Wednesday, July 6, 2011

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا 3

Bismillahirrahmanirrahim...



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar sahabat kekasih Allah yang dirahmati sekalian, moga sentiasa mendapat keberkatan pada bulan yang mulia ini.

Hari terakhir di Mekah, ku mengkhatamkan Al-Quran selepas Subuh, mengakhirinya dengan solat sunat Dhuha kemudian memanjatkan doa kepada Allah SWT, meminta pertolongan kepada-Nya. Menangisi dosa dan kesilapan diri, mengadu akan kelemahan serta kekurangan.

Keluar daripada Masjidil Haram lebih kurang jam 8 pagi, terdetik di hati untuk membeli sebuah Al-Quran kecil menggantikan Al-Quran yang digunakan sebelum ini kerana kudapati padanya ada sedikit kecelaruan dari segi pencetakan.

Akhirnya menjumpai sebuah mushaf dengan harga SAR25, ku lalu membelinya, tatkala masih bergembira kerana mendapat mushaf baru kudiketemukan dengan seorang pak cik sewaktu hendak keluar daripada pusat membeli-belah tersebut.

Pakaiannya seperti pakaian orang ramai (lebih kepada pakaian Pakistan), datang memberi salam kepadaku kemudian meminta sebuah Al-Quran daripadaku. Mungkin kerana dia melihat di tanganku terdapat 2 buah Al-Quran lalu dimintanya salah satu daripadaku. Teragak-agak untuk memberikan salah satu Al-Quran kepadanya, alangkah tidak eloknya untuk memberikan sebuah Al-Quran yang lama serta mengandungi kekeliruan cetakan tersebut, namun berat juga di hati untuk memberikan Al-Quran yang baru sahaja dibeli. Ku berkata tidak dan berlalu pergi meninggalkan pak cik itu di belakang.




Dalam perjalanan pulang ke hotel (separuh jalan), bertalu-talu ku memikirkan akan perbuatanku tadi, betulkah apa yang kulakukan? Mengapa hati masih lagi sombong untuk mengikut contoh teladan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Beliau shallallahu 'alaihi wasallam mampu memberikan hadiah yang baru sahaja diterimanya kepada orang yang meminta tanpa menzahirkan sedikitpun keraguan. Terfikir juga di dalam fikiran, adakah orang yang meminta Al-Quran di kawasan Masjidil Haram ini? Seolah suatu yang agak ganjil seseorang meminta Al-Quran di sini, adakah ini ujian pertama Allah terhadap doaku sebentar tadi?

Oleh yang demikian, diri diliputi rasa bersalah ku tekad untuk kembali kepada pak cik itu, berniat untuk mensedekahkan Al-Quran yang baru sahaja kubeli kepadanya, ku mencarinya di tempat pertemuanku dengannya. Ahh... dia tiada, ke mana dia pergi? Bisik hati kecil. Ku masuk ke dalam pusat membeli belah tempat ku membeli Al-Quran, terkial-kial mencari pak cik itu, ke manakah kamu wahai pak cik? Maafkan aku ya Allah atas sikapku yang angkuh, kini ku sedar bahawa ianya ujian dari-Mu. Adakah dia si manusia, malaikat atau syaitan yang Kau utuskan kepadaku untuk menguji diri ini?

Ya Allah... setelah puas menggeledah bangunan tersebut, kelibatnya tidak juga kutemui, dalam hati tidak putus-putus memohon keampunan daripada Allah SWT, namun kupulang dengan hampa, tidak dapat menemui pak cik tersebut buat kali keduanya. Sungguh peluang itu kadang hanya datang sekali sahaja... Ku pulang ke hotel dengan seribu satu rasa bersalah di hati, tidak tahu di mana lagi hendak mencarinya dalam ribuan manusia yang sarat di sini. Hati kecilku berharap biarpun perbuatanku tidak sampai kepada maksudnya pohon agar ia diterima oleh Allah SWT.

Itulah hari terakhir kami di Mekah pada umrah kali ini, kami bertolak ke Madinah sejurus selepas solat Jumaat, dalam perjalanan ke Madinati Rasulillah shallallahu 'alaihi wasallam, ku melihat keadaan sekeliling, cuba untuk mengambil ibrah daripada hijrah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perjalanan yang mengambil masa 5 jam itu dipenuhi bukit-bukau, batu-batu kehitaman, padang pasir serta ribut pasir. Sungguh ia adalah perjalanan yang menguji kesabaran andai kita memahami keadaan sebenarnya perjalanan hijrah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam itu.

Kami sampai di bumi Madinah mendekati jam 9 malam, kemudian berpusing-pusing mencari hotel, sesampainya di hotel bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi, ingin menunaikan solat Isyak jama' ta'khir dan menyampaikan salam rindu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar dan Umar radhiallahu 'anhuma. Kusampaikan salam semua yang mengirimkan salam kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semoga Allah memberikan kepada kami syafaat daripada nabi-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam di akhirat kelak.

Tidak ingin untuk mengulas panjang akan permusafiran kami di Madinah kerana ianya dalam jangka masa yang amat singkat. Oleh yang itu, ku akhiri dahulu kalamku pada post kali ini, semoga apa sahaja yang tercatat di dalam blog ini mampu di ambil istifadahnya terhadap kita semua. Taqabbalallahu minna wa minkum 'ibadah solihah. Wassalam...

 Selamat menyambut Ramadhan...
Allahumma ballighna Ramadhan
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters