Saturday, June 30, 2012

Tamrin

Assalamualaikum wbt,



Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah SWT yang mentadbir, mengurus dan mencipta alam ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Kali pertama mengikuti tamrin adalah semasa menuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat, Pulai Chondong yang dikenali dengan Mukhayyam Tarbawi.

Mengikuti tamrin bagiku adalah sesuatu yang menyeronokkan, satu tempat untuk menurunkan ego, memperbaiki diri, menjadi manusia yang lebih baik dalam beribadah, bertaqwa dan insan bergelar khalifah.

Ada yang berfikir bahawa tamrin ini menakutkan, di sana kita akan bertemu dengan fasilitator yang sentiasa garang, marah dan bengis. Di sana juga kita akan berjumpa pelbagai jenis denda yang mendera samada fizikal mahupun mental. Ini kelemahan pemuda-pemudi zaman sekarang!

Semua itu sebenarnya adalah mainan fikiran, seseorang yang telah bersiap sedia untuk ditamrinkan pasti sudah menyiapkan mindanya dalam menghadapi apa jua situasi. Maka tidak seharusnya dia gentar atau takut apabila dijerkah oleh fasilitator tatkala dia melakukan sesuatu kesalahan. Bersikap terbukalah menerima kritikan, sedari kesilapan kita dan terus mara ke hadapan. Kata-kata yang tiada faedah yang dilontarkan maka usahlah diendahkan bahkan anggaplah ia sebagai gurauan kelak ia tidak akan mempengaruhi emosi dan perasaanmu.

Buat fasilitator, jangan hanya berfikir untuk mendera orang tetapi fikirkan untuk membina manusia. Andai fikiran disetkan untuk mendera orang sahaja maka hasilnya ialah mewujudkan manusia yang tidak suka kepada jemaah, membenci tamrin serta segala program jemaah bahkan melarikan diri. Apa salahnya sekali-sekala menggunakan kaedah hati ke hati terhadap peserta? Sedangkan hukum boleh berubah-ubah inikan pula hati manusia yang ingin kita tawani. Bersikap professionallah!


Selamat bertamrin buat semua!

Saturday, June 23, 2012

Tuesday, June 19, 2012

اذكروا محاسن موتاكم



Hikmah menyebut kebaikan orang yang sudah pergi meninggalkan kita dan dunia ini :

1. Menyuburkan sikap berbaik sangka.
Boleh jadi mereka pergi dengan husnul khatimah, sempat melakukan amalan soleh yang menyebabkan Allah mengampuni semua dosa-dosa mereka lalu dimasukkan ke dalam syurga.

2. Mengelakkan permusuhan dan memutuskan silaturrahim.
Buat apa bermusuhan sampai ke anak cucu? Anak kita bukan penanggung dosa kita dan anak orang lain bukan menanggung dosa emak ayah mereka. Suburkan sikap saling maaf memaafkan.

Sunday, June 10, 2012

ولكن بعدت عليهم الشقة... 1

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah, selesai sudah menunaikan ibadah umrah pada kali ini, umrah kali ke-4 sepanjang pengajian di bumi Jordan dan umrah terakhir sebelum pulang ke Malaysia. Moga-moga ia bukanlah umrah terakhir dalam kehidupanku ini.

Agak lama tidak meluangkan masa dengan blog, hari ini mendapat khabar bahawa ada orang yang suka membaca dan mengikuti blog ini maka saya kongsikan beberapa perkara sebagai hadiah kepadanya dan ucapan Terima Kasih, namun demikian post ini bukanlah dikhususkan kepada orang-orang tertentu sebaliknya ditujukan secara umum.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Saudi ada beberapa perkara yang bermain dan berlegar dalam fikiran. Membuatku berfikir sendirian, kadang mengajukan soalan kepada rakan-rakan sebagai membuka topik perbincangan dan menutup kelompangan ilmu pada diri.


1. Nasyid

قال الله تعالى"( وَالشُّعَرَاء يَتَّبِعهُمْ الْغَاوُونَ * أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ* وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ
*إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَذَكَرُوا اللَّهَ كَثِيرًا وَانْتَصَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ
ظَلَمُوا أَيَّ مُنْقَلَبٍ يَنْقَلِبُونَ) سورة الشعراء


Benarlah kata sebahagian manusia yang mengikuti perkembangan nasyid di Malaysia khususnya bahawa nasyid klasik lebih disukai dan bermanfaat berbanding nasyid moden. Apa yang suka menjadi perhatian saya sewaktu mendengar sesebuah nasyid adalah melihat kepada liriknya. Nasyid dahulu penuh nasihat dan teguran terhadap masyarakat, nasyid sekarang hanya penyedap halwa telinga, banyak tetapi tidak bermanfaat.

Apa agaknya isi yang hendak disampaikan? Betapa ramai peminat nasyid yang membeli nasyid moden tetapi nasyid itu tidak membawa mereka ke mana bahkan golongan ini hanyut dibawa arus. Lihat sahaja pemuda-pemudi kita sekarang dihidangkan dengan nasyid cinta yang tidak bertepi, menjadikan mereka lemah tidak bermaya diulit dengan mimpi indah.

Nasyid sepatutnya digunakan sebagai senjata untuk membangkitkan semangat juang Islam dan bukan menimbulkan pemuda-pemudi gedik dan lembut. Nasyid pada hari ini boleh dibilang akan berapa banyak nasyid yang mampu menggetarkan jiwa, membangkitkan semangat dan menyedarkan diri manakala selebihnya menjadi pengulit tidur sahaja!

Nasyid yang ditujukan kepada kanak-kanak pada hari ini jauh lebih bermanfaat dan berguna kepada ummah berbanding nasyid yang ditujukan kepada pemuda-pemudi harapan bangsa bahkan nasyid itu menjadi punca kelalaian terhadap masalah ummah!




2. Memotong laluan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا" وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، "بِحَسْبِ امْرِئٍ مِن الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ". أخرجه أحمد (2/277 ، رقم 7713) ، ومسلم (4/1986 ، رقم 2564) . وأخرجه أيضًا: البيهقي (6/92 ، رقم 11276).

Orang yang suka memotong laluan orang lain dalam apa keadaan boleh jadi tergolong dalam kalangan orang yang memperolehi makanan secara haram. Ya, secara haram!

Kerana apa? Kerana dia telah menyakiti saudaranya yang sanggup berletihan untuk beratur dalam barisan sedangkan dia dengan senang hatinya memotong barisan tersebut. Andaikata salah seorang daripada mereka tidak meredhai tindakan tersebut bukankah bererti engkau telah mengambil hak orang lain bukan dengan rela mereka? Nah, fikirkanlah!


3. Perangai Buruk

قول الحق تبارك وتعالى: ((إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ))[الرعد:11]

Perangai buruk kita adalah untuk diubah menjadi perangai baik, maka jangan kita sekadar mengiakan bahawa kita mempunyai perangai buruk sebagaimana kata sesetengah orang tetapi apa yang kita perlu lakukan ialah tanam tekad untuk jadi lebih baik dan BERUBAH!

ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَى قَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ


Bersambung...

Semoga mendapat manfaat
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters