Tuesday, January 27, 2015

Ilmu, Adab dan Khilaf

Bismillah...

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم.

Untuk mengajar mana-mana pelajar tidak cukup sekadar dengan ilmu sahaja.

Ilmu sahaja boleh sahaja memandaikan seseorang tapi belum tentu boleh mendamaikan masyarakat, belum tentu boleh menjadi seseorang insan yang pandai bergaul, belum tentu boleh menghindarkan dari perkara buruk.

Seorang yang tidak berilmu tidak tetapi mempunyai adab dan akhlak lebih baik dari mereka yang mempunyai ilmu bergunung tapi seluruh katanya berbaur lucah dan kesat serta seluruh perbuatannya tidak seperti ilmunya.

Guru perlu menerapkan perihal adab dan akhlak dalam setiap subjek. Jangan menganggap bahawa ia bukan tanggungjawab kita semua bahkan ia adalah sebaliknya. Guru pendidikan Islam perlulah terlebih dahulu menjadi contoh kepada pelajar dalam segenap aspek. Jikalau guru agama pun tidak membawa imej Islam, maka siapa lagi yang hendak diharapkan? Guru tolonglah berubah untuk masa depan anak-anak kita.

Mereka yang paling baik adalah yang paling banyak ilmunya (ilmu yang bermanfaat) dan paling tinggi akhlaknya.

Kita selamanya adalah pelajar dan kita selamanya adalah guru.

Pesan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam :
خيركم من تعلم القرآن وعلمه
Mafhumnya : Sebaik-baik kamu adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.
(Riwayat Imam Bukhari ; 5027)

Diletakkan perkataan belajar dan mengajar dalam satu ayat yang sama menunjukkan kepentingan kedua-dua skop pekerjaan tersebut. Walaupun ia dikhususkan kepada Al-Quran kerana ia adalah yang terbaik tetapi ilmu lain juga meliputi kerana tidak kurang pentingnya kepada ummat ini.

Antara pesan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga :
أكمل المؤمنين إيمانا، أحسنهم خلقا
Mafhumnya : Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.
(Hadith sahih, riwayat Abu Daud dan Ahmad)

KHILAF?

Manusia tidak lari daripada khilaf. Salah satu soalanku kepada murid-muridku : 'Jikalau nanti ada orang bukan Islam bertanya kenapakah dalam Islam terdapat tidak kurang daripada 4 mazhab? Bukankah itu menunjukkan ummat Islam itu turut berpecah belah?'

Ada dalam kalangan mereka menjawab, agama mereka pun berpecah belah (nak mengata pula). Hakikatnya itu bukan jawapan mencari damai tetapi boleh membawa pergaduhan.

Jawapan : Islam berbeza dengan agama lain, walaupun secara zahirnya seolah kami berpecah, tetapi sumber kami adalah sumber yang sama. Sumber kami tidak lari daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Perbezaan terjadi hanya mengikut pemahaman masing-masing terhadap nas dari Al-Quran dan Al-Sunnah.

Diceritakan kepadaku oleh seorang guru, bahawa ada salah seorang murid yang mencedok seratus peratus apa yang dicurahkan oleh gurunya dan tidak mengajar untuk meraikan perbezaan pendapat terutama dalam hal yang biasa menjadi perbezaan pendapat.

Murid yang mendengar kata guru sudah tentu tak membantah dan kesannya adalah kepada murid itu sendiri serta masyarakat kampung yang masih jumud.

Andai anda seorang guru agama dan mahu mengajar berkenaan hal furu' (ranting), maka ajarkanlah juga cara meraikan perbezaan pendapat.

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters