Monday, March 10, 2014

Pelajar Malaysia Taja Pusat Pengajian al-Khalidi di Amman, Jordan

Pelajar Malaysia Taja Pusat Pengajian al-Khalidi di Amman, Jordan
Oleh : Naim Rosni

Amman, 6 Mac 2014 – Sekumpulan pelajar Malaysia di Jordan telah mengambil inisiatif dalam mengembangkan bakat kerja sosial dengan melancarkan kutipan dana bagi membantu menghidupkan pusat pengajian tokoh tafsir terkenal Dr Salah al-Khalidi.

Dr Salah al-Khalidi merupakan tokoh tafsir kelahiran Palestin yang kini menetap di Amman, Jordan bukanlah tokoh asing kepada para pelajar Malaysia di Jordan. Rata-rata pelajar Malaysia khususnya di Amman bukan sahaja mengenali tokoh ini bahkan sering menjemput dan mengikuti kelas-kelas pengajian beliau. Boleh dikatakan hampir kesemua tokoh-tokoh ilmuan Malaysia yang bergraduat dari Jordan mengenali susuk tubuh Dr Salah al-Khalidi.

Dengan menubuhkan Sekretariat Dana Pengajian al-Khalidi, kumpulan pelajar tersebut dalam tempoh 36 jam telah berjaya mengumpulkan dana yang mencukupi untuk membayar sewa tahunan premis yang dijadikan tempat Dr Salah al-Khalidi menyampaikan kuliah. Dana diperolehi melalui kutipan yang dilancarkan dari para pelajar di Jordan dan para dermawan dari Malaysia.

Penyampaian tajaan tersebut telah disampaikan oleh Saudara Abdul Hakim Othman, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) kepada Ustaz Huzaifah al-Khalidi yang merupakan anak kepada Dr Salah al-Khalidi. Penyampaian tajaan tersebut turut disaksikan oleh Ustaz Farid Ravi, Pengerusi Sekretariat Pelajar ijazah Lanjutan Malaysian Jordan (SELAMA) dan Saudara Muhamad Fariduddin Suhaimi, Pemangku Presiden Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA). 

Ustaz Huzaifah dalam ucapannya berterima kasih dan mengalu-alukan tajaan yang disampaikan oleh para pelajar Malaysia dan para dermawan. Beliau turut menjemput para pelajar Malaysia untuk turut memanfaatkan pusat tersebut samada melalui aktiviti tafaqquh mahupun kemasyarakatan.

Ustaz Farid Ravi (gambar kiri) yang juga merupakan salah seorang penyelia kepada projek tersebut dalam reaksi spontannya melahirkan rasa bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada tokoh tafsir semasa yang sangat zuhud dan wara’. Beliau yang sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang tafsir di Universiti of Jordan berharap agar Dr Salah al-Khalidi diberi kesihatan berpanjangan bagi membolehkan ummat mengambil manfaat daripada beliau.

Pihak sekretariat juga difahamkan sedang melangkah ke fasa kedua dengan berusaha membawa Dr Salah al-Khalidi menjelajah Malaysia bagi menyampaikan kuliah dan mengadakan dawrah khusus kepada pelajar-pelajar pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.

Ustaz Wan Abdul Baith Izzuddin (gambar kanan) ketika dihubungi memberitahu bahawa Dr Salah secara dasarnya telah pun bersetuju untuk mengadakan rehlah ilmiyah beliau ke Malaysia sekitar bulan Ogos 2014. Beliau yang merupakan Penyelaras kepada Sekretariat Dana Pengajian al-Khalidi berkata, sekretariat sedang menunggu pengesahan dari pihak persatuan pelajar di Jordan untuk menjadi penganjur kepada rehlah tersebut. Dalam masa yang sama, sekretariat menjemput institusi mahupun orang perseorangan yang ingin mengadakan smart partnership dalam menganjurkan dawrah dan kuliah-kuliah Dr Salah di Malaysia nanti.

Tambah beliau lagi, buat masa ini dana yang ada mampu untuk menanggung kos tiket kapal terbang Dr Salah pergi dan balik hasil sumbangan dermawan sebelum ini. Sekretariat juga merancang untuk membekalkan buku-buku Dr Salah kepada peserta dawrah secara percuma bergantung kepada sumbangan dan dana yang diperolehi daripada para dermawan. Beliau juga memaklumkan bahawa kutipan sumbangan yang diberhentikan sementara sebelum ini disambung semula sehingga 9 Mac 2014 iaitu tarikh asal penutupan penerimaan sumbangan. Peluang sumbangan atau tajaan seterusnya akan dibuka sebaik sahaja perancangan disiapkan.

Pihak-pihak yang yang berminat untuk mengadakan smart partnership atau pun membuat sumbangan boleh menghubungi :

Wan Abdul Baith Izzuddin Wan Mustapa
Tel / Whatsapp : +962779933809
FB : https://www.facebook.com/abdbaith.izzuddin?fref=ts
Email : abdbaith47@gmail.com



wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters