Wednesday, June 22, 2011

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا 2

Bismillahirrahmanirrahim...



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sekalian pengunjung yang dirahmati Allah, mohon maaf di atas ketergantungan post sebelum ini. Rupanya ada yang menunggu post seterusnya, semoga sentiasa diberkati dan dilimpahkan nikmat kurnia di sisi-Nya.

Ok... sambung pengalaman menunaikan umrah kali ini...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam kerana memberikan kepadaku nikmat untuk merasai keadaan berpuasa di sana. Sungguh berpuasa di sana amat menguji kekuatan fizikal dan memperkukuhkan kekuatan mental.

Semasa berbuka, terasa satu kenikmatan yang lain, seolah bulan Ramadhan sudah pun tiba, manusia menunggu waktu maghrib dengan riangnya, mengisinya dengan memperbanyakkan ibadah, kemudian bersama menghidangkan buah tamar, fresh cream, tohinah dan teh yang pedas (tak tahu namanya) yang dibawa dari rumah mereka dan yang disedekahkan oleh seseorang. Baru kuketahui rupanya buah tamar juga sedap dimakan dengan fresh cream dan tohinah (sekali tengok tohinah macam madu pun ada).

Keberadaanku di sana lebih banyak ku luangkan berdekatan Babul Umrah, suka ke sana meskipun sedikit jauh daripada pintu-pintu lain yang semestinya lebih dekat dengan hotel sehinggakan apabila hendak bertolak ke Madinah, semua sahabat dan doktor bertanya kepadaku, aku tidak nampakpun kamu di Masjidil Haram sepanjang kita di sini, di mana kamu duduk? Ku hanya mampu tersenyum sambil berkata aku ada di Babul Umrah. Entahlah, hati sudah terikat di sana, sanggup meredah panasnya mentari dan lautan manusia untuk ke sana.

Panas terik pada tahun ini tidaklah sepanas tahun-tahun lepas yang mana bahangnya terasa sampai ke tengah malam, di sana burung-burung merpati banyak berkeliaran mencari rezeki yang Allah telah tetapkan untuk mereka. Riang gembira dalam kenikmatan yang dianugerahkan. Sewaktu di sana juga kelihatan beratus-ratus bangsa melayu yang datang menunaikan umrah, mengunjungi rumah Allah ini. Dalam hati terbahagi dua, antara gembira dapat melihat mereka dan antara sedih dengan sikap mereka.

Sedih? Iya, sedih apabila merasakan mereka ini sombong, tidak bertegur siapa meskipun duduk bersebelahan, seolah mereka berkata, 'Kau kau, aku aku.' Sudah lama ku perhatikan keadaan ini, sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah lagi kusudah dapat merasai bahangnya, senyuman yang kita lontarkan dibalas dengan raut wajah yang hambar. Berbezakah kita di sini? Masih mahu menyombongkan diri lagikah kita di sini? Ummah Islam bukannya ulung pada datang menziarahi kaabah! Ummat Islam ulung pada akhlaknya dan 'aqidahnya. Nescaya kerana apa engkau masih mahu menyombongkan diri?



Namun yang demikian, aku cukup menghargai mereka yang membalas senyuman dengan senyuman meskipun tidak bertegur siapa, sesungguhnya mereka telah memberikan sedekah yang berbekas di hati ini. Apatahlagi jika mereka bertanyakan khabar, tidak akan kulupakan mereka dan semoga mereka mendapat ganjaran di sisi Allah.

Salah satu perkara yang suka kusebutkan ialah tentang perlakuan orang Iran yang bertandang ke sini, bukanlah bermaksud untuk mencela atau memuji, sekadar perkongsian bersama. Tahukah kalian apakah yang mereka lakukan setelah memasuki Masjidil Haram dan melihat kaabah? Mereka akan bersujud dan menangis (atau mungkin juga buat-buat menangis supaya menangis?), agaknya mereka mahu mempamerkan kerinduan dan kesyukuran mereka kepada Allah serta kerana diberi peluang untuk menziarahi rumah Allah ini. Tidak inginku bercakap panjang  mengenainya keranaku tidak mengetahui hal sebenar mereka.

Cuma, satu kisah yang diceritakan kepada oleh saudara Hasif Syazan ketika di Masjid Nabawi, pergaduhan antara sunni dan syi'i (sebenarnya tidak sesuai untuk dinisbahkan demikian kepada mereka). Ceritanya bermula apabila seorang yang mendakwa dirinya sunni telah mempertikaikan beberapa perkara tentang syi'ah di hadapan seorang syi'i sedangkan ilmunya hanya seciput dan dalam kurangnya adab. Lalu terjadilah pertelingkahan mulut yang mana telah meriuhkan masjid.

Apa yang kucuba bangkitkan di sini ialah berkenaan sikap juga, ingin ku berkata kepada orang yang menggelarkan dirinya sebagai sunni itu bahawa dia telah terkeluar daripada apa yang dia perkatakan. Di mana sikap seorang sunni dan muslim? Adakah dengan sikapmu itu kamu mahu menunjukkan bahawa sunni itu orang yang suka mencari gaduh? Juga amat malu bagimu yang menggelarkan diri sebagai sunni apabila tidak mampu menjawab 10 nama sahabat ketika ditanya akannya. Wahai saudara, iya dakwah itu berlaku di mana-mana, tetapi jangan lupa akan ilmu dan adab. Lupakah akan ayat Al-Quran yang kalian baca, yakni ayat 19 daripada Surah Muhammad yang berbunyi :


Cuba perhatikan, Allah SWT mengarahkan kita untuk 'tahu' bahawa Tiada Tuhan selain Allah. Tahu ini datang dengan kita mempunyai ilmu, jika tiada ilmu apakah pendirianmu? Bagaimanakah engkau mahu memperkukuhkan dakwaanmu jika tiada ilmu? Bagaimana engkau mahu mengatakan bahawa alam ini adalah kepunyaan Allah sedangkan engkau jahil akan alam ini, tidak pernah berfikir akan kejadian alam, tidak pernah memerhatikan penciptaan matahari, bulan, bintang dan lain-lain?



Juga ayat 125 daripada Surah An-Nahl, firman Allah :


Fikir-fikirkan...

Ingin ku akhiri post pada kali ini dengan dua buah ayat yang menyentuh hatiku sewaktu membacanya di Masjidil Haram, ayat tersebut ialah ayat ke 39 - 40 daripada Surah An-Nur :


Firman Allah (yang bermaksud) : (39) Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya. (40) Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang bertindih-tindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.


Insya-Allah post akan datang akan menceritakan detik diri diuji, Allahul musta'an... Semoga bermanfaat, wassalam.

Saturday, June 18, 2011

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا

Bismillahirrahmanirrahiim...



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar agaknya iman saudara saudari di luar sana hari ini, bersedihkah dia? Atau gembirakah dia? Antara doa yang ku suka ialah :

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك

Kalau dahulu, ku membaca dengan memahami bahawa ia adalah doa untuk mengukuhkan hati dalam agama Allah ini, tapi Allah telah memberikan maksudnya yang kedua kepadaku sewaktu bermunajat kepada-Nya di Mekah baru-baru ini.

Sesungguhnya doa ini membawa kepada maksud yang lebih luas, iya dalam mengukuhkan agama dalam diri kita, kita tidak lari daripada melakukan ketaatan. Bahkan melakukan ketaatan ini amat susah untuk istiqamah. Pasti kita semua tidak lupa bukan akan hadith nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Kitab Sahihnya daripada Abu 'Amr Sufyan bin Abdullah Ath-Thaqafi yang berbunyi :

 قل ءامنت بالله ثم استقم



Iman, Islam, Amal itu berkait rapat dengan istiqamah, besarnya pengertian istiqamah ini sehingga doa di atas sahaja adalah berkaitan dengan istiqamah.Tambah lagi apabila dinisbahkan istiqamah ini kepada perkara kebaikan, untuk berbuat kejahatan senang sahaja bukan? kata-kata buruk, menyakiti orang lain, dendam dan selebihnya datang tanpa memerlukan kepada latihan, tapi istiqamah dalam berbuat kebaikan? Amatlah susah untuk dilakukan, tidak perlu untuk berfikir panjang, lihat sahaja kehidupan kita seawal bangun pagi, berapa ramai manusia yang membaca doa bangun tidur setiap pagi? Berapa ramai yang mengejutkan kawan-kawan yang sedang nyenyak tidur untuk bangun bersama kita? Berapa ramai yang solat sunat Subuh? Berapa ramai pula mereka yang membaca zikir, Al-Quran dan sebagainya setiap hari? (Ana ketepikan Qiyamullail bukan kerana ia tiada kepentingan, tapi ingin menjelaskan hal yang lebih asas yang sepatutnya kita lakukan dalam kehidupan kita)

Perbanyakkan membaca doa di atas, semoga dengannya Allah mengurniakan kepada kita nilai, erti dan keindahan sebuah istiqamah.

Sebenarnya entry kali ni ditulis untuk menceritakan pengalaman umrah kali ni, tapi terlebih panjang di atas pula... huk3



Oklah, baru-baru ini 4 Jun 2011, ana dan beberapa orang sahabat telah diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menunaikan umrah buat kali ketiga (bagi ana, pertama bagi mereka), kalau umrah pada tahun-tahun lepas ana hanya menyiarkan beberapa keping gambar, maka kali ini ingin sedikit untuk bercerita. Semoga ibrahnya dapat diambil bersama.

Perjalanan umrah pada kali ini sungguh agak memenatkan berbanding tahun-tahun lepas, penat? Penat dengan beberapa karenah arab yang sebelum ini tidak terkena pada diri. Ana boleh mengatakan bahawa pengurusan pada tahun ini agak kurang memuaskan tapi sebenarnya itulah tarbiyah pada diri untuk merasai sedikit sebanyak bagaimana keadaan sahabat-sahabat dari mantiqah lain yang mana sentiasa berdepan dengan karenah sedemikian apabila berurusan dengan arab. Biarpun demikian, dalam kesusahan itu sudah pasti ada kesenangannya, Allah gantikan dengan perasaan beribadah yang menarik.

Subuh 7 Jun 2011, imam mengumandangkan beberapa ayat yang cukup menyentuh hati sehingga seorang pak cik yang solat di sebelahku terpaksa menahan tangisannya daripada menjadi teresak-esak begitu juga imam. Tahukah kalian apakah ayat yang dibacakan? Ayat tersebut ialah firman Allah SWT dalam Surah An-Naml, ayat 80-81 :

إنك لا تسمع الموت ولا تسمع الصم الدعاء إذا ولوا مدبرين وما أنت بهادى العمي عن ضلالتهم إن تسمع إلا من يؤمن بئاياتنا فهم مسلمون



Terjemahannya : (80)Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar mendengar dan (tidak pula) menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling membelakang. (81) Dan kamu sekali-kali tidak dapat memimpin (memalingkan) orang-orang buta dari kesesatan mereka. Kamu tidak dapat menjadikan (seorang pun mendengar), kecuali orang-orang beriman kepada ayat-ayat Kami, lalu mereka berserah diri.




Bersambung.... (Maaf kerana tergantung, perlu uruskan sesuatu...)

Thursday, June 2, 2011

Mengenal Erti ...

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar ye sahabat-sahabat di luar sana, dah usang benar blog ni setelah cukup sebulan tidak diupdate, sungguh Allah mengetahui betapa rindunya untuk menulis, tapi sikap manusia ni banyak bentuknya. Sekejap malas, sekejap rajin, semua nak sekejap-sekejap, masuk neraka sekejap nak tak? [na'uzubillahi min zalik]. Masuk syurga sekejap? Haa... tahu pun tidak mahu... Huk3



Sebenarnya hari ini dikunjungi dengan beberapa perasaan, perasaan yang datang selepas berakhirnya exam. Perasaan gembira, sedih, girang, masam... semua bercampur aduk. Mungkin ini ujian pertama sebelum menziarahi Baitullah buat kali yang ketiga ini.

إن الذين ءامنوا والذين هادوا والنصارى والصابئين من ءامن بالله واليوم الآخر وعمل صالحا فلهم أجرهم عند ربهم ولا خوف عليهم ولا هم يحزنون
[Surah Al-Baqarah : 62]

Sengaja ku bawakan ayat di atas kerana dua hari berturut-turut diperingatkan tentang ayat ini. Pertama oleh Syeikhuna Mu'az Hawwa dan kedua oleh seorang Ustaz yang terkandas di Jordan dek kerana muzoharah yang berlaku di Syria.

Terjemahan ayat : Sesungguhnya orang-orang mu'min, orang-orang yahudi, orang-orang nasrani dan orang-orang Sobiin, siapa sahaja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan beramal soleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Petikan daripada akhir ayat ini sungguh menyentuh hati, menyentuh hati seorang yang kurang amalnya, cukupkah untuk menerima redha-Nya? Hati mana yang tidak bersedih melihat amalan sendiri?

Syeikhuna Mu'az Hawwa menyatakan di dalam kuliahnya semalam [31 Mei 2011] berkenaan perasaan takut kepada Allah. Salah sebuah bab yang telah dikhususkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Riyadhus Solihin, mengumpulkan hadith-hadith yang pasti menggetarkan jiwa yang kian lara dengan maksiat.

Antara petikan maknawi kata-kata Syeikh Mu'az Hawwa :



1 - Orang yang tidak mengenal keagungan Allah, tidak akan merasa takut kepada-Nya, maka berkuranglah ikhlas dan syukurnya.

2 - Lupa itu seperti tiada (Apabila lupa, tidak ingat bahawa adanya Allah yang memerhati, lupa adanya Allah malaikat yang mencatat amalan baik dan buruknya....)

3 - Sesungguhnya hal ehwal hati itu berkaitan dengan mengingati. (Andai kamu ingat, kamu akan ingat bahawa Allah itu tidak tuli, tidak buta dan tidak pekak. Kamu akan ingat bahawa amalan kamu akan diganjari dengan dosa dan pahala....)

4 - Kenalnya kamu kepada nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya itulah yang membangkitkan perasaan takut dan harap kepada-Nya. Maka kamu perlu mengenal-Nya terlebih dahulu barulah kamu dapat mengingati.

5 - Daripada bacaan Al-Quran, zikir-zikir, majlis bersama orang-orang Soleh, berfikir, solat (dll) lah yang akan mengingatkan dirimu kepada Allah.

6 - Sesungguhnya amalan (soleh) itu apabila makin bertambah maka bertambahlah hal ehwal (keimanan) hatimu dengan syarat amalan itu mengikut kehendak syara'.

7 - Allah SWT mengarahkan kita agar tidak berbangga dengan diri kita, dengan apa yang kita lakukan, dengan apa yang kita kumpulkan dan sebagainya.



8 - Jika beginilah keadaan manusia pada hari Qiamat, maka bagaimanakah pula keadaan mereka di dalam neraka? [merujuk kepada ayat 34 - 37 : Surah 'Abasa]

9 - Khusyu' itu datang dengan latihan, sebagai contoh : Seorang yang belajar jurutera selama 4 tahun, sesudah pembelajarannya dia perlu mengikuti kelas praktikal bagi apa yang telah dia pelajari. Bahkan mungkin kelas praktikal itu lebih berharga daripada 4 tahun pembelajarannya di universiti.

Dalam kelas praktikal tersebut sudah tentu dihadkan jam belajar (contoh 20 jam), dalam masa tersebut mereka yang rajin pasti laju dalam menamatkan kelasnya, mereka yang rajin akan mengambil 2 hingga 3 jam sehari untuk belajar. Adapun orang yang malas pasti akan terkebelakang.

Begitulah juga dalam melatih diri untuk khusyu', mereka yang hanya berlatih untuk khusyu' dalam beberapa minit sahaja sehari, bilakah mereka akan mencapai kekhusyukan? Oleh kerana itu kita dapat melihat beberapa awliya' menguzlahkan diri mereka, untuk apa? Supaya mereka dapat berlatih dan memperoleh kekhusyu'kan.


Ada manusia mengkhususkan waktu antara azan dan iqamah untuk berfikir tentang hari akhirat, ada yang mengkhususkan sebelum tidur, maka khususkan waktumu untuk berfikir kepada hari Akhirat. Khusyu' itu adalah kamu menekuninya (attarkiz), khusyu' datang dengan kamu menkhusyu'kan diri kamu (latihan). Setiap kali kamu menekuninya, ia akan tumbuh seperitmana tumbuh tulangmu (selepas sedikit demi sedikit membesar)

10 - Kekuatan hati itu lebih kuat daripada kekuatan jasmani.


Oklah tuan puan, adik kakak abang, nak minta diri dulu... mata dah mengantuk. Insya-Allah jikalau berkesempatan kita bertemu lagi di lain episod. Jazakumullahu khairan kathira kerana membaca, didoakan agar ia memberi manfaat kepada dirimu dan juga diriku.


Wassalam...
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters