insya’ Allah aku akan segera menuju ke sana, aku melihatnya sekarang, sungguh aku melihatnya”.


Ketika orang ini ditanya tentang riwayat hidup (sisi kehidupan) orang yang telah meninggal ini, dia berkata, “Dia sangat menjaga dua perkara :


Pertama, dia dan muadzin selalu saling dahulu mendahului untuk datang ke masjid, kadang muadzin mendahuluinya dan lebih banyak dia yang datang terlebih dahulu.

Kedua, dia dikenali sebagai seorang yang berperibadi baik, Allah S.W.T telah menjaganya dari perbuatan keji dan mungkar dia tidak pernah berbohong dan mencaci orang lain.


Allah telah mencukupinya dan menjaminnya. Dan sesungguhnya kita tidak boleh memberikan rekomendasi apapun untuk siapapun di hadapan Allah.

Pembaharuan Tentang Konsep Zuhud

Oleh : Dr Aidh Al-Qarni


Hakikat zuhud adalah meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat untuk kepentingan akhirat. maka setiap yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat lebih baik ditinggalkan. Seperti itulah yang dicontohkan nabi s.a.w. sepanjang hidupnya.

Baginda tidak pernah menjauhi sama sekali kecuali hal-hal yang dianggapnya dapat melalaikannya dari mengingati, menyembah, dan membela agama Allah s.w.t. Adapun segala sesuatu yang dapat mendukung perjuangan dan membela agama Allah s.w.t. atau sesuatu yang membuat sentiasa kuat menyembah Allah s.w.t., maka meninggalkannya adalah kebodohan.

Kenyataan yang sering kita lihat adalah kesalahan pemahaman tentang konsep zuhud. Pada sebahagian orang, pengertian zuhud telah disalah definisikan. Untuk mengamalkan zuhud, mereka sehingga meninggalkan hal-hal yang dipandang baik( at-Tayyibaat) dalam penilaian umum. Sehingga akhirnya pemahaman mereka yang sedemikian berpengaruh atau terlihat dalam cara beribadah, pandangan, manhaj dakwah, dan kitab-kitab karangan mereka.

Menurut mereka, zuhud adalah sama sekali melepaskan diri dan jiwa dari segala hal yang berbau keduniaan sehingga akhirnya mereka tampak lebih jauh tertinggal jika dibandingkan dengan agama-agama lain, seperti Yahudi, Nasrani, Penyembah patung, dan bangsa-bangsa lainnya. Pemahaman ini berlanjutan sampai kepada generasi-generasi sekarang. Mereka berpaling dari dunia. Mereka menghina orang-orang yang mengejar, membangun, dan mengolahnya. Sehingga mereka pun jauh tertinggal di belakang dan agama lain. Kekayaan dan kekuatan akhirnya menjadi milik agama lain yang mana dengan kekayaaan dan kekuatan itulah mereka menghentam dan menguasai orang-orang Islam.

Yang menyedihkan adalah bahawa mereka yang berbuat dan berfahaman demikian selalu mengunakan nama agama. Padahal sesungguhnya mereka telah menyelewengkan pemahaman agama. Penisbatan mereka kepada agama adalah salah sebab apa yang dinginkan oleh agama (Islam) sesungguhnya sangat berbeza dengan apa yang mereka fahami dan lakukan. Agama mengingin dan menganjurkan untuk mementingkan dunia dan akhirat sekaligus.

Di dunia, umat Islam diwajibkan untuk meperjuangkan kalimatullah(La Ilaaha Illallah) untuk sentiasa menjadi kalimat yang diagungkan setinggi-tingginya. Sedangkan untuk melakukan hal demikian tidak akan mungkin tanpa didukung fasiliti keduniaan, seperti ekonomi. Inilah konsep yang benar dalam masalah ini (zuhud).

Lihatlah sahabat-sahabat Nabi s.a.w. mereka adalah orang-orang terkaya di Madinah. mereka membanteras kemiskinan. Mereka berhasil membangun dan memajukan kota Madinah. Mereka dapat mengalahkan bangsa asing di dalam dan di luar. Demikian itu dapat mereka lakukan tidak lain kerana mereka memiliki kekayaan harta. Bagi mereka, dunia adalah sarana menuju akhirat.

Mereka yang sentiasa menyerukan untuk meninggal dan melepaskan diri dari segala hal yang berbau keduniaan, sesungguhnya tidak memiliki sandaran (alasan) yang kuat. Dalil yang mereka pegang adalah hadith-hadith dhaif, yang mana tidak pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang ma’shum.

Sunday, October 7, 2007

Mazaliq Fi Toriq Al-Tolab



Pada satu malam, ketika membuka laci meja di rumah, terlihat beberapa helaian kertas yang telah lama dicetak dan tersimpan. Oh, buku Dr. salman al-‘Audah rupanya. Tajuk: Mazaliq Fi Toriq al-Tolab ‘Kegelinciran dalam perjalanan mencari ilmu’. Ini kali kedua saya membacanya. Rasa terpanggil pula untuk berkongsi sedikit maklumat yang menarik di dalamnya…….

Pencinta sunnah perlu mempunyai sifat berhati-hati dalam segenap perkara agar tidak tersalah langkah dalam mempraktikkan sunnah dan juga menyebarkannya. Di sini saya ingin berkongsi bersama para pembaca tentang apa yang telah ditulis oleh salah seorang pendakwah masa kini daripada Arab Saudi iaitu Dr. Salman Ibn Fahd al-‘Audah (penasihat laman web http://www.islamtoday.com/). Buku ini (Mazaliq Fi Toriq al-Tolab) boleh dimuat turun dalam bentuk Microsoft Word (dalam Bahasa Arab) melalu laman web beliau.


Apa yang ingin difokuskan ialah nasihat Dr. Salman al-’Audah terhadap para pencinta sunnah yang agak gopoh dalam mempraktikkan sunnah (pada pandangan mereka) sehingga ia menimbulkan salah faham daripada masyarakat.


Beliau menyatakan perkara ini di bawah perbahasan ketujuh dalam buku beliau (bermula daripada muka surat 40) dengan menyatakan perkara berikut sebagai beberapa kesilapan yang dilakukan oleh penuntut ilmu masa kini:

Pertama: Melaksanakan sesuatu sunnah sebelum memastikan kesahihannya.
- Contoh yang beliau berikan ialah tentang kisah beliau bertemu dengan seorang pemuda yang memakai serban yang dililitkan di kepalanya dan ia berlainan dengan pakaian orang lain di tempatnya. Setelah disoal oleh Dr. Salman, pemuda itu terus menyebut beberapa hadith palsu tentang kelebihan melilitkan serban sebegitu rupa sedangkan hadith-hadith itu sebenarnya adalah palsu!


- Contoh kedua pula ialah tentang apa yang dilakukan oleh sebahagian pemuda (di atas dakwaan mengikut sunnah) iaitu mencukur misai (tidak sekadar menipiskannya) dan menganggap bercukur itu adalah satu-satunya cara untuk mengikut sunnah.


- Contoh ketiga pula ialah sikap sebahagian penuntut ilmu hadith yang memarahi perbuatan bangun menyambut tetamu yang datang dari luar. Contohnya apabila kita berada dalam satu majlis atau satu pertemuan, lalu datang seorang tetamu atau orang ternama. Maka kita akan bangun untuk menyambutnya, bersalam dengannya dan sebagainya. Ia adalah sikap yang baik dan tidak menyalahi mana-mana nas Al-Quran atau hadith. Tetapi Dr. Salman mengkritik sikap sebahagian penuntut ilmu yang menganggap perkara itu adalah dilarang menurut ’sunnah’. Sedangkan beliau sendiri mendengar fatwa daripada bekas mufti Arab Saudi iaitu Syeikh Abd. Aziz Ibn Baz (semoga Allah merahmati beliau) yang memuji adat berdiri dan menyambut tetamu.

Kedua : Berlebihan dalam melaksanakan sunnah
- Contoh yang diberikan oleh Dr. Salman ialah sikap sebahagian muslimin dalam merapatkan saf ketika solat berjemaah. Beliau mengkritik sikap sebahagian mereka yang terlalu mementingkan cara tertentu dalam merapatkan saf. Sedangkan merapatkan saf seperti yang ada dalam hadith-hadith sahih memberi maksud agar tidak ada jemaah yang terkehadapan atau terkebelakang dan kedudukan dada mereka adalah sama sahaja. Namun ada sebahagian yang mementingkan cara ’melekatkan’ buku lali dan juga merapatkan bahu sehingga menyentuh bahu jemaah di sebelah. Beliau tidak menganggap perkara ini sebagai sunnah. Malah ini bukannya satu perkara yang disepakati sebagai sunnah oleh ulama sejak zaman berzaman. Berlebih-lebihan dalam ’melekatkan’ badan ini telah menyebabkan sebahagian masyarakat salah faham dan timbul juga sikap bermasam muka.

Terdapat banyak perkara yang disebutkan oleh Dr. Salman al-’Audah dalam bukunya yang ringkas ini. Ia amat sesuai untuk dibaca terutama oleh mereka yang mampu membaca tulisan dalam Bahasa Arab. Bagi mereka yang tidak mampu, bolehlah melayari laman web beliau http://www.islamtoday.com/ iaitu versi Bahasa Inggeris untuk memperolehi maklumat yang pelbagai berkaitan berita dunia Islam, fatwa-fatwa terkini, artikel Dr. Salman dan lain-lain lagi. Wallahu a’lam.
Abdullah Mas'ud MTAQ

Saturday, September 29, 2007

Buatmu Teman…

Teman,
Ku mohon kemaafanmu
Atas dosaku terhadapmu
Ku pinta ihsanmu
Di atas kesalahanku
Semoga engkau dirahmati Allah
Dan mendapat hidayah-Nya

Teman,
Terkenangku saat kita pernah bersama
Ukhwah yang kujalinkan bukan kerana Allah
Balasan oleh-Nya telahpunku terima
Senyum dan tawa yang dahulu
Hanya tinggal kemarahan dan hasad
Tidak dapatku padamkan
Api kemarahanmu yang membara
Dek kerana dosaku ini

Teman,
Ku insafi diri ini
Akan apa yang aku telah lakukan
Ku cuba untuk kembali
Mencari petunjuk cinta Ilahi
Semoga kau mendoakan diri ini sentiasa
Agar Allah masih menyayangi jasad ini

Teman,
Ku lihat dirimu jauh berubah
Perwatakanmu jauh berbeza
Sejak berakhirnya persahabatan antara kita
Bagaikan terdapat hijab
Melangkau timur dan barat
Antara diriku dan dirimu

Teman,
Kalau dahulu engkau adalah pejuang sunnah Nabiyullah
Tetapi kenapa tidak lagi sekarang?
Kalau dahulu engkau adalah seorang pemikir akan sesuatu
Tetapi kenapa tidak lagi sekarang?
Kalau dahulu engkau adalah seorang pendiam
Tetapi kenapa tidak lagi sekarang?
Engkau kini adalah manusia yang tidak kukenali

Teman,
Aku mengatahui kesangsianmu terhadap diri ini
Namun apakah dayaku untuk membuat kau mempercayaiku
Selepas apa yang telah aku lakukan terhadapmu?
Aku malu akan diriku sendiri
Kerana telah mengkhianati amanahku
Kerana telah lupa akan diriku saat aku melakukan dosa

Teman,
Kuredhai engkau membenci dan memusuhiku
Namun biarlah kemarahanmu itu
Hanya di dunia sementara
Agar aku tidak disekat dek dosaku terhadapmu

Teman,
Bersahabat dengan setiap manusia
Bukan dengan seorang dalam kalangan mereka
Tetapi dengan mereka keseluruhannya
Tanpa membezakan baik dan buruk rupa paras mereka
Kerana yang ramai itu akan membaikimu
Sedangkan yang seorang itu
Mungkin akan membinasakanmu tika kau lalai

Teman,
Terima kasih kerana telah memberikanku harapan
Apa yang aku harapkan darimu
Hanyalah agar engkau terus menerus
Perjuangkan Al-Quran dan As-Sunnah
Janganlah kerana diriku ini
Engkau telah lupakan segalanya yang telah kita lalui
Aku mendoakan kepadamu
Semoga Allah merahmatimu…

Umar Al-Faruq
11.24 a.m.
22/9/2007
Sabtu
Ditujukan kpd sahabatku
Maafkanlah diriku.

Thursday, July 12, 2007

Shaf kanak-kanak

PANDUAN SAF KANAK-KANAK BERDASARKAN KEPADA HADIS-HADIS

Muhammad Hanief Awang Yahaya,

Adakah kedudukan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa, atau mereka tidak perlu diletakkan di saf yang berasingan. Menjawab persoalan ini marilah kita merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah s.a.w.
Hadis yang pertama, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 822)
عن أنس بن مالك:
أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين.
“Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”
Hadis kedua juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 823):
عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال:
أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يومئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، فنزلت وأرسلت الأتان ترتع، ودخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي أحد.
Daripada Ibn Abbas katanya: “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya ,melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya.
Kedua-dua hadis ini, Imam al-Bukhari memasukkan di bawah tajuk:
باب: وضوء الصبيان، ومتى يجب عليهم الغسل والطهور، وحضورهم الجماعة والعيدين والجنائز، وصفوفهم.
Bab: Wuduk kanak-kanak, bilakah mereka wajib mandi dan bersuci, kehadiran mereka untuk sembahyang berjemaah, sembahyang hari raya dan jenazah dan bagaimana saf-saf mereka.
Daripada riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh al-Bukhari dalam bab ini tidak didapati ada saf yang khusus untuk kanak-kanak. Ini bererti Imam al-Bukhari berpendapat kanak-kanak tidak perlu diasingkan daripada saf orang dewasa.
Rasulullah s.a.w. membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan kebersihan ( atau kenajisan ) kanak-kanak itu sembahyang Anas menjadi tidak sah tentu baginda akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.
Begitu juga dalam hadis yang kedua, sahabat-sahabat tidak menegah Ibn Abbas menyertai saf itu dengan alasan beliau masih kecil. Ini menunjukkan bahawa menjadi amalan masyarakat pada ketika itu kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.
Hadis yang pertama itu juga diriwayatkan al-Tirmizi (nombor 234) dan beliau memberikan ulasannya:
قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَنَسٍ صَحيحٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهلِ العِلمِ، قَالُوا: إِذَا كَانَ مَعَ الإِمَامِ رَجُلٌ وَامْرَأَةٌ، قَامَ الرَّجُلُ عَن يَمينِ الإِمَامِ وَالمَرْأَةُ خَلْفَهُمَا، وَقَدْ احْتَجَّ بَعْضُ النَّاسِ بِهَذَا الحَدِيثِ في إِجَازَةِ الصَّلاَةِ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ، وَقَالُوا: إِنَّ الصَّبيِّ لَمْ تَكُن لَهُ صَلاَةٌ، وَكَانَ أَنَسٌ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحْدَهُ، وَلَيْسَ الأَمرُ عَلَى مَا ذَهْبُوا إِلَيهِ لأَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَهُ مَعَ اليَتيمِ خَلْفَهُ، فَلَوْلاَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِليَتِيمِ صَلاَة، لَمَا أَقَامَ اليَتِيمَ مَعَهُ وَلاَ أَقَامَهُ عَن يَمِينِهِ.
“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadis Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadis ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w. menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang baginda. Andai kata baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas).”
Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang lain. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.
Dalam mensyarahkan hadis ini, Abdul Rahman al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)
Walaubagaimanapun, dalam keadan ramai makmun atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 432):
عن أبي مسعود. قال:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح منا كبنا في الصلاة ويقول “استووا ولا تختلفوا. فتختلف قلوبكم. ليلني منكم أولو الأحلام والنهى. ثم الذين يلونهم. ثم الذين يلونهم” قال أبو مسعود: فأنتم اليوم أشد اختلافا.
“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka.”
Sudah tiba masanya masyarakat untuk berubah dan kembali kepada petunjuk hadis terutama sekali pihak pengurusan masjid. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, gangguan yang berlaku di masjid pada ketika sembahyang Jumaat. Kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana khutbah Jumaat hingar-bingar. Apa yang menyedihkan lagi dan membimbangkan ialah dalam suasana yang tidak terkawal itu ada yang tidak bersembahyang langsung.
Kesimpulannya, dengan meletakkan kanak-kanak di dalam saf iaitu bapa berada bersama-bersama dengannya anaknya, maka anak berada di bawah jagaannya dan keadaan akan terkawal. Selain itu, secara tidak langsung akan mendidik anak-anak cara-cara hidup bermasyarakat kerana dapat berinteraksi dengan semua lapisan umur.
darulkautsar

Kisah CAWAN...

Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan. Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pernah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara, "Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya. Pengajaran: Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi 'cantik'. Jangan lupa bahawa cobaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat). WAllahu a'lam
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters