Sunday, July 6, 2014

Ulama' dan Masa

Bismillah...

Alhamdulillah...


﴿وَالْعَصْرِ * إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ * إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (العصر1-3)

Hari ini bersamaan 8 Ramadhan 1435h, semoga segala amalan kita diterima Allah SWT.

Ulama' Islam zaman salaf amatlah menjaga masa mereka dengan kebaikan dan amal soleh. Mereka dan sesiapa yang berjalan atas manhaj mereka sentiasa mengejar masa, memotong saat dan jam bahkan tidak membiarkan waktu mereka tanpa terisi.


أمسك الشمس حتى أكلمك
Dinukilkan daripada 'Amir bin 'Abd Qais, salah seorang daripada tabi'in yang zuhud : Bahawa seorang lelaki berkata kepadanya : Berboraklah denganku. Maka beliau membalas : 'Hentikanlah matahari'. Maksud beliau, hentikanlah matahari dan ikatlah ia dari bergerak supaya aku dapat berborak denganmu kerana masa itu sesuatu yang tidak akan kembali, maka kerugian kehilangan masa itu adalah kerugian yang tidak dapat diganti.


ندم ابن مسعود على اليوم يمر من عمره
Berkata seorang sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, 'Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anhu : Tidaklah aku menyesal di atas sesuatu melebihi penyesalanku terhadap satu hari yang telah terbenam mataharinya dan telah dekat dengannya ajalku serta tidak bertambah padanya amalku.


يا ابن آدم إنما أنت أيام
Telah berkata juga Hasan Al-Basri rahimahullah : 'Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah hari-hari, apabila telah pergi satu hari maka telah hilanglah sebahagian dari dirimu.'

Beliau juga berkata : 'Aku pernah mengenali sebuah kaum yang amat menjaga masa melebihi kamu menjaga dirham dan dinar.'


أثقل الساعات على الخليل بن أحمد ساعة يأكل فيها
Abu Hilal Al-'Askari berkata di dalam kitabnya "Galakan untuk menuntut Ilmu dan Berusaha untuk mengumpulkannya" : Khalil bin Ahmad Al-Farahidi Al-Basri, salah seorang daripada intelektual dunia... pernah berkata : Waktu yang paling berat bagiku adalah waktu yang aku gunakan untuk makan.'
Allahu Akbar, lihatlah betapa asyiknya mereka dengan ilmu?!


أبو يوسف ساعة موته يباحث في مسألة فقهية
Imam Abu Yusuf rahimahullah, salah seorang sahabat dan pelajar rapat Imam Abu Hanifah ketika sebelum kematiannya sibuk mencari penyelesaian kepada masalah fiqh agar ianya memberikan manfaat kepada yang mencari dan belajar.

Anak murid beliau, Ibrahim bin Al-Jarrah Al-Kufi mengatakan : Ketika Abu Yusuf ditimpa kesakitan, aku datang menziarahinya dan aku dapati dia dalam keadaan koma, apabila beliau tersedar beliau bertanya kepadaku : 'Wahai Ibrahim, apa pendapatmu tentang masalah ini?', Aku berkata : 'Dalam keadaan beginipun (kamu masih sibuk dengan masalah fiqh)?! Beliau menjawab : 'Tidak mengapa, kita belajar supaya nanti akan ada orang yang terselamat dengannya (dengan ilmu ini)'

Imam Abu Yusuf bertanya lagi : Wahai Ibrahim, mana lebih afdhal sewaktu melontar jamrah (ketika haji), adakah melontarnya dalam keadaan berjalan atau menunggang kenderaan? Aku menjawab : Dalam keadaan menunggang kenderaan. Beliau membalas : Engkau telah salah. Maka aku menjawab : Dalam keadaan berjalan. Beliau sekali lagi berkata : Engkau telah salah. Aku lalu berkata kepadanya : Katakanlah kepadaku (jawapannya), semoga Allah meredhai engkau.

Maka Imam Abu Yusuf menjawab : Adapun jika mereka yang melontar itu berhenti di jamrah untuk berdoa maka yang paling afdhal adalah melontar ketika berjalan, dan jika mereka tidak berhenti untuk berdoa maka yang afdhal adalah melontar ketika menunggang kenderaan.

Aku lalu bangun dari sisi beliau, ketika aku sampai ke pintu rumahnya untuk keluar, aku telah mendengar bunyi beliau dalam keadaan nazak dan akhirnya meninggalkan dunia ini, semoga Allah merahmatinya.

Diriwayatkan juga bahawa Imam Abu Yusuf mewakilkan kepada orang lain untuk menyiapkan serta mengkafankan anaknya meninggal dunia semata-mata kerana menghadiri kelas bersama gurunya Imam Abu Hanifah rahimahullah.


محمد بن الحسن لا ينام من الليل إلا قليلا
Muhammad bin Hassan Al-Shaibani Al-Kufi Al-Baghdadi, seorang imam yang faqih, mujtahid dan muhaddith, anak murid kepada Imam Abu Hanifah rahimahullah tidak tidur malam kecuali sedikit. Beliau menghilangkan rasa mengantuknya dengan air, beliau berkata : Sesungguhnya tidur itu umpama demam panas.

عبيد بن يعيش تلقمه أخته العشاء ثلاثين سنة
'Ammar bin Raja' berkata : Aku mendengar dari 'Ubaid bin Ya'isy berkata : Aku tidak makan malam dengan tanganku selama 30 tahun, saudara perempuanku yang menyuapkanku makanan sedangkan aku menulis hadith.



-------------------------------
Semoga diri kita dapat mengambil istifadah (faedah) dari sikap ulama' ini, menerapkannya dalam diri kita sepanjang bulan Ramadhan seterusnya membuahkan hasil pada bulan-bulan lain.


P/S : Sebahagian teks dipetik dan diterjemah dari buku 'Nilai Masa di Sisi Ulama'

Monday, March 10, 2014

PENGHARGAAN ATAS SUMBANGAN DAN BANTUAN KEPADA DANA PENGAJIAN AL-KHALIDI

Sekretariat Dana Pengajian al-Khalidi mengucapkan jazakumullahu khayran (semoga Allah mengganjari dengan kebaikan) dan aktharallahu amthalakum (semoga Allah meramaikan golongan seperti anda semua) kepada semua pihak yang telah berusaha membantu menjayakan usaha mulia membantu Dr Salah meneruskan kuliah beliau. Penghargaan tidak terhingga terutamanya :

1. Seluruh penyumbang samada dari Malaysia mahupun penuntut di Jordan. Semoga Allah swt menganjari kebaikan dan diramaikan golongan pemurah seperti anda semua. Terdapat penyumbang yang malu dengan sumbangan yang dilihat sedikit sedangkan nilainya di sisi Allah mungkin melebihi dari dunia dan isinya. Mohon kepada penderma meneliti laporan bagi memastikan wang yang didermakan telah dimasukkan di dalam laporan. Mohon jasa baik untuk maklumkan jika terdapat wang sumbangan yang tidak dilaporkan. (rujuk laporan untuk semakan)

2. Ustaz Farid Ravi yang telah ‘membocorkan’ maklumat keperluan tersebut sehingga memberi ruang kepada kita semua membantu Syeikh untuk terus menyebarkan ilmu beliau. Ini kerana Syeikh amat wara’ dan zuhud. Beliau sering menolak jika hadiah berbentuk wang diberikan ketika menyampaikan kuliah. Untuk makluman juga, beliau masih lagi menyewa kediaman ketika umur menjangkau 70an.

3. Ustaz Wan Abdul Baith Izzuddin yang telah mewaqafkan diri untuk menjadi sekretariat kepada pelancaran kutipan. Banyak masa dan kredit telefon mungkin telah dihabiskan untuk menjayakan kutipan ini, disamping kesibukan beliau menjaga anak kecil. Semoga apa yang telah diinfaqkan diganti oleh Allah swt.

Pihak jawatankuasa juga bercadang membawa Syeikh ke Malaysia untuk daurah khas beliau. Ini bergantung kepada kesediaan mana-mana individu/organisasi yang sanggup menerima beliau sebagai tetamu. Buat masa ini dana yang ada mampu menampung tiket kapal terbang beliau pergi dan balik. Dr Salah telah pun memberikan persetujuan awal iaitu sekitar bulan Ogos 2014.

Sila maklumkan jika ada individu/organisasi yang berminat atau sudi menanggung kos tersebut. Kehadiran Syeikh ke Malaysia bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh pencinta ilmu di Malaysia bahkan membolehkan Syeikh menghidupkan lagi penulisan beliau dengan pengalaman beliau di Malaysia. Semoga Allah swt memberikan kesihatan berpanjangan kepada beliau bagi membolehkan ummat mengambil iistifadah dari beliau.

Lampiran :
1. Laporan Dana Al-Khalidi
http://www.4shared.com/office/k-UGVps3ba/Laporan_Dana_al-Khalidi.html
2. Penyerahan Bayaran Sewa Pusat Pengajian Al-Khalidi
http://www.4shared.com/office/6oREwZbXce/Lampiran_1_-_Penyerahan_Bayara.html
3. Berita Penyerahan Sumbangan
http://www.4shared.com/office/U7LpYboyba/Lampiran_2_-_Berita_Penyerahan.html
4. Senarai Penderma
http://www.4shared.com/office/AcRt3-EPce/Lampiran_3_-_Senarai_Penderma.html

Pertanyaan dan maklum balas :
Wan Abdul Baith Izzuddin
Tel / Whatsapp : +962779933809
FB : https://www.facebook.com/abdbaith.izzuddin?fref=ts 
Email : abdbaith47@gmail.com

Disediakan oleh :
Sekretariat Dana Bantuan Pusat Pengajian al-Khalidi
Amman, Sweileh.

Pelajar Malaysia Taja Pusat Pengajian al-Khalidi di Amman, Jordan

Pelajar Malaysia Taja Pusat Pengajian al-Khalidi di Amman, Jordan
Oleh : Naim Rosni

Amman, 6 Mac 2014 – Sekumpulan pelajar Malaysia di Jordan telah mengambil inisiatif dalam mengembangkan bakat kerja sosial dengan melancarkan kutipan dana bagi membantu menghidupkan pusat pengajian tokoh tafsir terkenal Dr Salah al-Khalidi.

Dr Salah al-Khalidi merupakan tokoh tafsir kelahiran Palestin yang kini menetap di Amman, Jordan bukanlah tokoh asing kepada para pelajar Malaysia di Jordan. Rata-rata pelajar Malaysia khususnya di Amman bukan sahaja mengenali tokoh ini bahkan sering menjemput dan mengikuti kelas-kelas pengajian beliau. Boleh dikatakan hampir kesemua tokoh-tokoh ilmuan Malaysia yang bergraduat dari Jordan mengenali susuk tubuh Dr Salah al-Khalidi.

Dengan menubuhkan Sekretariat Dana Pengajian al-Khalidi, kumpulan pelajar tersebut dalam tempoh 36 jam telah berjaya mengumpulkan dana yang mencukupi untuk membayar sewa tahunan premis yang dijadikan tempat Dr Salah al-Khalidi menyampaikan kuliah. Dana diperolehi melalui kutipan yang dilancarkan dari para pelajar di Jordan dan para dermawan dari Malaysia.

Penyampaian tajaan tersebut telah disampaikan oleh Saudara Abdul Hakim Othman, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) kepada Ustaz Huzaifah al-Khalidi yang merupakan anak kepada Dr Salah al-Khalidi. Penyampaian tajaan tersebut turut disaksikan oleh Ustaz Farid Ravi, Pengerusi Sekretariat Pelajar ijazah Lanjutan Malaysian Jordan (SELAMA) dan Saudara Muhamad Fariduddin Suhaimi, Pemangku Presiden Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA). 

Ustaz Huzaifah dalam ucapannya berterima kasih dan mengalu-alukan tajaan yang disampaikan oleh para pelajar Malaysia dan para dermawan. Beliau turut menjemput para pelajar Malaysia untuk turut memanfaatkan pusat tersebut samada melalui aktiviti tafaqquh mahupun kemasyarakatan.

Ustaz Farid Ravi (gambar kiri) yang juga merupakan salah seorang penyelia kepada projek tersebut dalam reaksi spontannya melahirkan rasa bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada tokoh tafsir semasa yang sangat zuhud dan wara’. Beliau yang sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang tafsir di Universiti of Jordan berharap agar Dr Salah al-Khalidi diberi kesihatan berpanjangan bagi membolehkan ummat mengambil manfaat daripada beliau.

Pihak sekretariat juga difahamkan sedang melangkah ke fasa kedua dengan berusaha membawa Dr Salah al-Khalidi menjelajah Malaysia bagi menyampaikan kuliah dan mengadakan dawrah khusus kepada pelajar-pelajar pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.

Ustaz Wan Abdul Baith Izzuddin (gambar kanan) ketika dihubungi memberitahu bahawa Dr Salah secara dasarnya telah pun bersetuju untuk mengadakan rehlah ilmiyah beliau ke Malaysia sekitar bulan Ogos 2014. Beliau yang merupakan Penyelaras kepada Sekretariat Dana Pengajian al-Khalidi berkata, sekretariat sedang menunggu pengesahan dari pihak persatuan pelajar di Jordan untuk menjadi penganjur kepada rehlah tersebut. Dalam masa yang sama, sekretariat menjemput institusi mahupun orang perseorangan yang ingin mengadakan smart partnership dalam menganjurkan dawrah dan kuliah-kuliah Dr Salah di Malaysia nanti.

Tambah beliau lagi, buat masa ini dana yang ada mampu untuk menanggung kos tiket kapal terbang Dr Salah pergi dan balik hasil sumbangan dermawan sebelum ini. Sekretariat juga merancang untuk membekalkan buku-buku Dr Salah kepada peserta dawrah secara percuma bergantung kepada sumbangan dan dana yang diperolehi daripada para dermawan. Beliau juga memaklumkan bahawa kutipan sumbangan yang diberhentikan sementara sebelum ini disambung semula sehingga 9 Mac 2014 iaitu tarikh asal penutupan penerimaan sumbangan. Peluang sumbangan atau tajaan seterusnya akan dibuka sebaik sahaja perancangan disiapkan.

Pihak-pihak yang yang berminat untuk mengadakan smart partnership atau pun membuat sumbangan boleh menghubungi :

Wan Abdul Baith Izzuddin Wan Mustapa
Tel / Whatsapp : +962779933809
FB : https://www.facebook.com/abdbaith.izzuddin?fref=ts
Email : abdbaith47@gmail.com



Wednesday, March 5, 2014

PERMOHONAN INFAQ UNTUK PUSAT PENGAJIAN DR SALAH AL-KHALIDI




Assalamualaikum wrt. Wbt.
Difahamkan bahawa Dr Salah al-Khalidi terpaksa menyerahkan kembali markaz pengajian beliau (di bawah kediaman beliau) kerana kurang berkemampuan untuk membayar sewa tahunan berjumlah JD1000. Minggu ini (4 Mac 2014) difahamkan markaz tersebut akan diserahkan kembali kepada tuan rumah.

Sehubungan dengan itu, satu usaha mengumpulkan sumbangan (dibawah seliaan Ust. Anwar dan Ust. Farid) dilancarkan bagi menaja markaz tersebut yang turut dimanfaatkan oleh pelajar Malaysia di Jordan. Semoga Dr Salah al-Khalidi dapat terus berkongsi ilmu untuk manfaat ummat sejagat.
Sumbangan boleh dilakukan secara tunai di Jordan kepada Sdr Wan Abdul Baith Izzuddin atau dimasukkan ke dalam akaun berikut :

-Jordan Islamic Bank (Wan Abdul Baith) :
1482062 (Cawangan Sweileh)
@
-Maybank (Anwar Ridwan) : 564221050199

(sila sertakan email bagi tujuan laporan, perkembangan dan maklumat penyerahan sumbangan)

Sumbangan dilancarkan bermula 3 Mac 2014 (Selasa) dan ditutup pada 9 Mac 2014 (Ahad). Laporan kutipan akan dimaklumkan melalui fb dan email pada 10 Mac 2014 (Isnin). Penyerahan akan dilakukan sebaik sahaja akaun ditutup.

Sebarang pertanyaan :
Wan Abdul Baith Izzuddin
Tel / Whatsapp : +962779933809
Email : abdbaith47@gmail.com
wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters