Tuesday, February 14, 2012

Misi Adh-Dhamri dan Al-Ansari (1)


Sambungan Hafizahullah 2


Rasul menugaskan Adh-Dhamri dan Al-Ansari untuk membunuh Abu Sufyan :

Perbuatan dan rancangan Abu Sufyan menentang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam hak untuk membalas seumpamanya. Sesungguhnya baginda dalam keadaan perang dengan Abu Sufyan, darah Abu Sufyan dan orang kafir selainnya telah halal.

Oleh yang demikian, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah berfikir (untuk membunuh) Abu Sufyan, Pembesar Mekah! Dan Baginda benar dalam apa yang difikirkan dan apa yang diazamkannya itu.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi tanggungjawab tersebut kepada ‘Amr bin Umayyah Adh-Dhamri, redha Allah ke atasnya kerana bersetuju melaksanakan tugas yang berbahaya dan penuh ketelitian ini.

‘Amr bin Umayyah Ad-Dhamri merupakan salah seorang daripada pahlawan yang besar, terkenal dengan keberanian, kekuatan dan kecerdikan, jauh pandangan, perancangan yang baik serta gerakan yang tangkas, Dia pernah memerangi kaum Muslimin bersama kaum Musyrikin di dalam Perang Badar dan Uhud, dia kemudiannya memeluk Islam selepas peperangan Uhud dan berdiri bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (dalam peperangan yang lain). Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui akan bakat dan kelayakan tersebut, maka dia ditugaskan dengan tugasan yang teliti dan susah ini.

Pada bulan Syawal tahun ke 6 hijrah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil ‘Amr bin Umayyah Adh-Dhamri dan Salamah bin Aslam bin Huraisy Al-Ansari, redha Allah ke atas mereka berdua, lalu berkata kepada mereka : ‘Keluarlah sehingga kamu mendatangi Abu Sufyan bin Harb, jika kamu mendapati bahawa dia dalam kelalaian maka bunuhlah dia!!

Yakni : Pergilah ke Mekah, kerahkan tenagamu untuk membunuh Abu Sufyan, jika kamu tidak mampu untuk melakukannya maka tidak mengapa.

Ditunjukkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menyerahkan tugasan tersebut dengan kata putus, sebaliknya memberikan tanggungjawab itu dengan syarat ia mengikut kemampuan mereka : Jika kamu mendapati bahawa dia dalam kelalaian maka bunuhlah dia!!

Bersiaplah ‘Amr bin Umayyah dan sahabatnya untuk tugasan yang berbahaya dan rumit ini, dan ‘Amr memiliki senjata yang kuat dan ringan, iaitu khanjar yang kecil, akan tetapi ia tersangat tajam, boleh disembunyikan di antara bajunya tanpa dilihat dan dirasai oleh sesiapa!!

Ini mengingatkan kita kembali akan khanjar ‘Arab Badawi yang kecil, yang datang untuk membunuh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, namun Allah membuka topengnya dan mendedahkan urusannya!

‘Amr dan Salamah bin Aslam menunggang kedua unta mereka, menghala ke Mekah, untuk melaksanakan operasi jihad itu!


Adh-Dhamri dan Al-Ansari di Mekah :

Sampailah mereka ke mantiqah di perbukitan Mekah yang dinamakan ‘Batn Yakjaj’, dalam linkungan 80 mil daripada Mekah! Mereka mengikat unta mereka di sana, di mantiqah khas kawasan jalan gunung, supaya jauh daripada penduduk Mekah, dan kembali kepadanya selepas selesai operasi jihad! Jika mereka pergi menaiki unta ke Mekah dan menurunkan unta di sana nescaya terbongkarlah urusan mereka berdua!!

Sebelum berangkat (dari Batn Yakjaj), ‘Amr member pesanan kepada saudaranya Salamah : Kita akan bertolak ke rumah Abu Sufyan dan aku akan meninjau serta menyerang Abu Sufyan untuk membunuhnya, kamu pula memerhati serta menolong… Jika berlaku sesuatu di luar jangkaan, maka selamatkan dirimu dan datang ke sini, tunggang untamu serta pergi khabarkan (hal ini) kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Jangan kamu menungguku! Jangan takut ke atasku, sesungguhnya aku lelaki yang mengetahui akan setiap tempat di mantiqah ini, aku akan selamat dengan izin Allah daripada para musuh, begitu juga aku cekap memandu, cepat berlari.

Kedua mereka pun menuju ke rumah Abu Sufyan di Mekah! Dipersiapkan ‘Amr bin Umayyah khanjarnya yang kecil tersembunyi, meletakkannya di bawah pakaiannya..

Apabila terbenamnya matahari dan datangnya kegelapan (malam) kedua-dua mujahid tersebut sudah berada di hadapan Kaabah, dalam perjalanan ke rumah Abu Sufyan!

Salamah bin Aslam Al-Ansari, redha Allah ke atasnya terpegun akan Kaabah sehingga dia lupa akan dirinya, rasa cintanya melonjak naik untuk sampai kepadanya, untuk tawaf di sisinya..

Sesungguhnya dia sudah sekian lama tidak dapat melihat Kaabah, cintanya kepada Kaabah dengan cinta yang agung, ia rumah pertama yang dibina di atas muka bumi untuk menyembah Allah, binaan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, turun temurun bangsa ‘arab menyucikannya serta mengagungkannya, menunaikan tawaf dan haji padanya berkurun-kurun!!.. Dia tidak mampu untuk sampai kepadanya pada tahun-tahun lepas dek kerana kaum Quraisy menghalang sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan hal itu!

Sekarang, ini dia berada di hadapan Kaabah, matanya terasa kenikmatan melihat kepada Kaabah dengan jarak hanya ratusan meter daripadanya! Adakah dia berjalan di tepinya dan tidak mendatanginya untuk tawaf serta solat di sisinya?

Dia dilupakan oleh perasaan terujanya akan operasi jihad yang merupakan tujuan kedatangannya, dia dituntut untuk lebih berjaga-jaga, berwaspada, berahsia dan bersembunyi : Mereka datang untuk membunuh pembesar Mekah!!..


Al-Ansari menggesa Adh-Dhamri untuk memulakan tawaf :

Oleh itu, Salamah menawarkan kepada Adh-Dhamri tawaran kasih sayang! Dia berkata kepadanya : Apa pandanganmu wahai ‘Amr, kita mendatangi Kaabah terlebih dahulu, bertawaf di sekelilingnya 7 pusingan dan kemudian menunaikan solat 2 rakaat di sisinya?

Terkejut ‘Amr dengan tawaran perasaan Salamah itu, kerana jika dia menyetujui dan menerimanya maka ia akan menggagalkan tujuan kedatangan mereka! Oleh yang demikian dia berkata : Engkau tidak dikenali oleh penduduk Mekah! Adapun aku sudah diketahui oleh mereka dalam kalangan pemburu bertompok hitam putih, jika penduduk Mekah melihatku nescaya mereka akan mengenaliku… Juga aku mengenali adat penduduk Mekah, mereka menanti kedatangan malam untuk berborak-borak di malam hari, mereka merenjis pada halaman rumah mereka dengan air, mereka merenjisnya kemudian duduk di hadapan rumah mereka berborak-borak..

Andai kita melintasi rumah mereka dan menuju ke Kaabah untuk tawaf, para Quraisy yang sedang duduk di hadapan rumah mereka akan melihat kita, apabila mereka melihatku mereka mengenaliku!! Dengan itu akan menggagalkan tujuan kedatangan kita!! Dan aku berpandangan tidak perlu untuk bertawaf di Kaabah dan sebaliknya terus menuju ke rumah Abu Sufyan untuk membunuhnya, melaksanakan tanggungjawab yang telah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam berikan kepada kita!

Kata-kata ‘Amr bin Umayyah sememangnya diterima oleh akal, bukan (diselebungi) perasaan yang membara!! Akan tetapi saudaranya Salamah tidak mendengarnya, dia bertekad untuk pergi ke Kaabah terlebih dahulu!

‘Amr bin Umayyah redha Allah ke atasnya tidak mahu untuk bertengkar dengan saudaranya menyalahinya, kerana dia mengetahui bahawa ianya ditegah oleh Islam, oleh yang demikian dia terpaksa menyetujuinya walau ilmunya mengatakan kata-kata dan perbuatannya salah!!.

Bergeraklah kedua orang mujahid itu menuju ke Kaabah untuk tawaf terlebih dahulu, kemudian baru melaksanakan pembunuhan Abu Sufyan selepas itu!

Mereka sampai ke Kaabah dengan selamat, bertawaf di sisinya 7 pusingan lalu solat di sampingnya 2 rakaat, mengingati Allah dan memuji-Nya… Tercapailah keinginan Al-Ansari dan dia menikmati apa yang diinginkannya, yang telah menggerakkan perasaannya..

Selepas itu mereka bertolak dari Baitul Haram, menghala ke rumah Abu Sufyan bagi melaksanakan operasi jihad!


Bersambung...

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters