Tuesday, August 22, 2023

LELAKI TAK BOLEH MERAJUK

Firman Allah Taala :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Maksudnya: “kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”

(Surah al-Nisa : 34) 

Alhamdulillah wa syukru lillah

Setelah sekian lama tidak menulis, kali ini direzeki mencoret sedikit kisah suka dan duka agar memberi manfaat kepada yang membaca.

Lelaki tak boleh merajuk.

Itu tajuk yang dipilih pada kali ini.

Seorang lelaki adalah pemimpin keluarga, masyarakat dan negara. Beliau akan mengemudi bahtera pelayaran ini dengan kekuatan dan sifat amin.

Seorang lelaki yang lembik, mudah merajuk, bersifat keperempuanan tidak layak untuk memimpin meskipun sebahagian sikapnya disukai oleh sebahagian manusia.

Seorang lelaki yang mudah merajuk menunjukkan bahawa dia tidak dapat berfikir secara rasional dan sedang dipengaruhi oleh emosi. Seseorang yang dipengaruhi oleh emosi akan mudah menjatuhkan sesuatu hukuman atau mengambil tindakan yang tidak sepatutnya lalu membawa bahtera ini kepada kebinasaan.

Seorang lelaki kena bersikap kuat meskipun dalam kecamuk perasaan. Usah mudah koyak. Usah mudah tersinggung bahkan kekal mendahulukan sifat rasional diikuti empati supaya dapat mengawal keadaan dengan baik.

Jika isteri sedang merajuk dengan apa-apa sikap kita selaku seorang lelaki, jangan kita pula yang merajuk. Hadapi dengan tenang, fikir penyelesaian, cari ruang dan masa untuk mendengar dan bantu selagi boleh. Tak perlu tindakan membela diri kerana sifat perempuan bukan untuk mendengar komentar tapi ingin mencari pendengar yang mengiyakan mereka.

Hadis Nabi saw:

استوصوا بالنساء خيرا فإنهن خلقن من ضلع وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه فاستوصوا بالنساء خيرا

Peliharalah perempuan itu sebaik-baiknya, kerana sesungguhnya perempuan dijadikan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya yang paling bengkok pada tulang rusuk itu ialah sebelah atasnya. Maka jika engkau cuba meluruskannya, nescaya engkau patahkan dia. Dan jika engkau tinggalkan saja, dia akan tetap bengkok. Sebab itu peliharalah perempuan itu baik-baik (Muttafaq `alaihi).
 
Teruskan menasihati dengan kebaikan, usah berharap mereka terus berubah kerana jika dihadapi dengan kekasaran maka ia akan patah, sesuatu yang patah kebiasaannya sukar untuk dikembalikan ke bentuk asal.

Setakat itu sahaja malam ini, sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati.

Moga Allah ampuni dosa kita semua dan mengganjari kita atas segala ujian yang kita hadapi dengan kebaikan yang banyak.

Barakallahu fiikum
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters