Saturday, September 25, 2010

Diri dan Persatuan

Assalamualaikum wbt,

Puji dan syukur ke hadrat Tuhan Sekalian Alam yang mentadbir bumi dan langit dengan kekuasaan-Nya Yang Maha Hebat. Masya-Allah.

Manusia, sehebat manapun pengurusan dirinya pasti ada salah dan silapnya, andai kesilapan itu lahir dengan ketidaksengajaannya maka ke atas kita untuk memperbetulkan dan menegurnya. Adapun jika dia dengan sengaja melakukannya maka kita juga orang yang paling penting untuk membimbingnya agar tidak terus terpesong.

Dalam meniti kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang berjawatan di dalam persatuan, seorang itu mestilah pandai menjaga kepentingan persatuan dan kepentingan dirinya. Wajib diasingkan akan keduanya daripada bercampur aduk dan menimbulkan pelbagai kemusykilan yang memakan diri.


Contoh 1, dalam berhubungan dengan aktiviti persatuan, maka Presiden sesuatu persatuan itulah orang pertama yang perlu kita maklumkan meskipun di tangan kita hanya terdapat secebis maklumat. Jangan sekali-kali meletakkan diri melebihi taraf yang diberikan kepada kita kerana ia adalah seperti tidak beradab, masakan Tuan Rumah tidak diberitahu akan hal di dalam rumahnya meskipun dalam hal sinki tersumbat? [perumpamaan]. Jika kita meletakkan diri melebihi taraf yang diberi maka terjadilah apa yang tidak patut terjadi.

Contoh 2, jika terdapat blog peribadi dan blog persatuan, jangan pula kita mengambil remeh hal dengan meletakkan pemakluman persatuan ke dalam blog peribadi kecuali jika kita terlebih memaklumkan di dalam blog persatuan. Blog persatuan adalah untuk persatuan dan blog peribadi adalah untuk dirimu maka sesuatu yang umum [persatuan] hendaklah diletakkan di tempat yang umum juga, jangan sebaliknya mengambil yang umum dan diletakkan pada yang khusus kerana ia menyempitkan ruang skop penyebaran maklumat tersebut.

Dalam contoh yang kedua ini, kita boleh perhatikan wataknya Khalifah Umar Abdul Aziz di dalam mentadbir kerajaan beliau. Ketika anaknya datang berbicara dengannya sewaktu dia bekerja, dipadamnya lilin pelita yang menerangi sehingga menjadi gelap gelita kerana tidak mahu menggunakan hak kerajaan yang bukan hak milik sendiri... moga dijadikan iktibar...

Contoh 3, persatuan bukanlah satu medan untuk melakukan maksiat samada dengan pergaulan bebas dan sebagainya sebaliknya ia adalah medan untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap ahli yang telah memilih kita sebagai pemimpin. Justeru sesiapa yang menyalahgunakan jawatannya untuk kepentingan diri sebenarnya telah mengabaikan banyak amanah-amanah yang dipikulkan ke atas bahunya. Amanahnya kepada Allah dan Rasul juga tidak terkecuali, jangan berfikir bahawa dosamu itu kecil!


Akhir kalam, semoga post kali ini mampu membuahkan ibrah dan mau'izah kepada diri ini dan sahabat-sahabat. Ini hanyalah pandangan diri penulis semata-mata, andai terdapat ketidaksetujuan atau sebarang pendapat lain bolehlah kemukakan di ruangan komen atau shoutbox... Terima kasih.

0 comments:

wanabdbaith. Powered by Blogger.

Visitor

free counters