Wednesday, June 23, 2010

Salam dari Malaysia

Sebelum flight ke KLIA di Kuwait.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah kepada Tuhan Sekalian Alam, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan, Yang Tidak Pernah Tidur dan Pentadbir segala makhluk. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, kekasih hati tercinta, ku mendambakan kasih dan syafaatmu di akhirat kelak. Juga ke atas keluarga baginda, sahabat radhiallahu 'anhum, para tabi'in dan semua yang mengikuti jejak langkah mereka hingga hari pengadilan.


Ana selamat sampai ke lapangan terbang Pengkalan Chepa, Kelantan jam 9.00 pagi pada 19 Jun 2010. Malam 19 Jun itu terpaksa bermalam di KLIA bersama jemaah-jemaah umrah yang juga ingin pulang ke negeri masing-masing keesokan harinya. Sesampainya kami ke KLIA dalam jam 9.30 malam daripada negara Kuwait itu, semuanya berpisah mengikut haluan sendiri, tinggallah ana keseorangan tanpa kenalan di situ, hehe... Waktu tu, nak call pun tak dapat, wallahua'alam nombor telefon Jordan ana tidak dapat digunakan di Malaysia ini sama ada untuk menerima atau menghantar mesej, apatahlagi untuk menghubungi orang lain, kelebihan internet di sekitar digunakan sebaiknya untuk menghubungi ummi dan kakak bagi memberitahu keadaan semasa. Sebenarnya ada je kenalan yang tinggal berdekatan, tapi dek kerana memikirkan Pak Cik Zainuri yang kesibukan dengan kerjanya sampai jam 2 pagi, semestinya dia amat keletihan, jadi oleh kerana tidak mahu menyusahkan dia ana bermalamlah di KLIA.

Masa kat KLIA tu, rasa memang mengantuk sangat-sangat, berjalan ke hulu ke hilir untuk menghilang rasa mengantuk, takut terjadi perkara yang tidak diingini sewaktu tertidur. Agak ramai juga jemaah umrah yang tertidur tidak tahan menahan rasa mengantuk, barang-barang dibiarkan berada di sekeliling, ana pun turut menumpang dalam kalangan jemaah mereka, meninggalkan pengawasan seketika untuk solat dan ke tandas. Lebih kurang jam 2.30 pagi, Pak Cik Zainuri datang berjumpa, risau ana berseorangan di situ, 10 minit kemudian ana memberi laluan kepadanya untuk pulang, tidak mahu menambahkan lagi rasa penatnya, terima kasih kerana datang menemani walau sekejap... hehe

Transit di Kuwait, depan Hotel Four Point.

Azan subuh berkumandang jam 5.42 pagi, manusia berbondong-bondong berkumpul di bahagian check-in, salah seorang daripada mereka adalah ana. Seusainya menyerahkan bagasi, ana bergegas ke musolla menunaikan solat subuh dan kemudian bergerak menuju ke Pintu Masuk B7 untuk pesawat yang akan berlepas ke Kelantan. Semasa menunggu pintu dibukakan, sempat berta'aruf dengan beberapa orang pak cik, lucu juga dibuatnya.... hehe. Dalam pesawat, mata ini sudah seperti di gam kerana terlalu mengantuk, tidak lagi sedar akan suasana sekeliling sehingga pesawat selamat mendarat di Pengkalan Chepa. Kelihatan muka adik-adik yang riang ceria menunggu, ku peluk ayah, ummi dan nenek, ingin mendapat restu daripada mereka. Semoga Allah memberkati mereka. ^_^ [Muka adik-adik dah montel.... hehe]

Semalam, kami sekeluarga diberikan kesempatan untuk menziarahi saudara mara di kampung, wahh... Semuanya dah berubah, dah besar panjang dan sudah matang dalam berfikir berbanding 2 tahun yang lepas. Kami mendirikan solat maghrib di rumah mereka, selepas solat pula ayahku mengarahkanku memberikan pengisian dengan sedikit tazkirah. Ku ligatkan fikiran mencari point-point yang hendak disampaikan dan memastikan bahawa ianya dapat diterima oleh masyarakat pendengar. Ku petik ayat Al-Quran yang ku bacakan sewaktu menjadi imam tadi, serta 2 buah hadith yang selalu disampaikan. Bukan apa, kerana kadang perkara yang agak biasa kita dengar boleh jadi perkara yang kita sering lupa dan kurang mengamalkan. Semoga tazkirah itu mampu mengetuk pintu-pintu hati si pendengar dan si penyampai [yakni diriku sendiri... huhu].

Ana rasa, harapan ana menggunung kepada mereka, inginkan mereka menjadi yang terbaik sebagaimana nikmat yang dianugerahkan kepada diriku dan orang sekelilingku. Ku teringat akan hadith menyukai saudaramu sebagaimana kamu sukai ia berlaku ke atas dirimu. Barakallahu fiihum...

Akhir kalam, semoga berjumpa lagi di lain masa, uhibbukum fillah.... Doakanku... Wassalam


(Suka tengok awan-awan macam salji tu masa dalam flight tapi peramugari datang
suruh tutup tingkap... Huhu)




[Huhu... baru balik berapa hari, tapi dah habis dekat RM100 beli buku]




Wan Abdul Baith Izzuddin bin Wan Mustapa
8.49 pagi, 23 Jun 2010
Pasir Hor

Monday, June 14, 2010

Salam Kembali


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Kaifa halukum 'ajma'in? Asalukallahu lakumul 'afiah wan najaah... Hehe. Alhamdulillah segala puji kepada Tuhan Sekalian Alam, Tuhan yang mencurahkan rahmatnya kepada seluruh makhluk-Nya walau di mana mereka berada. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam serta ke atas keluarga baginda, para sahabat, tabi'in dan sekalian yang mengikuti mereka.

Sedar tak sedar, dah 3 minggu rupanya tak update blog, ke manalah tuan blog ni menghilangkan diri ye? Hehe... Apapun, dalam tiga minggu ni pelbagai perkara telah berlaku, antaranya ialah imtihan niha'ie, Mesyuarat Agung Tahunan PPMA kali ke-4, Majlis Wida' Ustaz Asyraf [alf mubarak atas graduation], dan Umrah & ziarah.

Imtihan akhir sem ni ditempuh dengan perasaan sedikit gelisah, ye la kan kena jadi pengarah AGM [berlangsung sehari selepas berakhirnya imtihanku], huhu... tapi alhamdulillah berjaya melakukan dengan seadanya, natijahnya pun alhamdulillah. Hehe, dah la kena lantik jadi pengarah AGM, kena pula pegang jawatan yang sama macam sesi sebelum ni (nak tahu jawatan apa? tak payahlah... ^_^), kalaulah budak-budak baru tu dah sampai masa AGM tu memang ana lantik mereka je pegang jawatan ni... Hehe...

Seterusnya ialah Majlis Wida' Ustaz Asyraf yang telah menamatkan pengajiannya di bumi Jordan ini, majlisnya cukup meriah sekali, masa untuk buli mantan Presiden kan... Hehe, tambahan lagi tidak lama lagi beliau akan melangsungkan majlis perkahwinannya jadi tak dapat la nak buli lagi. Apapun semoga menjadi suami yang soleh, mendapat isteri yang solehah dan dapat anak2 yang soleh solehah juga... Hehe


Dan yang paling best ialah Umrah dan ziarah yang dianjurkan oleh Markaz Thaqofi University of Jordan, umrah tahun ni lebih best dari umrah tahun lepas kot... Mungkin sebab dah ada pengalaman kan, kalau tahun lepas tu masih terpinga-pinga lagi... Huhu, Doktor Ahmad 'Uwaisyah puji syu'ub Maliziyyin atas kerjasama dan akhlak, bangga kejap... Hehe

Di Madinah juga ku sempat berjumpa beberapa sahabat lama yang dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, masya-Allah bakal masyaikh semuanya. Dapat juga tidur di asrama universiti tu... hehe, buat sahabat di sana, teruskanlah perjuanganmu dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini, terima kasih atas layanan istimewa entum meskipun fatrah imtihan hanya beberapa hari selepas itu... Hehe, bittaufiiq wan najaah dan semoga kita berjumpa lagi di Malaysia nanti.

Sewaktu di Mekah dan Madinah banyak la yang membuatkan ana berfikir, ana sempat catit beberapa buah fikiran yang ana rasa nak luahkan kat sini, mungkin ni dah basi bagi sesetengah orang tapi ia tetap sesuatu yang ana nak juga kongsikan...

1 - Terfikir akan ajk persatuan yang bekerja bukan kerana nama dan jawatan, penat lelah yang tidak dibayar malah mungkin dikritik dan dimaki. Apalah sangat nama dan jawatan yang mereka sandang dengan penat lelah yang mereka curahkan tu? Mereka bekerja [insya-Allah kerana Allah] untuk kesenangan ahli, tetapi bagaimana pula dengan ahli? Tidak mengertikah akan penat lelah mereka? Tidak kasihankah akan keringat yang mereka curahkan? Sekurang-kurangnya minimumkanlah kritikan dan banyakkan memberi motivasi, mereka manusia seperti kita, kalau kita yang memegang jawatan mereka adakah kita pasti dapat melaksanakan sesuatu sebaik yang mereka laksanakan? [Hanya sekadar renungan untuk semua ahli-ahli persatuan sama ada di Jordan mahupun di luar Jordan].

2 - Terfikir juga ana mengenai beberapa pujian dalam kehidupan kita seharian, sudah tentu pujian yang ana maksudkan di sini adalah pujian terhadap perkara-perkara baik yang dilakukan oleh seseorang dan bukan perkara keji. Hal ini banyak tidak disedari oleh orang ramai, yakni berlebihan dalam memuji. Contoh ana berikan, seorang itu amat kuat berpuasa sunat sehingga dia terkenal dengan amalannya itu, dia melakukannya kerana Allah [alhamdulillah]. Oleh kerana dia terkenal dengan amalannya itu, dia sentiasa sahaja dipuji oleh orang ramai, pergi ke kedai kena puji, jumpa kawan lama kena puji, kadang dalam satu majlis tu berpuluh-puluh kali dia dipuji. Masya-Allah banyak betul dia kena puji ye...

Pujian yang terlalu berlebihan boleh menimbulkan dengki kepada orang lain, meskipun kepada orang yang memuji, kalau tidak masakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang berlebihan dalam memuji [tak ingat la pula hadith tu... huhu]? Hal ini juga boleh menyebabkan timbulnya riak kepada orang yang dipuji sehingga terbatal amalannya. Jadi, kalau hendak memuji seseorang tu berwaspadalah, pujian itu mestilah tidak berlebihan, namun tidak juga tiada langsung pujiannya. Kalau dah ada 2 atau 3 orang puji maka memadailah memuji, suruhlah pula orang yang dipuji itu bersyukur kepada Allah atas nikmat tersebut atau mengingatkannya akan sifat riya' dan bukannya menambahkan pujian.



Akhir kalam, apa yang ditulis di sini hanyalah dari buah fikiran ana, kalau tak setuju tidak mengapa tapi ambillah mana yang bermanfaat ye. Ana dalam dilema? betul ke?... Hehe Barakallahu fiikum... Doakan ana di sini... Wabillahittaufiiq wal hidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters